Showing posts with label Blogger. Show all posts
Showing posts with label Blogger. Show all posts

Wednesday, April 27, 2011

NAJIB – ANDALAH PEMIMPIN SEBENAR!

Terima kasih Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak!

Anda Perdana Menteri yang terbuka dan menghargai pandangan rakyat.

Dengan mengajak penulis blog bantu bentuk masa depan negara, anda seorang pemimpin yang ikhlas dan maha penting tahu menghargai sumbangan semua pihak – termasuk blogger!

Amat jelas anda jenis pemimpin yang bukan bergantung sepenuhnya kepada Menteri-Menteri, Menteri Besar, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri atau orang politik.

Anda juga menilai pendapat individu dalam membangunkan negara. Anda sebenarnya negarawan yang sewajarnya disokong dan dijulang.

Apapun, menjadi hak anda yang mana satu anda pilih. Prerogative tetap ada pada anda!

Dengan mengatakan kerajaan tidak takut dengan pandangan penulis blog, sebaliknya mahu menjadi rakan blogger kerana pandangan mereka diperlukan, anda seorang yang berlapangkan dada dan tidak gentar dikritik.

Anda sebenarnya pemimpin yang berani dan cekal.
Perdana Menteri beramah mesra dengan penulis blog termasuk Dr Mahathir pada Persidangan Penulis Blog Malaysia-ASEAN yang pertama di Kuala Lumpur, kelmarin.

Terbukti kini walaupun pesaing anda begitu jijik melakukan perkara-perkara yang buruk untuk menyekat anda menjadi Perdana Menteri, dengan izin Allah, keikhklasandan sokongan rakyat, anda mendapat juga tempat yang mungkin anda tidak bayangkan begitu cepat.

Persetankan dengan yang menentang. Memang mereka kaum penentang. Selagi anda Perdana Menteri, mereka akan menentang.

Jadi ingatlah selalu kepada yang menyokong dan mendokong anda!

Tentunya rakyat lega dengan kenytaan anda bahawa kerajaan bersedia “ menerima kritikan membina untuk bersama-sama membentuk masa depan lebih baik untuk negara dan rakyat” adalah sesuatu yang sangat relevan pada suasana dan ketika kini.

Dengan meletakkan inividu juga sebagai pihak penting dalam merencana dan menilai pembangunan negara, anda meletakkan mereka ini standing dengan pembuat dan penganalisis dasar.

Dengan kata lain, di mata anda, rakyat atau individu kalangan bloggernya sama tahapnya dengan penjawat awam, wartawan, penulis kolum atau juga pengarang sesebuah akhbar.

Walaupun mungkin tidak setaraf blogger terkenal seperti Tun Dr Mahathir Mohamad atau nama-mana besar lain namun bloggers seperti saya dan mungkin GAP, Sahabat Gunung, Pisau, KerisPutera dan yang lainnya merasa diiktiraf.

Ketahuilah bahawa dengan mengakui atau mengiktiraf peranan blogger, anda sebenarnya membuka perbincangan pad lingkungan lebih besar dan peranan mereka ini lebih baik daripada pengarang dan wartawan yang bekerja di akhbar yang takut atau bacul untuk menegur kerajaan.

Ada kalangan mereka yang bekerja di media arus perdana hanya tahu memuji dan ‘memuja’ anda semata-mata kerana menjaga kerusi dan gaji mereka.

Dan jika bukan kerana sebab seperti itu tak kanlah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup menegur akhbar yang langsung tidak berani menegur kerajaan.

Dr Mahathir dengan lantang dan jelas semalam mengatakan media arus perdana dalam negara harus sesekali menjadi pengkritik kerajaan. Menurut beliau, ramai yang tidak bersedia untuk mengkritik kerajaan kerana mereka beranggapan mesti menyokong kerajaan sentiasa.

Hakikatnya, hubungan blogger dengan anda serta kerajaan sewajarnya jangan ada pemisah yang besar sebliknya perlu dianggap sebaga jalinan penting atas dasar saling menghormati dengan kedua-dua pihak boleh berbeza pendapat, tetapi jangan sehingga langsung tidak boleh menerima pandangan orang lain.

Saya menghormati anda apabila anda mengatakan : “Era kerajaan mengetahui segala perkara... tahu yang terbaik, sudah berlalu. Marilah berdepan dengan hakikat ini. Kita (kerajaan) tidak boleh tidak mengendahkan dan kita tidak akan tidak mengendahkan... kita mahu tahu pandangan blogger yang mewakili masyarakat Malaysia. Kita memerlukan pandangan anda, malah kritikan membina daripada anda.”

Apapun, saya dan saya pasti rakan blogger lain juga tahu akan wujudnya batas dan batasan agar tidak menggunakan ruang siber untuk mencerca, bohong, dusta, menipu atau menyatakan separuh kebenaran dalam sesuatu perkara.

Sebagai blogger saya hanya menyatakan perkara yang benar dan perkataan saya melalui blog saya semuanya tidak ada yang tidak benar melaluinya semuanya benar belaka!

Monday, January 17, 2011

APABILA BLOGGER PROPEMBANGKANG MULA GOYAH…

Beberapa blogger proembangkang semalam menyeru di kalangan mereka supaya menggembleng tenaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13.

Ada kalangan mereka yang menyebut: “Tidak ada satu perkara yang paling diharapkan daripada dunia blogger Pakatan Rakyat melainkan untuk melihat BN dan Umno disungkurkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang dan PRU 13 akan datang.” Malah mereka mengucapkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dengan kejayaan kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan Majlis Mesra Menteri Besar Kelantan Bersama Blogger Pakatan yang diadakan di Kuala Lumpur malam kelmarin.

Lantas terfikir oleh saya bahawa rupa-rupanya selepas lebih 10 tahun ‘bermaharajalela’ di alam siber, blogger propembangkang kini melihat ada suatu kekuatan istimewa di kalangan blogger prokerajaan, proUMNO serta juga kumpulan yang berjuang untuk menyatakan keadaan sebenar atau yang tidak berpihak tetapi mahu menegakkan KEBENARAN!

Dengan kata lain, bukan kita mendabik dada mengatakan blogger prokerajaan, proUMNO dan Barisan Nasional kini kuat dan bermaruah tetapi blogger propembangkang yang memberikan pengiktirafan tentang sumbangan dan kekuatan kita.

Saya masih ingat apabila sebaik sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden UMNO, laman web dan blog tumbuh bagaikan cendawan di musim hujan – rata-rata menyerang Presiden UMNO ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad serta saf kepimpinan kerajaan.

Malah, sekitar 1999 dan 2003, amat sukar mencari laman web yang proUMNO, prokerajaan atau juga proMahathir. Yang ada ialah blog yang menghentam terutamanya Dr Mahathir dengan kata-kata nista seperti Mahazalim, Mahafiraun dan segala yang buruk, seolah-olah sumbangan Dr Mahathir memajukan negara ini tidak diiktiraf langsung.

Saya juga masih ingat bagaimana sukarnya untuk meyakinkan kepimpinan UMNO di Ibu Pejabat UMNO ketika itu untuk menjadikan wadah alam siber sebagai satu daripada cara penting ‘memerangi’ pembangkang.

Bagi mereka – alat bercetak, CD, ceramah dan sesi penerangan secara bersemuka dianggap cara paling relevan.

Saya berpengalaman bekerja sebagai penyelidik dan editor akhbar UMNO di Ibu Pejabat UMNO selama kira-kira empat tahun antara 1999 dan 2003 di Ibu Pejabat UMNO dan pastinya bos terdekat saya ialah Ketua Penerangan ketika itu – Tan Sri Yusof Noor dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Apabila meminta peruntukan bagi tujuan berperang di alam siber, pihak pengurusan Ibu Pejabat Pejabat UMNO akan ‘melengah-lengahkan’ peruntukan sedemikian berbanding dengan mengeluarkan buku, risalah atau CD.

Ramai ‘orang besar’ UMNO sama ada di Ibu Pejabat UMNO, negeri dan bahagian buta IT. Dengan kata lain ‘nak buka’ komputer pun tidak tahu. Mereka bukan tidak minat membaca tetapi itulah hakikatnya – membaca selepas ada orang lain sudah ‘membuka komputer’ untuk mereka.

Bagi mereka membaca artikel, nota dan sebagainya sudah dianggap ‘kedepan’ ketika itu (kata orang putih, at that particular time).

Begitulah juga dengan UMNO Online yang sering dianggap terkebelakang berbanding laman web yang dikendalikan pembangkang.

Saya turut menyertai arus memiliki laman web dengan menggendalikan islamOne untuk kira-kira tiga tahun dengan berita dan rencana mengenai politik dan Islam di dalam dan luar negara. Namun kerana membabitkan kos, akhbarnya saya tidak mampu untuk menanggungnya seorang diri.

Ketika itu tidak ada pihak yang mahu membantu, sama ada individu UMNO atau kerajaan. Tidak seperti sekarang, ada blogger yang mendapat upah untuk menulis dan tidak kurang juga yang mampu hidup mewah kerana blognya dilayari berjuta penjenguk.

Malah perkembangan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini di kalangan blogger prokerajaan, proUMNO dan yang mahu berkata BENAR mengejutkan pembangkang kerana dalam pilihan raya – sama ada pilihan raya umum (2004 dan 2008) serta siri pilihan raya kecil, peperangan siber di kalangan penyokong kerajaan, UMNO dan Barisan Nasional (BN), menjadi begitu terserlah dan boleh disifatkan seimbang.

