Friday, June 18, 2010

TIAN CHUA BELUM BOLEH LELAP MATA

Ahli Parlimen Batu tidak akan lelap tidur.

Tian Chua, 46, yang nampak gembira dengan keputusan itu perlu menunggu seketika walaupun merasakan dirinya sudah bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini sedang mengkaji implikasi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan denda ke atas Ahli Parlimen Batu dikurangkan daripada RM3,000 kepada RM2,000.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, (gambar kiri) keputusan tersebut boleh menyebabkan kerusi Parlimen itu diisytiharkan kosong sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil bagi kawasan berkenaan.

Buat masa ini penasihat undang-undang kami sedang mengkaji tafsiran keputusan Mahkamah Tinggi.

"Pihak kami akan melihat sama ada had denda RM2,000 yang diputuskan oleh hakim itu termasuk atau tidak dalam menentukan status kerusi Ahli Parlimen Baru,” katanya kepada mStar Online semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengurangkan denda ke atas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua atas kesalahan menyebabkan kecederaaan kepada seorang anggota polis pada tahun 2007.

Mengikut perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang anggota Dewan Rakyat boleh hilang kerusi dimenanginya jika dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, pihaknya akan mengumumkan mengenai kedudukan wakil rakyat PKR itu setelah penasihat undang-undang selesai membuat tafisran terhadap kes itu.
“Buat masa ini kita harap semua pihak bersabar dan beri sedikit ruang kepada SPR untuk mengkaji perkara ini. Kita akan umumkan kepada media bila tiba masanya,” katanya.
Semalam, Mahkamah Tinggi mengetepikan hukuman penjara enam bulan ke atas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang kerana mencederakan anggota polis pada 2007.

Hakim Datuk Ghazali Cha turut mengurangkan jumlah hukuman denda kepada RM2,000 atau dua bulan penjara setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Pada 22 Oktober tahun lalu, Tian Chua dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah didapati bersalah mencederakan anggota polis pada 11 Disember 2007.

Tian Chua, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di jalan masuk ke Bangunan Parlimen di sini pada 10.45 pagi.

Malaysiakini pula melaporkan, ketidak-pastian terus menyelubungi nasib Tian Chua sebagai ahli parlimen Batu kerana didenda RM2,000 semalam oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan menggigit seorang polis, tiga tahun lalu.

Pagi semalam, peguamnya gagal menemui hakim yang memutuskan hukuman itu, bagi mendapatkan penjelasan.

Sesetengah peguam berpendapat MP Batu itu telah hilang kelayakannya berikutan hukuman berkenaan.

“Kami sedang berusaha gigih untuk mendapatkan ulasan berhubung keputasan semalam,” kata Amer Hamzah pagi semalam.

Peguamnya telah mengutus surat kepada hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha petang kelmarin bagi mendapatkan penjelasan daripada beliau. Surat berkenaan memohon hakim sama ada untuk mempertimbangkan semula keputusannya itu atau menterjemahkan keputusannya.

Bagaimanapun dipercayai hakim telah memaklumkan kepada penolong pendaftar - bahawa keputusannya berhubung 'tiada pilihan raya kecil' adalah jelas dan tidak perlu baginya meminda denda RM2,000 yang dikenakan itu.

Tian Chua berkata beliau akan menunggu penghakiman bertulis dan bertegas bahawa beliau masih ahli parlimen Batu.

Bagaimanapun, petang semalam, Ghazali bersetuju berjumpa kedua-dua pihak dalam kes membabitkan ahli parlimen Batu, Tian Chua pada pagi Isnin ini.

Perkara itu di sahkan oleh peguam Tian - Ranjit Singh dan Amer Hamzah Arshad - yang berkata hakim berkenaan bersetuju berjumpa mereka bagi menjelaskan keputusan penghakimannya.

Sebelum ini, ketidakpastian terus menyelubungi nasib Tian sebagai ahli parlimen Batu kerana didenda RM2,000 semalam oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan menggigit seorang polis tiga tahun lalu.

Status kerusi Tian Chua dikatakan masih tidak jelas memandangkan beliau telah melangsaikan denda RM2,000 itu dan tidak memohon supaya hukuman ditangguhkan.

Kontroversi timbul petang semalam apabila Mahkamah Tinggi menolak rayuan tetapi mengurangkan denda kepada RM2,000 atau penjara dua bulan.

