Wednesday, January 28, 2009

PENJENAYAH HERO, POLIS SYAITAN?

(Kemaskini) Syukur, setakat ini tiada keganasan yang berlaku. Suasana hanya tegang.
Sewajarnya kita berterima kasih kepada semua pihak kerana kebimbangan akan berlaku kejadian tidak diingini, terhakis sudah.

Bagaimanapun, persoalan tetap bermain di benak saya, apakah wajar kita berarak atau menyanjung seseorang yang disyaki melakukan jenayah?

Ternyata perarakan pengebumian Kugan oleh kira-kira 500 orang dilaporkan tegang, apabila sebahagian daripadanya cuba menghalang tugas-tugas polis yang mengadakan kawalan.

Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Januari di lokap Balai Polis Taipan, Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, ditemui mati pada 20 Januari semasa dalam siasatan.

Mayat suspek curi kereta yang mati ketika dalam tahanan polis, A. Kugan dibawa keluar oleh ahli keluarganya dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini pukul 2 petang ini.

Mendiang Kugan dibawa menaiki kereta keluarga menuju ke tempat tahanannya di Balai Polis USJ 8, Taipan, Subang Jaya.

Difahamkan, keluarga Kugan melakukan upacara sembahyang di balai polis berkenaan sebelum mayat lelaki berusia 22 tahun itu dibakar di Batu 14, Puchong.

Persoalan sama ada mereka yang disyaki penjenayah wajar dianggap sebagai hero turut diperkatakan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.

Syed Hamid tidak mahu masyarakat menganggap mereka yang melakukan jenayah sebagai hero dan polis yang menguatkuasakan undang-undang pula sebagai syaitan.

Bercakap secara umum, Syed Hamid berkata tiada sesiapa pun boleh mengatasi undang-undang. Tindakan undang-undang akan tetap diambil terhadap mereka yang melanggarnya walaupun polis.

"Kita tidak akan sembunyikan apa-apa fakta," katanya kepada para pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulangi kenyataannya secara umum, Syed Hamid berkata orang ramai tidak boleh mengagung-agungkan seseorang penjenayah seolah-olah seorang hero.

Syed Hamid enggan mengaitkan kenyataan yang dibuatnya secara umum itu mengenai penjenayah, dengan kematian suspek curi kereta A. Kugan semasa dalam tahanan di Balai Polis Taipan, Subang Jaya, Selasa lepas.

"Saya tidak menuding jari kepada sesiapa," tegas menteri itu.

Beliau menjelaskan dalam siasatan 19 kes curi kereta dan samun bersenjata, polis telah menahan tiga yang disyaki termasuk Kugan.

Laporan Utusan Malaysia menyebut, lima lelaki ditahan kerana menimbulkan kekecohan ketika menyertai upacara pengebumian A. Kugan yang mati semasa ditahan di lokap balai polis Taipan, Subang pada 22 Januari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasaan berkata polis menahan seorang suspek bunuh semasa perarakan pengebumian tersebut.

Bagaimanapun beliau tidak dapat mengesahkan sama ada suspek berkenaan adalah salah seorang daripada lima yang ditahan sebelum ini.

Penangkapan pertama dibuat kira-kira pukul 12.15 tengah hari apabila seorang lelaki cuba merempuh kearah pintu masuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengarahkan orang ramai yang berkumpul bersurai.

Dua lagi ditahan kerana cuba melalui sekatan polis di PPUM.

Manakala dua lagi ditahan polis kerana didapati cuba untuk menyebarkan provokasi dikalangan orang ramai yang berkumpul di kawasan PPUM.

Empat daripada mereka memakai kemeja-t Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) - pertubuhan yang diharamkan sejak Oktober tahun lalu.

Salah seorang dipercayai bekas penyelaras kumpulan itu, R.S. Thanendran.

Jawatankuasa Pemantau Polis dan Hak Asasi Manusia (JPPHAM) bagaimanapun menyifatkan amaran polis untuk bertindak terhadap mereka yang terlibat dalam perarakan tersebut petang ini sebagai "satu lagi bentuk salah guna kuasa" pihak berwajib itu untuk cuba menakutkan orang ramai.

