Sunday, April 24, 2016

DEMI RAKYAT - TARIK BALIK KLASIFIKASI RAHSIA LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA

"...ahli-ahli Dewan Rakyat yang mewakili para pengundi, iaitu orang ramai, hendaklah dimaklumkan mengenai isi kandungan laporan (Ketua Audit Negara). Kita harus maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan, sebagai undang-undang negara tertinggi dan teragung semestinya diikuti dan di dokong dengan tegas” - Tengku Razaleigh Hamzah 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menyebut bahawa Ketua Audit Negara seharusnya menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
.
Malah Perdana Menteri turut mencadangkan supaya diserahkan hasil siasatan tersebut sebagai laporan untuk pertimbangan Dewan Rakyat.

Namun,  Laporan Jabatan Audit Negara ke atas 1MDB  yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dirahsiakan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) (1972) dengan alasan bagi melindungi kredibiliti.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin, memberi alasan ia dirahsiakan bimbang seperti laporan interim audit 1MDB sebelum ini yang dibocorkan pihak tertentu.

"Keputusan Jabatan Audit Negara ini dilakukan berikutan ada maklumat dalam Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1MDB yang dibentangkan kepada PAC pada Julai lalu, dibocorkan pihak tidak bertanggungjawab secara berpilih.

Ini mencetuskan laporan negatif sehingga menjejaskan kredibiliti Jabatan Audit Negara dan jawatankuasa ini sendiri.

"Sebagai sebuah jawatankuasa ditubuhkan di bawah Parlimen Malaysia, adalah menjadi keperluan untuk wujudnya pematuhan dan akauntabiliti serta menghormati peruntukan undang-undang yang turut digubal institusi," kata Hasan dalam satu kenyataan 4 Mac lalu.

Menurutnya setelah Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1MDB dibentangkan ke Dewan Rakyat, terpulang kepada ketua audit negara membuat keputusan sama ada perlu untuk membatalkan arahan dokumen rahsia rasmi ke atas Laporan Ketua Audit Negara Terhadap Pengauditan 1MDB.

Namun, walaupun Laporan PAC sudah dibentangkan dan menimbulkan pelbagai kontroversi, laporan Ketua Audit Negara tetap menjadi ‘bahan rahsia’.

Amat nyata tindakan ini bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri memberi gambaran bahawa tidak apa yang hendak diselindungkan .

Dengan kata lain, sesiapa yang didapati bersalah terpaksalah menghadapi tindakan undang-undang.

Itu yang ditegaskan oleh Perdana Menteri tetapi kenapa sehingga hari ini ia masih lagi menjadi ‘bahan terkawal melalui klasifikasi rahsia’?

Hakikatnya, penarikan klasifikasi rahsia tersebut akan dapat menghapuskan rasa cemas di kalangan orang ramai yang merasakan mereka tertipu serta tidak berhak untuk mengetahui keadaan sebenar di sebalik isu skandal kewangan negara yang terbesar itu.

Perkara 107 (1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.

Malah Perkara 107(1) tidak menyebut langsung tentang klasifikasi mana-mana laporan Ketua Audit Negara sebagai rahsia negara.

Tidakkah klasifikasi rahsia tersebut menyalahi Perlembagaan sekiranya laporan itu dihalang daripada dikemukakan kepada Dewan Rakya?

Ternyata tindakan mengklasifikasikan laporan akhir audit mengenai 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) bertentangan dengan matlamat utama mencari kebenaran berhubung kemungkinan wujud rasuah besar-besaran melibatkan dana awam.

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) Cynthia Gabriel berkata perbuatan melindungi laporan ketua audit negara mengenai 1MDB di bawah OSA dianggap sama seperti menghalang keadilan.

Ini kerana ia menceroboh ke dalam peruntukan undang-undang yang ditubuhkan untuk menangani kes tertentu.

Katanya, ia juga bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), yang ditandatangani Malaysia pada 2003 dan disahkan pada 2008.

Apa yang kita diberitahu dan tahu ialah tujuan utama laporan audit tersebut ialah menyiasat dan membongkar kemungkinan wujudnya korupsi berskala besar dalam dana awam itu, tindakan itu (meletakkan di bawah OSA) bertentangan dengan fungsi laporan audit tersebut.

Ini bermakna melindungi laporan audit di bawah OSA dan pada masa yang sama menghalang perbincangan serta debat terbuka merupakan tindakan menghalang keadilan, memandangkan ia menceroboh ke dalam peruntukan undang-undang yang disediakan untuk kes sebegitu.

