Thursday, March 22, 2012

PINJAMAN PELAJAR - PAS RASA BERDOSA, BERSIH MAHU LAWAN...

PAS mengadakan pertemuan dengan Yayasan Terengganu baru-baru ini bagi menuntut pinjaman dikembalikan kepada pelajar Terengganu yang menuntut di Mesir.
Amat jelas kini PAS nampak seperti merasa begitu berdosa menyebabkan Yayasan Terengganu bertindak menarik balik pinjaman pelajaran terhadap sembilan pelajar Melayu dan Islam dari Terengganu yang menuntut di Mesir.

Ia mengadakan pertemuan dengan Yayasan Terengganu dan mohon diberikan peluang kedua kepada pelajar berkenaan.

Sebaliknya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pula mahu membantu pelajar dari segi dana dan peguam (saman menyamanlah jawapnya!).

Tidak mengapa, terpulang kepada pelajar dan ibu bapa berkenaan untuk mengambil jalan mana. Merayu ada ruang untuk mendapatkan balik pinjaman dengan cepat dan jika ikut saman menyaman akan mengambil masa. 

Apakah pelajar dan ibubapa mahu mengambil risiko terpaksa menunggu lebih lama (itupun kalau menang, kalau kalah apakah sanggup memperjudikan masa yang terbuang begitu sahaja?)

Peluang atau pilihan adalah kepada mereka  - sama ada untuk masa depan atau menjaga maruah atau fahaman politik. Boleh cuba! 

Namun di pihak PAS, baguslah jika rasa berdosa dan lain kali tolonglah jangan ulangi perbuatan mempengaruhi pelajar kerana mereka adalah harapan ibu bapa yang rata-ratanya TIDAK MAMPU pun untuk menghantar anak-anak mereka belajar di Mesir itu.

Yang hairannya wakil pelajar ini - iaitu PAS - menuntut UMNO (yang tidak ada kena mengena), Barisan Nasional (yang juga tidak ada kena mengena) dan Yayasan Terengganu supaya adil dan mengembalikan pinjaman pelajaran pelajar Mesir yang ditamatkan melalui surat yang dihantar Yayasan Terengganu pada 22 Februari lalu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat menyatakan baru-baru ini kerajaan patut menilai semula tindakan penamatan tersebut kerana Himpunan BERSIH bukan himpunan politik dan pelajar tersebut sebagai mahasiswa mempunyai hak menyuarakan suara dan hasrat mereka.

Himpunan BERSIH bukan himpunan politik? Pehimpunan anjuran parti politik termasuk PAS sendiri bukan perhimpunan politik? Mahasiswa mempunyai hak menyuarakan suara dan hasrat mereka?

Siapa kata tidak boleh. Namun mereka melanggar arahan Kerajaan Negeri dan Yayasan Terengganu sendiri supaya jangan menyertai perhimpunan politik.

Yayasan Terengganu dan Kerajaan Negeri membatalkan serta-merta penajaan pendidikan di bawah Yayasan Terengganu ke atas enam pelajar lelaki setelah didapati bersalah terlibat dalam demostrasi di Mesir itu.


Keenam-enam pelajar yang sedang menuntut di beberapa universiti di Mesir itu didapati bersalah kerana terlibat dalam demostrasi rentetan usaha untuk mendesak pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Bersih yang menimbulkan kontroversi di dalam negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, keputusan untuk menarik balik tajaan ke atas pelajar berkenaan diteliti selepas mengambil kira kesahihan penglibatan mereka yang secara jelas telah melanggar peraturan.

Satiful berharap akan ada budi bicara Yayasan Terengganu yang bertanggungjawab meluluskan pinjaman kepada pelajar itu diamalkan dalam kes ini kerana rata-rata pelajar yang dikenakan tindakan itu memiliki latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.

Bila merasa bersalah dan merayu minta orang lain menggunakan budi bicara. Tetapi ketika menghasut pelajar, apakah PAS menggunakan budi bicara?

Sebenarnya peluang tetap ada untuk merayu dan sebaik-baiknya pelajar dan ibu bapa membuat rayuan sendiri (bukan melalui badan politik ) kerana keputusan bakal diketahui sebaik mesyuarat lembaga pengarah Yayasan Terengganu diadakan pada 10 April ini.

Persoalannya, jika pelajar itu dari keluarga kurang berkemampuan, mereka perlu sedar dan insaf bahawa pinjaman yang membolehkan mereka berada di Mesir ialah wang rakyat untuk pelajar dan keluarga mereka juga.

