Kelmarin, pada ketika isu Imam ‘Baling Selipar’ diperkatakan kerana
kesnya dijanjikan di bawa untuk rayuan oleh peguam veteran yang juga
pemimpin DAP, Karpal Singh, Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan mengeluarkan posting untuk difahami msayarakat kenapa tindakan dilakukan oleh masjid berkenaan terhadap Hoslan Hussein.
Saksikan sendiri apa kata masjid berkenaan mengenai Imam ‘Baling Selipar’ ini.
SIAPA HOSLAN HUSSAIN YANG SEBENAR!!!!
(Thursday, March 8, 2012)
Ramai di kalangan rakyat Malaysia tertipu dengan sandiwara yang dimainkan oleh Hj Hoslan Bin Hj Hussain setelah beliau membuat kegemparan dengan membaling kedua-dua seliparnya kepada ketiga-tiga Hakim yang mengendalikan kesnya.
Siapa dia Hoslan Hussein yang sebenarnya yang dianggap oleh beberapa pihak terutamanya dari parti pembangkang sebagai seorang "hero" yang menegakkan keadilan. Maka pihak masjid terpaksa menjawab segala tohmahan yang dilemparkan oleh Hoslan Husain bagi menjaga nama baik Masjid Ar-Rahimah Kg Pandan yang sudah dicalarkan oleh manusia durjana ini dengan menjaja-jaja keburukan pihak masjid.
Hoslan Hussain berasal dari Perak tetapi sudah lama menetap di Kg Pandan.
Ayahnya Hj Hussain Bin Hj Abu Bakar, seorang yg. sering berulang-alik berjemaah di Masjid Ar-Rahimah. Disebabkan kekerapan Hj Hussain berjemaah di masjid, maka beliau sering membantu untuk melaungkan azan di kala tidak ada Muazzin di Masjid.Akhirnya Hj Hussain memohon jawatan sebagai Bilal.Dalam pada itu juga, Hj Hussain akan menjadi Imam jika sewaktu itu Imam Masjid mempunyai keuzuran dan tidak dapat hadir.
Peluang ini juga diambil oleh Hj. Hussain (bapa Hoslan) untuk memohon pula jawatan sebagai Imam, maka dijadikan sebagai Imam Kariah atau dipanggil juga Imam Rakyat.Imam Kariah hanya boleh menjadi Imam untuk Solat Fardhu biasa dan beliau tidak berkelayakan untuk membaca khutbah Juma'at dan menjadi Imam untuk Solat Jumaat.
Sementara bagi Hoslan Hussain pula, beliau sebelum ini dikenali sebagai "Mat Rempit" di Kg. Pandan. Disebabkan Hoslan begitu aktif dengan parti pembangkang yang disertainya, maka Hoslan begitu teruja apabila melihat beberapa rakan-rakannya pergi menunaikan fardhu haji. Hoslan yang bekerja di Jabatan Alam Sekitar, akhirnya dapat mengumpulkan duit untuk menunaikan fardhu haji.
Bermula dari balik hajilah, Hoslan mengubah penampilannya dengan hanya memakai jubah dan berserban walau ke mana sahaja dia pergi. Hoslan mengikuti jejak ayahnya Hj Hussain, berjemaah di Masjid Ar-Rahimah yang hanya terletak beberapa meter sahaja dari kediamannya di rumah setinggan Kg Pandan.
Pada satu Juma'at tahun 2005, Pengerusi Masjid mengumumkan bahawa masjid sedang mencari seorang Muazzin bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut. Hj Hussain meminta agar anaknya Hoslan memohon jawatan tersebut, maka disebabkan Hoslan sering berada di masjid, permohonannya diterima.
Maka bermulalah karier Hj Hoslan sebagai Muazzin dan beliau memohon agar dapat menduduki kuarters yang disediakan oleh masjid untuk kakitangan masjid. Sejak dari memegang jawatan Muazzinlah, Hoslan begitu merasa bangga dengan jawatannya apatah lagi adakalanya beliau menjadi Imam bagi mengganti keuzuran Imam yang lain.
Hoslan cuba juga memohon jawatan sebagai Imam tetapi permohonannya ditolak disebabkan beliau tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama.Difahamkan daripada Hoslan sendiri, beliau hanyalah belajar membaca Al-Quran daripada seorang Imam yang bernama Hj Salleh.(Allahyarham)
Sebagimana lazimnya seperti juga yang terjadi di masjid-masjid yang lain, Ahli Jawatankuasa Masjid sering tidak sefahaman di antara satu sama lain dalam beberapa isu.