Penyelaras NGO itu S Jayathas menambah, jika polis awal-awal lagi bertindak profesional, perarakan tersebut tidak akan berlaku.

Perarakan lebih 20 kilometer itu dijadual mulai 2 petang dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) ke kawasan perkuburan di Batu 14 Jalan Puchong.

Kira-kira 1,000 orang berkumpul bagi menyertai perarakan dari PPUM ke krematorium di Batu 14 Puchong.

Bagaimanapun orang ramai yang berkumpul di perkarangan PPUM sejak pukul 8 pagi, mematuhi nasihat polis dan bersurai dari kawasan itu pada kira-kira pukul 1.45 petang.

Kereta jenazah yang membawa mayat Kugan, meninggalkan bilik mayat PPUM selepas pukul 2 petang untuk upacara pengebumian.

TAK DAPAT PROJEK BISING, DAPAT PROJEK LAIN PULA…

Entahlah, letih dengan kerenah mereka yang dapat projek kerajaan.

Kenyataan kesal oleh Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri Datuk Jainab Ahmad dengan tindakan segelintir kontraktor Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) perlu diambil perhatian berat.

Jika perlu diambil tindakan drastik hingga sampai kepada tindakan BPR, buatlah.

Jangan bagi muka kepada kontraktor seperti yang disebut Jainab. Mereka ini cuba mengaut keuntungan berlebih-lebihan dalam melaksanakan projek itu.

Kata Jainab di Kota Kinabalu pagi ini: "Saya dapati kos rumah yang diperuntukkan bernilai RM40,000 sebuah tetapi rumah PPRT yang dibina tidak mencapai harga yang diperuntukkan."

Sewajarnya nada kesalan Jainab perlu diambil perhatian berat oleh agensi yang menawarkan projek PPRT. Ini kerana Jainab dengan tegas menegur kontraktor terbabit supaya: "Jangan mengambil keuntungan kos hasil rumah yang dibina secara melampau tanpa mengambil kira keselamatan penghuni yang mendiami rumah PPRT tersebut.”

Sebenarnya perkara seperti inilah yang menjadi punca rakyat marahkan kerajaan – Barisan Nasional (BN), UMNO dan apa juga parti komponen terbabit.

Akibat perbuatan segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab, yang rosak nama ialah kerajaan – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Malah, Jainab yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Karambunai turut meminta kontraktor-kontraktor supaya tidak membina rumah di kawasan lereng bukit bagi mengelakkan kejadian luar jangka termasuk tanah runtuh.

Dalam hal ini, beliau menasihati kontraktor supaya sentiasa mendapat maklum balas dari Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebelum melaksanakan projek perumahan PPRT.

Sambil memberi contoh pembinaan rumah PPRT di lereng bukit berdekatan kawasan Kampung Tebobon, dekat Kota Kinabalu, Jainab berkata projek itu bakal mengundang perkara yang tidak diingini kepada penduduk kampung yang akan menduduki rumah tersebut.

"Sebelum berlaku apa-apa, kita perlu berhati-hati.

Kejadian tanah runtuh membabitkan kawasan perumahan yang berlaku di Semenanjung seharusnya diambil sebagai iktibar untuk kita merancang pembinaan rumah PPRT secara teratur," katanya.

Saya berharap akan lebih ramai wakil rakyat atau juga yang berpangkat Pembantu atau Timbalan Menteri dan Menteri berani seperti Jainab.

Syabas dan tahniah kepada Jainab.

Fikirkan pasal rakyat ramai bukan satu dua kontraktor yang sudah mendapat ‘habuan’ kerajaan tetapi tidak memikirkan kepentingan rakyat.

Bukan sahaja mereka ini pentingkan diri tetapi juga boleh mencemarkan nama kerajaan dan meranapkan BN.

ISU KUGAN UJI KEWIBAWAAN POLIS

Ujian terhadap kewibawaan polis dan keutuhan masyarakat berbilang kaum di negara ini berlaku lagi hari ini.

Penyebaran SMS atas nama Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) semalam mengajak orang ramai menyertai perarakan membawa mayat A Kugan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPU) ke Puchong.

