Thursday, October 9, 2008

ABDULLAH KHIANATI NAJIB?

Datuk Seri Mohd Najib Razak akan hanya akan dapat mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agung Umno Mac depan.
Itupun kalau beliau menang jawatan Presiden UMNO.

Najib menerima jawatan bukan seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman menyerahkan kepada ayahandanya, Tun Razak Hussein atau cara Allahyarham Tun Hussein Onn menyerahkannya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian Dr Mahathir menyerahkannya kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Permainan apakah yang sedang berlaku sekarang? Bagaimana kalau ada yang mencabar Najib dan Najib kalah?
Seperti saya katakan sebelum ini, dalam tempoh enam bulan itu, antara sekarang dan Mac 2009, Abdullah akan terus berkuasa dalam suasana ‘tidak menentu’ penggantinya.

Di bawah sistem politik negara, presiden Umno secara automatik menjadi Perdana Menteri dan ketua BN, sementara timbalan presiden sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Persoalannya, ramai yang menunggu apa reaksi Tengku Razaleigh Hamzah seterusnya dan mungkin juga ada ‘kuda hitam’ bertanding menentang Najib kelak apabila Bahagian UMNO mula bersidang esok.

Umno bahagian Machang akan mengadakan mesyuarat paling awal iaitu esok diikuti Cheras (Wilayah Persekutuan), Besut (Terengganu) dan Kimanis (Sabah) yang akan bermesyuarat Sabtu ini.

Sebanyak 24 lagi bahagian akan bermesyuarat Ahad ini, iaitu Pontian, Pasir Gudang, Mersing, Pagoh dan Batu Pahat, semuanya di Johor; Rasah, Jempol dan Jelebu (Negeri Sembilan); Shah Alam dan Subang (Selangor); Semporna, Silam, Kalabakan dan Kota Kinabalu (Sabah); Bukit Gelugor dan Tasek Gelugor (Pulau Pinang); Kuantan dan Rompin (Pahang); Parit Buntar, Bagan Serai, Taiping, Beruas dan Kampar (Perak).

Selepas itu pada 18 Oktober ialah Gelang Patah, Tebrau, Kemaman, Kuala Terengganu dan Raub, manakala pada 19 Oktober ialah Nibong Tebal, Bagan, Titiwangsa, Segambut, Bandar Tun Razak, Kepong, Kulai, Ledang, Bakri, Tanjung Piai, Bukit Katil, Masjid Tanah, Alor Gajah dan Paya Besar.

Kalaupun menang sama ada melalui pertandingan pada Mac atau melalui pencalonan (jika mereka yang bercita-cita menentang Najib tidak cukup pencalonan), pastinya Najib akan dimalukan kerana mendapat penentangan, bukannya menerima jawatan dalam ‘dulang emas’ seperti yang dilakukan oleh pemimpin sebelum ini.
Untuk pertama kalinya, jawatan Perdana Menteri terumbang-ambing kerana Abdullah tidak melakukan tradisi seperti Perdana Menteri sebelumnya yang menyerahkan kuasa secara mutlak.

Dengan meletakkan syarat mesti menang Presiden bermakna pertandingan tetap terbuka dan kelebihan Najib hanya kerana dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Ada pendapat mengatakan Abdullah sebenarnya tidak ikhlas dan ‘menyusahkan Najib’ setiap masa.

Bukankah lebih baik dan memudahkan Najib jika setelah membuat keputusan tidak bertanding Presiden UMNO Abdullah menyerahkan sahaja jawatan Perdana Menteri kepada Najib dan Abdullah boleh kekal Presiden UMNO hingga Mac.

Cara ini rasanya lebih ‘adil’ untuk Najib.
Jelas sekali Abdullah menggunakan sifat ‘tidak melawan tauke’ dan ‘sentiasa taat’ Najib dengan menyusahkan Najib setiap masa.