Tetapi lebih menonjol, pada pilihan raya Galas yang lalu, saya perhatikan peranan blogger prokerajaan dan UMNO semakin menyerlah dan menjadi alat penting membantu BN menang.

Isu-isu yang dimainkan berkesan sambil maklumat yang disebarkan ‘up to date’ dan sesetengahnya mendahului blogger pembangkang.

Satu contoh jelas ialah UMNO Online kini begitu menarik dan sertanding laman web dan blog yang sebelum ini dianggap terkedepan. Tahniah kepada Ibu Pejabat UMNO yang dipimpin Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor yang berpengalaman lebih 10 tahun mentadbir pejabat parti terbesar di negara ini.

Sebaliknya, semacam ada suatu keluhan di kalangan blogger propembangkang apabila ada laporan melalui Harakahdaily semalam yang mengatakan blogger pakatan pembangkang semacam tidak digembleng tenaga mereka secara terancang dan bersepadu untuk menghadapi gelombang blogger Umno yang nampak terancang dan dirancang.

Seorang blogger propembangkang menyebut baginya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menganggap ‘sentuhan kerajaan negeri Kelantan dalam pertemuan malam tadi sangat bernilai bagi seorang blogger dan mereka bukan mahukan sanjungan, pujian dan upah.’

Berikutan masa berjalan dengan cepat sekali, beliau menyarankan perkara yang sama dilakukan oleh kerajaan negeri yang lain di bawah Pakatan Rakyat seperti Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang mestilah melakukan program seumpama dilakukan Kelantan malam kelmarin.

Saya berharap sangat dengan kesedaran pada peringkat kerajaan, Ibu Pejabat UMNO serta Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang semakin baik, media siber dan ‘yang sewaktu’ dengannya diberikan keutamaan.

Di kalangan pemimpin UMNO sendiri, khususnya di kalangan Menteri Besar dan mereka yang memegang tampuk kuasa sama ada di negeri, daerah, bahagian dan juga mukim, jadikan ‘alat perang siber’ ini sebagai senjata penting.

Selain dapat ‘berperang secara terus’ dengan musuh politik mereka, media baru adalah alat paling berkesan mendekati, memujuk dan mempengaruhi orang muda yang juga pengundi muda.

Biarlah pembangkang mengatakan mereka mendahului kerajaan atau UMNO dalam konteks sokongan pengundi muda, yang penting penerangan, maklumat dan keterbukaan kerajaan serta parti perlu ditonjolkan.

Percayalah, orang muda bijak menilai peluang dan maklumat yang disajikan. Fitnah dan perbuatan memburuk-burukan pemimpin kerajaan, UMNO dan BN tidak akan kekal lama.
Akhirnya akan terserlah juga kebenaran. Dan kebenaran inilah sebenarnya kunci kepada sokongan rakyat dalam setiap pilihan raya.

Ternyata kerana kebenaran disebar dengan berkesan melalui media baru pembangkang kini merasa terancam dan kerana itulah ada seruan agar mereka perlu digemblengkan.

Bagi blogger, penggendali laman web atau pemilik FB, twitter dan sebagainya, teruskah dengan kerja murni kita kerana kita bukan sahaja melawan fitnah tetapi menegakkan KEBENARAN demi mempertahankan negara yang sedang bergerak ke arah sebuah negara maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi.

Jadikan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak agar kita berubah dan melakukan transformasi pada diri dan profesyen kita sebagai cabaran untuk kita menegakkan KEBENARAN dan memerangi serta menghapuskan fitnah dan cerca yang boleh menyumbang ke arah masyarakat Malaysia yang porak-peranda!

Saturday, October 23, 2010

APA NI UMNO ONLINE - BUAT TUDUHAN PALSU?

http://kijang-jantan.blogspot.com/
Dengan bangganya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini menasihatkan ahli UMNO jangan baca blog lain – termasuk blog proUMNO – tetapi hanya umno online untuk mendapatkan berita yang tepat mengenai UMNO.

Jadi ahli UMNO yang ‘patuh’ kepada arahan mungkin dapatkan berita hanya melalui umno online, termasuk mengenai Galas.

Namun, apa yang mengejutkan, semalam umno online dikatakan membuat fitnah terhadap calon PAS Dr Zulkefli Mohamad yang beliau pernah ditangkap berkhalwat.

Ini bermakna bahawa calon PAS ini menjadi sasaran umno-online tidak sampai 24 jam selepas diumumkan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Dalam reaksinya terhadap laporan itu, Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang menafikan perkara itu.

Malah, katanya, Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya.

Dr Zulkefli, lulusan ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan, Universiti Malaya pada tahun 1992 dan mengendalikan klinik sendiri di Chiku 3, Gua Musang, menjelaskan isterinya bernama Zainab Jalar.

Malaysiakini yang memetik kenyataan Dr Zulkifli menyebut, media rasmi Umno yang memetik laporan beberapa blog mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat dengan 'isterinya' sekarang, Ramelah Mat Jusoh.

"Fitnah semata-mata, - boleh buat semakan di mana-mana pejabat agama di Kelantan dan seluruh Malaysia," katanya dalam jawapannya melalui SMS kepada Malaysiakini.

Selain mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap berkhalwat, umno online juga cuba memperlekehkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini mengenakan syarat untuk menjadi calon adalah bukan perokok dengan memberikan gambaran seolah-olah beliau adalah perokok.


"Saya tidak merokok. Semoga Allah mengampuni dosa mereka yang membuat fitnah," kata Dr Zulkefli.

Dr Zulkefli diumumkan sebagai calon PAS oleh Nik Aziz di Gua Musang malam semalam.

Beliau adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008 tetapi tewas.

Berusia 44 tahun, Dr Zulkefli merupakan anak ketujuh daripada 10 adik beradik.

Persoalannya kenapakah umno online berharapkan blog lain yang bukan menjadi pilihan Tengku Adnan untuk dijadikan sumber berita?

Saya tabik kepada blog parpukari dan the unspinners dalam kerja mereka untuk Galas tetapi kedua-duanya kalau menurut analogi Tengku Adnan tidak layak untuk dijadikan rujukan kerana tidak ‘setanding’ umnoonline.

Lebih malang, apa yang dipetik oleh umno online itu disifatkan ‘berunsur fitnah’ dan boleh memalukan UMNO (ikut standard Tengku Adnan).

Dengan kedudukan ini, tidakkah perbuatan umno online ini dengan sendirinya memalukan Tengku Adnan yang mengharapkan portal berita umno itu sebagai sumber rujukan utama dan boleh dipercayai?

Bergantung kepada Tengku Adnanlah untuk memperbetulkan keadaan ini kerana beliau juga yang meletakkan umno-online kononnya satu-satunya online yang perlu dirujuk mengenai apa sahaja berkenaan UMNO.

Cuma sedikit memalukan ialah portal yang sepatutnya menjadi rujukan menjadi sebaliknya dan kini didakwa membawa ‘fitnah’ kepada calon PAS Galas.

Jangan perkecilkan perkara ini kerana ia akan menjadi bahan kempen untuk menempelak UMNO!

Wednesday, September 1, 2010

BLOGGER ProUMNO - TERUSKAN PERJUANGAN MEMBELA ISLAM, MELAYU & MALAYSIA

Saya tertarik dengan nukilan Jefri Zachariah dari Malaysia-Instinct yang kemudian dipetik blogger House PK mengatakan ramai penganalisis dan pemerhati politik berpendapat blog kini menjadi instrumen terpenting, bukan sahaja sebagai penyebar maklumat biasa malah mampu membentuk kepercayaan politik kepada masyarakat untuk memilih kerajaan yang dikehendaki.

Menurut Jefri, antara faktor besar kejayaan PAS dan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalu adalah disebabkan kesan maklumat yang disebar melalui media baru di internet khususnya blog.

Blog dikatakan menjadi pilihan dan rujukan paling utama generasi muda dalam lingkungan usia 21 hingga 41 tahun berbanding media konvensional yang lain.

Dalam kajian dari Februari hingga Mac 2008 yang dikendalikan Zentrum Future Study Malaysia mendapati, blog berada ditangga teratas dengan 39.2 peratus berbanding akhbar 14.8 peratus, televisyen 23.5 peratus dan media baru lain 26.2 peratus.

Dengan semangat Merdeka yang disambut semalam, seharusnya blogger yang proUMNO terus bersatu.

Yang buat onar itu adalah satu dua yang hidupnya di atas ihsan orang lain dan menindas orang lain. Mereka kononnya blogger terkenal dan mendapat hits yang tinggi.

Itu bukan ukurannya. Hits banyak cara. Ada yang menambah dengan sengaja dan ada yang rela membiarkan bilangan hits mengikut cara yang ‘halal’.

Soal penting kita perlu memeruskan perjuangan. Jangan ikut mereka yang suka menempel di tepi pemimpin UMNO atau kerajaan untuk menunjukkan mereka blogger penting.

Kalaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku mansor atau Setiuasaha Kerja, Datuk Abdul Rauf Yusof tidak mengenali kita pun tidak apa.

Mereka tidak hulur atau iktiraf kita pun tidak apa. Perjuangan adalah demi UMNO dan masa depan anak kita.

