Sunday, February 27, 2011

PRK KERDAU DAN MERLIMAU – PAS TIDAK SERIUS?

Apa tujuan PAS bertanding pilihan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau jika tidak ada misi khusus?

Apakah sekadar kacau daun atau tidak mahu memberikan kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN)?

Di Merlimau, timbalan presiden PAS, Nasharuddin Md Isa berkata kempen parti itu akan merupakan gabungan isu tempatan, nasional dan antarabangsa.

Pas bertanding lebih kepada persediaan jentara pakatan pembangkang dan PAS mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ini bermakna DUN Merlimau hanya medan ujian. Tetapi sesuaikan medan ini untuk menguji kekuatan PAS selepas kalah di Galas dan Tenang?

DAP pula menjangkakan akan berlaku tsunami politik di Merlimau walaupun hakikat yang jelas ialah BN dan UMNO sudah menabur banyak bakti di DUN berkenaan.

Cerita mengenai tsunami politik ini sudah basi dan ia akan menjadi impian DAP untuk selama-lamanya.

Meneliti kembali Kerusi DUN Merlimau, ia kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan dari UMNO pada 20 Januari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Mohamad Hidhir mengekalkan kerusinya apabila menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon Pas, Jasme Tompang.

Berdasarkan Daftar Pemilih Suku Ketiga 2010 yang dikemaskini sehingga 20 Januari lalu, jumlah pengundi di DUN Merlimau ialah 10,679 termasuk 36 pengundi pos.

Daripada jumlah itu, kaum Melayu adalah seramai 6,850 orang (64.1 peratus), Cina (2,225 atau 20.84 peratus), India (1,567 atau 14.67 peratus), Bumiputera Sabah (9 atau 0.08 peratus), Bumiputera Sarawak (12 atau 0.11 peratus), Orang Asli (1 atau 0.01 peratus) dan lain-lain (15 atau 0.14 peratus).

Sudah jelas, di Merlimau, gerak saraf pertama PAS ialah menuduh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ‘menjual tanah untuk kepentingan diri’. Yang diserang ialah Ketua Menteri Melaka sementara yang menyerangnya ialah Pesuruhjaya Pas Melaka.

Ini bermakna dua calon yang bertanding – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin, Roslan Ahmad, 44, dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Jasin, Yuhaizad Abdullah, 38 - masih belum kena tempias dan mungkin akan berlaku dalam bebera[pa hari lagi.

Mohd. Ali yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil BN DUN Merlimau berkata semalam, pembangkang tidak mempunyai modal untuk memburuk-burukkan calon BN. Sebaliknya katanya, pembangkang dijangka menggunakan taktik kotor dengan melakukan fitnah ke atas setiap pembangunan yang dilakukan oleh BN di Merlimau.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi tidak terpengaruh dengan tohmahan parti pembangkang dan menilai sendiri sikap mereka yang suka memburuk-burukkan orang lain.

Amat nyata apa yang disangka Mohd Ali sudah berlaku hari ini apabila Harakahdaily Online dengan tajuk ‘Yuhaizad bawa suara rakyat untuk dibela’ menyebut jika diberikan undi calon PAS, Yuhaizad Abdullah mahu membawa suara rakyat ke persidangan DUN Melaka untuk dibela, setelah mereka ditipu sekian lama oleh para pemimpin Umno.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Abdul Ghani Abdul Rahman berkata Mohd Ali didakwa telah dikesan menjual tanah rakyat di negeri Melaka untuk kepentingan dirinya sendiri. Perbuatan tersebut didakwa dilakukan ke atas tanah yang terletak di kawasan Pekan Melaka beberapa tahun lalu, sehingga menyebabkan mereka yang berharap untuk mendapat tanah menjadi kempunan kerana semakin ketiadaan tanah untuk dimiliki.

Abdul Ghani berkata, tindakan Mohd Ali Rustam itu merupakan antara penyelewengan dan penipuan yang dilakukan oleh para pemimpin Umno kepada rakyat, setelah mereka diberikan mandat untuk memerintah.

Menurut beliau, tindakan tersebut belum lagi dimasuk kira perbuatan-perbuatan lain yang dilakukan oleh Mohd Ali yang cukup sinonim dengan rasuah yang cukup menjijikkan.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab Mohd Ali itu sudah diketahui umum oleh rakyat Melaka termasuk para pengundi di kawasan DUN Merlimau yang akan membuang undi 6 Mac ini.

"Jadi pemimpin macam itukah yang hendak terus dipilih oleh orang ramai? Tapi itulah Ali Rustam dan itulah pemimpin Umno. Kejadian seperti itu, katanya, bagaimanapun tidak akan berlaku jika orang ramai memilih PAS atau Pakatan Rakyat untuk memerintah Melaka khasnya dan negara ini amnya," katanya.

Serangan pertama sudah dilemparkan terhadap Mohd Ali. Ini adalah tuduhan dan ia berat kerana Ketua Menteri itu dikatakan ‘sinonim dengan rasuah yang cukup menjijikkan.’

Persoalannya, siapa yang akan membuktikan tuduhan PAS ini benar dan bukan fitnah semata-mata?

Apakah akan ada pihak yang akan didakwa di mahkamah selepas PRK ini kerana membuat ‘tuduhan palsu’?

Apakah ini taktik PAS dalam PRK iaitu dengan memburukkan pemimpin BN tanpa menyatakan rancangan atau pelan pembelaan mereka untuk rakyat secara khusus?

Apakah cukup bukti atau sebab untuk rakyat menyokong PAS di Merlimau hanya berdasarkan tuduhan sedemikian?

Apakah sebahagian besar daripada 10,679 pengundi termasuk 36 pengundi pos di Merlimau akan termakan dengan umpan PAS yang bersifat ‘tohmahan’ dan ‘ tuduhan liar’ seperti ini?

Mohd Ali sebaliknya melihat wujudnya tanda-tanda positif untuk rakyat menyokong BN setelah bertemu penduduk di semua tujuh peti undi yang menyebabkan beliau yakin BN mampu membawa kesejahteraan hidup kepada mereka.

Lebih penting kata Ketua Menteri Melaka itu, calon BN dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. “Ditambah pula dengan jentera BN yang memberikan kerjasama sejak 25 Januari lalu menunjukkan rakyat akan memilih BN," katanya selepas proses penamaan calon di Dewan Platinum Politeknik Merlimau semalam.

Baginya, kehadiran ramai penyokong BN terutama penduduk kampung, golongan belia, petani, nelayan dan masyarakat berbilang kaum mengiringi calon BN ke pusat penamaan calon sudah membayangkan keyakinan mereka terhadap parti itu.

Ketika ditemubual oleh tv3 tengah hari semalam Mohd Ali berkata PAS menghadapi masalah memilih calon, malah pembangkang seakan tidak yakin memang di Merlimau walaupun pada penamaan calon itu, beberapa pemimpin utama pembangkang hadir.

Kerana itulah beliau sangat yakin rakyat di Merlimau sudah tahu siapa yang berhak mereka pilih pada hari pembuangan undi 6 Mac ini.

Mereka juga sudah melihat ketokohan kedua-dua calon yang akan bertanding. Dan yang pasti, mereka akan memilih BN, Kata Mohd Ali.

Esok – PAS di Kerdau Hanya Penuhi Syarat