Ketidaksefahaman mereka ini disebabkan mereka berpuak-puak dalam menjalankan sesuatu program dan bermulalah episod tuduh menuduh beberapa isu di antara mereka.
Perkara ini akhirnya sampai ke pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di mana akhirnya kesemua AJK dibubarkan dan JAWI sendiri mengambil alih pentadbiran masjid pada tahun 2006-2009. Untuk itu, pihak JAWI menghantar seorang Ketua Imam bernama Fathul Amin bagi mentadbir masjid dalam beberapa hal.
Namun begitu Fathul Amin gagal dalam menjalankan tanggung-jawabnya dan sering sahaja tidak berada di masjid, maka pihak JAWI menghantar pula seorang pembantu, Ustaz Asri yang sebelum ini bertugas di masjid Alam Shah Jalan Pasar, K.L. Kelemahan yang terdapat pada Fathul Amin, membuatkan Hoslan mengambil kesempatan untuk memohon jawatan sebagai Imam Rawatib apatah lagi Hoslan seringkali menjadi "cover-up" untuk Fathul Amin.
Dengan kuasa perlantikan yang ada kepada Fathul Amin, maka Hoslan pun berjaya mendapatkan jawatan yang diidam-idamkan sebagai Imam Rawattib.
Masalah disiplin Fathul Amin, Ketua Imam akhirnya sampai ke pengetahuan pihak JAWI dan akhirnya Fathul Amin ditukarkan ke Masjid Sg. Penchala dan tempatnya diganti oleh Ustaz Asri (pembantunya sebelum ini).Namun Fathul Amin tetap tidak berubah dan akhirnya JAWI terpaksa menamatkan perkhidmatannya sebagai Imam di Masjid Sg Penchala.
Ketua Imam yang baru, Ustaz Asri (kini bertugas di Masjid Besi Putrajaya), seorang yang begitu tegas dalam menjalankan amanahnya.Sedikit demi sedikit, masalah yang ditimbulkan oleh petugas-petugas masjid diperbetulkan dan Ustaz Asri jugalah yang bertanggung-jawab menyediakan uniform untuk Imam-Imam sebagaimana yang dipakai oleh Imam-Imam masjid yang lain.
Hoslan tidak senang dengan ketegasan Ustaz Asri kerana Hoslan sering ditegur kerana selalu ponteng tugas (di cover oleh ayahnya), dan selalu melarikan diri setiap program yang dianjurkan oleh masjid. Hoslan juga ingkar agar diwajibkan semua Imam-Imam dan Bilal memakai pakaian rasmi sewaktu Solat Jumaat kerana Hoslan lebih suka dengan penampilannya.
Sewaktu Hoslan bertugas untuk membaca khutbah dan menjadi Imam Solat Juma'at, terdapat banyak rungutan daripada jemaah kerana bacaannya dalam Solat dari segi Tajwid tidak betul.Malah beberapa jemaah juga tidak senang apabila Hoslan dengan riak seolah-olah menunjuk-nunjuk menangis sewaktu membaca Khutbah. Daripada rungutan jamaah tersebutlah, maka pihak masjid mengambil keputusan untuk tidak membenarkan Hoslan membaca khutbah dan menjadi Imam bagi Solat Juma'at.
Hoslan juga dinasihati agar mendalami ilmu Tajwid kerana masjid juga mengadakan pengajian Bertalaqi al-Quran bertajwid yang dibimbing oleh Ustaz Khalid Isa. Namun Hoslan tetap dengan pendiriannya untuk tidak belajar dengan berkata, bahawa beliau hanya menyerahkan bacaannya kepada Allah swt.
Masjid Ar-Rahimah sebagaimana lazimnya juga menjemput penceramah untuk menyampaikan Tazkirah Juma'at.
Pada satu Juma'at sekitar tahun 2008, seorang Pegawai Jakim datang menyampaikan
Tazkirahnya dan seterusnya akan menaiki mimbar untuk berkhutbah dan menjadi Imam Solat.Hal ini tidak disenangi oleh Hoslan yang akhirnya beliau sendiri naik ke atas mimbar untuk berkhutbah dan sudah tidak dapat dihalangi lagi.
Sebelum itu, berlaku sedikit pertengkaran di dalam bilik Imam di mana Hoslan memanggil semua Imam-Imam kecuali ayahnya sebagai syaitan. Perbuatan Hoslan menaiki mimbar membuatkan pihak JAWI memanggil beliau untuk diberi kaunseling yang diketuai oleh Ustaz Syed Abdullah.
