Monday, October 13, 2008

TERUSKAN SHAHANIZA!

Persaingan bagi jawatan ketua Puteri Umno semakin hebat antara Ketua Penerangan pergerakan itu, Datuk Shahaniza Shamsuddin dengan naib ketua pergerakan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Sehingga malam semalam, Shahaniza mendapat 32 pencalonan manakala Rosnah mendapat 28 pencalonan.

Semalam, Shahaniza mendapat tujuh pencalonan baru dari bahagian Tapah, Jerantut, Beufort, Kinabatangan, Setiawangsa, Ledang dan Labis.

Malah pada hari pertama mesyuarat Puteri Bahagian UMNO 9 oktober lalu, Shahaniza turut menepati ramalan banyak pihak untuk menjadi calon pilihan.
Shahaniza mendahalui dengan tiga bahagian mencalonkan beliau iaitu Sandakan dan Pensiangan di Sabah serta Machang di Kelantan.

Kejayaan Shahaniza mendapat pencalonan dari Sabah agak mengejutkan kerana ia merupakan antara kubu kuat Rosnah sebelum ini.
Rosnah pula mendapat empat pencalonan baru dari Pekan, Sepanggar, Batu Sapi dan Padang

Manakala exco pergerakan itu, Datin Ismalina Ismail mendapat 12 pencalonan; setiausaha pergerakan itu, Bibi Sharliza Mohd halid (6) dan ketua Puteri Umno Pulau Pinang Azlina Mehtab Mohd Ishaq (4).

Ismalina pula mendapat pencalonan dari bahagian Merbok, Tebrau, Sepang dan Kulai.

Manakala Azlina pula mendapat tiga pencalonan dari Permatang Pauh, Kepala Batas dan Nibong Tebal.

Bibi Sharliza pula tidak menerima sebarang pencalonan baru hari ini.

Sebanyak 82 bahagian Puteri mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing di seluruh negara.

JANGAN CEPAT HILANG AURA

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata semalam, keputusan luar jangka bagi pencalonan yang diterima oleh Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir untuk bertanding Ketua Pergerakan Pemuda UMNO kerana beliau dilihat sebagai calon 'bebas' yang tidak bergantung dengan sesiapa.

Katanya, ia juga memperlihatkan suara hati generasi muda yang mahu melihat perubahan dalaman diperbaiki.

Jika diperhatikan kepada pencalonan yang sehingga malam semalam, Mukhriz mendapat 39 dan meninggal jauh pencabar terdekatnya iaitu Khairy Jamaluddin (17), Datuk Seri Mohamad Khir Toyo (10) dan satu untuk Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Mukhriz kini layak bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan Mac depan kerana kouta untuk layak bertanding jawatan itu ialah 38 pencalonan.

Berdasarkan Mukhriz yang “Berani Berubah” pada 10 Mac 2008 berkias menegur kepimpinan agar “Melakukan yang terbaik untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional”, selepas kekalahan di 5 + 1 negeri dan prestasi buruk seluruh Negara.

Kemudian, pada 12 Mac 2008, Mukhriz menghantar sepucuk surat peribadi kepada Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan mengesa agar berundur dari semua jawatan.
Bagi Rais: “Saya melihat termasuklah di Jelebu, sokongan kepada Mukhriz agak di luar jangka. Ini sebenarnya akar umbi Pemuda mahukan perubahan drastik," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jelebu semalam.

Pada persidangan itu 119 perwakilan mencalonkan Mukhriz sebagai calon Ketua Pemuda dan lapan lagi mencalonkan Khairy Jamaludin.

Rais yang juga Ahli Parlimen Jelebu menjelaskan, ahli Pergerakan Pemuda UMNO kini mencari pemimpin yang bercirikan pejuang sebenar tanpa bersandarkan satu alasan besar.

''Alasan besar itu ialah kebergantungan kepada jawatan, keluarga atau jawatan saudara mara. Saya fikir Mukhriz ada aura itu," kata beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO negeri.

Semalam, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jempol turut mencalonkan Mukhriz dengan jumlah pencalonan sebanyak 170 berbanding Khairy yang cuma memperoleh enam undi, sementara Pemuda UMNO Bahagian Rasah mencalonkan Mukhriz dengan jumlah undi sebanyak 70 berbanding 61 yang diberikan kepada Khairy.

''Saya melihat ini dari dekat dan merasakan bahangnya. Saya berharap sistem dan aura baru ini akan memberi kebaikan yang amat dimahukan oleh Pemuda UMNO dan parti ini keseluruhannya," kata Rais.