Thursday, March 7, 2013

'SETIAP TITIK DARAH MEREKA ADALAH SUCI BUAT KAMI' - NUR MISUARI

 Tidak Faham…

Bukan sahaja tidak faham kenapa penceroboh enggan meninggalkan Kampung Tanduo dan pulang ke Filipina untuk mengelakkan pertumpahan darah, tetapi pada pada ketika Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) tidak mahu terlibat dalam konfrontasi antara penceroboh bersenjata Sulu dan pasukan keselamatan Malaysia di timur Sabah, Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pula sebaliknya.

Nur Misuari berbincang dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi dan pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari kelmarin turut memberi amaran kepada pihak berkuasa Malaysia supaya tidak membunuh para pengikut Sultan Jamalul Kiram III di Kampung Tanduo, Sabah, lapor portal berita ABS-CBNnews.com semalam.

Misuari turut menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak mengapa-apakan adik Jamalul Kiram, Raja Muda Agbimuddin.

"Sejurus anda berbuat demikian ia sama dengan mengisytihar perang terhadap orang kami dan MNLF. Ia menjadi tugas untuk kami melindungi orang kami. Setiap titik darah mereka adalah suci buat kami,' tambah Misuari.

Misuari bagaimanapun menafikan beliau merupakan dalang dalam kejadian pencerobohan para pengikut Jamalul Kiram di Sabah.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa kali melanjutkan tempoh akhir kepada pengganas terbabit untuk pulang ke Filipina.

Bagaimanapun, usaha Najib untuk mengelak berlakunya pertumpahan darah itu tidak dihiraukan kumpulan berkenaan dan mereka terus menduduki Kampung Tanduo.

 Lebih malang, mereka memulakan pertempuran. Pastinya tindakan itu mendapat reaksi daripada pihak keselamatan.

Pengerusi MILF, Al-Haj Murad Ebrahim hari ini member jaminan - MILF - kumpulan pemberontak terbesar di Filipina itu tidak terlibat dalam konfrontasi berkenaan.

Katanya, masalah antara kumpulan pengganas itu dengan pasukan keselamatan Malaysia di Lahad Datu dan Semporna perlu diselesaikan Kuala Lumpur dan Manila.

"Masalah di sana ialah antara kerajaan Malaysia dan Filipina.

Kami serah kepada mereka untuk menyelesaikannya. Orang kami tidak terlibat dengan pencerobohan itu. Kami tak mahu terlibat dalam perkara ini, kami tak mahu menyulitkan lagi keadaan," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif melalui telefon dari kubunya di Kem Darapanan di Sultan Kudarat, Maguindanao, selatan Filipina semalam.


Sementara laporan AFP yang dipetik oleh Malaysiakini pula mengatakan pejuang dari MNLF Filipina, menuju ke Sabah untuk mengukuhkan kedudukan pengikut Sultan Sulu yang berjuang menentang pasukan keselamatan Malaysia, dakwa seorang pemimpin mereka semalam.

 "Ramai telah meloloskan diri daripada pasukan keselamatan. Mereka sudah mahir dengan kawasan tersebut kerana mereka dilatih di sana pada masa lalu," kata Muhajab Hashim, pengerusi Majlis Perintah Islam MNLF .

“Kami menjangka lebih ramai daripada mereka akan menyertai (pertempuran) walaupun jika arahan rasmi kita adalah supaya mereka mengelak pergi ke sana," katanya.

Beliau tidak pasti berapa ramai pejuang MNLF telah berjaya melepasi kawalan tentera laut Filipina dan Malaysia, tetapi berkata sebelum ini, "ribuan" telah menyatakan hasrat mereka untuk menyertai kira-kira 200 pengikut kesultanan Sulu, yang diketuai oleh Raja Muda Azzimudie Kiram.

Majlis Perintah Islam MNLF menyelia semua pasukan tentera MNLF, untuk melucutkan senjata sebagai sebahagian daripada perjanjian damai 1996 tetapi tidak dipatuhi sepenuhnya.

Hashim berkata walaupun pemimpin MNLF tidak secara rasmi mengarahkan pengikut mereka belayar ke Malaysia, tetapi mereka menyokong penuh usaha Sultan Sulu menuntut Sabah.

"Pejuang MNLF taat kepada sultan, kita adalah pengikut. Jadi ia lebih daripada satu pakatan," katanya. "Kami menentang keras serangan terhadap saudara kami dari Sulu."

Setelah rundingan yang diadakan selama tiga minggu menemui kegagalan, apabila pasukan keselamatan Malaysia diserang hendap kumpulan pengganas itu dalam dua insiden, Malaysia semalam mengambil tindakan ofensif menggunakan jet pejuang dan tentera yang menggunakan kereta perisai untuk menggempur Kampung Tanduo, Lahad Datu, yang menjadi tempat persembunyian mereka.

Lapan anggota polis terkorban dalam dua insiden serang hendap itu - dua di Lahad Datu dan enam di Semporna - manakala di pihak pengganas, 18 orang terbunuh.


Operasi sebelum Subuh (kelmarin) dikenali sebagai 'Op Daulat' itu mencapai matlamatnya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.


Operasi membanteras pengganas melibatkan lebih 2,000 anggota polis dan tentera itu kini diteruskan.

Diminta memberi pandangan tentang tindakan kumpulan berkenaan menceroboh timur Sabah, Al-Haj Murad berkata beliau tidak boleh memberi ulasan, sejajar dengan pendirian barisan itu yang tidak mahu campur tangan dalam isu berkenaan.

Bagaimanapun beliau berharap kerajaan Malaysia dan pihak pengganas dapat menyelesaikan perkara itu secara aman.

Pembantu 'sultan' berkata di Manila bahawa kumpulan Azzimudie terselamat daripada serangan, termasuk serangan udara.

MNLF diasaskan pada tahun 1960-an oleh Nur Misuari yang memperjuangkan untuk wilayah Islam di Mindanao dan pernah mendapat sokongan dari Malaysia.

Mengenai laporan pejuang Barisan MNLF bersiap sedia untuk membantu dan menyertai kumpulan pengganas itu, Al-Haj Murad berkata beliau tidak tahu menahu tentang perkara itu kerana ia melibatkan kumpulan lain.

Ditanya sama ada perjajiian damai antara pihaknya dan kerajaan Filipina, yang ditaja Malaysia, terjejas akibat pencerobohan di Sabah, beliau berkata perkara itu tidak timbul.

"Proses damai antara MILF dan kerajaan Filipina ialah perkara berasingan dan tidak akan tergendala kerana kejadian di Sabah itu. Proses damai ini sedang diteruskan," katanya.

Beliau berkata anggota pasukan perunding MILF dan kerajaan Filipina dijangka bertemu di Kuala Lumpur untuk mengadakan rundingan pusingan akhir mereka pada minggu terakhir bulan ini.

MILF dan kerajaan Filipina menandatangani perjanjian rangka kerja bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak sekian lama antara kedua-duanya yang mengakibatkan beribu-ribu nyawa melayang dan menyebabkan wilayah Mindanao yang kaya dengan sumber asli, tidak dapat dibangunkan.

Perjanjian rangka kerja antara MILF dan Manila itu ditaja Malaysia dan ditandatangani di Istana Malacanang pada 15 Oktober lalu dengan disaksikan Najib dan rakan sejawatan beliau Presiden Benigno Aquino III.