Wednesday, November 19, 2008

UMNO PECAT AJK TANAH MERAH

Pada ketika Mahkamah Tinggi Kota Bharu akan mendengar kes saman memohon diketepikan perintah injunksi yang menghalang 32 orang daripada menunaikan tanggungjawab sebagai ahli UMNO esok, ahli jawatankuasa Bahagian Umno Tanah Merah, Abdul Rahman Ibrahim dipecat daripada Umno.

Ia ekoran tindakannya mengemukakan saman pemula dan mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi menghalang 32 ahli termasuk bekas Ketua Pemuda, Ikmal Hisham Abdul Aziz menghadiri mesyuarat bahagian tersebut.

Abdul Rahman mendapatkan perintah itu pada 4 November lalu yang berkuatkuasa sehingga esok.

Sebagai plaintif dalam kes ini, Abdul Rahman mendakwa defendan tidak membayar yuran keahlian pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007 telah mendapatkan perintah mahkamah pada 6 November lalu yang menghalang kesemua defendan daripada menggunakan hak sebagai ahli UMNO.

Mereka ditegah daripada bercakap, mengemukakan pendapat, mengundi, memilih atau dilantik sebarang jawatan dalam parti dalam mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 8 November lalu.

Ekoran perintah itu, persidangan yang baru dimulakan telah ditangguhkan atas nasihat peguam parti. Difahamkan ini merupakan kes kedua sejak 2002, hal ehwal kesahihan keahlian dan mesyuarat UMNO telah dicabar di mahkamah.

Kemudian pada 12 November lalu, seramai 32 ahli UMNO Bahagian Tanah Merah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu bagi memohon diketepikan perintah injunksi yang menghalang mereka daripada menunaikan tanggungjawab sebagai ahli.

Permohonan agar saman pemula itu turut ditolak telah difailkan oleh Ali Akhbar Mayim bagi pihak semua defendan melalui peguam yang mewakili mereka, Datuk Mohd. Hafarizam Harun.
Hafarizam sebelum ini berkata pihaknya telah memohon mahkamah agar dapat mendengar kes ini dengan kadar segera.

''Ini kerana permohonan inter-parte (kedua-dua pihak) itu akan luput pada 20 November dan berharap ia dapat didengar sebelum atau pada tarikh berkenaan," ujarnya.
Menurut surat dari ibupejabat Umno yang bertarikh 18 November 2008 itu, pemecatan Abdul Rahman berkuatkuasa pada 4 November lalu.

Surat tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Surat itu antara lain menyebut, mesyuarat jawatankuasa pengurusa Majlis Tertinggi Umno yang bersidang kelmarin memutuskan keahlian Abdul Rahman gugur berkuatkuasa 4 November mengikut Fasal 20.7 Perlembagaan Umno kerana membawa perkara parti ke mahkamah.

Menurut Malaysiakini, ketika dihubungi petang ini, Abdul Rahman mengesahkan beliau menerima surat tersebut semalam.

Sebelum ini, beliau juga telah menerima surat tunjuk sebab bertarikh 12 November dari ibupejabat Umno berhubung tindakannya mendapatkan perintah mahkamah tersebut.

Surat tersebut, yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerja Umno, Datuk Husainay Hashim, meminta Abdul Rahman memberi sebab-sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya ekoran tindakannya itu.

Abdul Rahman diberi tempoh seminggu untuk memberi jawapan.
Afidavit untuk menolak saman pemula itu menyebut bahawa perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) telah dalam maksud tersurat dan tersirat menghalang persidangan perwakilan UMNO bahagian itu daripada berlangsung.

Walaupun ia ditujukan kepada perwakilan yang hadir tetapi tanpa kehadiran defendan-defenden itu, mesyuarat UMNO bahagian telah terpaksa ditangguhkan, justeru ia bersifat menghalang mesyuarat dan bertentangan dengan aturan 29 Kaedah B, Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

Di samping itu juga, plaintif tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) kerana dengan membawa tindakan ke mahkamah, maka menurut fasal 20.7 perlembagaan UMNO, plaintif telah gugur keahlian di dalam UMNO dengan sendirinya.

