Thursday, November 24, 2016

GARA-GARA AKTA 355 - MUNGKINKAH BN AKAN BERPECAH?


Yang sudah mengesahkan menolak Akta 355 ialah PPB dan MCA sementara yang lain mungkin akan menyatakan pendirian hari ini...akan  memberikan kesan dan ujian getir buat Barisan Nasional  mungkin sehingga PRU14 nanti.”

Apa akan berlaku kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya parti komponen seperti MCA, Gerakan, MIC, Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PPB) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menentang Rang Undang-Undang Ahli Persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355)?

Apakah ia berdepan dengan penentangan dalaman dan luaran yang sengit terhadap usaha gabungan UMNO dan PAS ini?

Yang sudah mengesahkan menolak Akta 355 sejauh ini ialah PPB dan MCA sementara yang lain mungkin akan menyatakan pendirian hari ini.

Kedudukan ini membimbangkan bukan sahaja dari segi sokongan kepada usaha UMNO dan PAS berkenaan tetapi akan memberikan kesan dan ujian getir buat Barisan Nasional  (BN) kini dan akan datang.

Apakah bantahan terhadap Akta 355 akan memberikan kesan kepada kerjasama parti-parti politik dalam BN menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) nanti?

Jika membawa kesan buruk, maka jelaslah PAS mencipta sejarah untuk dirinya, UMNO dan BN dan begitulah sebaliknya.

Bolehkah UMNO hanya bergantung harap kepada PAS sekiranya parti lain kekal menolak BN gara-gara Akta 355 ini pada PRU14 nanti?

Walaupun semalam dilaporkan ahli Parlimen yang hadir taklimat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan ‘memahami dan menyokong’ Akta 355, namun sokongan sebenar masih samar.

Apakah hari ini, jika usul dibentangkan di Dewan Rakyat ia akan mendapat sokongan majoriti mudah  ahli Parlimen, khususnya yang beragama Islam?

Untuk Akta 355 diluluskan, ia hanya memerlukan majoriti mudah daripada 222 ahli Dewan Rakyat berbanding pindaan Perlembagaan diluluskan pula, 148 ahli Parlimen mesti mengundi menyokongnya.

Ketika ini UMNO mempunyai 86 kerusi selepas Ahli Parlimen Pagoh dan Semporna dipecat daripada UMNO , MCA 7, MIC 4, dan Gerakan (1).

Pembangkang pula mempunyai jumlah kerusi berikut – PKR 29, AMANAH (7), DAP (38), Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS 1), Parti Sosialis Malaysia (1) Bebas dan lain-lain (1), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM 1) dan PAS 14.

Di Sarawak pula, selain DAP (5) dan PKR, parti lain ialah PPB (14), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP 1), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP 4), dan Parti Rakyat Sarawak (PRS 6).

Di Sabah,  selain UMNO parti lain ialah Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO 6), Parti Bersatu Sabah (PBS 4), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS 1) dan Parti Warisan Sabah ( Warisan (2).

Jika UMNO digabungkan dengan PAS, mereka akan memiliki sebanyak 100 kerusi berbanding Pakatan Harapan yang menggabungkan DAP-PKR-AMANAH dan PPBM dan mungkin Bebas ialah 75.

Malah, jika ahli Parlimen BN Sarawak benar-benar menolak Akta 355 dengan jumlah itu akan bertambah lagi 25 kerusi menjadikan 100 kerusi. Malah, jika benar MCA menolaknya, ia akan menjadikan 107.

Yang tinggal lagi ialah pendirian parti lain sekitar 20 kerusi lebih yang terdiri daripada MIC, Gerakan dan parti lain di Sarawak dan Sabah.


Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dlaporkan sudah mengarahkan semua ahli parlimen BN  negeri itu menentang Akta 355.

Akhbar mStar yang memetik Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian berkata parti komponen BN Sarawak telah diarahkan supaya tidak menyokong rang undang-undang yang akan dibacakan kali kedua di Parlimen hari ini.

Dr Sim dilaporkan bersama-sama dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Tan Sri James Masing, bertemu dengan Adenan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuching, semalam.

Masing adalah juga Presiden PRS manakala Abang Johari dan Uggah adalah masing-masing timbalan presiden dan naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

SUPP sebelum ini turut menyatakan pendiriannya menentang Rang Undang-undang ini kerana ia bukan dalam semangat apa yang asalnya kita tandatangani dalam Perjanjian Malaysia 1963.

"Pendirian ketua menteri bersama-sama dengan BN Sarawak mengenai hudud masih terpakai. SUPP telah mengarahkan semua ahli parlimennya untuk menolak rang undang-undang itu jika ia dibawa kepada pengundian.

"Semua parti komponen BN negeri sepakat dalam perkara ini," kata Dr Sim yang dipetik The Star selepas mesyuarat itu.

Amat nyata jika usul jadi dibentangkan, kita akan  dapat melihat benarkah mereka mementang dan siapa pula yang akan menyokong?

Jika semua pemimpin BN Sarawak menolak usul bermakna akan membabitkan 25 kerusi diwakili BN manakala lima dari DAP dan satu dari PKR.

Sejauh ini DAP dan PKR jelas tidak menyokong usul berkenaan.