Kita bukan blogger yang mengharapkan diambil bekerja dengan Perdana Menteri atau sesiapa yang berpangkat. Nawaitu kita bukan begitu kerana perjuangan menegakkan UMNO, bangsa dan agama Islam perlu diteruskan.

Blogger macam kita - Najib, Tengku Adnan atau pemimpin UMNO tidak peduli atau pandang sebelah mata pun tidak apa. Hakikatnya kita tidak tunduk dan kadangkala terpaksa ‘berbohong sunat’ untuk diundi atau menang pilihan raya!

Blogger kekal blogger. Kepada orang politik, kalah hari ini, esok orang tak buka lagi pintu kereta untuk mereka!

Berapa banyak askar yang mati atau sudah pencen yang tidak menerima bintang dan hidup melarat sebaliknya ketua mereka yang diiktiraf. Apakah mereka berkecil hati? Tidak...mereka bangga kerana menyumbang untuk negara.

Nah begitulah juga kita. Kita tidak mahu menjadi blogger yang melaga-laga antara kita atau tidak amanah membahagi-bahagikan ‘kek’ atau ‘sumbangan’ yang dihadiahkan. Biarlah mereka hidup cara mereka.

Cumanya jangan jadikan antara kita ada blogger elit, blogger yang kononnya 'rapat' dengan pihak tertentu dan mempunyai hits yang tinggi dan memandang rendah kepada blogger-blogger lain.

Tidak seharusnya ada blogger picisan atau kasta antara kita.

Janganlah kita patah semangat kerana senjata kita kini sudah terhunus dan pembangkang sudah panas dengan kehadiran kita.

Tinggalkan blogger yang terus mengharap subsidi dan bantuan orang besar UMNO kerana mereka mempunyai kepentingan diri.

Dalam kedudukan ini, kita yang merdeka perlu menyata dan membuktikan bahawa kita bebas dari segi perjuangan, semangat dan halatuju kita.

Kitalah blogger pembela bangsa Melayu, agama Islam dan tanah air tercinta – MALAYSIA. Merdeka, Merdeka, Merdeka!!

Friday, August 6, 2010

SESAMA RAKAN BLOGGER PUN ADA NAK KEBAS, TONGGANG, DAN MUNGKIR JANJI?

Terkejut saya melihat poster WANTED dan membaca entri mengenai perkara ini.

Sukar saya nak mengecam gambar siapa sebenarnya dalam poster WANTED itu.

Ini cerita blogger. Terima kasih The Unspinners. Pendedahan ini ada kaitan sedikit dengan pengalaman saya. Tidak payah diperjelaskan kerana saya bukan penerima tetapi kes lain.

Kes saya ini Blogger catatanzabidi, lesung batu dan Sang Kelembai serta beberapa yang lain yag biasa di The Mall memang tahu!

Apa pun diharapkan rakan bloggers bantulah sesama sendiri! Atau kalau boleh Sang Kelembai bantulah selesaikannya!

Saya perturunkan apa yang dinukilkan melalui The Unspinners:


Cerita blogger ini banyak tapi tak ada yang diketahui.

Semuanya diam-diam dan tidak terdedah. Sesekali ada berlaku, macam kisah orang guna nama The Unspinners.

Kali ini pula blogger Braveheart ada beberapa cerita orang tak betul. Ceritanya berikut:

... Setiausaha UMNO, Dato' Tengku Adnan telah menyediakan sumbangan (bukanlah banyak sangat) RM15,000 untuk diagihkan kepada para blogger yang bertungkus lumus di Hulu Selangor dulu. Jumlah itu sekiranya diagihkan sama-rata mungkin setiap orang hanya akan mendapat sebanyak RM500.00 atau RM600.00 sahaja.

Tidak mengapalah!

Alhamdulillah juga jika hanya setakat itulah yang mampu diberikan oleh kerajaan (maksud parti) sebagai penghargaan dan mengenang jasa para blogger. Namun apa yang berlaku amat mendukacitakan!

Kenapa SU UMNO tidak secara peribadi bertemu dengan para blogger untuk berkenal mesra sambil menyerahkan sumbangan itu? Saya percaya blogger akan sangat menghargai menerimanya secara langsung dari seorang tokoh walaupun jumlahnya tidak besar.

Menyerahkan kepada 'orang kedua' telah mendatangkan risiko dimana peruntukan berkenaan telah tercicir ditengah jalan. Blogger Aiman Jr tentu lebih maklum tentang perkara ini.

Blogger Sanggah Tok Janggut ini merupakan teman akrab kepada blogger Sang Kelembai yang tentu masih kenal dan melihat sahabat-sahabat yang sama berjuang di Hulu Selangor dulu, yang menjulang kemenangan calon BN [ dengan membelanja duit sendiri.]

Justru saya menyaran kepada pemimpin supaya lebih berhati-hati dan lebih telus ketika berhubung dengan blogger.

Saya masih ingin mendengar apa kata pihak Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang janji anakbuahnya untuk men'sedekahkan' blogger yang hadir di pelancaran blog beliau dulu dengan modem broadband.

Kita fahan bahawa mungkin kilang pembuat modem berkenaan masih dalam pembinaan, kerana itu kita masih belum menerima nya.

Hehehe!

Bagaimana pula dengan sumbangan dari SU UMNO melalui blogger Sanggah Tok Janggut ini? Apakah 'cek' itu masih sukar untuk di 'cash' kan? Atau sudah kehilangan alamat pada sahabat semua? Atau memang sumbangan itu hanya untuk beliau seorang diri? ...

Petikan dari
Beranikan Hati

Kami The Unspinners tak mahu sebab satu dua makhluk yang ambil peluang, perjuangan kita terbantut. Biar dia malu dari pendedahan ini, peduli apa. Dedahkan sesiapa yang mengguna sesiapa ntara kita untuk tujuan tidak baik.

Kita faham tak semua ada peluang dan boleh dapat peruntukan. Ada lebih dan ada kurang. Ada tak ada. Itu rezeki masing2, kebolehan masing2 dan penghargaan orang kepada bloggers tersebut.

Tapi jangan guna nama orang untuk masuk poket sendiri. Oleh demikian, berawas bila ada sesiapa minta nama dan butiran.

Kalau ada pihak mengaku The Unspinners ada dalam mana-mana senarai, sah itu group nak jual nama dan menyamun. Kami tak akan ikut mana2 group. Kami berjalan sendiri tapi seiring dengan blogger2 pejuang yang tulin.

Bagi yang tak amanah, jangan pula nak tegur dan nasihat Noh Omar. Nasihat diri sendiri.

Sumber : http://theunspinners.blogspot.com/

Monday, February 8, 2010

BILA KENA BATANG HIDUNG SENDIRI

Masalah dengan pemimpin pembangkang ialah bila kena batang hidung sendiri mereka mula gelabah.

Sejak 1999, pemimpin UMNO - daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi dan sehingga Datuk Seri Mohd Najib Razak - pelbagai gelaran, kartun, karikatur dan sebagainya sangat dibangga-banggakan oleh pembangkang.

Bagi pemimpin pembangkang, cara penyokong mereka merendah-rendahka martabat, mencaci dan menghina pemimpin kerajaan bagaikan taktik berkesan mereka untuk menang pilihan raya.

Saya sendiri beberapa kali menulis menolak cara pembangkang memperlekehkan pemimpin negara, khususnya UMNO melalui media mereka – khususnya media baru.

Dr Mahathir adalah yang paling teruk dihina, sehinggakan beliau disamakan dengan Firaun dan karikator mengenainya begitu mengaibkan.

Namun, apakah ulama PAS mengeluarkan fatwa mengenai kartun dan karikator yang menghina sedemikian? Apakah wajar seorang Islam digambarkan sebegitu rupa?
Bukan sekadar tidak melarang tetapi pada majlis tertentu pemimpin PAS memuja pelukis dan mereka yang menerbitkan kartun-kartun sedemikian disamping bersekongkol menghina mereka itu.

Dan apabila semalam, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa kesal terhadap seorang penulis blog membuat lakaran begitu mengaibkan membabitkan dirinya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bagaikan meludah ke langit, jatuh ke batang hidung sendiri.

“Reti marah” bila sendiri kena? Kenapa kalau orang kena buat diam, seolah-olah perbuatan sedemikian halal.

Nik Aziz berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis mengenai perlaku sedemikian.

Sebuah blog menyiarkan gambar yang telah diubahsuai mempamerkan aksi melampau terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Anwar dengan aksi liwat.

Amat pelik dan aneh pemimpin pembangkang dan parti mereka tiba-tiba menjadi sensitif.

Mereka mudah tersentuh dan akan meracau jika mereka diserang,walhal selama lebih 12 tahun mereka menghina,fitnah dan caci maki para pemimpin UMNO dan BN melalui lakaran dan imej kartun.

Berikutan itu, semalam PAS Kelantan membuat laporan polis berhubung ilustrasi grafik yang bersifat provokatif membabitkan Menteri Besar Kelantan dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat dalam sebuah laman blog.

Setiausaha Keselamatannya Mejar (B), Mohamad Ibrahim membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pukul 12 tengah hari.

Beliau diiringi 20 anggota PAS termasuk Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Hisham Fauzi.

Mohamad berkata beliau membuat laporan itu kerana berpendapat tindakan penulis blog itu adalah bersifat provokatif dan bertentangan dengan undang-undang.
Ekoran itu seorang bekas pegawai tentera membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu (IPD) di Pengkalan Chepa berhubung penghinaan tersebut.