Dalam kenyataannya awal Mac lalu, beliau mengecam tindakan itu. Cynthia berkata, tindakan itu juga hanya akan menonjolkan lagi kontroversi dalam siasatan ke atas badan pelaburan negara itu selain memberi kesan kepada sistem kehakiman Malaysia.

“Bergelut dengan dakwaan korupsi dan salah urus tadbir yang serius, pihak berkuasa sebuah masyarakat demokratik yang adil dan saksama perlu mendedahkan lebih banyak maklumat dan bukannya menyembunyikan hasil siasatan.

“Tindakan yang sebenarnya mengganggu dan songsang ini mencerminkan situasi tidak sihat sistem demokrasi Malaysia dan tidak menghormati kebebasan maklumat, salah satu tiang demokrasi,” tambah Cynthia.

Kini semakin ramai yang meminta agar Parlimen dapat menarik balik status klasifikasi rahsia dan membenarkan setiap ahli Parlimen mendapatkan laporan berkenaan.

Ia bagi membolehkan setiap ahli Parlimen mendapatkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB itu.

Terbaru, pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah turut memohon agar Parlimen dapat menarik balik status klasifikasi rahsia dengan membenarkan setiap ahli Parlimen mendapatkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

“Ini bermakna ahli-ahli Dewan Rakyat yang mewakili para pengundi, iaitu orang ramai, hendaklah dimaklumkan mengenai isi kandungan laporan tersebut.

“Kita harus maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan, sebagai undang-undang negara tertinggi dan teragung semestinya diikuti dan di dokong dengan tegas,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook semalam.

Tengku Razaleigh yang juga ahli Parlimen Gua Musang memaklumkan bahawa saranan pengubahan itu adalah sejajar dengan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memaklumkan bahawa Ketua Audit Negara seharusnya menyiasat isu 1MDB dan menyerahkan hasil siasatan tersebut sebagai laporan untuk pertimbangan Dewan Rakyat.

WALAUPUN DEMI ISLAM, PAS, UMNO TIDAK AKAN PERNAH BERSATU...


“Itu cadangan daripada orang luar. Memanglah ia perlu dari segi perpaduan umat Islam tetapi atas dasar Islam, dari segi akidah Islam, keadaan itu berlaku apabila ada persamaan dari segi dasar parti."
 - Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Abu Bakar Abdullah

Sebelum ini Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu sedia untuk melupakan dan memaafkan kesalahan yang pernah dilakukan UMNO terhadap parti itu sebelum ini. 

Beliau berkata pada 20 Disember lalu, itu antara ciri-ciri yang ada dalam perjuangan PAS.

Namun kini lain pula nadanya selepas pendakwah Islam antarabangsa Dr Zakir Naik mencadangkan sesuatu yang positif dalam perpaduan UMNO-PAS.

Takiyuddin menegaskan PAS sama sekali tidak akan menyertai Barisan Nasional (BN) kerana memegang teguh keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 2 Januari lepas.

Namun, katanya, PAS sentiasa berpegang kepada dasar Islam yang mana salah satunya adalah bekerjasama dan tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan.

Ini bermakna PAS sentiasa tegas dan konsisten serta mengambil pendekatan meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan demi memperkukuhkan Islam dan perjuangan.

“Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bila mana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara,” katanya.

Selain kenyataan Takiyuddin yang serlahkan sikap PAS, kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam tidak membawa apa-apa faedah dan yang bersifat positif dalam kerjasama UMNO-PAS.

Hadi menyifatkan pandangan Dr Zakir sebagai pengamatan secara ilmu dan prihatin terhadap umat, namun walaupun mengatakan wajib dihormati Hadi tetap bermain perkataaan,

“Beliau bukan sahaja memahami perbandingan agama-agama dengan Islam, bahkan beliau memahami perbandingan Islam dengan Ideologi. Oleh kerana itu beliau mencadangkan kerjasama PAS dan UMNO berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

“PAS sudah lama meletakkan al-Quran, as-Sunnah bersama Ijmak Ulamak dan Qias yang nyata menjadi rujukan tertinggi dalam Undang-Undang Tubuh (Perlembagaan) PAS (Fasal 5). Bagi merealisasikannya secara kenyataan PAS mewujudkan Majlis Syura Ulamak yang bukan hanya mengiyakan semua keputusan PAS Pusat, bahkan boleh membatalkannya sekiranya menyanggah hukum tertinggi,” katanya menerusi kenyataan.

Pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik berkata, sekiranya parti-parti itu berpakat, ia akan menjadikan Islam itu indah di mata rakyat beragama Islam.

Kerajaan campuran UMNO dan PAS akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam, katanya.