Dalam soal ini juga, defendan menegaskan tiada isu serius untuk dibicarakan kerana keahlian mereka telah disahkan oleh ibu pejabat UMNO Malaysia dan layak untuk menghadiri persidangan tersebut kerana telah membayar yuran keahlian 2007.

Afidavit itu turut mengemukakan pengesahan yang telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Dalam afidavit sokongan berkenaan, tiga alasan utama dikemukakan, termasuk bahawa prosiding sedemikian jelas dilarang oleh undang-undang di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan.

Akta itu antara lain menyatakan apa-apa keputusan sesebuah parti politik adalah akhir dan muktamad serta boleh dicabar, dirayu, dikaji semula, dipersoalkan di dalam mahkamah.
Di bawah akta itu, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayan apa-apa alasan berhubung kesahihan.

Menurut kandungan afidavit itu, keputusan sama ada ahli berkenaan membayar yuran atau tidak adalah suatu keputusan parti yang tidak boleh dicabar disebabkan halangan di dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan,

ISU PAMPENA – ANGKARA SIAPA?

Berapa banyak wang kerajaan lesap apabila syarikat subsidiari Kementerian Pelancongan, Kumpulan Pampena dilaporkan mengalami kerugian teruk?

Bukankah pelaburan menggunakan wang kerajaan itu bermakna menggunakan wang rakyat?

Kenapakah isu ini lama sangat untuk didedahkan kepada rakyat?

Semalam Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang meminta agar Jawatankuasa Kira-kira Parlimen (PAC) melakukan siasatan awal berhubung laporan yang dikeluarkan oleh firma audit PricewaterhouseCoopers Capital Sdn Bhd (PwC Capital), berhubung status syarikat berkenaan.

Laporan Audit yang dikeluarkan oleh PwC Capital dikatakan berbeza dengan laporan audit dalaman syarikat tersebut.

Kit Siang menjelaskan skandal yang dihadapi oleh syarikat berkenaan berlaku sebelum Datuk Seri Azalina Othman Said menjawat jawatan Menteri Perlancongan.

Jika sebelum Azalina, syarikat kroni siapakah ini?

Menteri Pelancongan sebelum ini ialah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Michael Toyad dan sebelumnya Datuk Seri, Abdul Kadir Shekih Fadzil.

Dilaporkan hanya dua atau tiga syarikat sahaja daripada keseluruhan 24 syarikat dibawah Pampena yang untung sejak ia beroperasi tiga tahun lalu.

Kit Siang dalam sidang media di Parlimen pagi ini, menggesaPAC untuk melakukan siasatan awal berhubung skandal kewangan dalam syarikat berkenaan dan menyiasat laporan audit PwC Capital serta audit dalaman Kementerian Perlancongan.

Kit Siang menambah laporan PwC Capital adalah sangat memerajatkan kerana menunjukan laporan audit dalaman yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab oleh syarikat milik kerajaan.

Antaranya PwC Capital turut mendedahkan bahawa enam syarikat daripada 24 syarikat yang melabur didalam Kumpulan Pampena tidak memiliki maklumat kewangan dan 3 syarikat lagi hanya memiliki separuh maklumat kewangan.

Sebelum ini, Menteri Azalina dilaporkan berkata, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh PwC Capital, Pampena melabur RM54 juta daripada Mac 1977 hingga November 2007 dan terlibat dalam projek-projek yang boleh dipersoalkan dan tidak sepatutnya dibuat.

Katanya sebanyak RM30 juta peruntukan kerajaan telah diagihkan kepada Pampena untuk mempromosikan Malaysia melalui makanan di luar negeri.

