Sunday, July 8, 2012

'AMANAHKAH' AMANAH TERENGGANU SYOR DEBAT ANTARA AHMAD SAID, WAHID ENDUT?


Dalam tulisan saya di teganuku hari ini mengenai Debat Politik, saya menganggap debat seperti ini tidak akan mendatang kebaikan kepada UMNO, Barisan Nasional dan kerajaan tetapi lebih banyak milage kepada pembangkang.

Malah dengan jelas saya menyebut bahawa adalah sesuatu yang pelik dan tidak terlintas di benak saya sama sekali apabila ada wartawan menelefon mengatakan ada NGO mendakwa Menteri Besar bersetuju untuk berdebat dengan wakil pembangkang di Terengganu.

Soalannya, siapa yang bersetuju dengan debat itu dan kenapa NGO berkenaan menggunakan nama Menteri Besar, kononnya bersetuju dengan cadangan mereka untuk menganjurkan debat.

Selain itu untuk kepentingan siapakah NGO itu bergerak dan untuk tujuan apa NGO berkenaan menggunakan nama Datuk Seri Ahmad Said atau Abdul Wahid Endut dalam konteks debat politik ini?


Dan secara kebetulan, hari ini di Kuala Terengganu, Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu menyarankan satu sesi debat diadakan di antara kerajaan Terengganu dan pembangkang di negeri itu bagi merungkai isu tempatan.

Pengerusinya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata Amanah sedia menjadi penganjur bagi memberi ruang kedua-dua pihak menjawab pelbagai isu yang menjadi bualan penduduk Terengganu sekarang.

"Saya banyak menerima soalan daripada orang ramai tentang isu-isu yang perlu penjelasan dari pihak kerajaan dan pembangkang dan atas dasar inilah kami mahu mengadakan debat isu semasa untuk kali pertamanya di peringkat negeri sebagai perintis kepada usaha ini…Ini juga akan memberi peluang kedua-dua belah pihak menjelaskan hala tuju parti masing-masing dan juga membentang manifesto mereka sambil membahaskan isu-isu semasa lain," katanya.

Malah pada sidang media di Kuala Terengganu hari ini, Amanah juga telah menghantar surat jemputan kepada Menteri Besar selaku Pengerusi Barisan Nasional Negeri Datuk Seri Ahmad Said dan Pesuruhjaya PAS Terengganu Abdul Wahid Endut dan berharap kedua-dua pihak terbuka menerima pelawaan itu.

Amanah merupakan badan bukan kerajaan yang ditubuh Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pada Julai tahun lepas, bertujuan menjadi platform pelbagai pihak menyuarakan pandangan terhadap isu yang dibangkit rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Saya tidak pernah mengulas mengenai Amanah tetapi beberapa persoalan untuk saya kemukakan di sini:
1. Siapakah yang memimpin Amanah Terengganu?

a. Jawapannya ialah Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah. Dengan penuh 'rasa hormat kepada beliau', saya melihat Raja Bahrin tidak bebas dan semakin terikat, kerana beliau kini menyekutukan dirinya dengan PAS; 


b. Raja Bahrin sendiri terbabit dengan pelbagai kontoversi, termasuk peribadi dan perniagaannya khususnya sebagai artitek perunding dalam beberapa projek penting seperti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang dipersoalkan serta beberapa projek lain.

c. Juga kenapakah ada beberapa projek 'seperti dalam genggamannya boleh terlepas'? Tidakkah ini menggambarkan Raja Bahrin sendiri dipersoalkan ‘amanah’ beliau dalam menggendali dan menguruskan projek yang diamanahkan kepada beliau?

Cara beliau mengkritik kerajaan negeri seolah-olah beliau lupa bahawa projek ‘bumbung stadium yang runtuh ini dikendali dan sudah diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya atau Jabatan Kerja Raya. Kenapa dalam ceramahya di pentas PAS beliau tetap menyalahkan Menteri Besar?

c. Raja Bahrin yang suatu ketika begitu ‘rapat’ dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said jelas kini ‘menjauhkan diri’ kerana beberapa perkara ( tidak perlu dinyatakan di sini) apakah ikhlas dan amanah dalam merenggangkan ikatan tersebut sedangkan arahan mengenai tender atau kontrak bukan 100 peratus dalam bidang kuasa Ahmad Said.

Bukan rahsia lagi bahawa ada tender besar untuk projek-projek tertentu di Terengganu ditentukan oleh ‘satu jawatankuasa’ yang mempunyai kuasa melebihi kuasa Menteri Besar. Jika gagal mendapatkan kerja atau tender berkenaan, Raja Bahrin tidak boleh sewenang-wenangnya memarahi atau berjauh hati dengan Ahmad Said!

2. Debat Politik Bukan Dianjurkan NGO Bebas Amanah Terengganu berpandangan debat satu kegiatan sihat kerana pelbagai isu dapat dirungkaikan dan ia peluang bagi parti-parti politik di negara ini menunjukkan kematangan masing-masing khususnya menjelang pilihan raya umum ke-13.

Apakah UMNO dan Barisan Nasional tidak matang? Apakah pemimpin Persekutuan dan negeri tidak matang dan hasil debat sahaja akan menjadikan politik Malaysia bertambah matang? Seperti disebutkan di atas, Raja Bahrin kini menyekutukan dirinya dengan PAS dan bersimpati dengan perjuangan PAS.

Dengan kata lain pemimpin Amanah Terengganu kini menjadi penyokong sebuah parti politik dan aktif ‘membantai kerajaan negeri dan Menteri Besar’. Apakah wajar untuknya menjadi penganjur?

Dengan mendesak Ahmad Said berdebat dengan Wahid Endut adalah tindakan publisiti murahan yang cuba memberikan ruang terbuka kepada Pesuruhjaya PAS Negeri.

Debat seperti ini tidak sewajarnya berlaku dan akan merugikan masa,

Ia tidak mendatangkan sebarang faedah untuk rakyat, apalagi gelanggang digunakan untuk menghentam UMNO, BN dan Menteri Besar.

Daripada rakyat ‘jadi pening’ hasil debat politik, lebih baik biarkan rakyat dengan tenang memilih siapa yang mereka suka dalam PRU Ke 13 ini kerana medium lain sudah banyak dilontarkan kepada masyarakat seperti ceramah, kempen, media sosial, media cyber, media cetak dan juga penerangan-penerangan melalui tv, radio dan juga CD.

Kerajaan Negeri, UMNO, BN dan Ahmad Said tidak perlu layan saranan Amanah ini lagipun pemimpin Amanah itu sendiri boleh dipersoalkan apakah mereka benar-benar amanah apabila mengutarakan pandangan mengadakan debat politik seperti ini?