Mejar (B) Mohamad Ibrahim, 57 yang juga Setiausaha Keselamatan PAS Kelantan membuat laporan polis dan mendesak pihak polis menyiasat bloger terbabit serta mengambil tindakan sewajarnya.

“Tindakan bloger terbabit bercanggah dengan undang-undang dan boleh mencetuskan provokasi melampau,” katanya dalam laporan berkenaan.

Amat pelik dan aneh pemimpin pembangkang dan parti mereka tiba-tiba menjadi sensitif,” katanya.

Friday, February 5, 2010

PERLU BERETIKA LAPOR KES LIWAT ANWAR

Penulis blog perlu bertanggungjawab dan beretika dalam melaporkan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan tidak boleh diulas kerana masih dibicarakan atau mempengaruhi keputusan tersebut.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, mereka mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat, di samping masih tertakluk pada undang-undang berkaitan komunikasi di negara ini.

"Dengan trend yang ada sekarang ini, saya percaya penulis-penulis blog pun akan terasa mereka perlu bertanggungjawab terhadap masyarakat dan tidak bebas seperti aliran air semata-mata, mencurahkan ke sana dan melimpah ke sini.

"Mereka sendiri akhirnya akan ditembusi undang-undang. Mahu tidak mahu, undang-undang akan mencekau mereka pada tahap yang tertentu. Sebelum itu berlaku, seperti yang berlaku kepada penuntut di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan), haruslah mereka memperbaiki pendirian mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku 'Melakar Jejak - Biografi Mohd Yusof Noor' di sini hari ini.

Katanya, Jabatan Peguam Negara sentiasa memantau laporan yang disiarkan menerusi blog-blog tertentu mengenai cara kes berkenaan dihuraikan, "sama ada secara am atau menghina dan menyalahi hukuman tidak boleh diulas."

Sementara itu, Rais berkata, kementerian itu tidak menghalang atau menyekat Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk melaporkan perbicaraan kes berkenaan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh mahkamah.

RTM juga dibenar menggunakan istilah-istilah tertentu yang digunapakai oleh mahkamah disiarkan menerusi siaran berita tempatan bagi tujuan pengetahuan awam.

"Kes itu boleh dilaporkan mengikut sumber mahkamah, tinggal lagi kita tidak boleh membuat komen yang mempengaruhi pendirian hakim atau perkara yang sedang berjalan diberi komen baik buruknya.

"Kalau menceritakan tentang perjalanan kes itu seperti yang dizahirkan oleh mahkamah, ini kepentingan awam dan perlu diketahui," katanya.

Kes perbicaraan Anwar, 63, yang juga ketua Pembangkang serta Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008 bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Wednesday, February 3, 2010

ADA PEMIMPIN TERENGGANU BERSIKAP ‘ANJING GIGIT TUANNYA?’

(kemaskini)

Saya menerima satu email daripada seseorang yang bernama ayubb malam kelmarin yang membuat komen mengenai tulisan saya mengulas tindakan Aduka Taruna mahu atau bersedia meminta maaf dan didakwa.

Menurut komen penjenguk berkenaan, Aduka Taruna disifatkan sebagai seorang yang berjiwa besar dan berani mengakui kesilapan.

Kata ayubb:
Saudara Hambali,

Membaca posting tuan ini serta ulasan dalam blog http://teganukini.blogspot.com terpegun rasa saya apabila pencarian saya terhadap istilah Raja Berperlembagaan telah diberi jawapan. Kuasa Raja dijelaskan sejelas-jelasnya melaui pengesahan daripada Dato’ Seri Utama Rais Yatim, Dato’ Nazri Aziz dan Dato’ Noh Omar.

Beberapa hari saya telah cuba menghantar komen dalam blog tuan tetapi tidak berjaya, mungkin masalah kepada talian atau masalah teknikal yang lain.

Saya tidak hairan dengan tindakan Adukataruna, mungkin kerana dia masih mentah, pelajaran tidak sampai ke Universiti dah tidak cukup pengalaman dalam mengejar dan menarik pengunjung ke blognya.

Pengunjung yang ramai akan menambah rezeki kepada beliau apabila menjual ruang iklan dan menjual e-buku. Paling tidak dapat meningkat rezeki beliau dan mengelak beliau terjebak dengan aktiviti yang membawa beliau kejalan yang negatif.

Paling tidaknya Adukataruna seorang anak muda yang kreatif dalam usaha memajukan kehidupan beliau dan keluarga dewasa nanti !

Melihat dan menilai komen mengenai sikap Aduka Taruna ini saya menyepikan diri beberapa ketika.

Lantas terfikir oleh saya, bagaimana seorang yang tidak menerima apa-apa anugerah atau kedudukan sanggup meminta maaf sedangkan hakikatnya, beliau hanyalah orang biasa.

Seperti saya sebutkan dalam entri saya sebelum ini, pada ketika Aduka Taruna hanyalah orang biasa (tidak semestinya bebas mencerca Raja), namun di Terengganu, ada pembesar negeri dan bekas pembesar negeri yang pernah menerima anugerah kebesaran yang membawa gelaran Dato' atau Dato' Seri daripada orang yang mengurniakannya, mencerna balik badan tubuh berkenaan.

Mereka sanggup goncang pagar istana dan melakukan apa sahaja kerana tidak berkenan dengan perkenan Raja.

Apakah mereka ini tidak tahu mengenang budi atau memang jenis ‘kacang lupakan kulit’ atau ‘anjing yang menggigit tuannya?”

Ternyata Aduka Taruna menyerlahkan kehebatan dirinya apabila beliau meminta maaf secara terbuka di atas kesedaran diri sendiri dan dengan rendah dirinya beliau memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia umumnya dan seluruh rakyat Johor khasnya di atas keterlanjuran beliau berkenaan dengan artikel yang disebut sebagai di luar norma kemanusiaan .

Bagi saya Aduka Taruna adalah seseorang yang berjiwa besar dan bernai bertanggunfjawab, bukan jenis lempar batu sembunyi tangan.

Dengan mengaku bersalah dan memohon maaf kepada seluruh warga Malaysia umumnya, warga Johor khasnya atas keterlanjuran beliau serta berjanji akan memperbaiki tingkah laku dari masa ke semasa dan seterusnya menarik semula artikel yang diakuinya luar norma kemanusiaan itu dari blog beliau - menggambarkan betapa seorang insan tidak lepas daripada kelemahan tetapi selepas sedar kesilapan tahu meminta maaf.

Aduka Taruna bukan seperti sesetengah pemimpin Terengganu yang ‘buat muka tembok’ dan ‘tidak mengenang budi’.

Aduka Taruna bukan sekolah tinggi atau lulus cemerlang. Dia bukan jenis lulus dengan kepujian kelas pertama atau sebagainya.

Beliau juga bekas jenis pemimpin yang bertaraf global dan belajar di serata pelusuk dunia. Dia bukan lulusan sekolah bisnes atau peguam terkemuka. Dia bukan pemimpin Hadhari atau bertaraf Ulul Albab.

Aduka Taruna bukan jenis tidak reti meminta maaf – malah dia mlakukannya secara terbuka di atas keterlanjurannya – namun di Terengganu, ada pemimpin yang pernah menjadi penggerak kain rentang yang menggunakan perkataan ‘natang’ tidak reti untuk mengakui kesilapan.
Siapa ‘natang’ sebenarnya? Orang yang dituduh ‘natang’ atau mereka yang mencipta dan menggerakkan sepanduk ‘natang’?

Memalukan kerana beberapa kerat pemimpin Terengganu, termasuk urusetia kumpulan penentang istana ini kononnya seseorang yang begitu mahir dalam bidang agama.

Dia menunjukkan kemampuan yang utuh ketika berdepan dengan kepimpinan PAS khususnya dalam dewan undangan negeri dengan bacaan dan tafsiran Hadith dan Al-Quran. Biarpuan berpengalaman sebagai seseorang penting menjaga hal ehwal ugama namun ternyata apabila dia juga tidak reti atau tidak sedar mengenai sikap dan perangainuya yang menentang ‘pelindung’ agama Islam, apakah jenis manusia seperti ini?

Wajarkah dia berterusan bersikap demikian?

Lebih menarik, salah seorang pengikut kuat kumpulan ini walaupun memakai kebesaran Sultan tidak sampai ketahap Dato’ , tapi dia tahu undang-undang. Namun sebagai bekas dan berpengalaman sebagai penjawat awam dalam pentadbiran perundangan dan kehakiman, orang ini juga bagaikan ‘pekak badak’ dan tidak menghormati perlembagaan negeri dan persekutuan.

Seorang lagi yang tidak berpelajaran tinggi seperti rakan lain (berpelajaran pendek sahaja) tapi lebih menonjol kedepan. Kini heboh dinyanyikan ke seluruh pelusuk negeri kononnya beliau ini berpeluang cerah ke jawatan tertinggi negeri akibat hubungan yang rapat dengan kepimpinan pusat.

Lantas, seperti komen ayubb yang sengaja saya tidak siarkan di sini (kerana sebab-sebab tersendiri), lantas terfikir oleh saya - apakah mereka ini tidak malu dengan tindakan mereka kepada Sultan Terengganu apabila ada kalangan mereka yang memikul bintang tertinggi negeri yang dianugerah oleh Tuanku al-Sultan ?

