Monday, May 9, 2016

DIMURKAI SULTAN TERENGGANU - AHMAD RAZIF BERKORBAN DEMI PERDANA MENTERI?


BERKORBAN APA SAHAJA...sebuah lagu P Ramlee dalam filem Hang Tuah. Demi Sultan Melaka yang mahukan Tun Teja.

Lagu ini sesuai untuk Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Besar Terengganu yang membiarkan ‘belakangnya dipukul’ demi berkorban untuk seseorang.

Dalam isu di Terengganu ini, ia bukan seperti isu melarikan Tun Teja. Tidak ada kena mengena dengan Sultan Mizan Zainal Abidin langsung. Namun ada perkara lain yang hanya tiga pihak mengetahuinya (saya terpaksa rahsiakan).

Apalah nasib  Ahmad Razif yang baru menjadi Menteri Besar selama dua tahun dan kini menerima desakan supaya beliau berhenti.

Semalam, Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Terengganu HajiYahaya Ali berkata, Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu itu sepatutnya melepaskan jawatannya sekiranya beliau mempunyai ‘moral’.

Kalau Menteri Besar(MB) ada moral, beliau perlu letak jawatan, kerana sudah jelas pelucutan pingat dan darjah kebesaran yang diberikan sultan, adalah ‘signal’/

“Sultan sudah tidak boleh menerima beliau lagi,”ujarnya

Sekurang-kurangnya dua pemimpin Terengganu – Ketua Bahagian UMNO Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail - sudah menyebut mengenai Fasa 30.

Ia merujuk kepada Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu fasal 30(i),(ii) dan (iii), Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) setelah berunding dengan Dewan Pangkuan Diraja Terengganu boleh membatalkan pengurniaan darjah atau kebesaran kepada sesiapa jua atas mana-mana satu alasan yang berikut.

“(I) Jika orang itu telah disabitkan atas satu kesalahan yang melibatkan tipuan, kecurangan atau buruk akhlak,

(II) Jika seorang itu dilucutkan kewarganegaraannya,dan

 (III) Jika DYMM berpuas hati dengan kelakuan atau watak orang itu bahawa orang ini tidak lagi patut dikurniakan darjah atau kebesaran tersebut atau tidak patut dianugerahkan bintang atau pingat penghormatan atau kebesaran tersebut.


Dan melalui fasa inilah dikatakan yang membolehkan Tuanku Sultan Terengganu menarik balik pingat

Namun, kenapakah Ahmad Razif bersedia untuk berkorban begitu sekali?

Apakah Ahmad Razif terlalu berterimakasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak kerana melantiknya menjadi Perdana Menteri?

Apa janjinya atau komitmen untuk ditunaikan sekiranya dilantik menjadi Menteri Besar?

Apakah Ahmad Razif diminta sebagai balasan untuk melakukan sesuatu demi orang yang melantiknya, sedangkan Sultan Terengganu juga mempunyai peranan, iaitu ‘memoperkenankan’.

Dalam soal yang amat rumit dari segi pelantikan dan pentadbiran, sudah pasti Ahmad Razif tetap kena menjawab kepada Sultan Terengganu dan Perdana Menteri.

Namun, pada zaman moden ini, mungkin Ahmad Razif sedikit keliru dengan menganggap Najib sebagai ‘Sultan Melaka’. Dia mendahulukan Perdana Menteri, sedangkan sebagai ‘Bendahara Melaka’ atau ‘Hang Tuah’, Razif tidak boleh membelakangkan Sultan.

Lihat sahaja apa jadi kepada Hang Tuah, walaupun sudah banyak jasa dan korbannya, akhirnya dia meletakkan jawatannya dan katanya lari ke hulu sungai dan membuang kerisnya, Taming Sari.

Sultan Melaka tidak berupaya menyelamat Hang Tuah, dan kalau pun diselamat,  tiada gunanya. Melaka sudahpun jatuh ke tangan Portugis pada 1511.

Epic Hang Tuah ini tidaklah bermakna jasa Ahmad Razif kepada Sultan Terengganu begitu besar tetapi mungkin ‘Sultan’ bagi Ahmad Razif adalah Najib.

Mungkin komitmen Ahmad Razif kepada Najib ini menyebabkan Istana Terengganu begitu ‘murka’ kepada Menteri Besar.

Dengan kedudukan sekarang, Najiblah yang sepatutnya menyelamat Razif. Jangan biarkan belakangnya terus dipukul, di sepak dan diterajang.

Pandai-pandailah Najib membawa Ahmad Razif lari dari ‘kepanasan politik Terengganu’. Juga anugerahkanlah sesuatu untuknya.

Ahmad Razif pernah menyatakan untuk ‘berhenti’ daripada  menjadi  Menteri Besar tetapi diminta supaya ‘berkorban’ untuknya bagi tempoh sementara.

Ahmad Razif sudah dan sedang melakukannya.


 Ahmad Razif boleh dilantik ke Pusat sebagai Senator. Setidak-tidaknya jawatan Timbalan Menteri. Pengorbanan Ahmad Razif terlalu besar dan perlu dibalas oleh Najib.

Kasihan dia!