“Sehingga 15 Oktober lalu, RM9.1 juta telah dibelanjakan dan bakinya sebanyak RM0.9 juta akan dibelanjakan sehingga akhir tahun depan.

“Manakala bakinya sebanyak RM20 juta masih ada di Kementerian untuk tahun 2009 dan 2010.”kata Azalina di Parlimen ketika menjawab soalan Wakil Ipoh Timur, Lim Kit Siang di Parlimen baru-baru ini.

Katanya Syarikat yang terbabit dengan skim sewa beli teksi telah dihentikan operasinya dan pihak bank telah merampas kenderaan (teksi) tersebut.

Pempena Executives Taxi Sdn Bhd tidak berupaya menjalan khidmat dan mengalami kerugian setelah perbelanjaan RM 11 juta dikeluarkan.

Perkhidmatan teksi eksekutif milik anak syarikat Tourism Malaysia, Pampena Sdn. Bhd. Dilancarkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 2 Februari 2007 di Kuala Lumpur.

Turut hadir pada pelancaran itu ialah Menteri Pelancongan ketika itu, Tengku Adnan.

Dilaporkan pada musim Monsoon Cup tahun lalu (2007) menyaksikan kehadiran ‘teksi asing’ di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) yang telah menyekat rezeki teksi tempatan

Kehadiran secara tiba-tiba Teksi ‘Limusin’ warna biru berjenama Hyundai dilabel sebagai ‘Teksi Eksekutif’ yang bertulis ‘Official Car - World Richest Sailing Event’ telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan pengusaha teksi lapangan terbang Sultan Mahmud.

Teksi tersebut dikatakan dimiliki oleh Syarikat Pempena Executive Taxi Sdn Bhd atau dikenali sebagai PETS adalah anak syarikat Pempena Sdn Bhd (Pampena) subsidiari kepada Kementerian Pelancongan Malaysia.

TAPAK WARISAN DUNIA DIISYTIHAR

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang berada di Tashkent, Uzbekistan semalam berkata, Malaysia boleh belajar daripada Uzbekistan dalam cara memulihara bangunan dan warisan kraftangannya.

Katanya, negara itu mampu memulihara bangunan lamanya yang separuh rosak menggunakan kaedah tradisional walaupun bahan untuk kaedah seumpama itu tidak lagi wujud pada masa ini.

Mereka dapat memulihara bangunan berusia beratus-ratus tahun apabila Tashkent wujud sejak 2,000 tahun lalu sementara Samarkand 2,750 tahun dengan bangunan-bangunan lamanya masih berdiri kukuh.

Senibina Uzbekistan bukan sesuatu yang asing bagi Malaysia memandangkan Masjid Putrajaya, Galeri Perdana di Langkawi dan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang sedang dibina menerapkan elemen senibina seumpama itu.

Beliau adalah anggota delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk lawatan rasmi ke negara ini selama empat hari berakhir hari ini.

Soal memulihara bangunan dan warisan kraftangan ini penting kerana Malaysia terbabit secara langsung apabila Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memberikan pengiktirafan terhadap Melaka dan Georgetown sebagai tapak warisan dunia sejak 7 Julai lalu.

Dan majlis penting penyerahan watikah pengisytiharan Melaka dan Georgetown sebagai tapak warisan dunia akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur Ahad ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka berkenan menyempurnakan majlis tersebut yang akan bermula pada pukul 7.45 malam.

Pengiktirafan UNESCO itu adalah pertama kali ke atas tapak warisan di bawah kategori kebudayaan,

Upacara penerimaan plak dan watikah pengiktirafan daripada pihak UNESCO kepada kerajaan Malaysia akan diadakan dengan penuh adat istiadat kerajaan Melayu lama termasuk perarakan bergajah dan berkuda.

Laporan Bernama menyebut, turut diadakan perarakan dan persembahan kebudayaan dengan penyertaan masyarakat berbilang-bilang kaum dan budaya seperti perarakan Baba Nyonya, Chetti, Portugis, Chingay dan lain-lain.

