Tuesday, February 16, 2010

SETIAUSAHA POLITIK NOR MOHAMED YAKCOP TIDAK BERSALAH?

Milik siapa wang RM2 juta?

Benarkah ia milik kepada setiausaha politik kepada seorang menteri kanan atau dia hanya balaci dan tukang kutip atau tukang simpan sahaja?

Cakap-cakap kini kedengaran bahawa setiausaha politik berkenaan hanya ‘menumpang senang’ menteri kanan berkenaan.

Cakap-cakap juga mula kedengaran bahawa menteri kanan berkenaan turu disiasat dan tidak akan dilepaskan dengan mudah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hasbie Satar, setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dilaporkan meletakkan jawatan berkuat kuasa kelmarin.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri semalam.

Kenyataan satu perenggan itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu.

Kenyataan menteri itu memberitahu, Hasbie menyerahkan surat peletakan jawatannya yang berkuat kuasa semalam.

Nor Mohamed ketika ditanya sama ada Hasbie merupakan individu yang ditangkap dalam serbuan oleh SPRM, Khamis lalu di Butterworth, beliau berkata:
"Saya hanya boleh sahkan kenyataan yang saya hantar itu hari ini."

Nor Mohamed yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bagaimanapun tidak menyebut sebab-sebab peletakan jawatan berkenaan.

Hasbie adalah antara 27 pegawai yang dilantik ke jawatan tersebut pada April 2008 semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

Dia dilantik sebagai setiausaha politik kepada Nor Mohamed yang sebelum itu merupakan Menteri Kewangan II.

Semalam mStar Online melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang setiausaha politik kepada menteri kanan bersama longgokan wang tunai berjumlah lebih RM2 juta.

Wang tunai itu ditemui dalam longgokan wang RM5, RM10, RM50 dan RM100.
Difahamkan pegawai SPRM dari Putrajaya yang menyerbu sebuah pangsapuri di Teluk Air Tawar pukul 3.30 petang Jumaat itu, turut merampas kenderaan pacuan empat roda yang didaftarkan di bawah nama sebuah syarikat yang berpangkalan di Pulau Tikus.
Turut disita ialah sebuah kereta BMW yang didaftarkan di bawah nama individu dari Sarawak.

Tidak dapat dipastikan dari mana suspek memperoleh wang tunai sebanyak itu dan tujuan menyimpannya.

Sebelum ini, akaun bank suspek telah dibekukan bagi tujuan siasatan SPRM.
Pada 13 Disember lalu, The Star melaporkan bahawa SPRM menyiasat seorang setiausaha politik yang dikatakan mengumpulkan berjuta-juta ringgit nilai hartanah dalam tempoh yang singkat.

Pegawai penyiasat juga memperoleh arahan untuk menahan dan membekukan beberapa hartanah termasuk kereta dan rumah mewah bagi membantu siasatan di awah Akta Pengubahan Wang Haram.

Laporan itu turut menyebut, suruhanjaya itu menyita sekurang-kurangnya empat kereta mewah dan empat rumah mewah yang dipercayai milik setiausaha politik berkenaan yang berusia 30-an.

Selain itu, SPRM turut menyiasat pembelian beberapa hartanah di sekitar Lembah Klang yang dikatakan sebagai balasan meluluskan beberapa projek bernilai jutaan ringgit.

Laporan yang memetik sumber itu memberitahu, pegawai penyiasat turut mengenal pasti beberapa individu berkaitan kes terbabit dan akan memanggil mereka membantu siasatan tidak lama lagi.