Saturday, January 3, 2009

KUTUK ISRAEL - TAHNIAH PEMUDA KITA

(Utusan Malaysia dan Harakahdaily)

Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan penubuhan Tabung Barisan Bertindak Menentang Keganasan Israel sebagai tanda simpati serta kesungguhan negara ini membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, buat permulaan, Pemuda BN menyumbang RM100,000 kepada tabung tersebut yang diharap mampu mendorong sektor korporat negara ini untuk turut menderma.

"Kita dan Palestin bagaikan satu keluarga dan kesakitan yang dirasai mereka turut dirasai di sini. Kita akan membantu mereka bagi meringankan keperitan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tiga muka surat kepada Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Aboughosh di sini hari ini.

Penyerahan memorandum itu diadakan selepas perhimpunan khas Pergerakan Pemuda BN yang disertai kira-kira 2,000 orang di hadapan kedutaan tersebut bagi membantah tindakan kejam rejim Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza sejak kebelakangan ini.

Memorandum tersebut turut menggesa Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB) segera mengarahkan Israel menghentikan kekejaman mereka di bumi Palestin.

Turut hadir Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican; Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Azizuddin Ahmad serta wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, semalam, api kemarahan dan kebangkitan umat Islam meledak ke seluruh negara dan pelusuk dunia membantah sikap ‘kebinatangan’ Israel membunuh dengan kejam penduduk Palestin sehingga mengorbankan lebih 300 nyawa.

Akibat daripada itu, bertempat di Masjid Negara Kuala Lumpur sejumlah 500 umat Islam berkumpul menyertai Himpunan Aman Palestin sambil meluahkan rasa amarah yang tidak berkesudahan kepada rejim zionis Israel itu sambil menggesa negara-negara Islam mengambil tindakan drastik bagi mengelak pertumpahan darah berlaku lagi yang bermula sejak 60 tahun lalu tanpa henti.

Pelbagai slogan dan sepanduk dinaikkan antaranya “Support Palestin” di samping laungan penuh benci orang ramai seperti “Jahanam Israel!” “Hancur Yahudi!” berkumandang di pekarangan masjid tersebut yang turut menarik perhatian kenderaan-kenderaan yang lalu-lalang di bulatan berhampiran pintu masuk masjid.

Himpunan hari ini diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub bersama pimpinan PAS dan NGO yang lain seperti Ketua Pemuda PAS Wilayah Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad dan Ketua Angkatan Muda KeADILan Shamsul Iskandar Mat Akin.

Sungguhpun terdapat sejumlah 50 anggota polis, kehadiran mereka dilihat sekadar memantau perjalanan himpunan aman tersebut dan setakat ini tiada sebarang insiden yang tidak diingini dan tangkapan berlaku.

Sementara itu di Pahang Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Abdullah Abdul Karim
memaklumkan bahawa Gabungan NGO-NGO Islam Pahang dan Pakatan Rakyat turut mengadakan Himpunan Aman Intifadah pada hari ini selepas solat Jumaat di Perkarangan Masjid Abu Bakar, Temerloh.

Manakala Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) juga mengutuk serangan kejam rejim Yahudi ke atas rakyat Palestin dengan mengadakan himpunan sama di perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (SHAS), UIAM Gombak selepas solat Jumaat hari ini.

Pada 30 Disember lalu Naib Presiden PAS Mohamad Sabu telah menghantar memo bantahan kepada wakil kedutaan Amerika dan lebih 500 orang daripada pelbagai NGO dan parti-parti politik menyertai himpunan di hadapan kedutaan Amerika tersebut. Dalam pada itu sesiapa yang berhasrat untuk menyumbang dana bagi membantu meringan beban penduduk Palestin bolehlah dimajukan ke Tabung Palestin di nombor akaun Maybank 564070703248 atas nama PARTI ISLAM SEMALAYSIA

HARGA MINYAK BERPOTENSI MELONJAK PADA JULAI

Sumber: Agensi

Harga minyak yang diniagakan pada hari pertama dagangan 2009 semalam sekitar AS$40 setong, berpotensi melonjak kepada AS$70 setong menjelang suku keempat tahun ini.

Apakah kita di Malaysia akan turut merasai kenaikannya semula Jun atau Julai depan selepas agak selesa ketika ini dengan keputusan kerajaan kerajaan menurunkan harga bahan api itu baru-baru ini?