Ia bagi menonjolkan nilai warisan yang terdapat di kedua-dua negeri terbabit terutama di kawasan yang diiktiraf sebagi warisan dunia oleh UNESCO.

Ketua Menteri Melaka , Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata pada 5 November lalu, kerajaan negeri akan meningkatkan promosi Melaka sebagai Bandar Raya Warisan Dunia di luar negara sebagai usaha meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Katanya, berdasarkan maklum balas yang diterima pada pertemuan beliau dengan 12 duta dan pesuruhjaya tinggi asing semalam, mereka begitu berminat untuk mengetahui tentang kelebihan Melaka sebagai bandar raya warisan dunia.

Beliau berkata, untuk permulaan satu promosi mengenainya dan produk baru pelancongan negeri akan diadakan di Singapura sebagai usaha menarik pelancong dari negara jiran itu datang ke Melaka.

''Pesuruhjaya Tinggi Singapura sendiri ada mencadangkan agar Melaka mengadakan promosi di negaranya memandangkan keadaan ekonomi dunia sekarang, kebanyakan warga mereka mengambil sikap berjimat cermat.'Mereka tidak perlu lagi melancong ke negara-negara lain sebaliknya boleh datang ke Melaka," katanya baru-baru ini.

Mohd Ali sudah berunding dengan 12 duta dan pesuruhjaya tinggi asing - Argentina, Kenya, Peru, Maghribi, Singapura, Thailand, Bangladesh, Korea Selatan, Jepun, Sepanyol, Jerman dan Kanada – dan mereka tertarik dengan produk-produk pelancongan baru yang ada di negeri Melaka yang sedang dan akan dimajukan di samping keistimewaan Melaka sehingga dipilih sebagai bandar raya warisan dunia.

Sewajarnya Melaka membuat promosi lebih kerap di negara berkenaan bagi menggalakkan rakyat di negara masing-masing berkunjung ke Melaka.

Melaka mensasarkan untuk mencapai 7.4 juta pelancong datang ke Melaka tahun depan.

MENCERCA NAJIB MELALUI BLOG

Sepuluh tahun dahulu, Tun Dr Mahthir Mohamad terkena penangan ini. Beliau digambarkan dengan pelbagai wajah termasuk Firaun dan Mahazalim.

Kini giliran Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pula merasainya. Beliau digambarkan sebagai ‘pembunuh’.

Bezanya, Dr Mahathir diserang bersaorangan dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anak-anak tidak terheret sama.

Tetapi kali ini, serangan terhadap Najib turut ditumpukan kepada isterinya, Puan Seri Rosmah Mansor. Malah anak-anak mereka berdua diheret sama.

Itulah cabarannya kepada seseorang yang mahu menjadi ‘orang paling berkuasa’ di Malaysia.
Hakikatnya Najib belum berkuasa, baru menang jawatan Presiden UMNO. Dia masih Timbalan Perdana Menteri.

Apapun, serangan seperti ini bukan baru tetapi telah dimulakan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke 12 lagi. Ia diperkuatkan lagi ketika kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh yang lalu.

Kempen ‘Selamatkan UMNO’ yang dilakukan oleh pihak-pihak yang menjadikan serangan ‘peribadi’ untuk ‘membunuh imej Najib’ dijalankan secara terancang.

Mereka melakukannya melalui ‘selamatkanumno.blogspot.com’. Blog ini turut melancarkan undian bertemakan: “Layakkah ‘Pembunuh’ Memimpin UMNO dan Malaysia’?

Sudah pastilah kerana laman ini anti-Najib, ramai yang mengundi menyokong ‘Ya’.

Antara perkataan yang diutarakan ialah “Sekarang tiba masanya untuk umno diselamatkan. Parti Melayu yang terunggul ini sedang dalam bahaya. Bakal dipimpin oleh pemusnah bangsa. Selamatkan Umno. Selamatkan Malaysia.”