Malah, dengan kebesaran itu, banyak kegunaan untuk mereka – setidak-tidaknya di pandang tinggi oleh rakyat kerana gelaran. Kalau tidak ada gelaran itu, mereka kini mungkin sudah masuk lubang cacing.

Yang nyata mereka perlu belajar daripada kehebatan Aduka Taruna yang sanggup minta maaf dan mengakui keterlanjurannya serta berjanji tidak akan mengulangi lagi keterlanjuran ini ! Rasanya tidak ada kerugian juka mereka mengikuti contoh Aduka Taruna !

Bak kata ayubb, dengan mengecam Sultan melantik Menteri Besar, selain menentang MB lantikan Sultan, tidak ada bezanya perbuatan itu dengan menentang Sultan.

Sekiranya berterusan begini mereka harus merasa malu dengan bintang kebesaran Sultan yang mereka bawa. Dengan gelaran mulia dan sebutan yang mulia dipanggil oleh rakyat kepada nama mereka, sewajarnya mereka menilai semula kedudukan mereka.

Jika berjiwa besar mereka harus meminta maaf dan memohon keampunan. Atau jika terus berdegil kembalikan semula panggilan ‘terhormat’ yang dianugerahi kepada mereka.
Jika enggan memohon maaf, mereka sebenarnya bukanlah berjiwa besar.

Jangan amalkan politik’baling batu sembunyi tangan’ dan sikap degil berterusan tidak akan membawa ke mana-mana kerana Sultan akan terus berdaulat.

Suka saya nasihatkan mereka, contohilah Aduka Taruna dengan kembali ke pangkal jalan. Sama-samalah berdiri teguh di belakang Tuanku Sultan sebagai mana ucapan yang pernah diutarakan bahawa UMNO junjung Perlembagaan, Raja Payung Negara dan Negeri.

Sebaliknya jika merasakan sengaja mahu ‘menentang Sultan’ teruskanlah dan bawalah pingat kebesaran itu ke seluruh pelusuk tanpa berasa malu sedikit pun kerana mereka memang ‘muka tebal’ dan ‘tidak tahu malu’.

Saturday, January 30, 2010

HINA RAJA: ADUKA TARUNA AKAN JADI KES RUJUKAN?

Sebagai rakan blogger, saya bersimpati dengan Aduka Teruna kerana beliau dihadapkan ke mahkamah kerana tulisannya.

Saya bersimpati kepadanya kerana ditimpa kesusahan, namun ini tidak bermakna saya bersetuju dengan tulisannya.

Persoalannya, kenapa beliau menulis seperti itu dan membolehkan beliau dihadapkan ke mahkamah? Apakah entri bersifat sedemikian berbaloi?

Apakah beliau menulis kerana pendirian dirinya atau dipengaruhi oleh pihak-pihak lain? Apakah apabila PAS Johor mahukan beliau dikenakan tindakan bermakna parti politik, kawan-kawan politik serta rakan-rakan politiknya tidak mempengaruhinya.

Komen-komen dalam blog beliau menunjukkan reaksi berbagai dan unsur-unsur kepartian begitu terserlah yang membayangkan kepada kita, Aduka Teruna mungkin dipengaruhi pihak tertentu yang menyebabkan beliau boleh membuat entri berkenaan.

Aduka Teruna yang baru berkahwin sudah pasti menghadapi tekanan dan dengan kes mahkamah seperti ini akan menguji beliau sepenuhnya.

Apakah kes seorang penulis blog ini yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban semalam atas tuduhan menghina Almarhum Sultan Johor akan menjadi ikutan dan rujukan?

Apakah Aduka Teruna atau Khairul Nizam Abd Ghani, 29 satu-satunya yang wajar dituduh menghina Raja Melayu?

Bagaimana dengan kes blogger lain di Perak, Selangor dan Terengganu yang bukan sahaja menghina malah mempertikaikan setiap keputusan Sultan mereka?

Apakah kes seperti Aduka Teruna ini tidak berlaku?

Sewajarnya rakyat di negeri-negeri yang Sultan mereka menerima malu bertindak bagi membolehkan mereka yang menghina dan mempersoalkan keputusan Sultan atau Raja mereka bertindak bagi membawa mereka yang ‘menghina’ Sultan mereka ke muka pengadilan.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menghina dengan niat untuk menyakiti institusi kesultanan Johor dan rakyat antara jam 7.25 sehingga 9.05 pada 22 Jan.

Khairul Nizam dituduh mengikut Seksyen 233(1)(A)Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini Aduka Teruna diperintahkan direman empat hari oleh magistret Kota Bharu.

Dalam kes di Terengganu umpamanya, ada blogger tertentu yang bukan sekadar mempersoalkan keputusan Tuanku Mizan Zainal Abidin tetapi dalam tulisan sesetengah blogger, ia turut mempunyai unsur menghina?

Tuanku Mizan bukan sekadar Sultan, baginda juga Yang DiPertuan Agong.

Apakah tiada rasa hormat hanya kerana menyokong pihak tertentu dalam kemelut politik Terengganu yang menyebabkan ada tulisan sedemikian?

Lalu teringat saya kepada satu entri Datuk Noh Omar dalam blognya bertajuk “ADAT MELAYU PANTANG DERHAKA KEPADA SULTAN !!!

Apabila beliau mengatakan adat Melayu, orang Melayu di Malaysia sewajarnya faham bahawa adat inilah yang menjadi ‘pengawal’ kepada tindak-tanduk orang Melayu selama ini.

Persoalan lain ialah apakah orang muda Melayu sekarang tidak tertakluk kepada perkara ini?

Dan jika ada Melayu yang tidak ‘beradab’ dan membelakangkan adat Melayu, bukankah mereka ini sedikit sebanyak sudah menderhaka kepada Sultan mereka?

Baca dan fahami apa yang ditulis oeh Noh:

Oleh Dato’ Noh Omar (www.nohomar.com)
7 Mac 2009

Orang Melayu hendaklah berpegang kepada ‘Adat Melayu pantang derhaka kepada Sultan’. Berlaku biadap sehingga boleh membawa kemurkaan kepada Baginda Sultan adalah perbuatan derhaka yang menjadi pantang larang kepada kalangan masyarakat melayu kerana ia merupakan sebesar-besar jenayah dalam Negeri Melayu. Oleh itu kebiadapan dan penderhakaan rakyat terhadap Raja-Raja Melayu perlu dihentikan dan semua rakyat di negara ini harus tunduk dan taat kepada Sultan dan Raja dengan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi.

Sebagai rakyat di bawah naungan payung pemerintahan Baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan, saya amat terharu dengan keprihatinan Baginda terhadap perpecahan yang berlaku di kalangan rakyat khususnya kalangan masyarakat Melayu. Kemurkaan Baginda jelas kerana terkilan dengan golongan Melayu yang mengenepikan sejarah perjuangan bangsa dan terhakis nilai dan jati diri sehingga sanggup berada di bawah telunjuk orang lain demi mencapai cita-cita politik mereka.

Perjuangan bangsa Melayu untuk menjadi bangsa yang unggul setaraf dengan bangsa-bangsa lain masih belum kesampaian. Orang Melayu perlu bersatu bagi menjayakan perjuangan ini. Sebarang pertikaian dan masalah yang timbul boleh diselesaikan secara sopan melalui permuafakatan bak kata pepatah “Bulat air kerana pembetong, bulat manusia kerana muafakat". Jangan diulangi sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang hanya mampu bertahan kira-kira 100 tahun. Bangsa Melayu hilang maruah dan terhina lebih 460 tahun lamanya sebelum kita bebas membina semula maruah bangsa dan negara yang merdeka yang pada tahun ini mencecah 52 tahun.

Maka dengan itu, saya ingin menasihatkan orang melayu supaya jangan jadi seperti "Nasib Pak Kaduk...menang sorak, kampung tergadai" dan jangan sekali-kali mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan. Berpeganglah apa yang ada jangan kelak sampai yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran!

Monday, December 21, 2009

JIKA BENAR BERANI & PUNYA FAKTA...

Untungnya menjadi penggendali blok dan mempunyai wang. Jika ada masalah dengan tulisan sendiri, boleh lari atau menyelinap ke luar negara.

Selain itu, pada ketika mendabik dada fakta yang ditulis memang benar dan tepat – bukan kutip daripada sumber tidak berasas – seseorang yang berduit mampu berselindung di sebalik apa juga ‘kekebalan’.


Itulah mungkin yang dinikmati oleh pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin ketika ini.

Dia mungkin mempunyai wang dan kalaupun tidak cukup, mungkin dibantu oleh ‘orang di belakang’ kerana sejauh ini tulisan-tulisannya selain yang “telus dan bernas’ada juga yang disangsikan punca sumber dan untuk siapa beliau mengemukan pandangannya.

Raja Petra, 59, dibicarakan atas tuduhan menerbitkan satu artikel berunsur hasutan dalam Malaysia Today pada 25 April tahun lalu di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini.

Ada laporan akhbar sebelum ini memetik sumber, polis berjaya mengesan penulis blog itu dan mendapati Raja Petra lari dari Malaysia menuju ke Thailand melalui jalan haram sebelum menaiki penerbangan terus ke Australia.

Isunya bukan ‘melakukan tangkapan dan menyoal’Raja Petra mengenai sumbernya tetapi sejauh mana tulisannya – khususnya dakwaannya terhadap beberapa individu termasuk isteri Perdana Menteri – apakah berasas atau sebaliknya.

