Wednesday, September 21, 2016

PERMATA, ROSMAH TIDAK TERJEJAS DENGAN FITNAH, PENANGGUHAN ANUGERAH....


Program Permata Negara (PERMATA) dan penaungnya, Datin Seri Rosmah Mansor mengambil keputusan menolak ‘Anugerah Memimpin dengan Teladan’ lantaran campur tangan daripada Wall Street Journal (WSJ) dan New York Times (NYT) yang dimaklumkan oleh pengerusi badan penasihat penganjur, Prof Tudor Parfitt.

Selain itu Kerajaan Malaysia tidak pernah memohon untuk mendapatkan anugerah penghargaan khas daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sebenarnya Ketua Pengarah UNESCO Irina Bokova yang mengutus surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Rosmah dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada 8 September lepas.

Ia memaklumkan bahawa isteri perdana menteri akan diberi penghormatan menerima anugerah penghargaan khas itu pada satu majlis yang dihoskan bersama oleh Unesco pada 22 September (esok).

Ia  bagi menghargai usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Malaysia dalam mengekang ekstremisme melalui sistem pendidikan, dan khususnya pendekatan yang diambil oleh PERMATA yang diasaskan pada 2007 oleh Rosmah.

Program PERMATA diwujudkan bagi memberikan tumpuan terhadap pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad menjelaskan semalam, pada 18 September lalu Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menerima e-mel daripada Profesor Tudor Parfitt, Pengerusi Lembaga Penasihat Akademik Jawatankuasa Penganjur Penghormatan Kepada Wira-wira Kempen Global memerangi Ekstremisme Ganas, menyatakan bahawa penganugerahan itu akan ditunda ke 2017.

Ini kerana apa yang disifatkannya sebagai 'campur tangan' WSJ dan NYT berhubung pembiayaan PERMATA.

Kelmarin dilaporkan satu anugerah UNESCO untuk mengiktiraf program PERMATA dalam satu majlis yang diadakan sempena Persidangan Agung ke-71 PBB di New York telah ditarik balik.

Tudor Parfitt...hantar email kepada Wakil Tetap Malaysia di PBB
NYT kelmarin juga melaporkan anugerah anjuran Antiquities Coalition yang sepatutnya diterima Rosmah di Muzium Seni Metropolitan, New York, telah ditarik balik. pada saat akhir.

Parfitt dalam satu kenyataan berkata ia susulan beberapa persoalan yang dibangkitkan sekitar dana PERMATA, walaupun penganjur tidak mengesan sebarang salah laku secara khusus, keputusan diambil kerana mereka kesempitan masa untuk menyemak dakwaan.

Menurut kenyataan itu, pelbagai persoalan dibangkitkan mengenai sumber dana PERMATA dan walaupun penganjur acara tidak menyedari wujud sebarang salah laku tertentu, mereka tiada masa untuk memeriksa persatuan itu.

Tengku Sariffuddin sebaliknya mengesahkan bahawa PERMATA dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia di bawah peruntukan yang secara telus dimasukkan dalam bajet Kerajaan dan  diluluskan oleh Parlimen.

"Semua perbelanjaan adalah selaras dengan prosedur kewangan Kerajaan. Ini bukan sahaja berkaitan dengan rekod awam tetapi ia boleh diperjelaskan dengan segera jika kami atau PERMATA diminta berbuat demikian sebelum penangguhan penganugerahan itu," kata Tengku Sariffuddin.

Beliau berkata PERMATA dan Rosmah sentiasa mengutamakan program yang memberi impak positif kepada berpuluh-puluh ribu anak muda.

"Untuk mengelak perhatian terhadap usaha-usaha penting untuk kanak-kanak di Malaysia terganggu, PERMATA dan Datin Sri Rosmah telah menolak pemberian anugerah yang dicadangkan itu.

Tengku Sariffuddin...PERMATA dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.
"Kami kesal dengan cubaan mempolitikkan usaha organisasi yang menjadi teladan itu yang matlamatnya adalah semata-mata untuk meningkatkan lagi kehidupan kanak-kanak.

"Dan, kami kesal bahawa mereka yang dipilih untuk menerima anugerah berkenaan telah difitnah dan disindir oleh sesetengah pihak yang hanya memberi tumpuan kepada kempen memburuk-burukkan Malaysia, kerajaan dan Perdana Menteri.


"Mereka yang mendalangi kempen bermotifkan politik itu langsung tidak mempedulikan kemusnahan yang berlaku akibat daripada dakwaan palsu terhadap PERMATA, kakitangan dan semua anak muda yang telah dibantu dan dijaganya," katanya.

Tengku Sariffuddin berkata baik PERMATA mahu pun Rosmah tidak akan terjejas dengan perbuatan pihak-pihak yang melemparkan fitnah untuk mencemarkan usaha murni itu.

"Mereka akan terus memberi tumpuan kepada membawa perbezaan sebenarnya untuk kanak-kanak masa kini, untuk membantu membina masa depan yang lebih baik bagi Malaysia," katanya.

Pada Sabtu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan bahawa Rosmah telah dipilih untuk menerima anugerah 'Lead by Example' daripada Unesco sempena Perhimpunan Agung Ke-71 PBB.

Penyampaian anugerah itu dijadual diadakan pada majlis 'A Tribute to Heroes in the Global Campaign Against Violent Exremism' di Metropolitan Museum of Arts, New York.

Laporan NYT kelmarin.
Bagaimanapun, portal berita Malaysiakini semalam melaporkan bahawa Bernama mendakwa anugerah itu adalah daripada UNESCO.


Ia juga melaporkan bahawa nama Rosmah digugurkan daripada senarai penerima anugerah dan majlis pada 22 September itu bukanlah acara UNESCO.

Kelmarin Bernama  menjelaskan bahawa berita mengenai pemilihan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penerima Anugerah 'Lead by Example' telah ditulis berdasarkan kenyataan Naib Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia Datuk Seri Alias Ahmad.

Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata Alias, yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, dalam kenyataannya menyatakan anugerah itu adalah daripada UNESCO dan akan disampaikan pada 22 September (esok).

Zakaria mengulas portal berita Malaysiakini yang melaporkan Bernama mendakwa anugerah itu adalah daripada UNESCO.


"Bernama hanya melaporkan kenyataan itu yang menyatakan bahawa anugerah berkenaan adalah daripada UNESCO,"katanya.