Thursday, June 8, 2017

FGV KEBANGGAAN NAJIB KINI DILANDA KEMELUT, TETAPI...


Memalu dan memilukan apabila syarikat konglomerat negara,  Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dilanda kemelut akibat pertelingkahan antara Pengerusi dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya.

Apa pun kita bersyukur kerana kemelut ini mungkin akan mendedahkan banyak lagi isu lain yang menyebabkan FGV sudah menjadi begitu ‘kecil’ berbanding ketika dilancarkan sebelum ini.

FGV mulanya dilihat gah. Namun kini kedudukannya begitu kerdil apabila nilai pasaran sahamnya menjunam berbanding ketika dibuka bernilai RM4.55 seunit yang kononnya akan berlaku menjadi 'durian runtuh' buat warga FELDA.

'Durian’ itu kini benar-benar runtuh dan merudum hingga ke paras RM1.40-RM1.90 seunit.

Ini belum lagi dilihat kepada kerugian yang dialaminya kepada hampir RM100 juta tetapi anehnya Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tetap kekal dikerusinya.

Mengapa demikian? Apakah ada ‘pelindung besar’ buat Mohd Isa? Atau memang beliau tidak boleh disentuh dan tidak akan ada sesiapa pun boleh menjatuhnya?

Kebal, iaitulah perkataan sesuai untuk Mohd Isa di kerusi Pengerusi FGV.


Dalam kedudukan kemelut sebegini, adilkah menggantung tugas satu pihak sementara satu pihak lagi dikekalkan pada ketika siasatan membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) akan dijalankan?

Betul juga apabila Presiden dan Ketua Pengarah Urusan FGV,  Datuk Zakaria Arshad mempersoalkan kenapa beliau digantung tugas atau diminta lepaskan jawatan.

Apakah beliau bersalah? Ketegasnya untuk tidak melepaskan jawatannya selagi tidak didapati bersalah adalah tindakan wajar.

Asalnya dikatakan hanya ribut kecil,namun kini sudah menjadi taufan dan sudah pasti kes ini bukan sahaja mendapat perhatian dalam negara tetapi juga di luar negara.

Pertelingkahan yang menyebabkan penggantungan dibuat terhadap Zakaria dibuat selepas beliau menolak permintaan Mohd Isa untuk meletakkan jawatan.

Ia  berhubung dakwaan salah laku yang berkaitan dengan pembayaran kepada sebuah syarikat Afghan.

Lembaga Pengarah FGV turut mengarahkan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Ahmad Tifli Mohd Talha, bercuti susulan siasatan yang telah dilakukan oleh syarikat audit, PricewaterhouseCoopers yang tidak boleh dinyatakan kepada umum.

Tidak diketahui sejauh mana benar dakwaan  bahawa kemelut menjadi serius gara-gara  Isa gagal memperkudakan Zakaria dalam beberapa keinginan beliau untuk dijayakan.

Kelmarin Mohd Isa menolak dakwaan blogger Raja Petra Kamaruddin bahawa  beliau cuba menyingkirkan Zakaria pada mesyuarat Lembaga Pengarah Jumaat lalu.

Mohd Isa bagaimanapun menafikan mesyuarat tersebut hanya membincangkan mengenai penyingkiran Zakaria, sebaliknya banyak perkara lain dibincangkan.

Zakaria, dalam surat kepada  Mohd Isa, menafikan beliau telah melanggar kod tadbir urus korporat dan berkata pembayaran itu telah diluluskan oleh pendahulunya.

Namun puncanya apa  sehingga timbul kemelut kepimpinan dan apa pula kesan dan penyudahnya?

Kemelut dikatakan mempunyai kaitan dengan tunggakan bayaran kepada anak syarikatnya FGV Delima Oil Products Sdn Bhd dengan sebuah syarikat pembeli minyak sawit luar negara.


Menariknya tidak sampai sebulan, iaitu pada 24 Mei 2016 lalu Zakaria begitu bangga mengatakan FGV ialah  salah sebuah konglomerat minyak sawit utama di Malaysia memainkan peranan penting dalam program pembangunan tanah dan penempatan pertama di negara ini, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Namun sejak kelmarin, nampaknya FGV berada dalam kedudukan yang mencemaskan pelabur dan mungkin agensi kerajaan itu sendiri.

Pelik apabila Raja Petra mendakwa Mohd Isa cuba menyingkirkan presiden Zakaria bagi menutup dakwaan salah laku rasuah.

Apakah memang berlaku rasuah dalam FGV?

Isa berang dengan tuduhan itu, malah apabila seorang wartawan akhbar arus perdana mengemukankan soalan apakah benar truduhan Raja Petra itu mengugut mahu menyaman wartawan itu.

“Kamu buat kenyataan ini, saya saman awak,” katanya ketika menjawab soalan itu dalam sidang media di Menara Felda, Kuala Lumpur kelmarin.

Zakaria pula setakat ini mempertahankan diri dan enggan berundur serta berhujah proses pembayaran dan syarat kredit yang digunapakai Delima Oil itu sudah dilaksanakan sebelum beliau menjadi CEO lagi.

Bagaimanapun, selepas Zakaria dicutikan, Mohd Isa  mengumumkan siasatan audit dalaman akan dibuat ke atas Zakaria serta mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zakaria pula sudah ke SPRM dan mahu SPRM menyiasat keseluruhan operasi FGV bagi menilai sekiranya berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa.

