Saturday, January 7, 2012

SIKAP 'KLU-KLEK' MENGECEWAKAN... KHUTBAH TIDAK PENTING LAGI!

Kesian sungguh kepada mereka yang menentang diadakan perhimpunan ‘Bebaskan Anwar 901’.

Penat-penat berhimpun buat laporan polis sementara Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zulkifli Nordin dicerca sebagai ‘katak’ dan begitu juga Datuk Dr Hasan Ali yang menyeru orang ramai jangan menyertai perhimpunan itu kini berdepan masalah dengan parti.

Petang tadi Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendesak Pas mengambil tindakan sewajarnya terhadap Exco Selangoritu ekoran kenyataanya meminta orang ramai tidak hadir menyertai perhimpunan 901.

Azmin berkata, kenyataan Hasan telah melanggar prinsip dan semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat (PR) dan beliau tidak sewajarnya berkata demikian.

"Sebagai Exco kerajaan negeri, beliau tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan seperti itu. Itu kenyataan tidak bertanggungjawab. Ketika beliau menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) sedang meraikan Anwar. Kalau Nik Aziz pun beri sokongan dan akan hadir (Himpunan 901), maka siapa Datuk Hasan? Jangan terlalu celupar," katanya pada sidang media di Petaling Jaya.

Dr Hasan semalam mengeluarkan kenyataan bahawa perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 Isnin ini tidak perlu disertai dan tidak wajar diadakan kerana tujuannya hanya membabitkan isu peribadi seorang pemimpin, bukannya soal masyarakat.

Selain itu, banyak kenyataan yang dibuat pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, termasuk Menteri-Menteri Besar, kini layak untuk dibuang ke longkang najis.

Sangkaan semua pihak, polis tidak akan berlembut walaupun sedia berunding.
Namun jelas memanglah bukan PAS sahaja yang ‘klu-klek’ tetapi pemerintah negara kita pun sukar dibaca sikap mereka, bukan seperti ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekadar boleh berkata keputusan polis membenarkan penyokong ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan Isnin ini adalah berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Parlimen baru-baru ini.

Beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menguruskan dan memastikan perhimpunan berkenaan berjalan dengan aman. Penganjur perhimpunan itu juga bertanggungjawab untuk menjamin bahawa perhimpunan itu dan tidak akan menimbulkan kacau-bilau atau huru-hara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata tindakan Polis Kuala Lumpur membenarkan penyokong Ketua Pembangkang berhimpun di tempat letak kereta di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta Isnin ini adalah keputusan yang rasional.

Bagaimanapun pihak berkenaan perlu menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

Pada ketika ada laporan mengatakan polis tidak benarkan ucapan, kain rentang dan pembesar suara. Azmin menegaskan pada sidang medianya, tiada syarat dikenakan kepada mereka dalam mesyuarat bersama pihak polis pagi tadi.

Malah, mereka juga dibenar membawa pembesar suara dan kain rentang.

Jadi kalau berlaku apa-apa dan keadaan tidak boleh kawal bagaimana?

Hakikatnya hari ini yang disangka akan menjadi putih tiba-tiba bertukar menjadi kelabu. Malah, khutbah Jumaat di masjid sekitar Wilayah Persekutuan pun sudah menjadi ‘tawar’ dengan kebenaran polis itu.

Menteri Dalam Negeri pula membisu seribu bahasa dan bagai 'tikus dalam beras' membiarkan polis melaksanakan kerja ‘menguruskan perhimpunan 901’ ini.

Ingat-ingat sekali malas sudah nak mengulas, memberi pendapat dan bekerjasama dengan rakan-rakan proKerajaan dalam isu seperti ini kerana dalam menentukan sikap atau pendirian, banyak kali yang proKerajaan ‘kena main’ dan yang menentang akhirnya bertepuk tangan dan ketawa besar.

Segala pendapat yang dikemukakan oleh pemimpin NGO dan individu yang menyokong kerajaan kini ‘tawar hebe’ (tidak ada rasa sedikit pun sama ada manis, pahit atau masam) kerana dengan kebenaran polis kepada Pakatan Pembangkang berhimpun di tempat letak kereta Mahkamah Tinggi Isnin ini, menceritakan segala-gala.

Lebih menyedihkan khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang berpesan bahawa mereka yang bersekongkol dengan penganjur demonstrasi jalanan melakukan kesalahan besar dan menzalimi umat Islam, bagaikan sesuatu yang tidak langsung berguna.

Hari ini, umat Islam yang menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan hari ini diberi amaran supaya tidak melakukan "kesilapan besar" dengan menghadiri demonstrasi jalanan.

Pesanan berbunyi: “…Kita sedar hari ini sekali lagi pelbagai cara dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan perpaduan umat Islam dan keamanan negara di antaranya melalui pembohongan fakta, pencemaran budaya, penyebaran racun perpaduan samada melalui media massa dan alam siber, melanggari undang-undang negara. Mereka juga cuba meruntuhkan keamanan yang dikecapi selama ini dengan mengadakan pelbagai helah dan cara termasuklah mencetuskan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan.

Menurut khutbah itu lagi, "mereka menghasut rakyat dengan menyemai perasaan tidak puas hati dan benci kepada pemerintah dengan melaungkan slogan tertentu yang digambarkan sebagai gelombang rakyat yang membantah.”

Khutbah itu melihat penganjur perhimpunan itu yang bertopengkan atas dasar menuntut keadilan dan ketulusan sebenarnya mahu mengheret rakyat ke jalanan supaya dapat dijadikan sebagai perisai.

Jadi di mana letaknya kemuliaan khutbah Jumaat jika kerajaan sendiri tidak menghormatinya?

Apakah kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO mahu dilihat sebagai ‘membelakangkan Islam’?

Apakah sikap kerajaan dalam isu ini mengesahkan pendapat PAS dan pembangkang bahawa kerajaan Persekutuan yang ada sekarang memang tidak mementingkan Islam?

Tepuk dada tanya selera atau kalau tidak mahu, tepuk sahaja air biar terpercik ke muka sendiri!