Sebaliknya, menyertai perhimpunan politik yang ‘menentang kerajaan’ bagaikan ‘kacang lupakan kulit’ dan dalam bahasa lebih keras ‘anjing gigit tuannya’ dan ketika memohon, kerajaan tidak pun bertanya mereka sama ada mereka menyokong UMNO atau tidak.

Malah, UMNO dan Barisan Nasional tidak ada kena mengena seperti di dakwa Satiful itu.

Namun, Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan kelmarin nampaknya tidak bersikap seperti PAS sebaliknya menegaskan pelajar akan dibantu dari sudut mengumpul dana dan menawarkan bantuan guaman kepada pelajar terlibat.

"Bersih 2.0 ingin memberi jaminan kepada pelajar bahawa mereka tidak bersendirian. Kami terus terang menawarkan bantuan kami dalam mendapatkan bantuan undang-undang dan bersedia untuk mengambil langkah-langkah untuk mengumpul dana untuk membantu pelajar yang terbaik kita boleh," kenyataan mereka dipetik.

Bagi Bersih 2.0 tindakan diambil oleh Kerajaan Negeri Terengganu itu dianggap menindas, malah melanggar hak-hak pelajar untuk berhimpun secara aman, seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan

Bersih 2.0 yang awal-awal NAMPAK TIDAK BERUPAYA, meminta kerajaan negeri yang lain untuk memberikan bantuan kepada pelajar-pelajar dan keluarga mereka. “Tindakan kerajaan negeri Terengganu bukan sahaja menghukum pelajar, malah keluarga mereka juga," tegas kenyataan itu.

Amat jelas pelajar dan ibubapa mereka mempunyai pilihan.

Namun cara paling baik ialah pelajar dan ibubapa datang sendiri ke Yayasan Terengganu dan  gunakan budi bicara untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian. Mana tahu, tidak perlu PAS bantu atau peguam BERSIH bagi menyelesaikan masalah ini.


Yang pasti Yayasan Terengganu bersedia mendengar dan tarikh mesyuarat Lembaga Pengarah pun masih ada dua minggu!

SPM - KOMITMEN KERAJAAN NEGERI RAMUAN TERENGGANU CEMERLANG



"Kita hantar guru-guru ke Australia, Korea Selatan dan juga Amerika Syarikat bagi meningkatkan lagi cara pengajaran dan pembelajaran mereka terhadap murid...begitu juga dengan pelajar, kerajaan sentiasa memberi pengiktirafan kepada mereka..." - Datuk Seri Ahmad Said.

Komitmen kerajaan negeri, guru-guru dan ibu bapa terhadap pelajar adalah antara ramuan Terengganu memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaaan Sijil Pelajaran Malysia (SPM) untuk tahun keempat berturut-turut tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, sebagai contoh kerajaan negeri telah menghantar guru-guru yang pelajarnya memperolehi keputusan terbaik di peringkat sekolah untuk mengikuti lawatan sambil belajar ke luar negara bagi melihat sistem pendidikan di negara berkenaan.

"Kita hantar guru-guru ke Australia, Korea Selatan dan juga Amerika Syarikat bagi meningkatkan lagi cara pengajaran dan pembelajaran mereka terhadap murid," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad Said berkata, begitu juga dengan pelajar, kerajaan sentiasa memberi pengiktirafan kepada mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam pelbagai peperiksaan awam bermula dengan UPSR, PMR, SPM dan STPM.

"Kita beri hadiah wang tunai dan komputer riba kepada mereka ini manakala bagi mereka yang melanjutkan pelajaran ke universiti kita beri RM1,000 bagi mereka yang mengambil ijazah, RM750 (diploma) dan RM500 (persijilan)," katanya.

Katanya kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM17 juta bagi menyediakan segala kemudahan untuk pelajar termasuk hadiah penghargaan kecemerlangan, bantuan persediaan masuk universiti dan sebagainya pada tahun lepas.

Beliau berkata, pada tahun ini pencapaian peperiksaan SPM pelajar Terengganu bagi Gred Purata Negeri (GPN) meningkat 4.92 peratus berbanding 5.03 peratus pada tahun 2010.
 
Katanya, pencapaian 4.92 peratus itu merupakan satu rekod pencapaian terbaik sejak empat tahun lepas apabila seramai 408 pelajar memperolehi semua A berbanding 405 pelajar pada tahun 2010 iaitu meningkat tiga orang manakala 15 pelajar memperolehi A+ berbanding 17 pelajar pada tahun 2010.

teganuku