Penganalisis menjangkakan harga bahan api berkenaan mampu meningkat ke paras itu apabila permintaannya kembali pulih dan langkah Opec mengurangkan pengeluaran seperti yang diumumkan bulan lalu mula dilaksanakan.

Selain itu, jangkaan pemulihan semula ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada separuh pertama 2009 akan mengembalikan permintaan bahan api itu.

“Faktor utama yang akan menentukan harga minyak tahun ini adalah berapa teruk dan selama mana berlakunya kemelesetan ekonomi,” kata Guy Caruso, bekas pentadbir di Jabatan Pengurusan Maklumat Tenaga AS yang kini adalah penasihat kanan tenaga dan keselamatan di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington.

Pengarah Urusan Energy Security Analysis Inc di Wakefield, Massachusetts, AS, Sarah Emerson, pula berkata apabila ekonomi global berjaya melepasi krisis kemelesetan ekonomi, harga minyak akan berada pada paras sokongan yang lebih tinggi daripada AS$40 setong.

“Harga minyak seharusnya akan pulih semula menjelang musim panas ini (Jun atau Julai),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Editorial Platts, penyedia maklumat sektor tenaga, Dave Ernsberger, berkata harga minyak mentah dijangka berada pada paras stabil melebihi AS$40 (RM138.40) dan akan kekal di paras tersebut sehingga Presiden Amerika Syarikat (AS) baru, Barack Obama memulakan tugas pada 20 Januari ini.

Ini berikutan, harga pasaran akan menunggu polisi beliau terhadap ekonomi AS, pengeluar minyak utama Iran dan konflik yang berlaku antara Israel-Hamas di Timur Tengah yang kaya dengan minyak bagi menentukan harga semasa minyak mentah dunia.
Harga pasaran minyak mentah hari didagangkan rendah pada hari pertama 2009, walaupun harga meningkat sehari sebelum cuti tahun baru.

Kontrak utama New York, minyak berkualiti tinggi Light sweet untuk penghantaran Februari jatuh AS$2.03 (RM7.02) kepada AS$42.57 (RM147.29) setong pada dagangan tengah hari selepas meningkat AS$5.57 (RM19.27) kepada AS$44.60 (RM154.31) di New York Mercantile Exchange, Rabu lalu.

Sementara itu, minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran Februari jatuh AS$1.91 (RM6.60) kepada AS$43.68 (RM151.13) setong selepas melonjak AS$5.55 (RM19.20) kepada AS$45.59 (RM157.74) di London, Rabu lalu.

''Harga pasaran mengalami kejatuhan disebabkan pelabur Asia berpendapat trend menaik yang berlaku adalah melampau pada Rabu lalu,'' kata Dave Ernsberger, Pengarah Editorial Kanan Platts Asia, penyedia maklumat tenaga global.

Dengan permintaan dikawal oleh kemelesetan ekonomi di negara-negara besar ekonomi dunia, harga minyak berisiko untuk terus jatuh pada tahun ini, menurut penganalisis.

''Berita ekonomi yang berterusan suram akan menyebabkan harga pasaran minyak berada dalam keadaan defensif pada 2009 sehingga pakej rangsangan AS dapat dinilai keberkesanannya,'' kata Mike Fitzpatrick di MF Global.

Sementara itu, Obama bercadang membelanjakan sehingga AS$775 bilion (RM2.68 trilion) bagi pakej rangsangan ekonomi, seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Terdahulu, harga minyak mentah melonjak sehingga mencapai paras tertinggi melebihi AS$147 (RM508) setong dari Julai lalu, sebelum krisis ekonomi global mengurangkan permintaan dunia untuk tenaga dan menjadikan harga jatuh secara drastik.

Rabu lalu, harga pasaran meningkat selepas laporan mingguan Jabatan Tenaga AS menunjukkan peningkatan dalam simpanan minyak mentah negara itu.

''Kemungkinan (pelabur) menjangkakan sesuatu yang lebih daripada itu,'' kata Andy Lipow dari Lipow Oil Associates.