SPRM pula menyatakan kesediaanya untuk membuat siasatan walaupun Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengatakan  SPRM terlebih dahulu perlu meneliti laporan yang dibuat jika ada berlaku salah guna kuasa atau rasuah.

SPRM telah menerima beberapa maklumat sebelum ini berhubung isu yang sama, walau bagaimanapun siasatan hanya akan tertumpu kepada isu salah guna kuasa serta rasuah dan bukannya isu peribadi pemberi maklumat.

Malah Zakaria menegaskan berusaha menghalang pelaburan ratusan juta yang dibuat oleh lembaga pengarah syarikat tersebut yang disifatkannya sebagai "tidak masuk akal".

Antara pelaburan itu, katanya, adalah rancangan bernilai 100 juta pound sterling (kira-kira RM551 juta) untuk pengembangan Felda Cambridge Nanosystems Ltd , sebuah syarikat nano karbon, yang kerugian RM117 juta dalam tempoh tiga hingga empat tahun lepas.

"Sekarang mereka (lembaga FGV) mahu mengembangkannya, mereka memerlukan 100 juta pound lagi. Bagi saya ini adalah tidak masuk akal, kami sebuah syarikat perladangan," beliau dipetik sebagai berkata oleh The Star.

Pelaburan lain, adalah rancangan untuk menghabiskan RM300 juta bagi membeli 30 peratus pegangan dalam sebuah kilang krimer, yang dimiliki oleh sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan bukan teras.

Zakaria juga melahirkan rasa tidak puas hati mengenai amalan rundingan terus. "Terdapat contoh-contoh lain, rundingan langsung, kontrak langsung ... Saya telah diberi kepercayaan untuk menguruskan syarikat tetapi apabila saya mahu menguatkuasakan dengan tegas, maka ini apa yang berlaku," katanya.

Turut masuk campur dalam kemelur ini ialah Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang menyifatkan arahan  Zakaria bercuti sebagai mangsa terbaru Mohd Isa.

Presidennya, Mazlan Aliman mendakwa Mohd Isa ketika menjadi Pengerusi FELDA bertindak “menyejuk bekukan” pengarah besar ketika itu – Datuk Zulkifli Abdul Wahab yang tidak disenanginya.

Ia  disusuli dengan pengganti Zulkifli, Datuk Faizoull Ahmad yang turut “disejuk bekukan” sehingga beliau didakwa di Mahkamah Sesyen baru-baru ini.

Dengan kata lain, Mazlan mendakwa daripada awal, Mohd Isa memang tidak menyenangi Zakaria.

Aktivis Felda PAS Naraza Muda pula melihat alasan berhubung tunggakan bayaran sebuah syarikat asing kepada anak syarikat FGV Delima hanya “isu teknikal” untuk mengketepikan Zakaria.

Naraza mengingatkan bahawa presiden FGV sebelum ini juga pernah mengalami nasib hampir sama apabila kontrak tidak disambung.

Naraza juga membuat spekulasi perkembangan dalaman Felda itu sebenarnya mempunyai kaitan dengan urus niaga dengan syarikat China.

“Ramai bekas kakitangan Felda menggagap Mohd Isa gagal memperkudakan Datuk Zakaria dalam beberapa keinginan beliau (Mohd Isa) dijayakan,” dakwanya.

Malah Naraza berpendapat, apa yang berlaku kepada Felda sejak Mohd Isa dilantik menjadi pengerusi Felda pada tahun 2011 sehingga di pecat awal tahun ini, peneroka Felda perlu menyokong dan berdiri teguh di belakang Zakaria.

Ini  kerana Zakaria cuba memacu dan membawa FGV ke landasan betul dengan apa yang dialami FGV sejak disenaraikan di BSKL.

Belum dapat dipastikan sama ada tindakan terhadap  Zakaria itu sebagai suatu kesilapan pada ketika beliau dikatakan sedang melaksanakan misinya untuk memperbetulkan kepincangan dalam syarikat itu.


Sewajarnya beliau diberikan ruang dan siasatan oleh SPRM perlu dilakukan dengan adil dan pendapat yang mengatakan penstrukturan FELDA yang dilakukan Tan Sri Shahrir Samad tidak akan mendatangkan kesan, selagi Isa menjadi pengerusi FGV juga belum dapat disahkan.

Yang sahnya kemelut ini akan mendedahkan banyak perkara dalam FGV yang  sering dibangga-banggakan oleh Perdana Menteri.

Mohd Isa yang dilantik oleh Datuk Seri Najib Razak ternyata walaupun mempunyai sokongan padu yang kuat tetapi rekod membuktikan bahawa era Mohd Isa sebagai Pengerusi FGV, telah berlaku penyelewengan di Felda Iffco Gida Sanayi, sebuah anak syarikat yang dimiliki 50 peratus saham oleh FGV di Turki, dengan kerugian saham luar biasa sebanyak RM57 juta.

Penyelewengan tersebut telah menyebabkan kerugian suku ketiga FGV yang berakhir 30 September 2016 melebar daripada RM33.9 juta tahun yang lalu ke RM94.86 juta.

Apakah Mohd Isa akan terus berada di kerusinya selepas ini?

Jika terus dikekalkan, dia dikekalkan untuk kepentingan siapa?