Mengikut Artikel 48, perlembagaan persekutuan, seseorang ahli parlimen hilang kerusinya apabila dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau didenda tidak kurang RM2,000.

Peguam tersohor negara yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa Tian mungkin hilang kerusinya.

"Jika denda adalah RM2,000, dia akan hilang kerusinya jika beliau membayar denda itu.”

Dalam kes - Fan Yew Teng lawan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (1975) - Fan seorang ahli politik DAP yang didenda RM2,000 atau penjara enam bulan, terpaksa mengosongkan kerusi parlimen Menglembu.

Menurut timbalan pendakwa raya, Ishak Mohd Yusoff, Tian Chua terpaksa menyerahkan kerusi Batu kerana dia didenda RM2,000.

Bagaimanapun pengerusi jawatankuasa perlembagaan, Majlis Peguam, Edmond Bon berkata terdapat dua interprestasi berhubung Artikel 48, perlembagaan persekutuan - pertama ialah denda “RM2,000 atau lebih”, dan kedua ialah denda “RM2,000 atau kurang” yang akan mengakibatkan seseorang hilang kelayakan sebagai MP.

Apabila terdapat kesangsian dalam banyak kes, kelebihan kesangsian itu diberikan kepada tertuduh,” katanya.

"Justeru, Tian Chua tidak sepatutnya hilang kerusinya. Lagipun, hakim telah berkata beliau ingin mengelakkan pilihan raya."

Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 ke atas Tian Chua, selepas mendapatinya bersalah.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut untuk membolehkan Tian Chua membuat rayuan.

Tian Chua, 46, didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, di depan bangunan Parlimen pada jam 10.45 pagi 11 Disember 2007.

Rosyaidi bertugas dengan Bahagian Narkotik Ibupejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur.

Sumber: Malaysiakini & mStar

BANTULAH CARI NISHA CHANDRAMOHAN...

2 years old
Missing since June 4, 2010, Mentakab, Pahang.
Contact Police or Nisha's father Govindasamy +6016-9353400

Keluarga Nisha Chandramohan, kanak-kanak berusia dua tahun yang hilang sejak 4 Jun lalu, berjanji tidak akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya anak mereka dikembalikan dengan selamat.

Ibu kanak-kanak itu, Wong Lai Lan, 21, berkata pihaknya berterima kasih kepada sesiapa yang menemui dan mengembalikan anak mereka.

"Kami hanya akan berterima kasih tanpa mengambil sebarang undang-undang kepada mereka kerana selama Nisha hilang, mereka telah menjaganya...lagipun anak saya bukanlah sihat seperti kanak-kanak lain.

"Nisha perlu mengambil ubat untuk penyakit sawan yang dihidapinya," katanya pada sidang media bersama RHB Bank dan MCPF (Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia) yang membantu menyebarkan poster kanak-kanak itu di KualaLumpur hari ini.

Sementara itu, pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, meminta orang ramai supaya memaklumkan keluarga Nisha atau polis jika mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu.

Sebanyak 2,700 poster yang mengandungi maklumat mengenai Nisha diedarkan di sekitar Kuala Lumpur, Pahang dan Pelabuhan Klang sejak Rabu kelmarin.

Pengerusi RHB Bank, Tan Sri Azlan Zainal, pula berkata pihaknya telah mengambil inisiatif menyiarkan gambar kanak-kanak itu pada skrin ATM cawangan bank itu di seluruh Semenanjung.
"Kami harap dengan menggunakan teknologi ini, ia lebih berkesan kepada masyarakat untuk tampil membantu menamatkan kisah sedih dalam keluarga Chandramohan.

"Dengan lebih 1,800 ATM di seluruh negara, kami harap masyarakat akan bekerjasama dengan kami, media dan MCPF untuk mengesan adik Nisha secepat mungkin," katanya.

Nisha dilaporkan hilang selepas dibawa keluar oleh ibu saudaranya yang mempunyai masalah mental dari rumah nenek mangsa di Taman Bukit Bendera, Mentakab, Pahang.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi polis atau Chandramohan di talian 016-9353400.

RASUAH - SPRM PERLU DAKWA SAKSI ‘BELOT’

Bahaya dan merugikan apabila saksi memberikan keterangan bersifat berpaling tadah.