KEJUTAN PAS? BUKAN, PAS ‘TERKEJUT BERUK’

(Isu Sabtu)

Orang di Petaling Jaya atau Kuala Lumpur mungkin menilai pengumuman PAS mengenai calonnya untuk pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu sebagai mengejutkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerusi Wakaf Mempelam lima penggal, Mohd Abdul Wahid Endot kini mewakili Pakatan Rakyat bertanding pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini menentang calon Barisan Nasional (BN), Senator Datuk Wan Mohd Farid Wan Salleh.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Razali yang juga Timbalan Menteri Pelajaran di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands pada 28 November lalu.
Beberapa laporan dan analisis menyebut banyak pihak terkejut dengan pengumuman itu tetapi sebenarnya PAS yang ‘terkejut beruk’.

Majlis penamaan calon yang dimulakan dengan solat maghrib dan solat hajat itu mulanya dikatakan akan dihadiri lebih 15,000 orang tetapi ternyata, tidak sampaipun separuh daripada jangkaan itu.

Apakah masyarakat PAS Kuala Terengganu tidak menyanjungi usaha PAS Terengganu kerana sebahagian yang datang adalah dari negeri berdekatan.
Atau ada boikot daripada PAS Kelantan yang jika mereka menghantar ‘rombongan’ sudah pasti sekitar Stadium Negeri akan sesak teruk.

Tetapi melalui jalan sekitarnya seperti majlis biasa sahaja. Dengan majlis yang separuh suram serta pengumuman yang mengejutkan orang PAS sendiri - ketika mata dan telinga tertumpu kepada Dr Syed Azman Syed Nawawi - tiba-tiba nama Mohd Wahid pula yang berkumandang.
Malaysian Insider berkata pengumuman Mohd Wahid pada saat-saat akhir memang mengejutkan dan dilihat sebagai ‘compromise’ puak-puak yang bertentangan dalam PAS yang masing-masing bermain tarik tali antara Syed Azman dan Datuk Musafa Ali.

Malaysian Insider mengatakan usaha ini bertujuan menyejukkan puak Erdogan yang lebih condong dan rapat dengan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kumpulan “Ulama” yang menyokong Hadi.

Hadi sendiri mengatakan ia adalah pertukaran saat-saat akhir. Malah menurutnya, ketika membuat pengumuman itu di Stadium Negeri di Batu Burok berkata, memilih calon PAS memang sukar tetapi "satu-satunya yang berada dalam fikiran kami merupakan calon yang berkebolehan."

Saya juga hairan kenapa Mohd Sayuti Omar (MSO) yang selalunya menulis agak keras dan lantang mempromosikan calon PAS dalam sesuatu pilihan raya tetapi kali ini ‘ke kiri dan ke kanan’ penuh diplomatik. Apakah MSO juga terkejut beruk?

Dalam postingnya semalam bertajuk “Pemilihan Wahid Kebijaksanaan Abdul Hadi”, MSO mengulas, ramai yang beranggapan Syed Azman akan dipilih berpandukan kepada beberapa petunjuk dan kehendak besar pihak tertentu dalam PAS. Namun akhirnya Tuhan tidak mentakdirkan demikian. Nama Syed Azman terkulai di saat-saat akhir. Sebabnya? Elok kalau tidak disebut.

Yang pastinya bukan kerana beliau sudah menjadi Adun, sebab Abdul Wahid juga seorang Adun. Alasan untuk tidak mengambil Syed Azman kerana beliau Adun tidak timbul dan tentulah ada sebab-sebab lain yang lebih penting dan besar daripada itu. Dengan pemilihan Mohd Abdul Wahid itu tidak ada sebab kalau antara puak yang saling menonjolkan calon masing-masing tadi untuk bersatu untuk memastikan kemenangan Mohd Abdul Wahid yang juga kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat amnya, kata MSO.

Apakah banyak yang tidak kena mengenai pengumuman Hadi ini?

Hakikatnya, ketegangan Erdogan+Klon dengan ulama jelas sehingga kini, malah Hadi pada ceramahnya pada Majlis Amanat Pilihan Raya Kecil P036 di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Terengganu, baru-baru ini mengingatkan ahli, penyokong serta pendokong perjuangan PAS agar tetap teguh dengan Islam serta bersama dengan gerakan tersebut baik ketika berada dalam kesenangan mahu pun kesusahan.

Katanya, ahli PAS yang faham serta mendokongi perjuangan Islam perlu mentaati arahan kepimpinan yang dibuat secara kolektif dan syura.

