Sejak Datuk Rasol Wahid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil menafikan akan kemuka usul tidak percaya terhadap Menteri Besar, saya menerima banyak sms dan panggilan apakah politik Terengganu kini bergolak?
Saya tidak dapat menjawabnya kerana pertamanya, ikhlas saya tidak pasti dan keduanya, kalau saya menjawabnya orang akan tetap mengatakan saya bias atau berpihak kerana saya kakitangan pejabat Menteri Besar Terengganu.
Yang saya boleh berkata ialah segala-galanya kehendak Allah dan jika ditakdirkan seseorang itu naik, dia akan naik dan sekiranya diturunkan, dia akan diturunkan.
Lihat sahaja berapa ramai bekas Menteri yang menang jawatan Ahli Majlis Tertinggi tetapi tetap digugurkan.
Sejak saya di Kuala Terengganu mulai pertengahan Disember lalu, saya banyak dengar khabar angin mengatakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ‘tidak lama’ dan apabila Datuk Seri Mohd Najib Razak naik, Ahmad akan diganti.
Cuma pertanyaan saya ialah atas sebab apa diganti dan apakah Ahmad ada berbuat salah dari segi parti dan kerajaan?
Juga yang saya tidak faham ialah kenapa soal Ahmad ini diperkatakan dengan begitu banyak di Terengganu?
Kenapa berdendam dengan beliau? Apakah jawatan Menteri Besar dipertandingkan antara Ahmad dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh?
Kalau ada pertandingan baru boleh marah sebab Ahmad menang. Kalaupun bertanding, biasalah dalam pertandingan ada kalah, menang dan seri.
Dan dalam konteks Menteri Besar Terengganu, Ahmad kebetulan terpilih dan beliau tidak pun ‘melanggar’ Idris.
Apabila Ahmad diperkenankan, maka Ahmadlah Menteri Besar.
Yang penting, berilah peluang kepadanya untuk membuktikan kebolehan. Kalau beliau tidak mampu dan ‘menjahanamkan negeri’, bolehlah beliau diganti pada pilihan raya akan datang. Ini baru setahun jagung sudah mahu menilai.
Apa ukuran atau kriteria digunakan dan semena-menanya menghukum Ahmad?
Berbalik kepada cerita undi tidak percaya. Rosol sendiri menafikannya dan beliau mengatakan isu ini dimainkan oleh akhbar pembangkang.
Rosol berkata beliau tidak tahu kenapa namanya dikaitkan sebagai ADUN yang akan mengemukakan usul berkenaan.
Kemelut politik yang dikaitkan dengan undi tidak percaya ini sudah berkisar di Terengganu berikutan Idris yang mendapat watikah daripada belas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi tidak diperkenanankan.
Hakikatnya, kesemua 23 ADUN Barisan Nasional yang diketuai oleh Rasol memang memberikan sokongan kepada Idris dan mengatakan tidak akan hadir pada upacara angkat sumpah jika calonnya bukan ADUN Jertih.
Namun segala-galanya tidak kesampaian dan Ahmad pula terpilih. Apa salah Ahmad untuk beliau dijatuhkan?
Jelas, isu ini ditimbulkan pembangkang dan yang mengambil isunya mungkin orang yang marahkan Ahmad kerana menjadi Menteri Besar.
Apakah Ahmad menagih atau memintanya. Kalau beliau tidak, perlukah kita ungkitkan sentiment untuk undi tidak percaya terhadapnya?
Persidangan DUN tiga hari yang akan dirasmikan esok sehingga Rabu memang boleh dijadikan ‘medan’ tetapi sanggupkan ADUN UMNO melakukannya?
Sanggupkah mereka membuka jalan untuk pilihan raya kecil atau gantikan sahaja Ahmad.
Apakah ini akan menyelesaikan masalah politik Terengganu?
Persoalan juga benarkah Said bersaorangan?
Juga apakah semua ADUN UMNO dan seorang MCA, sanggup menjatuhkan beliau semata-mata kerana ‘dendam’ kesan Idris diketepikan yang tidak ada kena-mengena pun dengan Ahmad Said?