Ia bukan sahaja menjadikan kes yang dibicarakan tergendala, tertunda dan terpaksa ditutup, malah akan menjadikan pendakwaan seperti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai bahan ketawa dan diperolok-olokkan.

SPRM akan dilihat sebagai sebuah badan yang ditubuhkan semata-mata untuk mengaburkan mata rakyat dan ‘melepaskan batuk di tangga’ oleh kerajaan, khususnya kerajaan Barisan Nasional.

Rakyat tidak mahu melihat ada dakwaan dibuat dan setelah dibawa ke mahkamah, ia menjadi kes yang disangsikan atau dipersenda, gara-gara saksi berpaling tadah.

Semalam Pengarah Siasatan SPRM Mustafar Ali mendedahkan sesetengah saksi kes ada yang berpaling tadah dengan memberi keterangan bercanggah di mahkamah.

Ini bermakna keterangan mereka di mahkamah berbeza dengan keterangan yang diberikan kepada SPRM.

Berkutan itu beliau kesal dengan tindakan saksi berkenaan yang menyebabkan sesetengah kes yang dibicarakan terpaksa ditutup. Ini kerana pihak pendakwaan SPRM tidak mahu menerima keterangan lanjut saksi disebabkan keterangan yang bercanggah.

Katanya: “Apabila perkara ini berlaku Timbalan Pendakwa raya (DPP) terpaksa menutup kes tersebut, jadi ada pihak yang akan menuding jari kepada kita kerana dikatakan tidak menjalankan siasatan dengan terperinci," katanya.

Katanya, sebagai contoh kes rasuah yang membabitkan Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya Halimi Kamaruzaman yang dilepas dan dibebaskan mahkamah daripada pertuduhan rasuah kerana keterangan sembilan saksi kes itu bercanggah dengan percakapan awal mereka kepada SPRM.


Norza dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi ejennya Halimi Kamaruzzaman untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untukmengundinya memenangi jawatan Majlis Tertinggi (MT) pada Perhimpunan Agung Umno Mac tahun lalu.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di Temerloh, Pahang semalam setelah pihak pendakwa tidak mahu meneruskan kes kerana keterangan saksi bercanggah dengan keterangan yang diberikan kepada SPRM.

Norza dalam kenyataan melalui peguamnya, Datuk Seri MuhammadShafee Abdullah berkata keputusan mahkamah tersebut tidak mengejutkan kerana sebelum itu segala tuduhan mengenai politik wang terhadapnya telah digugurkan oleh Jawatankuasa Disiplin Umno pada Mac tahun lepas.

Mustafar berkata, apabila keterangan saksi itu bertukar, pihak pendakwaan SPRM terpaksa menarik balik pertuduhan dan terpaksa berhenti menerima keterangan saksi.

Mengulas mengenai kes Norza, Mustafar berkata:”Sama ada saksi-saksi ini memberi keterangan betul pada perbicaraan atau dalam kenyataan, adalah untuk Mahkamah Temerloh untuk memutuskan."

Katanya, apabila keterangan yang diberikan bercanggah akan menyukarkan pendakwaan terhadap tertuduh dan usaha SPRM dalam memerangi rasuah dianggap gagal.

"Kita berharap masyarakat dapat memberi kerjasama kepada SPRM dalam usaha memerangi rasuah," katanya.

Beliau menasihati masyarakat supaya memberi keterangan yang tepat dan tidak bercanggah kerana keterangan itu akan digunakan sebagai bukti kes apabila dibawa ke mahkamah.
Jadi apakah tidak ada cara membendung perbuatan ini?

Menurut laporan Bernama, jika berlaku perkara seperti ini, SPRM boleh mengambil tindakan terhadap saksi-saksi kes mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan.

Ini kerana memberi keterangan palsu dan boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun dan denda.

Akibat keterangan bercanggah atau saksi belot, yang pasti, orang yang disabitkan kesalahan akan terlepas daripada pertuduhan di mahkamah tetapi bagi saksi kes pula, mereka boleh didakwa kerana memberi keterangan yang bercanggah.

Persoalannya, untuk menegakkan kredibilitinya, wajar sekali jika SPRM memulakan tindakan terhadap saksi belot.

Persoalannya, bersediakah SPRM melakukan demikian?