Juga dia perlu diheretkan ke mahkamah kerana beberapa kesnya yang tertangguh itu.
Pada 12 November lalu, polis menegaskan akan terus menjejaki Raja Petra yang didakwa menerbitkan artikel berunsur hasutan, walaupun mahkamah melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan itu semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menegaskan, penulis itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja dan usaha menjejaknya kini dipertingkatkan. "Kita tidak akan hentikan usaha mengesan Raja Petra selagi waran penahanannya masih ada.”Saya tegaskan di sini, kita akan bertindak untuk menangkapnya dan membawa ke mahkamah," katanya.

Sehari sebelum itu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Rozina Ayob membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Raja Petra selepas polis masih gagal menjejaki beliau walaupun waran tangkap sudah dikeluarkan.

Kita mengalu-alukan hasrat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memohon perintah ekstradisi terhadap) jika benar dia kini berada di sebuah pangsapuri mewah di London.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya tidak akan lepas pandang mengenai laporan tersebut dan kini sedang menyiasat sama ada benar Raja Petra sedang bersembunyi di negara itu.

Menurut beliau, pihaknya turut meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) dan kerajaan British bagi memastikan dakwaan itu benar.

‘‘Kita sedang siasat laporan Mingguan Malaysia hari ini dan meminta bantuan Interpol serta kerajaan British. Jika benar dia (Raja Petra) berada di sana, kita akan minta bantuan kerajaan British mendapatkan perintah ekstradisi kerana dia perlu menghadiri perbicaraan di mahkamah,’’ katanya.

Kelmarin Mingguan Malaysia melaporkan pengendali laman web itu dipercayai bersembunyi di Apartment Trinity Court di Gloucester Bayswater, London.

Menurut sumber, Raja Petra dipercayai menyewa salah sebuah unit di pangsapuri mewah enam tingkat itu sejak menjadi buruan polis, kira-kira lapan bulan lalu.

Pangsapuri terbabit dikategorikan sebagai kediaman mewah. Setiap unitnya mempunyai dua bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.

Persoalan paling penting ialah bagaimana Raja Petra menyelinap keluar dari Malaysia dan polis pula gagal mengesannya sejak sekian lama?

Siapa dalang di sebalik pemergiannya ke London dan apakah selama lapan bulan ini kita tidak meminta bantuan Interpol?

Pada 26 November lalu, polis mengatakan ia tidak menerima sebarang laporan yang mengatakan pengendali laman web Malaysia Today itu kini berada di Melbourne, Australia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis tidak tahu di mana dia (Raja Petra) berada kerana semuanya dalam siasatan. “Saya tidak tahu dari mana datangnya laporan itu (Raja Petra bersembunyi di Melbourne),” mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang mengatakan penulis laman blog itu dikesan berada di Melbourne selepas lebih tujuh bulan usaha mencari dilakukan.

Apapun, polis perlu terus menyiasat kerana hanya keadilan di mahkamah dapat membuktikan Raja Petra memang menulis dengan ‘tepat dan berwibawa’sementara mereka yang dituduh juga mempunyai hak untuk menafikan ada juga tuduhan oleh Raja Petra.

Thursday, August 20, 2009

AWAS BLOG DAN LAMAN WEB YANG MENGHASUT

Menunggu tindakan tegas Hishamuddin.

Di Kuala Terengganu semalam, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sudah menegaskannya.
Namun tiada akhbar yang memetiknya, kecuali The Star.

Mungkin tidak berpuas hati dengan mesej yang mahu disampaikan apabila akhbar dan agensi berita menumpukan kepada isu lain, beliau mengulanginya hari ini.

Hari ini melalui kenyataannya, Menteri Dalam Negeri itu mengulangi sekali lagi bahawa kerajaan bercadang mengambil tindakan lebih tegas dengan "menyekat capaian kepada blog dan laman web" yang didakwa menerbitkan kenyataan palsu, berbau hasutan dan mempersendakan agama.

Datuk Seri Hishammuddin berkata kerajaan akan memantau secara serius penerbitan di Internet termasuk mengambil tindakan melalui undang-undang sedia ada.

"Usaha ini termasuk mendakwa penulis laman web dan blog yang melakukan kesalahan mengeluarkan kenyataan palsu, lucah atau hasutan yang menimbulkan syak wasangka dan perpecahan kaum serta kenyataan yang mempersendakan agama," katanya.

"Dalam soal ini, saya ingin menegaskan bahawa setiap pihak atau individu tidak harus menggunakan alasan kebebasan bersuara dalam konteks demokrasi ketika mengemukakan apa-apa pandangan serta pendapat, tanpa langsung memikirkan kepentingan orang lain khususnya masyarakat berbilang kaum di negara ini."

Tegasnya, demokrasi harus turut mempunyai batasan yang perlu dipatuhi.

"Jika mereka melangkaui had dan batas ini, maka undang-undang akan mengambil tempat bagi melindungi rakyat dan negara," kata Hishammuddin lagi.

Beliau menegaskan sedemikian selepas satu mesyuarat khas antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Perdana Menteri (JPM dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Ketiga-tiga pihak ini diberikan tanggungjawab oleh kabinet untuk menyelaraskan beberapa tindakan dan pendekatan yang menyentuh peranan dan fungsi agensi di bawah kementerian masing-masing.

Mesyuarat yang pengerusikan Hishamuddin petang ini diadakan bersama Menteri di JPM Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Isu-isu yang dibincangkan antaranya usaha penyelarasan tindakan dan kerjasama antara agensi kerajaan yang berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), polis dan Jabatan Peguam Negara (JPN) bagi memudahkan tindakan bawah Akta Hasutan.

"Mesyuarat juga membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan laman web dan blog yang melanggar mana-mana undang-undang negara serta mengambil tindakan undang-undang segera bagi tujuan mendakwa pemilik dan penulis laman-laman web dan blog-blog yang berunsur hasutan dan fitnah," kata Hishammuddin.

Mesyuarat juga mendengar taklimat daripada polis mengenai isu-isu keselamatan semasa negara khususnya berkaitan dengan penyalahgunaan media alternatif serta taklimat oleh pihak penasihat undang-undang KDN mengenai perkembangan terkini berkaitan isu cadangan pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tuesday, June 9, 2009

UMNO-BN TIDAK IKTIRAF PERANAN MEDIA BARU?

Saya tertarik dengan satu posting dalam www.ohsedapnya.blogspot yang memetik tulisan addin_77 pada 3 Jun lalu yang mengatakan sumbangan media baru khususnya media siber termasuk portal berita dan blog memainkan peranan untuk menyediakan maklumat alternatif kepada rakyat.
Melalui tajuk “Hadi Iktiraf Sumbangan Blogger, Najib Bila Lagi’, tulisan berkenaan menyebut, selama ini maklumat di cengkam oleh media arus perdana yang dikuasai kerajaan UMNO BN.

Ia telah berjaya mencelikkan rakyat sehingga memilih pekatan pembangkang dalam pilihanraya kecil yang diadakan selepas pilihanraya umum lalu, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Enam pilihanraya kecil telah diadakan selepas pilihanraya umum Mac 2008 dan Pakatan Pembangkang menang 5 daripadanya, bermula dengan Parlimen Permatang Pauh, Parlimen K. Terengganu, Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan Penanti. Satu lagi pilihanraya kecil iaitu DUN Batang Ai di Sarawak di menangi oleh BN. Manakala pilihanraya kecil bagi DUN Manek Urai akan berlangsung pada 14 Julai depan. Suruhanjaya Pilihanraya telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Julai.

"Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakyat yang telah celik, hasil daripada maklumat yang dimerdekakan ke atas mereka oleh sumber media baru, sehingga memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu," kata Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya di Muktamar Agung PAS di Shah Alam baru-baru ini.
“Kesemua pilihanraya ini kita sama-sama hadapi dengan semangat kerja kuat dan keserasian setiakawan Pakatan Rakyat yang tidak pernah luntur,” katanya.

Walaupun kita berhadapan dengan UMNO BN yang berselindung di sebalik jentera kerajaan dan pelbagai agensi, tetapi kita berjaya membuktikan bahawa rakyat terbanyak masih kukuh bersama kita dengan kita memenangi lima dari enam kerusi yang dipertandingkan, dan Insya Allah kita akan dapat mempertahankan Manek Urai. Namun begitu, katanya, kejayaan Pakatan itu dicapai melalui usaha keras yang ditunjukkan oleh jentera pilihanraya serta pihak-pihak yang membantu tanpa habuan wang ringgit.

Apabila PAS melihat media baru berperanan besar, apa pula sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak?

Pertanyaan ini tepat pada masanya kerana usaha menggunakan media baru dan siber nampaknya bermusim, khususnya sebelum dan ketika pemilihan UMNO baru-baru ini.
Yang pasti, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis yang mendakwa mewakili Datuk Seri Najib Razak berusaha mendekati blogger.

Tidak pasti apa tujuan Jamaluddin ketika itu.

Apakah beliau berusaha memujuk blogger tertentu supaya perlahan sedikit ‘membantai’ Najib atau sebaliknya.

Pada pertemuan dan perbincangan itu yang turut dihadiri beberapa blogger ternama Jamaluddin seperti orang politik lain menjanjikan bermacam-macam.
Selepas itu, biasalah orang politik – menghilang semula dengan janji-janjinya dan telefon serta sms pun mula ‘tidak berangkat dan terjawab’.