Dengan nada agak keras Hadi mengingatkan penyokong PAS: “Taat diwaktu senang dan susah. Mentaati dalam semua keadaan. Setuju kita taat dan tidak setuju pun kita taat. Apa sahaja arahan yang diberi oleh pemimpin.

"Jika tahu calon dahulu baru hendak taat, itu bukan ajaran dari Allah SWT. Kita tidak menang jika ada golongan macam ini dalam PAS. Jika hendak dengar amanat kena taat dan patuh.”
Seperti MSO, saya turut tertanya-tanya di mana Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anak didiknya, Naib Presiden Pas, Husam Musa pada majlis itu? Tidak nampak pun di pentas utama. Datangkah mereka? Kalau ada kenapa menyorok-nyorok dan tidak munasabah orang PAS tidak menjemput mereka berdua naik ke pentas.

Betul atau tidak tidak dapat dipastikan tetapi Husam dikatakan datang lewat sedikit iaitu ketika Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw sedang berucap. Tetapi “Tok Guru” tidak ada. Pemimpin lain yang ada ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden Pas, Ahmad Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mustapa Ali, Dr Tan Seng Giaw mewakili DAP serta ahli Kepimpinan Tertinggi PKR, Mustafa Kamil Ayub kelihatan dengan jelas.

Bolehkah kita katakan Naib Pesuruhjaya PAS Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah, ahli Exco Kerajaan Kelantan, Mejar Nizam Abdul Rahman mewakili Nik Aziz?
Atau Husam mewakili Nik Aziz?

Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu adalah pada 6 Januari ini dengan 11 hari berkempen.

Apakah Nik Aziz akan datang bertongkat seperti di Permatang Pauh sebelum ini dan Husam pula sanggup berkampung di Kuala Terengganu seperti ketika membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh tempoh hari?

Juga apakah Husam akan ke hulu ke hilir seperti di Permatang Pauh apabila calon ‘tajaannya’ tidak terpilih?

Amatlah jelas strategi untuk meletakkan calon Erdogan + Klon sudah gagal apabila ulama berjaya ‘memintas’ dengan meletakkan calon pilihan mereka.
Husam yang sebelum ini dilihat perancang utama dalam PAS, yang jelas tidak berani meramalkan siapa pada Rabu lepas dan ternyata turut terkejut dengan pengumuman itu.
Persoalannya, jika selama ini Husam bersusah payah memenangkan beliau di Parmatang Pauh, bagaimana Anwar dapat ‘membalas budi’ Husam pada pilihan raya ini?

Sanggupkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) turun dengan duit dan tenaga membantu Mohd Wahid sedangkan dia bukan ‘calon Husam?

Juga, apakah akan ada fatwa Nik Aziz bagi menjamin kemenangan Mohd Wahid sedangkan PAS Terengganu menolak cadangannya meletakkan Mohamad Sabu atau Dr Syed Azman sebagai calon.

Bagi saya, apa juga yang belaku dalam PAS, UMNO dan BN jangan menganggapnya sebagai berpihak kepada mereka.

Ambil perhatian terhadap kata-kata MSO bahawa: “... selalunya dan menjadi amalan PAS, perbalahan atau perebutan calon tidak akan berpanjangan dan akan tamat selepas ianya rasmi diumumkan sebab PAS lebih berwala' kepada parti daripada indiviu ataupun profesional seseorang”.

Kita tunggu hari penamaan calon Selasa ini (6 Januari 2009) untuk mengetahui apakah perpecahan pendapat dalam PAS dan mereka yang ‘terkejut beruk’berterusan atau kembali bertaut untuk merampas kerusi P36 Kuala Terengganu.

KESIAN - PAS TERTIPU

Kapten (B) Datuk Zahar Hashim meninggalkan UMNO dan menyertai PAS Disember lalu sambil mendakwa turut membawa bersama 20 ketua cawangan lain dalam UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS) .

Maka keluarlah berita kononnya UMNO Bahagian itu tutup kedai dan ranap.

Bagi saya, pemimpin datang dan pergi tetapi ahli parti yang setia kira-kira 20,000 orang tetap setia di situ.

Malah, dalam ucapannya di majlis penyerahan borang menyertai PAS, Zahar mendakwa, seramai 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan juga akan mengikut jejak langkahnya menyertai PAS.