Benarlah kata-kata beberapa pemimpin UMNO bahawa Najib ‘budak baik’ dan mematuhi ketuanya.
Malah, Najib juga ‘tidak reti’ melawan dan mengambil peluang untuk melonjak cepat. Masalahnya sikap Najib ini dibimbangi akan memakan diri kerana sebetulnya inilah masanya untuk semua ahli UMNO menilai semula siapa patut menjadi Perdana Menteri

Sila baca apa pula diperkatakan Harakahdaily

Antara Anwar dan Najib, siapa akan ke Seri Perdana?

Irwan Muhammad Zain
Wed | Oct 08, 08 | 8:47:38 pm MYT

Akhirnya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Mac 2009 dan juga tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Presiden Umno dalam pemilihan akan datang.

Keputusan Perdana Menteri itu diumumkan dalam taklimat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di PWTC petang tadi.

Abdullah pada awalnya, dijadual melepaskan jawatan tertinggi Umno dan jawatan Perdana Menteri pada pertengahan 2010.

Namun akibat dari prestasi buruk BN dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu, beliau telah didesak agar segera meletak jawatan.

Keputusan Abdullah ini membolehkan Dato' Seri Najib Tun Razak menjejakkan kaki ke Seri Perdana iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri enam bulan akan datang.

Mendiami Seri Perdana tentunya merupakan antara yang dimimpikan oleh Najib sejak lama dahulu. Dan hasrat itu makin membara tentunya bila Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa.

Pelan peralihan kuasa yang kini dipercepatkan ke Mac 2009, membolehkan Najib memegang jawatan Presiden Umno seterusnya diberikan jawatan Perdana Menteri Malaysia ke tujuh.

Mimpi Najib ini akan menjadi kenyataan dalam tempoh enam bulan akan datang. Itu pun jika tiada berlaku sebarang halangan dalam tempoh enam bulan ini.

Tempoh enam bulan akan datang tentunya amat mendebarkan Najib kerana apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh tersebut untuk menghalang beliau dari mendiami kediaman rasmi Perdana Menteri.

Yang boleh menyekat mimpi Najib dari menjadi nyata adalah jika kerusi Presiden Umno dimenangi oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang berhasrat bertanding jawatan tersebut pada Mac nanti.

Selain faktor kemenangan Ku Li, faktor pembentukan kerajaan baru oleh Pakatan Rakyat juga mampu membuatkan impian Najib terhalang.

Jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan, bukan hanya impian mendiami Seri Perdana akan terkubur tetapi kemungkinan pelbagai lagi malapetaka akan menimpa bukan hanya Najib tetapi banyak lagi pemimpin Umno yang lain.

Pembentukan kerajaan baru ini amat tidak disenangi oleh pemimpin Umno biarpun ia merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia yang sudah bosan dengan pemerintahan Umno-BN selama 51 tahun.

Biarpun pembentukan kerajaan baru tidak berlaku pada 16 September lalu - tarikh asal yang diumumkan oleh Anwar - tetapi bukan sedikit rakyat Malaysia yang berharap agar BN segera ditumbangkan.

Rakyat Malaysia yang tidak mampu berbelanja sebanyak RM7 juta untuk membeli 14 utas jam tangan di Hong Kong menunggu dengan penuh sabar Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan.

Selain Najib, Anwar juga pasti berhasrat untuk berpindah ke kediaman bernilai ratusan juta ringgit itu. Jika tidak mendiami Seri Perdana sekalipun, Ketua umum Pakatan Rakyat itu sememangnya berhajat untuk memiliki pejabat di Putrajaya.

Biarpun ramai yang mengatakan hasrat Anwar dan Pakatan Rakyat mahu menubuh kerajaan baru sebagai sesuatu yang mustahil tetapi ahli parlimen Permatang Pauh tetap yakin BN akan tumbang dalam tempoh terdekat.

Keyakinan Anwar itu membuatkan ramai yang menunggu beliau membuktikan bahawa hasratnya itu bukanlah omongan kosong semata-mata.