Bagaimana dengan Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet dari PPB, khususnya yang beragama Islam, apakah mereka juga akan menentang?

Hadi sudah menjelaskan Akta 355 itu hanya tertakluk kepada penganut Islam yang beriman dan budiman, tanpa mengira fahaman politik dan kedudukan dalam masyarakat dan tugasnya.


Dr Ahmad Zahid pula,  menyifatkan penerangan beliau semalam sebagai hari ini dalam sejarahahli-ahli parlimen beragama Islam daripada pelbagai parti tidak kira kerajaan mahupun pembangkang berkumpul bersama untuk berbicara secara terbuka dan ikhlas mengenai cadangan pindaan Akta 355 Mahkamah Syariah yang menjadi bahan polemik dalam masyarakat kini.

"Yang penting pimpinan parti-parti siasah bersepakat bahawa usaha memartabatkan Islam mesti menjadi agenda bersama. Kita boleh berbeza pandangan tetapi dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan Islam dan ummah, mesti bermuafakat dan bekerjasama, “katanya dalam satu kenyataan.

Apakah ahli Parlimen Sarawak akan mengikut kata Adenan atau Putrajaya dalam isu ini?

Bagaimana jika mereka tetap menentang?

MCA semakin jelas dalam isu ini apabila semalam

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam menegaskan beliau akan meletak jawatan sebagai menteri jika Hadi Akta 355 dan ia diluluskan di Dewan Rakyat.

"Pendirian saya adalah sama, dan yang lebih penting, saya masih menegaskan bahawa RUU itu tidak seharusnya dibentangkan oleh Hadi. RUU Hadi itu tidak seharusnya disokong kerana jika terdapat RUU yang hendak diluluskan di Parlimen, ia perlu dibentangkan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.


Beliau menjelaskan bahawa RUU yang akan dibentangkan Hadi diibaratkan sebagai satu jalan untuk Mahkamah Syariah  melaksanakan hukuman hudud di seluruh negara.

Sebelum ini, pada 13 Nov 2016, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata parti itu akan menolak rang undang-undang persendirian dibawa presiden PAS yang mahu meningkatkan tahap hukuman mahkamah syariah.

Ikrar itu dibuat di depan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-63 MCA di Kuala Lumpur.

DAP yang melihat kedudukan BN seakan terumbang-ambing gara-gara isu ini semalam menyarankan MCA, MIC, Gerakan dan SUPP disarankan keluar dari BN.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP menentang undang-undang seperti hudud ini kerana ia bercanggah sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mengingatkan MCA, MIC, Gerakan dan SUPP bahawa mereka layak untuk menerima kutukan kerana mengkhianati prinsip dan janji untuk menegakkan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, jika bekerjasama dengan  UMNO meluluskan usul berkenaan.

Malah menurutnya, janganb kerana kepentingan politik, mereka terus menipu rakyat dengan menyokong Umno yang sanggup bekerjasama dengan PAS untuk memintas Persekutuan Perlembagaan bagi membolehkan undang-undang ini berkuat kuasa.

"DAP mengingatkan MCA, MIC, Gerakan dan SUPP bahawa untuk AKTA 355 diluluskan, ia hanya memerlukan majoriti mudah dan bukan 112 daripada 222 ahli Parlimen manakala bagi pindaan Perlembagaan diluluskan pula, 148 ahli Parlimen mesti mengundi menyokongnya, “ katanya.

Justeru, keengganan MCA, MIC, Gerakan dan SUPP untuk meninggalkan BN kini dilihat sebagai satu bentuk 'kelulusan tersirat' dalam menyokong tindakan PAS itu untuk menambah hukuman undang-undang syariah agar lebih dekat dengan undang-undang seperti hudud, tambah Lim.

Bagi DAP, walaupun menghormati hak-hak orang Islam untuk menentukan hal-ehwal agama mereka, ia mesti dilakukan dengan betul dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.

"Cadangan tambahan hukuman akan semakin mendekatkan Akta 355 dengan undang-undang seperti hudud dan atas sebab inilah, ia perlu dilakukan melalui pindaan Perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga dan bukan menerusi undang-undang biasa," jelasnya dalam kenyataan.

Apa yang mungkin menyelamatkan BN ialah parti komponen hanya menolak untuk mengundi Akta 355 sahaja tetapi terus bekerjasama untuk berdepan pembangkang bagi PRU-14.

Jika ini berlaku, suasana ‘akrab UMNO dan PAS’ akan terus dicabar oleh faktor dalaman di samping PAS sendiri semakin tidak selesa jika parti komponen lain khususnya yang bukan Islam memandang serong kepada mereka.

Kerana itu, Akta 355 adalah ujian kepada BN dan juga ujian kepada kerjasama UMNO-PAS untuk bidang-bidang lain yang kemungkinan akan lahir selepas ini.

Kita hanya mengharapkan sejarah dicipta bagi tujuan kebaikan bukan membawa kemusnahan tetapi jika sebaliknya, UMNO perlu menerima hakikat bahawa 'ia menghulurkan lehernya untuk dijerut'.

Memanglah jika kejadian ini menjadi kenyataan maka 'sejarah sudah dicipta'!