Kugan, 23, yang ditahan 15 Januari lalu kerana disyaki terbabit dalam sindiket curi kereta mewah, mati ketika disoal siasat di Balai Polis Taipan, USJ8, Subang Jaya, seminggu kemudian.

Polis sudah menasihatkan orang ramai tidak menyertai cadangan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengadakan perarakan membawa mayat A Kugan hari ini.

Kita semua akan menyaksikan hari ini sama ada nasihat dipatuhi atau sebaliknya dan sejauh mana pemimpin India mampu menenangkan pihak-pihak yang mahu mengadakan perarakan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata pihaknya tiada halangan jika mayatnya dibawa terus dari rumah mayat (PPUM) ke tanah perkuburan Batu 14 Puchong.

"Bagaimanapun, jika ada cubaan untuk berarak ke kawasan lain dengan tujuan untuk menimbulkan kekacauan kita terpaksa mengambil tindakan tegas.

Bedah siasat mendapati Kugan mati akibat paru-paru berair, bagaimanapun ia tidak diterima keluarga mangsa berikutan penemuan banyak kesan cedera di muka dan badan.

Keluarganya yang tidak berpuas hati dengan kematian Kugan mahu bedah siasat dilakukan sekali lagi. Ekoran kecaman orang ramai, Peguan Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah mengklafikasikannya sebagai kes bunuh.

Bedah siasat kali kedua di PPUM dilakukan pada kelmarin (25 Januari 2009) dan dijalankan oleh pakar patologi, Dr Prashant.

Menurut laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam memberitahu bahawa doktor telah memberi penerangan ringkas kepada keluarga Kugan, peguam mereka N N Surendran dan ahli-ahli Parlimen yang hadir.

Penerangan tersebut mengambil masa lebih daripada 30 minit mengenai keputusan bedah siasat tersebut.

Bagaimanapun, keputusan bedah siasat itu tidak boleh didedahkan menunggu siasatan terhadap kes kematian Kugan.Sebelas anggota polis berpangkat konstabel dan lans koperal dari balai polis Subang Taipan - tempat Kugan meninggal dunia sudah dipindahkan serta merta kelmarin.

Dijangkakan laporan penuh mengenai bedah siasat kedua itu akan disiapkan awal bulan depan.

Kelmarin, pengerusi DAP, Karpal Singh menggesa pihak kuasa mendakwa doktor yang melakukan bedah siasat ke atas mayat Kugan yang didakwanya membuat laporan palsu.

Timbalan Ketua Polis Negara meminta semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu kematian
Kugan dan memberi jaminan pasukan khas Bukit Aman yang ditubuhkan untuk menyiasat kes itu akan melakukannya dengan terbaik dan telus.

Bagaimanapun, tindakan tegas akan diambil sekiranya ada sesiapa yang sengaja melanggar arahan polis dan menimbulkan kekacauan kerana perarakan sedemikian dianggap perhimpunan haram.

Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membawa sepanduk atau mengadakan demonstrasi ketika perarakan majlis pengkebumian Kugan di Batu 14 Puchong hari ini.

WARTAWAN KATAK

Seseorang yang menggelarkan dirinya add, semalam memberikan nasihat kepada saya: “… harapan saya agar sdr tabah dalm perjuagan wartawan UMNO untuk selama-lamanya, selagi umno relevan dimata rakyat malaysia, jangan pula ikut rentak Datuk Nasarudin adun Bota, bila kalah KB dan pengerusi felcra tidak disambung kontrak, terus jadi katak... semoga sdr HAL tidak menjadi "wartawan katak".. ingatlah slogan "dulu kini dan selamanya"

Tergelak besar saya.

Tidak terperasan oleh saya bukan ahli politik sahaja yang jadi katak. Wartawan pun ada juga ‘katak’. Siapa agaknya ya?

Lantas teringat oleh saya mereka yang pernah menjadi bos dan rakan seperjuangan ketika di 31, Jalan Riong.

Seingatan saya yang paling konsisten ialah A Samad Said dan Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail yang tidak pernah ‘bertukar angin’.