Selain itu apa kata mereka melalui “Kempen Selamatkan UMNO secara besar-besaran?”

1. Posting pertama pada 6 November2008 lalu menyebut: “ Kempen untuk menyelamatkan UMNO telah bermula secara besar-besaran. Ahli-ahli UMNO yang cintakan parti dan rakyat Malaysia yang cintakan negara diminta untuk bersama. Beritahu kepada adik, kakak, abang, bapa, ibu, saudara-mara dan teman-teman tentang bahaya jika Dato' Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan negara.Kita tidak mahu seorang "pembunuh" yang mempunyai banyak skandal untuk memimpin negara.

UMNO dan Malaysia akan hancur jika kekuasaan jatuh ketangan Najib. Kita masih mempunyai masa yang cukup untuk mendesak agar Pak Lah untuk terus memimpin Malaysia. Demokrasi dalam UMNO telah dibeli oleh Najib dan kerana itulah dia menang tanpa bertanding sebagai Presiden UMNO. Hanya ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia sahaja yang mempunyai kuasa untuk menyelamatkan parti yang kita cintai dan negara yang telah berdiri selama 51 tahun ini. - Selamatkan UMNO!

2. Posting kedua pada 7 November 2008 pula berkata: “Kempen ini tidak akan berhenti dan akan diteruskan sehinggalah UMNO dan rakyat Malaysia dapat diselamatkan daripada diperintah oleh pembunuh yang bernama Dato' Seri Najib Tun Razak. Sertai kami. Anda boleh mencetak sendiri banner, bunting, poster dan risalah untuk memberitahu ahli-ahli UMNO yang lain serta rakyat Malaysia tentang siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri kita. “ – Selamatkan UMNO!

Timbul juga persoalan apakah ‘blogers pro KJ’ (Khairy Jamaluddin) terbabit dengan pengendalian blog selamatkanumno.blogspot,com ini?

Kumpulan yang ‘pro KJ’, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan setelah meneliti blog berkenaan, mereka merumuskan blog ini sebenarnya bagaikan melastik dua ekor burung dengan sebiji batu.

Kata mereka: “Kami adalah penyokong setia DS Najib Tun Razak, dan kami tidaklah meminta agar laman web kami di iktirafkan oleh DS Najib. Kami juga tidak akan menikam Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dari belakang.”

Jika diamati, blog ini cuba melagakan calon Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dengan memaparkan link-link laman yang pro kepada Khairy Jamaluddin secara tidak langsung. Laman ini telah memaparkan link kepada SUARA SUKJ, www.prokhairy.com, Kulit Pisang, Pejuang Bangsa, Pemuda Berani dan yang menariknya dikaitkan juga dengan blog jejak Azalina.

Blog sebegini sememangnya pernah lahir disaat pertandingan atau pilihanraya untuk menjatuhkan kredibiliti dan untuk melaga-lagakan dan menimbul rasa sangsi kepada kumpulan bloggers lawan, ini permainan biasa, umpamanya, bloggers yang sama juga pernah membina blog Azalinalesbian dan menggunakan bloggers rocky untuk menyebarkan blog berkenaan.

Tujuan mengapa blog itu lahir sebenanya jelas. Semua ini telah dijejaki oleh orang-orang Azalina tetapi kerana mereka bersikap matang dan mahu menjaga setiakawan, mereka hanya mendiamkan diri sahaja walaupun mengetahui siapakah sebenarnya dalang yang melahirkan blog berkenaan.

Sama juga seperti blog selamatkanumno ini, tujuan mereka adalah untuk melagakan orang-orang Najib dan orang-orang Khairy Jamaluddin.”

Persoalannya, kini ada pihak sanggup ‘bermain kotor’ seperti ini hanya kerana kecewa Najib terpilih untuk menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.