Thursday, March 26, 2009

NAJIB KINI PRESIDEN UMNO

Sudah sah, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah Presiden UMNO yang baru.
Perisytiharan Najib sebagai Presiden Umno yang baru dibuat pada Perhimpunan Agung Umno 2008 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ia diumumkan oleh Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Onn Ismail.

Najib, 55, menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden akan mengambil alih jawatan nombor satu daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang memegang jawatan itu sejak Oktober 2004.

Abdullah, 69, dalam ucapan dasarnya yang terakhir sebagai Presiden parti, menyeru supaya Najib diberikan sokongan padu untuk membolehkan beliau memimpin Malaysia ke mercu kejayaan yang lebih cemerlang.

Perdana Menteri yang turut berikrar untuk memberikan sokongan padu kepada Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri baru, berkata beliau percaya untuk menyerahkan tanggungjawab menerajui negara kepada Najib yang merupakan “nakhoda lebih muda yang memiliki kematangan dan pengalaman untuk mengemudi bahtera negara.”

Onn turut mengumumkan Datuk Mohamad Aziz yang menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Pengerusi Tetap parti.
Proses pengiraan undi pemilihan bagi memilih barisan pimpinan Majlis Tertinggi (MT) Umno telah bermula pada pukul 4 petang tadi.

Bagaimanapun, keputusan rasmi dijangka akan diumumkan pada pukul 10 malam ini.
Sementara itu, pada sebelah pagi tadi kempen pada saat-saat terakhir sebelum para perwakilan Perhimpunan Agung Umno memilih barisan pimpinan MT terus mewarnai suasana sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Seawal pukul 7 pagi peraih undi dan penyokong calon-calon yang bertanding berkumpul dan berbaris di sepanjang laluan masuk ke PWTC mengedarkan risalah dan kad yang tertera nombor calon-calon.

Mencuri perhatian, penyokong kepada calon Naib Presiden Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar tampil dengan memakai topeng wajah beliau.

Menerusi kaedah kempen sedemikian, Syed Hamid yang memegang nombor pencalonan '05' dilihat seolah-olah berada di mana-mana.

Penyokong bagi calon-calon juga tidak ketinggalan dengan cara kempen masing-masing sama ada dengan menyanyi mahupuan sorakan secara berkumulan.

Sekurang-kurangnya dua perwakilan Muar memboikot pengundian jawatan tertinggi Umno hari ini kerana membantah Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin dibenarkan mengundi.

Datuk Kadar Shah Sulaiman Shah dan adiknya Hassan memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak akan menyertai lebih 2,050 perwakilan memangkah calon pilihan masing-masing.

Tindakan mereka diambil ekoran surat bantahan mereka berhubung perkara itu telah ditolak oleh pengerusi tetap perhimpunan agung Umno, Tan Sri Onn Ismail.

Lembaga Disiplin Umno minggu lalu mendapati naib presiden itu dan Khairy bersalah selepas ejen-ejen mereka terbabit dalam rasuah dan sogokan politik.

Mohd Ali dilarang bertanding jawatan timbalan presiden, manakala Khairy diberi amaran tetapi dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno yang dimenanginya semalam.

Onn memanggil Kadar naik ke pentas untuk mengambil jawapannya terhadap bantahannya itu.

Bantahannya jelas ditolak apabila Onn memanggil Mohd Ali dan Khairy mengundi calon-calon yang bertanding.

Sebelum pengundian bermula kira-kira 12 tengah hari tadi, suasana kempen saat akhir sampai ke kemuncaknya pagi ini apabila penyokong bersesak-sesak mengedar kad nombor calon-calon masing-masing.

Selepas presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selesai menyampaikan ucapan dasar pada 11.15 pagi, para penyokong menjerit-jeritkan nombor calon pilihan masing-masing tanpa henti.

Ratusan penyokong berkumpul di hadapan pintu keluar Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam pakaian dan tag bercetak nombor pengundian bagi calon pilihan mereka.

Malaysiakini melaporkan, suasana sesak dan terlalu bising itu menyebabkan pergerakan menjadi sukar dan mengganggu hampir seratus petugas media yang menunggu barisan pemimpin tertinggi parti itu keluar dari dewan untuk mendapatkan komen mereka berhubung ucapan Abdullah.

Keadaan gamat dan sesak itu memaksa polis dan anggota RELA beberapa kali membuka laluan untuk pemimpin parti itu keluar dari dewan.

Anggota penguatkuasa juga menutup tempat itu dengan plastik penghadang bagi mengelak kumpulan penyokong mengganggu pergerakan orang ramai di sekitar kawasan tersebut.
Pada pemilihan kali ini tumpuan pastinya diberikan kepada dua jawatan utama yang menyaksikan pertandingan sengit iaitu bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib selepas Lembaga Disiplin Umno membatalkan penyertaan Naib Presidennya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Mohd Ali didapati bersalah di bawah Artikel 10.1 Tataetika Ahli Umno melibatkan politik wang.
Sementara itu bagi jawatan Naib Presiden, seramai lapan orang yang betanding bagi jawatan berkenaan.

Mereka ialah Datuk Seri Hinshammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Tan Sri Mohd Isa Samad, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Bagi jawatan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menang tanpa bertanding apabila Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatan.