Semalam Ketua UMNO Cawangan Seri Mulia, Hussin Uda Itam menafikan bahawa beliau turut mengikuti tindakan 20 ketua cawangan yang dimaksudkan.

Memang Husin pernah menghadiri satu pertemuan yang disertai bersama-sama penyokong bekas Ketua UMNO Bahagian PJS itu, namun katanya: “Saya tidak tahu apa-apa sebelum ini sehinggalah saya mengetahui nama saya antara yang tersenarai keluar dari UMNO dan menyertai Pas,'' katanya.

Beliau menjelaskan kedudukannya yang dikaitkan dengan tindakan Zahar bersama-sama 20 ketua cawangan bahagian itu keluar UMNO dan menyertai Pas Disember lalu.
Jadi tidak benarlah 20, dan kalaupun ada 19 lagi. Selain itu sesetengah mereka disyaki datang dari ‘cawangan hantu’.

Sebelum ini Setiausaha bahagian itu, Mohamad Yahya Sudin mendedahkan, pemimpin Umno cawangan, mengikut langkah bekas ketua bahagian Petaling Jaya Selatan, itu datang daripada "cawangan hantu".

Katanya, cawangan-cawangan berkenaan hanya wujud menjelang mesyuarat agung tahunan Umno sahaja.

Susulan itu, tambahnya, Umno bahagian itu masih kuat dan berfungsi seperti biasa walaupun tanpa bekas ketuanya itu yang menyertai PAS pada 24 Disember lalu.

Menurutnya lagi, angka sebenar ketua-ketua cawangan Umno yang melompat parti dikenal pasti dalam mesyuarat khas minggu lalu di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Menurut laporan Malaysiakini 31 Disember lalu, mesyuarat yang dipengerusikan timbalan ketua bahagian itu Datuk Raja Hapipudin Raja Nong Chik, ia membincangkan usaha memantapkan Umno Petaling Jaya Selatan selepas menerima tamparan hebat akibat tindakan mengejut Zahar.

Bekas kapten bersara itu - yang mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter – mendakwa 28 ketua cawangan dan 13 ahli jawatankuasa (AJK) bahagian mengikut jejak langkahnya.

Tidak menolak jumlah ketua cawangan tersebut yang berbuat demikian, Yahya berkata sebahagiannya bukan cawangan yang sah atau "cawangan hantu."

Beliau bagaimanapun menjelaskan hanya tujuh daripada 39 AJK bahagian itu yang meninggalkan Umno, bukan 13 orang seperti yang didakwa.

"Itu pun ahli jawatankuasa yang dilantik, bukan dipilih," tambahnya.

Yahya berkata, daripada tujuh AJK itu pula, empat daripadanya merupakan “orang Zahar” yang menguruskan pejabat Umno bahagian dan dibayar gaji oleh bekas ketua itu.

Umno Petaling Jaya Selatan mempunyai 39 AJK – 20 dipilih, sepuluh dilantik dan sembilan lagi mewakili sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Bahagian itu juga mempunyai lebih 100 cawangan dengan jumlah keanggotaan lebih kurang 21,000 orang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata semalam seramai 21,000 ahli termasuk timbalan ketua cawangan tidak terpengaruh dengan tindakan Zahar itu dan masih kuat berpegang kepada perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Dengan kata lain, UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS) langsung tidak terjejas berikutan tindakan bekas ketua bahagiannya.
Jelas UMNO bahagian itu masih kukuh kerana tindakan tersebut hanya melibatkan Zahar bersama-sama 19 ketua cawangan sahaja.

"Walaupun ada yang keluar parti, UMNO PJS masih padu dan kuat kerana yang terlibat hanyalah ketua cawangan. Tetapi timbalan ketua cawangan dan ahli masih kekal, mereka tidak tinggalkan UMNO.

"Ini menunjukkan UMNO bahagian ini masih kuat walaupun ada segelintir keluar parti mungkin disebabkan kepentingan peribadi. Malah, kita tidak ada masalah jika mereka ini nak keluar parti kerana kita yakin bilangan ahli akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.
Muhammmad akui Zahar merupakan pemimpin lama dalam UMNO dan tidak pernah lupa jasanya.

Bagaimanapun beliau berdoa Zahar akan kembali semula kepada UMNO kerana tidak ada siapa yang meminta atau menyuruh beliau keluar parti.