Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (kiri) serta pemimpin agama Islam sebelum sesi perbincangan dan makan tengahari bersama-sama di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam.
Cukup dan tutuplah isu agama Islam bukan agama rasmi Malaysia.
Jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah jelas dan tepat.
Di pihak kerajaan, kalau ada lagi yang mempersoalkan kedudukan Islam di negara ini, hapuskan segera cakap-cakap ini dengan tindakan undang-undang. Menteri Dalam Negeri jangan asyik amaran demi amaran. Lama-lama yang bercakap tidak takut dan rakyat menjadi meluat.
Semalam Najib meminta semua rakyat menerima hakikat bahawa Islam adalah Agama Rasmi Negara.
Dengan kata lain, ia tidak boleh dipertikai, dipersoal dan diubah dalam apa juga keadaan dan cara.
Tolong faham-fahamlah mereka yang tidak faham, khususnya DAP dan pemimpin atau pendokongnya yang berminat mempersoalkan kedudukan agama Islam berkenaan.
Lagipun, walaupun agama Islam menjadi agama rasmi, ia tidak menghalang malah menyekat penganut agama lain mengamalkan ajaran agama mereka.
Baca laporan Bernama berikut:
Terima Hakikat Islam Agama Rasmi Negara:Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semua pihak harus menerima hakikat tentang kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan ia tidak boleh diubah dalam apa jua keadaan.
"Ia adalah kerana realitinya kita mempunyai Perlembagaan Negara dan peruntukannya adalah amat jelas tentang kedudukan Islam dan agama-agama lain," kata Najib kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan 22 orang pemimpin dan cendekiawan Islam di Putrajaya, semalam.
"Dalam apa jua keadaan, Perlembagaan Negara tidak boleh dipinda dan oleh itu semua pihak tidaklah seharusnya merasa bimbang, gundah gelana, ataupun gelisah di dalam hal ini," katanya.
Antara pemimpin dan cendekiawan Islam yang hadir adalah Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor; dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.
Najib berkata dalam pertemuan selama sejam dengan pemimpin dan cendekiawan Islam itu, beberapa isu semasa turut dibincangkan termasuk isu "menukar" agama lain sebagai agama rasmi negara yang dilaporkan sebelum ini.
Baca laporan penuh di sini.