Friday, April 1, 2011

Rakaman Video Seks Tulen: KPN

Rakaman video seks yang didakwa membabitkan seorang pembangkang telah disahkan ketulennya oleh pakar tempatan yang melakukan pemeriksaan terhadap video berkenaan, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata siasatan kini dalam peringkat akhir oleh pasukan khas yang ditubuhkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi menyiasat rakaman video seks berkenaan.

"Dengan ini diumumkan bahawa siasatan (video) kini di tahap terakhir...ini bermakna polis telah menerima laporan pakar mengenai kesahihan video itu.

Dengan kata lain, rakaman itu adalah tulen," katanya pada sidang media tergempar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti pelaku dalam video seks terbabit. Ismail berkata kertas siasatan berhubung kes itu akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untum tindakan selanjutnya.

Katanya setakat ini seramai tiga individu telah ditahan namun dilepaskan dengan jaminan polis. Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan identiti ketiga-tiga individu tersebut namun memberitahu polis akan memanggil sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan berkaitan kes itu.

Mengenai perkembangan virus Adenovirus, Ismail berkata setakat ini hanya seorang pelatih Pulapol yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Pelatih wanita itu berada dalam keadaan tidak serius dan kini ditempatkan di wad biasa, manakala enam lagi menjalani pengasingan," katanya.

"Keadaan di Pulapol normal, tidak lama lagi latihan asas inspektor dan konstabel akan diteruskan. Saya telah meninjau langkah yang telah diambil oleh pihak komandan Pulapol untuk menentukan persekitaran di pusat itu adalah bersih," katanya.

Justeru itu, beliau meminta pihak Pulapol supaya mengatur satu aktiviti gotong royong bagi meningkatkan tahap kebersihan di kawasan itu.

Setakat ini, seramai tiga pelatih pusat tersebut maut akibat virus itu dan yang terbaru membabitkan pelatih konstabel, Mohammad Siman, 23, yang meninggal dunia pada 11.30 malam, Rabu lalu, selepas menerima rawatan selama hampir sebulan di HKL.