Sebaliknya yang lain, entahlah sukar dicakapkan. Datuk Ahmad Sebi menjadi ‘orang besar’ sebuah syarikat, A Kadir Jasin memiliki penerbitan sendiri (khabarnya anugerah selepas meninggalkan Berita Harian dan NST), Datuk A Nazri Abdullah (terpalit dengan pemecatan DS Anwar Ibrahim pada 1998 dan sering berulang-alik London-Kuala Lumpur-Kota Bharu) yang turut mengheret dan ‘jatuhnya’ Yunus Said, Haniff Hadi dan beberapa yang lain.

Mungkin Datuk Rejal Arbee yang pernah dalam satu kapal dengan saya ketika saya di Harian Watan dan beliau di The Sun - ‘tidak memiliki apa-apa’ selepas bersara daripada Berita Harian.
Dan kepada yang masih ada di Berita Harian hari ini, saya tidak fikir mereka akan jadi ‘ketua pengarang katak’ kerana kalaupun Perdana Menteri digantikan oleh Perdana Menteri yang baru, ia hanya peralihan.

Datuk Hishamuddin Aun atau Datuk Manja Ismail tidak akan terkesan apa-apa oleh peralihan itu. Mereka OK, kedua-duanya penyokong dan setia kepada Perdana Menteri!

Di kalangan wartawan yang mengubah angin ialah Haji Shukor Harun dan Roslan Hamid (Lan H) yang kini bersama Harakah sementara ada beberapa yang lain –Meor Kamarul Shahid- dengan sebuah majalah selepas bergelumang dengan umnotv beberapa ketika.

Sementara ada juga yang menjadi penasihat kepada akhbar tertentu walaupun kadangkala ada akhbar yang mereka nasihati itu tergelincir dan bersimpati dengan pembangkang.

Tidak apalah, demi rezeki untuk anak isteri.

Jadi bila disebut wartawan katak, sukar untuk saya menggelarkan bos dan rakan saya sendiri kerana ia rezeki masing-masing.

Untuk hidup seseorang perlu bekerja keras. Ada yang terpaksa pijak belakang orang lain untuk ke atas.

Ada rakan saya yang dulunya memang ‘wartawan UMNO’ kini sudah berpindah angin dan bekerja dengan akhbar Keadilan. Cari makan katakan.

Saya tidak mempersalahkan mereka kalau menjadi ‘katak’ untuk mencari rezeki. UMNO memang jarang mengenang budi orang biasa dan yang tidak berpangkat.

Yang dikenang oleh UMNO hanyalah pemimpin ‘berjasa’ dan yang kecil-kecil semuanya tidak berjasa dan boleh dilupakan begitu sahaja!

Kembali kepada yang suka memijak belakang – oleh kerana saya tidak rela belakang saya terus dipijak, saya cepat-cepat lompat ke Harian Watan dan kemudian bernasib baik seketika di ntv7 sebelum ke Ibu Pejabat UMNO dan kemudian Radio Televisyen Malaysia (rtm) selama lima tahun.

Bercakap mengenai wartawan katak, ada juga kartunis katak sebenarnya.

Ia bukan sesuatu yang sengaja saya ada-adakan. Orang ini pada suatu ketika meminta jasa baik kami di Berita Harian dan Harian Metro untuk ‘hidup’. Dia datang merayu agar kartunnya disiarkan di akhbar kumpulan NST.

Namun apabila namanya sudah terkenal, dia mencakar kertas dengan mengutuk dan mempersenda termasuk pemimpin utama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kartunis katak ini bangga kononnya dialah pengkritik masyarakat dan tidak lagi menyapa kami jika berjumpa.

Kerana duduknya sebaris dengan pemimpin pembangkang dia merasakan dirinya layak untuk digelak sebagai kartunis politik. Namun semua kerjanya mempersendakan orang dan ada yang hingga ke peringkat mencaci.

Tidak apalah, rezeki memang boleh dicari dan digali – walaupun menggunakan cara-cara ‘haram’ apabila mencaci, mengutuk dan mempersendakan seseorang.

Apapun hidup mesti diteruskan.

Terima kasih add kerana peringatan. Saya harap tidak lupa diri dan akan terus cuba memajukan diri!