Hoslan yang menjadi Imam Rawatib ditawarkan rumah wakaf kepunyaan masjid tetapi di atas nasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, rumah tersebut tidak sesuai didiami kerana terlalu hampir dengan jalanraya. Maka pihak masjid mengarahkan Hoslan menduduki kuarters yg. terletak di dalam masjid di mana kuarters tersebut telah dikosongkan oleh Imam Zakaria@Zubir.Imam Zakaria sebagai pendaftar nikah, berpindah pula ke kuarters masjid yang lebih selesa kerana dikosong oleh Imam Zahid Ya'acob.
Imam Zahid ditukarkan ke Masjid At-Tarmidzi Taman Sentosa Jln kelang Lama yang baru siap dibina. Disebabkan tidak sabar untuk Hoslan menduduki kuarters yang berjiran dengan ayahnya, maka Hoslan memecah masuk kuarters tersebut tanpa memaklumkan kepada Ustaz Asri, Ketua Imam.
Perbuatannya itu ditegur oleh Ustaz Asri dan Hoslan mula menaburkan fitnah dengan mengatakan Ustaz Asri datang ke rumahnya seperti gengster.
Penamatan jawatan Imam Hj Hoslan berlaku, apabila Hoslan sekali lagi bertindak menaiki mimbar untuk berkhutbah walaupun dilarang.
Kali ini Hoslan tidak memakai jubahnya dan berserban tetapi memakai baju Melayu sepasang, bersampin dan memakai songkok.
Beberapa jemaah yang melihat Hoslan, ketawa dengan gelagat yang ditunjukkan oleh Hoslan.Maka sekali lagi pihak JAWI memanggilnya dan terpaksa menamatkan perkhidmatannya setelah diberi nasihat, kaunseling dan amaran berkali-kali.
Dengan itu Hoslan juga diminta agar mengosongkan kuarters yang didiaminya kerana ia untuk digunakan juga oleh pegawai-pegawai masjid yang hanya menumpang di kuarters2 pegawai yang lain. Hoslan tetap berkeras tidak mahu pindah walaupun pihak masjid dengan begitu baik memohon untuknya Pangsapuri PPRT di Jalan Chocrane.
Kedegilan Hoslan membuatkan pihak masjid terpaksa memotong bekalan api dan air di kuarters tersebut, namun Hoslan bertindak pula menyambung getah dengan mengambil air dari pili masjid, sementara bekalan elektrik diambil dari rumah ayahnya dengan menyambung wayar.
Akhirnya pihak masjid tidak ada pilihan selain daripada mengambil tindakan mahkamah ke atas Hoslan dan bermulalah kes Hoslan di mahkamah. Hoslan juga sering membuat kacau di mana pada satu Juma'at, Khatib sedang membacakan khutbah melarang umat Islam menyertai Perhimpunan Bersih, maka Hoslan terus membuka jubahnya dengan mempamirkan baju Bersih yang ada di dalam jubahnya.Disebabkan perbuatnnya itulah, pihak polis terpaksa menahan beliau dan menyiasat kegiatannya.
Hoslan yang cuba merayu dengan membangkitkan beberapa isu yang tidak berkaitan, membuatkan Hakim terpaksa menolak rayuannya.Sebagaimana sikapnya yang keras hati, itulah yang ditunjukkannya kepada semua masyarakat sehingga sanggup membaling kedua-dua seliparnya ke arah ketiga-tiga Hakim.
Kemudian sebagaimana lazimnya, Hoslan akan menjaja-jaja kepada umum sambil mempamirkan kewarakkannya untuk meraih simpati tentang keburukan mahkamah pula.
Akhirnya di atas kebijaksanaan Hakim-Hakim, maka Hoslan terpaksa didiamkan dan dipenjara selama setahun di atas perbuatannya yang keterlaluan menghina Instituti Kehakiman.
Buat pengetahuan umum. bapanya Hj Hussain jiga ditamatkan perkhidmatannya sebagai Imam Kariah kerana faktor usia.Ini memandangkan pihak JAWI mengambil berat dari segi bacaan dan lain-lainnya.
Namun begitu pihak JAWI dan masjid, begitu bermurah hati memeberi keizinan untuk ayahnya terus menduduki kuarters masjid disebabkan beliau tidak mempunyai kediaman yang tetap.
Kami berharap, dengan pendedahan ini akan membuka mata semua masyarakat tentang perkara yang sebenarnya berlaku.Hoslan dipecat di atas perangi buruknya sendiri dan pemecatan dilakukan oleh pihak JAWI dan tidak ada unsur-unsur keterlibatan orang-orang politik seperti yang dijaja-jaja olehnya.
Fahami dan nilailah sendiri dengan bijaksana!!!