Beliau bukannya mencadangkan dua parti politik Islam utama negara itu bergabung, tetapi adalah lebih baik jika kedua-dua parti politik berkenaan membentuk kerajaan campuran.
    
"Saya bukan hendak memberitahu kedua-dua parti (UMNO dan PAS) perlu menjadi sebuah parti, tetapi jika mereka boleh berbuat demikian, Alhamdulillah...(jika tidak), mereka boleh mengekalkan parti dan identiti masing-masing.

"Namun, jika mempunyai kerajaan campuran, ia akan menjadi gabungan untuk orang Islam," katanya pada sidang media selePAS menjadi tetamu dalam rakaman program bual bicara TV Al Hijrah, 'Persepsi', baru-baru ini.

Lebih lanjut Hadi mengulas, perjalanan PAS hingga ke hari ini, mempunyai pengalaman melaksanakan kerjasama dengan semua pihak sama ada kumpulan Islam ataupun bukan Islam serta bersama kerajaan dan pembangkang.

Jadi? Apakah keputusan dan natijahnya?

Tidak ada apa. Akan seperti biasa biarpun Hadi mengakui Dr Zakir seorang pengamat politik yang peka terhadap ummatnya serta tidak memisahkan politik daripada agama dan dakwah, PAS tetap enggan 'melayan UMNO'..

Dalam PAS sendiri, banyak pendapat sudah dibangkitkan kesan saranan pendakwah antarabangsa itu, antaranya, kerjasama UMNO dan PAS boleh jadi kenyataan, jika:

1. UMNO tukar dasar perjuangan parti, dan

2. Buang dasar kebangsaan. Lagipun, UMNO sudah rosak sepenuhnya bermula dari atas

Begitulah 'angkuhnya kata-kata pemimpin PAS. Sebaliknya, PAS yang selama ini berjuang melawan UMNO mencatat sejarah pernah kerjasama dengan lawan mereka.

Jadi cadangan Dr Zakir hanya sia-sia, lagipun:

Ia hanyalah cadangan pihak luar yang tidak memahami keadaan politik setempat.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Abu Bakar Abdullah berkata selagi UMNO mengekalkan dasar perjuangan parti dengan apa yang ada ketika ini, PAS tidak akan melayan sebarang usaha ke arah kerjasama politik dengan parti itu.

Perkara itu ditegaskan bahawa perkara sedemikian tidak akan berlaku sama sekali dalam keadaan UMNO masih lagi dengan dasar kebangsaan.

Menurutnya, walaupun cadangan itu turut disyorkan oleh Dr Zakir dalam memastikan kesepaduan umat Islam di negara ini, namun beliau menganggap ia hanyalah cadangan dari pihak luar.

“Itu cadangan daripada orang luar. Memanglah ia perlu dari segi perpaduan umat Islam tetapi atas dasar Islam, dari segi akidah Islam, keadaan itu berlaku apabila ada persamaan dari segi dasar parti. PAS adalah dasar Islam. UMNO kalau buang dasar kepada Islam, barulah boleh dilihat ke arah usaha perpaduan.

“Kalau UMNO tidak ubah dasar, masih kepada kebangsaan, ia tidak akan berlaku,” katanya.

Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa pula berpendapat cadangan Dr Zakir adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan kerana kedua-dua parti mempunyai dasar berbeza.tersebut boleh menjadi kenyataan jika salah satu daripada parti tersebut bersedia mengubah dasar perjuangan mereka.

“Saya juga merasakan beliau (Dr Zakir) mungkin tidak memahami realiti sebenar politik di negara ini. Jika kerjasama PAS dengan UMNO dikatakan mampu membawa kebaikan untuk negara ini, ternyata ia adalah satu pemahaman yang salah,” tegasnya.

Menurutnya, UMNO itu sudah rosak sepenuhnya bermula dari atas,  sukar diperbaiki dan bagaimana pula PAS yang selama ini berjuang melawan UMNO boleh membentuk kerjasama dengan lawan mereka.

Beliau juga berkata, PAS akan berada di landasan yang lebih baik jika tidak sesekali bersama UMNO kerana kita sukar untuk nampak kebaikan sebagaimana kata Dr Zakir.

Katanya, adalah lebih baik Dr Zakir tidak banyak berbicara tentang politik negara ini untuk mengelak lebih banyak tanggapan lain, katanya.

Amat nyata, cadangan dan saranan Dr Zakir bagi PAS, bagaikan 'mencurah air di daun keladi' yang bagi PAS hanya ia sahaja memperjuangkan dasar Islam, UMNO pula berjuang demi kebangsaan.