Monday, October 10, 2016

SKANDAL 1MDB-BSI SEMAKIN HAMPIR DIDEDAHKAN - 2 LAGI DIDAKWA DI SINGAPURA


"Apakah pada perbicaraan  kelak akan mendedahkan banyak 'rahsia dan jawapan'  membabitkan kerja ‘haram’ mengenai pengubahan wang, transaksi serta juga pemalsuan dokumen tertentu yang mungkin ‘meresahkan pihak tertentu’."

Memang ketika ini tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Atau masih tersembunyi dan menjadi rahsia sebelum didedahkan di Mahkamah Singapura.

Namun tindakan Polis Singapura hari ini mendakwa dua lagi bekas pegawai kanan bank swasta Switzerland (BSI) memberikan gambaran bagaimana seriusnya kerajaan republik itu melihat kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perbicaraan dijangka mulai 31 Oktober hingga 11 November depan dijangka akan mendedahkan banyak perkara.

Persoalannya apakah dengan perbicaraan mereka kelak akan mendedahkan banyak 'rahsia dan jawapan'  yang mungkin ‘meresahkan pihak tertentu’?

Ini kerana pegawai-pegawai ini dituduh terbabit dalam kerja-kerja ‘haram’ membabitkan pengubahan wang, transaksi serta juga pemalsuan dokumen tertentu melibatkan 1MDB.

Mei lalu, bank pusat Singapura mengarahkan penutupan operasi BSI di bandar raya itu, manakala Switzerland pula memulakan prosiding jenayah terhadap bank swasta itu.

Ia adalah antara tindakan keras antarabangsa yang terbesar dilakukan terhadap entiti kewangan yang berurusan dengan 1MDB.

Pendakwaan terhadap dua lagi bekas kakitangan BSI ini dilihat penting, pada ketika siasatan berterusan membawa kepada penutupan cawangan bank swasta Switzerland di republik itu, Mei lalu.


Dua pegawai bank terbabit peranannya dalam mengendalikan hubungan bank itu dengan 1MDB yang dilanda masalah.

Pegawai berkenaan ialah Yak Yew Chee, 57 ialah naib presiden kanan di BSI Singapura didakwa melakukan pemalsuan dan kegagalan mendedahkan transaksi mencurigakan.

Jabatan Hal Ehwal Komersial Polis Singapura turut memfailkan dakwaan sama terhadap Yvonne Seah Yew Foong, 45, bekas pengarah BSI.

Mei lalu, bank pusat Singapura merujuk enam  kakitangan dan pegawai kanan pengurusan BSI, termasuk Yak dan Seah kepada pendakwa raya untuk menilai jika mereka melakukan kesalahan.

Laporan Straits Times Singapura hari ini menyebut, kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan S$35,000 setipa orang dan menyerahkan passport antarabangsa mereka.

Pendakwaan dua pegawai  ini kini menjadikan empat semuanya dibawa ke muka pengadilan kerana terbabit dengan isu 1MDB yang kini turut disiasat oleh pihak nerkuasa Amerika Syarikat dan Switzerland selain Singapura.

Siasatan memusatkan kepada bagaimana dana AS$3.5 billion yang diwujudkan bagi tujuan pembangunan di Malaysia disalahgunakan.


Sementara itu, pendakwaan terhadap seorang lagi pegawai bank, Yeo Jiawei, yang dituduh memainkan peranan penting dalam operasi pemindahan wang haram membabitkan empat pertuduhan daripada 11 yang dikenakan terhadap beliau bermula 31 Oktober depan dan dijangka berlanjutan sehingga 11 November.

Yeo akan berdepan empat pertuduhan termasuk dua pertuduhan baru yang dikaitkan dengan mengganggu saksi selain dua pertuduhan iaitu memutarbelitkan keadilan dalam perbicaraan akan datang.

Yeo, juga menghadapi tuduhan lain, termasuk pemalsuan dan pengubahan wang haram, tidak dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada bulan Mei lalu.

Yeo adalah antara lima bekas kakitangan BSI yang dirujuk oleh bank pusat Singapura kepada pendakwa raya untuk kemungkinan dikenakan tuduhan jenayah.

Sebelum ini, seorang lagi warga Singapura, Kelvin Ang Wee Keng, yang didakwa pada 20 April dengan dakwaan transaksi rasuah, dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak S$100,000.

Ang sebelum ini dipercayai remiser dengan Maybank Kim Eng Securities, didakwa membayar penganalisis Lee Chee Waiy sebanyak S$3,000 bagi mempercepatkan penilaian yang memihak kepada 1MDB mengenai asetnya di Kepulauan Cayman.

“Penyiasatan mengenai dana berkaitan 1MDB melalui Singapura sedang berjalan,” demikian tegas pejabat Peguam Negara.


Individu lain termasuk pekerja BSI Singapura yang dinamakan oleh Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) dalam kes ini sedang berdepan siasatan, kata pejabat berkenaan.