Wednesday, November 11, 2015

SPRM SOAL NAJIB ISU RM2.6 BILION SEBELUM AKHIR TAHUN


"Serta-merta selepas kenyataan Majlis Raja-raja, pada malam itu sendiri, saya menghantar mesej kepada SPRM, 'Hello, lebih baik anda cepat'....Dan kemudian, untuk memastikan mereka mempercepatkan (proses), saya kata, 'selesaikan siasatan pada hujung Oktober'. Itu arahan saya."
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali 

Berita terbaru ini menarik. Sudah pasti cerita akhir tahun ini amat ditungu-tunggu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu merakamkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkenaan wang RM2.6 bilion yang diterimanya sebelum akhir tahun ini .

Malah, siasatan terhadap derma kontroversi itu juga mesti dimuktamadkan sebelum tempoh itu.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata beliau sudah mengarahkan agensi anti rasuah itu melengkapkan siasatannya terhadap bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), SRC International dan derma RM2.6 bilion itu sebelum akhir tahun ini.

Kita lega dan berharap siasatan ini akan memuktamadkan sesuatu. Bukan untuk menyalah atau menuding jari kepada sesiapa.

Namun kes ini jika dapat didedahkan fakta sebenar akan melegakan rakyat.

Memanglah kes yang melibatkan pergerakan wang dari satu syarikat ke syarikat lain 
mengambil masa. Ini kerana ia melibatkan pencarian dokumen serta menjejak dan menemubual individu terlibat, yang biasanya senarainya akan bertambah panjang dari masa ke semasa.

Contohnya kes bekas majikan Perwaja Steel Tan Sri Eric Chia Eng Hock, yang akhirnya didakwa melesapkan wang RM76.4 juta pada 2005 selepas "bertahun-tahun" siasatan dijalankan.

Apandi memberitahu  The Malaysian Insider, beliau membuat arahan itu kerana beliau mengambil serius kebimbangan orang ramai.


Pengkritik menuduh pihak berkuasa sengaja melengah-lengahkan siasatan, manakala Majlis Raja-raja bulan lalu menggesa kerajaan melengkapkan siasatan berkaitan dengan 1MDB dengan seberapa segera yang mungkin.

Apandi berkata, beliau menyedari kenyataan Raja-raja Melayu itu dan juga kebimbangan orang ramai.

"Serta-merta selepas kenyataan Majlis Raja-raja, pada malam itu sendiri, saya menghantar mesej kepada SPRM, 'Hello, lebih baik anda cepat'.

"Dan kemudian, untuk memastikan mereka mempercepatkan (proses), saya kata, 'selesaikan siasatan pada hujung Oktober'. Itu arahan saya," katanya.


Tetapi, beliau berkata, SPRM kemudiannya memberitahunya, "mustahil" untuk mereka menyiapkannya sebelum hujung Oktober dan meminta tarikh itu ditukar kepada akhir tahun ini.

Apandi berkata, SPRM perlu menyerahkan fail itu kepada beliau pada masa itu, "dengan apa cara sekalipun", kerana beliau sudah memberi mereka masa yang cukup.

Walaupun begitu, Apandi berkata, beliau merasakan siasatan SPRM ke atas kes itu berjalan pada "kadar yang munasabah".

The Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai menyiarkan artikel memetik "penyiasat yang tidak dinamakan" mengatakan hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

1MDB menafikan dakwaan itu, manakala Najib menyangkal ada mengambil sebarang dana negara untuk kepentingan peribadi.

Apandi mengesahkan SPRM ada kemajuan, dan pegawai sudah mengambil keterangan daripada Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan pengarah Datuk Suboh Mohd Yassin.

Pada Julai, Jabatan Imigresen mengeluarkan larangan perjalanan ke atas Nik Faisal manakala Suboh dilaporkan tidak dapat dikesan.

Bagaimanapun, Apandi berkata, ahli perniagaan Low Taek Jho belum disoal kerana "dia belum lagi masuk dalam cerita ini".
 
"Jika mana-mana antara mereka mula menyebut nama Jho Low, maka mereka (SPRM) akan memanggil Jho Low," katanya.

Sebelum ini,  Datuk Paul Low Seng Kuan berkata SPRM tetap akan memanggil Najib untuk menyoal beliau berhubung isu wang derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya apabila tiba masanya.

Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, ketika ini Najib belum dipanggil sambil mengesahkan SPRM masih sedang menyiasat isu tersebut walaupun sebelum ini mengesahkan ia datang daripada seorang penderma Timur Tengah.
  
Pada 5Ogos, SPRM berkata ia akan menyoal Najib berhubung sumbangan derma itu, yang disahkannya datang daripada seorang penderma Timur Tengah.

SPRM juga berkata, mereka sudah mendapatkan penjelasan daripada penderma yang berasal dari Timur Tengah. Pihak berkaitan mengesahkan sumbangan derma berkenaan.

"Sumbangan derma RM2.6 billion itu tiada kaitan langsung dengan 1MDB," kata SPRM
SPRM berkata, seperti pernah dinyatakan beberapa kali ebelum ini, siasatan badan penguatkuasa itu tiada kaitan dengan 1MDB, sebaliknya isu itu ditangani oleh polis.

SPRM juga  tidak boleh mendedahkan identiti pihak penderma dana RM2.6 bilion Najib.

Kenyataan Paul Low ini dibuat dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat dan sudah pasti akan menjadi rujukan penting kepada rakyat dari segi siasatan SPRM terhadap Najib.

Ogos lalu The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan kira-kira AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan di antara agensi kerajaan, bank dan entiti yang berkaitan dengan 1MDB dan berakhir di akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan.

Najib menafikan dakwaan itu dan berkata ia adalah konspirasi politik pihak lawan termasuk bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi WSJ menegaskan siasatan mereka berlandaskan dokumentasi kukuh.

SPRM sebelum ini mengumumkan akan memanggil Najib untuk memberi kenyataan mengenai pendedahan tersebut, bagaimanapun sehingga hari ini belum ada keterangan direkodkan.

Soal siasatan ini sudah dimaklumkan kepada Najib dan Perdana Menteri sudah bersetuju beliau perlu disoal.

Rakyat menunggu hasil siasatan dan mungkin ada pencerahan dalam isu derma RM2.6 bilion yang turut dijadikan sasaran menyerang kerajaan oleh pelbagai pihak termasuk pembangkang dan ahli UMNO sendiri.