Kepada blogger mereka tidak kisah ada ‘bantuan’ atau sebaliknya kerana mereka akan tetap menulis. Cuma, yang mendapat habuan bernasib baiklah mereka dan yang tidak dapat akan tetap meneruskan perjuangan.

Cuma apabila seseorang membawa bersama nama Najib yang ketika itu bertanding Presiden UMNO dan kini menjadi Perdana Menteri, ia kurang manis untuk berperangai sedemikian.
Namun di kalangan wartawan dan penulis, mereka sudah kenal siapa Jamaluddin atau JJ ini.
Apapun, lupakan kisah JJ, kerana yang penting apakah BN dan UMNO bersikap seperti Hadi Awang dalam konteks peranan blogger ini?

Renungilah kata-katanya walaupun beliau bukan Perdana Menteri atau Menteri.
Pada ketika Presiden UMNO tidak pun mengiktiraf peranan blogger pada ucapan dasar atau juga ucapan penangguhan di Perhimpunan Agung UMNO, kata-kata Hadi Awang membawa makna yang besar.

Tidak tahulah sama ada BN atau UMNO masih yakin dengan media perdana sahaja tanpa melihat peranan blogger (yang sesetengahnya berperanan seperti akhbar nyamuk) tetapi apabila ia menggila atau menggigit, kesannya sangat besar kepada sokongan rakyat terhadap BN dan UMNO.

Sampai bilakah pemimpin BN dan UMNO terus ragu-ragu terhadap sumbangan dan peranan blogger?

Tuesday, June 2, 2009

SEORANG MANUSIA BERSAMA ZAHARIN

Ada yang membenci dan ada yang seronok dengan manusia bernama Zaharin Mohd Yassin atau Sang Kelembai.

Malah, bukan calang-calang, rakyat biasa seperti Zaharin berani berperang dengan bekas Perdana Menteri selama hampir empat tahun.

Malah, sedikit sebanyak – walau sekelumit pun – Zaharin turut menyumbang atau penyebab bekas Perdana Menteri tidak dapat duduk senang dan akhirnya mengundurkan diri.

Sang Kelembai ialah nama samaran digunakan untuk kolum dalam Harian Watan antara 1994-1997. Ada dua tiga orang yang menyumbang untuk kolum itu, termasuk saya ketika menjadi Ketua Pengarang Watan antara 1996-1997. Sebelum itu Zahari Affandi menulis untuknya.

Kini Zaharin sudah diterima kembali menjadi ahli UMNO. Tarikhnya sama dengan penerimaan kembali Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Datuk Mokhzani Mahathir dan beberapa yang lain.

Bukan kecil tu. Seiring dengan nama bekas Perdana Menteri. Yang membezakan ialah Zaharin dipecat dan Tun serta keluarga isytihar keluar UMNO.

Tidak apalah, sekurang-kurangnya Zaharin mempunyai prinsipnya sendiri tidak akan bertolak ansur dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin dan Patrick Lim.

Bagi Zaharin, “UMNO ditubuhkan bukan berasal dari kaum peniaga atau saudagar, kerana seorang saudagar tentu akan memperlakukan kekuasaan saperti berjual beli barang. Urusan kekuasaan bukan untung dan rugi tetapi bagaimana mempertahankan kepercayaan.”

Satu perkara yang Zaharin tidak akan bertolak ansur ialah apabila kerosakan dilakukan terhadap UMNO walau oleh sesiapa jua.

Kata Zaharin kepada saya, “Sesiapa juga yang cuba menjahanamkan UMNO akan saya tentang...termasuk Najib (Datuk Seri Mohd Najib Razak) kalau beliau rosakkan UMNO. Tetapi saya yakin Najib tidak akan melakukan perkara serupa seperti Presiden UMNO sebelum ini.”

Selamat berjuang kembali kepada Zaharin – sebagai blogger dan ahli UMNO!

Friday, February 13, 2009

RAJA PETRA TAKUT MAHKAMAH SESYEN?

Kenapa penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin tidak mahu beliau dibicarakan di Mahkamah Sesyen?

Kalau benar Raja Petra mempunyai bukti dan tidak takut kalah dalam kesnya kenapa pula takut dengan hukuman?

Kenapa takut sangat dengan Mahkamah Sesyen?

Apakah peguam penulis blog Malaysia Today ini sudah mengetahui bahawa Raja Petra akan dihukum dan dengan meletakkan kes itu di Mahkamah Majistret, denda menjadi lebih murah dan rayuan lebih mudah?

Raja Petra yang didakwa memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain bagaimanapun gagal dalam usahanya supaya kes itu dikembalikan ke Mahkamah Majistret .

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini memerintahkan kes tersebut kekal di Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Zainal Azman Ab Aziz memutuskan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret membenarkan permohonan pendakwa supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan adalah sah dan teratur.

Beliau berkata keputusan pemindahan kes tersebut yang dibuat Majistret Nazran Mohd Sham, pada 15 Ogos 2008 itu tidak bercanggah dengan Artikel 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Zainal Azman kemudiannya menolak notis usul untuk semakan yang difailkan Raja Petra pada 25 Nov, 2008, atas alasan permohonan tersebut tidak mempunyai merit dan berasas.

Salah seorang daripada peguam Raja Petra, J.Chandra memberitahu media bahawa pihaknya akan menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan hari ini. Mahkamah Rayuan adalah tempat terakhir bagi Raja Petra merayu kerana kes di mahkamah rendah akan berakhir di Mahkamah Rayuan.

Persoalannya kenapa mahu dibicarakan di Mahkamah Majistret?

Pada 20 Januari 2009 lalu, peguam mewakili Raja Petra berhujah di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa pengendali laman web Malaysia Today itu terdedah kepada hukuman yang lebih berat apabila kes fitnah yang dihadapinya dibicara di Mahkamah Sesyen.

Manjeet Singh Dhillon berkata, Seksyen 87(1) Akta Mahkamah Rendah 1948 memperuntukkan bahawa majistret hanya boleh mengenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM10,000.

Bagaimanapun, katanya, Seksyen 64 akta yang sama membenarkan Mahkamah Sesyen menjatuhkan apa-apa hukuman selain daripada hukuman mati serta tiada had jumlah denda.

''Saya tidak mempertikaikan kuasa Peguam Negara untuk memilih mana-mana mahkamah untuk menjalankan prosiding terhadap seseorang, tetapi dalam kes ini, perayu (Raja Petra) dituduh di bawah kesalahan yang sepatutnya dibicara di Mahkamah Majistret.

''Jika demikian, Peguam Negara perlu hadir ke mahkamah untuk menjelaskan kesalahan yang dilakukan oleh perayu,'' katanya.

Manjeet juga berhujah bahawa Mahkamah Tinggi boleh merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 84(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 apabila persoalan perlembagaan dibangkitkan.

Katanya, dalam kes ini, implikasi -implikasi daripada perintah di bawah Seksyen 177 Kanun Tatacara Jenayah dan persoalan berkaitan masih belum diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Sementara Timbalan Pendakwa Raya, Anselm Charles Fernandis pula berhujah bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memilih mana-mana mahkamah bagi menjalankan prosiding terhadap seseorang.

Katanya, keputusan majistret membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 177 Kanun Tatacara Jenayah adalah betul dan sah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Zainal Azman Ab. Aziz kemudiannya menetapkan 13 Februari (hari ini) untuk memutuskan sama ada permohonan Raja Petra untuk memindahkan semula kesnya ke Mahkamah Majistret akan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya.

Raja Petra, 58, didakwa di Mahkamah Majistret pada 17 Julai tahun lalu atas tuduhan memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam satu akuan bersumpah yang diikrarkannya.

Dia yang menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan itu turut didakwa memfitnah Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isterinya, Kolonel Norhayati Hassan berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dalam akuan yang sama.

Kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen selepas mahkamah tersebut membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Friday, December 19, 2008

APABILA BLOG DIIKTIRAF KUMPULAN PEMIKIR

Apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS akan menilai pandangan daripada pelbagai pihak termasuk penulis blog sebelum menentukan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu, 17 Januari depan, membuktikan satu pengiktirafan penting PAS terhadap blog.

Bagi Abdul Hadi, pandangan blog dalam usaha PAS menentukan pemilihan calon yang benar-benar sesuai, adalah faktor yang paling penting dalam usaha mereka merampas kerusi tersebut daripada Barisan Nasional (BN).

Saya tidak hairan kerana beberapa blog umpamanya blog Mohd SayutiOmar (msomelayu), Malaysian Waves serta laman web seperti trenungkite serta banyak lagi memperkatakan mengenai bakal calon dan mengulas apa yang berlaku dalam PAS dan sebagainya.

Ia dilihat bukan sahaja suara Sayuti atau laman-laman berkenaan tetapi beberapa pemimpin PAS yang rapat Sayuti dan penggendali blok berkenaan. Malah, Sayuti juga dilihat rapat dengan beberapa pemimpin penting PAS termasuk Datuk Nik Aziz Nik Mat, Mustapa Ali, Salehuddin Ayob dan suatu ketika Datuk Husam Musa.

Abdul Hadi, yang baru pulang mengerjakan ibadah haji dua hari lepas, berkata kelmarin (19 Disember 2008), pada masa ini, pihaknya sedang membuat penelitian rapi terhadap calon yang boleh mendapatkan sokongan pengundi di Kuala Terengganu.

