Sunday, December 21, 2008

ALAHAI PAS ...MANA CALONNYA

(Sembang Ahad)

Sambil minum pagi di Rusila Coffee House, Hotel Primula, pagi ini saya bersembang dengan beberapa kawan wartawan dan orang politik.

Tajuknya adalah siapa lawan siapa. Atau lebih jelas, siapa akan berdepan dengan Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan.

Kerusi parlimen itu kosong berikutan kematian Datuk Razali Ismail, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, dipercayai akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, 28 November lepas.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Razali selaku penyandang, menewaskan Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu ini sentiasa menjadi medan tempur tradisi antara BN (UMNO) dan PAS, dengan kedua belah pihak sentiasa melayannya penuh cermat dan berhati-hati.

Jawatankuasa PAS Pusat hari ini mengadakan mesyuarat untuk menentukan bakal calon. Selepas nama calon dipilih, PAS akan serahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Persoalannya, sejauh manakah berkuasanya Majlis Syura itu atau apakah nama itu perlu dipersetujui oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga kebetulan pemimpin PAS di Terengganu?

Hadi sudah menyatakan, walau apa sumber – termasuk blog- bagi menilai calon yang akan dikemukakan, akan diberikan perhatian dan pandangan.
Bagi saya, walau siapa juga yang dipilih menjadi calon PAS, rasa tidak puas hati dan pertelingkahan akan berlaku!

Kenapa saya katakan demikian?

Perhatikan, siapa yang mempengaruhi Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menonjolkan nama Mohamad Sabu (Mat Sabu) awal-awal lagi.

Kenapa Nik Aziz membuat cadangan terlalu awal sehinggakan PAS Terengganu terpaksa ‘membuka pencak bersilat’ (berdiplomasi) dalam menimbang cadangan Nik Aziz itu.

Tidakkan kumpulan ‘Erdogan’ dan klon yang mempengaruhi Nik Aziz supaya cepat-cepat menonjolkan calon pilihan mereka?

Ada pendapat daripada kalangan PAS sendiri mengatakan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa di belakang tindakan ‘melatah’ Nik Aziz itu.

Husam diketahui harapan dan plan besarnya – menjadi Presiden PAS dan jika calon tajaannya dipersetujui, dia akan berhabis-habisan kempen. Jika tidak, jawapnya pandai-pandailah PAS Terengganu.

Walaupun sukar, PAS Terengganu jelas sekali awal-awal lagi menolak Mat Sabu yang dicadangkan oleh Nik Aziz itu. Ada tiga calon ditonjolkan iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali; Timbalan Pesuruhjaya, Datuk Wan Mutalib Embong muka baru, Mohd Khazani Abdullah, seorang ahli perniagaan dan anak didik Harun Taib.

Walaupun Mohd Khazani dilihat termasuk dalam kumpulan Erdogan, dia masih boleh diterima oleh kumpulan ulama PAS.

Maknanya, Terengganu ada calonnya sendiri dan tidak payahlah ambil orang luar untuk bertanding. Dengan kedudukan itu pintu tertutup rapat untuk Mat Sabu.

Namun nama Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi, turut diapung-apungkan selepas nama Mat Sabu makin lesap.

Syed Azman dikenali rapat dengan Husam dan ia adalah antara ahli ‘Erdogan’.

Hadi menyembunyikan sesuatu apabila berkata ketokohan seseorang pemimpin itu penting memandangkan pilihan raya kecil itu diadakan di sebuah bandar raya, dengan kemudahan infrastruktur bukan menjadi masalah kepada pengundi.

Ia hanya sebagai ‘menutup api dalam sekam’ yang sedang membakar PAS gara-gara tekanan puak Erdogan berkenaan.

Kerana itu diminta mengulas pandangan Nik Aziz yang terus-terusan berharap Naib Presiden parti itu, Mohamad Sabu dikekalkan sebagai calon pada pilihan raya kecil itu, Hadi berkata setiap PAS negeri mempunyai pandangan mereka sendiri.

"Kita dengar semua pandangan. Sebagai presiden, saya tidak mempunyai halangan jika Mohamad Sabu dicalonkan. Tetapi, akhirnya keputusan dibuat oleh suara majoriti," katanya.

Daripada penjelasan Hadi itu, ternyata bahawa Hadi mengelak daripada bertelingkah secara terus dan terbuka dengan Nik Aziz. Ini menggambarkan suasana tidak sihat dalam PAS ketika ini kerana kedua-dua puak – Erdogan + Klon sedang berperang dengan puak ulama Terengganu yang berusaha menonjolkan calon mereka.

Yang menariknya, kumpulan Erdogan kini benar-benar berharap Syed Azman diterima selepas usaha menonjolkan Mat Sabu tidak berjaya.

Sementara kumpulan yang lagi satu – diketuai oleh Hadi – berharap calon mereka sama ada Mustapa atau setidak-tidaknya Khazani akan menjadi pilihan.

Tarik tali dan perbezaan pendapat ini sudah pasti tidak menguntungkan PAS dan akan menjadikan usaha BN untuk mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan menjadi lebih mudah!

Hakikatnya, Kuala Terengganu bukanlah kerusi yang selamat sama ada bagi BN atau pembangkang. Ia berubah tangan beberapa kali. BN menang pada 1986, 1990, 2004 dan 2008, tetapi Parti Melayu Semangat 46 memenangi kerusi itu pada 1995 manakala PAS pula menang pada 1999.

Pada pilihan raya umum tahun ini, PKR dan PAS sama-sama mengutip 33,729 undi bagi empat kerusi di Dewan Undangan Negeri di kawasan Parlimen Kuala Terengganu atau 1,795 undi lebih daripada kerusi Parlimen yang ditandingi calon Mohd Sabu.

Ini bermakna BN memperoleh 50 peratus daripada undi Parlimen dan 48.3 peratus daripada undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.

Walaupun PR hanya memenangi 49 peratus daripada undi persekutuan bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, ia menguasai pertandingan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri di kawasan yang sama dengan memenangi 51.7 peratus.

Apapun, menurut sumber PAS, sehingga pagi ini, calon yang dijangka menentang Wan Farid ialah Mustapa dan kalau ada perubahan yang dibuat, maknanya PAS Terengganu terpaksa mengalah kepada tuntutan pihak-pihak Erdogan dan Klon yang dilihat semakin berpengaruh dalam PAS.

Dalam konteks UMNO dan BN, mereka sebenarnya jelas tidak mengharapkan PAS bertelingkah kerana calon mereka – Wan Farid – diterima oleh semua pihak dalam BN dan semua 103 cawangan UMNO dalam Bahagian UMNO Kuala Terengganu.

Setiap ahli UMNO di Kuala Terengganu mahu melihat ‘bos’ mereka yang kini sudah masuk penggal kedua sebagai Ketua Bahagian dipilih sebagai calon Parlimen bagi meneruskan kerja-kerja dan khidmat untuk rakyat seperti ditunjukkan oleh Allahyarham Razali sebelum ini.

(Esok – apa kesan Erdogan + Klon vs Ulama)