NAJIB CIPTA SEJARAH 28 MAC 2009

Sabtu 28 Mac 2009 adalah hari bersejarah untuk Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Ini kerana pada hari itu, beliau akan menyampaikan ucapan menerima jawatan sebagai Presiden Umno yang baru.

Ia adalah hari terakhir Perhimpunan Agung Umno. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkannya selepas mempengerusikan buat kali terakhir mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu di Kuala Lumpur malam semalam.

Kata Abdullah: “Kita ada sedikit perubahan, iaitu dalam perhimpunan agung kali ini (Timbalan Presiden) Datuk Seri Najib akan membuat satu ucapan menerima jawatan sebagai presiden parti. Ini akan dilakukan selepas penggulungan perbahasan (ucapan dasar presiden) pada hari Sabtu.”

Selain Najib, turut hadir pada sidang media semalam ialah dua Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Abdullah berkata, pada mesyuarat itu beliau menyampaikan ucapan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh semua anggota MT dalam membantu beliau menjalankan tanggungjawabnya.

Datuk Seri Najib juga bagi pihak semua ahli-ahli MT telah pun merakamkan terima kasih kepada saya atas kepimpinan saya selama ini," kata Abdullah yang kelihatan ceria.


Hari ini Abdullah akan akan menyampaikan amanatnya dalam ucapan dasar pada perasmian perhimpunan agung parti hari ini.

Najib akan memimpin ‘sayap UMNO baru’ selepas tiga ketua baru mengetuai Wanita Umno, Pemuda dan Puteri UMNO.

Yang menariknya pemilihan begitu sengit apabila keputusan pemilihan bagi Wanita Umno diumumkan oleh Pengerusi Tetapnya, Tan Sri Napsiah Omar, kira-kira jam 9.30 malam, manakala Pengerusi Tetap Pemuda Umno, Datuk Abdul Fattah Abdullah mengumumkan keputusan pemilihan pergerakan itu pada jam 11.20 malam. Pengerusi Tetap Puteri, Rohani Abu Hassan pula mengumumkan keputusan pemilihan sayap termuda Umno itu, jam 10.57 malam.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Khairy Jamaluddin dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, masing-masing menang jawatan Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada pemilihan ketiga-tiga sayap Umno itu, malam tadi.

Shahrizat memperoleh 507 undi, jauh mengatasi Tan Sri Rafidah Aziz yang mendapat 280 undi, manakala Khairy memperoleh 304 undi menewaskan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (254) dan Datuk Mukhriz Mahathir (232). Rosnah pula mendapat 245 undi mengalahkan lima calon lain.

Kerusi Naib Ketua Pemuda dimenangi Datuk Razali Ibrahim yang mendapat 417 undi, menewaskan Datuk Reezal Merican Naina Merican (373), manakala Shahanim Mohamad Yusoff mendapat 353 undi untuk jawatan Naib Ketua Puteri, menewaskan empat lagi calon.

Bagaimanapun, kira-kira 50 anggota polis terpaksa mengawal pintu utama Dewan Tun Hussein Onn 2, berikutan kekecohan selepas keputusan barisan kepemimpinan baru Pemuda Umno diumumkan, malam tadi.

Keadaan di sekitar dewan perhimpunan yang tegang dengan jeritan dan sorakan penyokong calon bertanding, semakin hangat apabila Khairy Jamaluddin diumumkan sebagai Ketua Pemuda Umno yang baru, kira-kira jam 11.20 malam tadi.

Ketika Khairy menyampaikan ucapan sulungnya, suasana di luar dewan kecoh apabila ada beberapa kumpulan penyokong calon yang bertanding membuat bising meluahkan kata-kata kesat bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, polis berjaya mengawal keadaan apabila bertindak menyuraikan kumpulan berkenaan dan menjelang jam 12.30 malam, mereka mula beransur-ansur meninggalkan kawasan dewan.

Sebaik majlis di dewan selesai, polis meluaskan kawalan dan membuka laluan alternatif ke Hotel Seri Pacific bagi membolehkan perwakilan keluar dari dewan. Jurugambar dan wartawan yang berada di luar kawasan kawalan juga tidak dibenarkan melepasi kawasan berkenaan.

Apakah ini menandakan bahawa isu Khairy dan ‘politik wang’ akan terus diperkatakan walaupun beliau dibenarkan bertanding?

Cakap-cakap dan persoalan mengenai kredibiliti mengenai diri Khairy terus diperkatakan dan tanda-tanda keretakan dalam Pemuda UMNO mula ada tanda.

Ketua Wanita Umno yang baru dipilih, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula, sudahpun berikrar akan berjuang bersama kepimpinan parti untuk mengembalikan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara untuk semua rakyat Malaysia.

Berucap untuk kali pertama selepas diumumkan pemenang jawatan itu, Shahrizat berkata beliau dan pemimpin dan ahli Wanita Umno lain akan memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak sebagai bakal Presiden parti untuk menjayakan perjuangan itu.

"Saya percaya jika 1.3 juta ahli Wanita beri sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak, insyaAllah kita boleh beri kemakmuran kepada bukan saja orang Melayu tetapi juga semua kaum dan agama," katanya.