"Kita sedang tunggu laporan daripada PAS cawangan, kawasan dan negeri. Kajian terperinci perlu dilakukan bukan sahaja di kalangan penyokong PAS malah masyarakat keseluruhan di Kuala Terengganu," katanya.

Apa yang saya mahu tonjolkan di sini ialah, PAS dan pembangkang sering ke depan sementara UMNO serta sekutunya, Kementerian Penerangan menggunakan blog untuk dwi fungsi – menyerang tetapi banyak yang menjawab dan “menerang.”

Saya diberitahu Kementerian Penerangan ada mengupah mereka yang berpengalaman –termasuk bekas nama-nama besar di akhbar - untuk memantau dan menjawab isu-isu yang ditimbulkan pembangkang tetapi peranan mereka terhad.

Apa yang dilakukan oleh Hadi itu adalah tindakan yang sesuai dengan keadaan kini dan pastinya blog penyokong PAS dan pembangkang merasakan mereka dihargai.
Satu perkara lagi di sini ialah pemimpin PAS membaca dan mengambil berat ‘public opinion’ yang ditimbulkan melalui blog.

Sementara masih ada kalangan menteri dan pemimpin penting UMNO menganggap blog sebagai ‘suara nyamuk’ (dulu ada akhbar nyamuk’) dan tidak perlu dihiraukan.
Sedangkan dengan mengharapkan akhbar dan tv kerajaan dan swasta yang pro-kerajaan, mereka yang di atas pagar pun sesetengahnya sudah lama ‘meminggirkan’ media arus perdana.

Amatlah malang apabila pembangkang mampu menyelinap masuk melalui portal berita penting dan blog-blog utama, kerajaan dan UMNO masih terkial-kial mencari pen dekatan.

Pembangkang menggunakan blog untuk spin, mewujudkan persepsi serta juga mengerak dan mempengaruhi pendapat awam (public opinion) yang membolehkan mereka menjadikan ‘iblis dan hantu bertukar menjadi manusia’ dan ‘manusia pula ditukarkan menjadi ‘monster’.
Kerana itu, apa sahaja yang dispin pembangkang mendapat keyakinan dan kepercayaan sebahagian rakyat.

Isu website dan blog ini pernah saya timbulkan pada 1998 dan 1999 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad diasak oleh kumpulan reformasi.

Namun ketika bertugas dengan UMNO, sama ada pegawai atau pemimpin UMNO yang turun naik Tingkat 38 PWTC langsung tidak peduli. Usahkan mahu menggalakkan, meminta bajet untuk perkara-perkara membabitkan website pun sama.

Apa yang berlaku ialah akhirnya laman umno-online diwujudkan tetapi sehingga kini, selepas 10 tahun, laman itu tidak banyak berubah.
Khabarnya beberapa laman yang pro-UMNO yang diwujudkan, terpelanting dari tingkat 37 dan 38 bangunan PWTC itu ke merata tempat, termasuklah mykmu.net (Gerbang Tempur Politik Maya) yang kemudian berpindah ke Selangor.

Saya faham ketika itu, soal portal dan laman web masih baru tetapi kalau kita semua masih ingat, pada ketika itu Multimedia Super Corridor (MSC) sedang hangat diperkatakan.

Saya sendiri memulakan laman web sendiri, islam1.net tetapi tidak mampu bertahan melalui sumber sendiri yang terhad dan tidak bekerja.

Ketika itu saya sudah dipecat oleh ntv7 atas sebab-sebab ‘tidak mampu melaksanakan tugas’ sedangkan sejak sebelum pelancaran hinggalah 15 September 1998 (tarikh saya diberhentikan) ntv7 sudah dikategorikan sebagai antara saluran berita menarik dan diterima penonton.

Saya antara penggerak utama sebagai TimbalanPengurus (Berita) yang bertanggungjawab terhadap berita bahasa Melayu (jam 8 malam). Tidak apalah itu cerita lama.
Antara tugas saya antara 1999-2001 itu ialah onkan (membuka) komputer untuk Ketua Penerangan ketika itu, Datuk Mustapa Mohamed selain taklimat ringkas apa kata laman-laman pembangkang ketika itu, termasuk mahazalim.

Satu contoh bagaimana kuatnya pengaruh website yang disokong oleh buku pada zaman arus reformasi pertama ialah menukar wajah Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Mahazalim dan Mahafiraun.

Laman-laman ini bukan sahaja menyebarkan berita mengenai bila dan dimana perhimpunan atau perjumpaan akan diadakan tetapi sambil itu ‘membunuh character’ pemimpin UMNO khususnya Dr Mahathir.

Memahami pentingnya blog ketika ini dan pengalaman lalu mungkin menyebabkan bekas Perdana Menteri itu semalam (10 Disember 2008) mengingatkan orang ramai agar tidak menggunakan blog untuk memperlekehkan orang lain tetapi perlu bijak dan adil semasa menulis.

Beliau berkata oleh kerana penulisan dalam blog tidak boleh ditapis, jika digunakan dengan tidak bertanggungjawab, ia boleh menyinggung perasaan orang.

"Blog memberikan anda peluang untuk menyatakan sesuatu dengan menggunakan perkataan anda sendiri dan anda dapat memperbaikinya dari semasa ke semasa apabila anda berulang kali menulis, anda akan lebih mahir.” Katanya.

Jika bekas pemimpin seperti Dr Mahathir dapat merasai pentingnya blog, kenapakah pemimpin kita sekarang ini khususnya dalam UMNO masih prejudis terhadap sumbangan dan berpengaruhnya blog?

Atau memang mereka tidak mahu mengikuti peredaran zaman. Jika demikian, sesuaikah mereka yang tidak mengikuti peredaran zaman terus menjadi pemimpin kita?

Tuesday, December 2, 2008

ZAHARIN KEMBALI...

(Rehat Minda)

Saya mengalu-alukan kembalinya Saudara Zaharin Mohd Yassin ke ‘dunia blogger’ selepas diam seketika, apabila ‘dapat mencium tangan’ Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kota Kinabalu pada 8 April 2008.

Mungkin Zaharin khayal seketika dengan bau aroma ‘nasi kandar Perth’ yang masih melekat di tangan Pak Lah hingga lupa untuk berbicara melalui penulisan.

Kembalinya Zaharin akan ‘memeriahkan’ lagi dunia blogger tanah air dan agaknya apa pula langkahnya kali ini. Apakah selepas ‘Kerajaan Tiga Beranak’ Zaharin aka nada pula slogan baru untuk Perdana Menteri akan datang?

Apapun saya berharap Zaharin terus rasional dan menimbang segala perkara sebelum menyatakan pandangannya.

Pada 27 Oktober 2008 lalu, Zaharin menulis dalam blognya http://zaharinmy.blogspot.com bahawa beliau sudah lama tidak menulis dalam blog Sang Kelembai, Temannya, Husin Lempayong hantar satu sms pada hari itu lebih kurang mengatakan bahawa adakah beliau sudah pencen sebagai blogger.

Jawapannya tidak, beliau masih aktif tetapi akhir akhir ini beliau menyifatkan isu politik begitu hangat.

Katanya: “Dahulu saya menulis ada visi dan misi nak jatuhkan Abdullah Hj Ahmad, dia pun sudah mula mengira anak tangga nak menurun. Maka saya tak sesuai lagi menulis dalam blog Sangkelembai yang berjasa besar itu. Ini disebabkan saya tidak sekejam Abdullah Hj Ahmad yang memecat saya dalam UMNO kerana kesalahan menulis tetapi orang yang sabotaj UMNO di Rantau Panjang sekadar digantung hak-haknya dalam UMNO. Itu cara keadilan dalam UMNO.”

Menurut Zaharin, dalam UMNO, dosa besar jika mengata atau menulis pasal Presiden tetapi berdosa kecil jika sabotaj Parti.

Beliau menjelaskan, “Saya mengambil keputusan berdiam dahulu dengan melihat keadaan sekarang, lagi pun saya bepegang kepada prinsip saya berdasarkan peribahasa China yang mengatakan tidak ada orang yang menendang anjing sudah mati. Pada saya Abdullah Hj Ahmad sudah jatuh terlentang.

Bagaimana pun saya perlu menulis bagi meneruskan perjuangan saya supaya UMNO menjadi kuat dan diterima balik oleh orang Melayu.”

Saya akui Zaharin mencipta sejarahnya sendiri apabila dengan tegas dan berani beliau mempopularkan slogan seperti ‘Kerajaan Tiga Beranak’ dan ‘Patrick Badawi’.

Selain itu, apa yang unik kepada Zaharin ialah dia mengkritik Pak Lah ketika Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu sedang memiliki dan menikmati kuasa yang mutlak selepas Barisan Nasional yang dipimpinnya memang besar dalam pilihan raya umum 2004.

Zaharin bukan ‘berperang’ dengan musuhnya ketika musuhnya lemah dan tidak bermaya seperti sekarang. Zaharin memang berani dan saya ‘angkat topi’.

Apapun, akhirnya Zaharin mengajak semua untuk bertemu semula dengannya bermula Ahad 02 Nov 2008 apabila beliau menghantar posting pertamanya “Ketuanan Melayu, Siapa Dapat Faedahnya.” Sah kini dia kembali menjadi ‘blogger’.

Maaf kerana ‘mencuri’ poster kecil ini.