“UMNO sudah kantoi...Janjinya untuk bantu PAS tidak kesampaian. PAS pula kantoi dengan penyokongnya yang
mengharapkan bantuan UMNO untuk membolehkan RUU355 dibentangkan dengan mudah
dan tanpa halangan.”
Status usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Dewan Rakyat kini kembali kabur.
Hasrat PAS untuk merealisasikan cita-citanya menjadikan
Akta 355 sebagai pencapaian penting dalam perjuangan dan pencapaian politik
semasanya, kini terumbang ambing.
Terang lagi bersuluh - kini kerajaaan TIDAK AKAN mengambil
alih pembentangan RUU355 itu.
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi yang sebelum ini mengesahkan Perdana Menteri membuat keputusan
untuk membentangkan sendiri cadangan pindaan Akta 355 itu pada sidang kali ini,
sekadar penyedap mulut.
Malah, Dr Ahmad Zahid kini terperangkap dengan keputusan Dewan
Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam yang membincang akta itu serta memutuskan
bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU355 selaras dengan dasar dan amalan
BN yang membuat keputusan berdasarkan konsensus.
Justeru, rang undang-undang ini akan terus menjadi bil
(rang undang-undang) persendirian dan terserah kepada Speaker Dewan Rakyat untuk menentukan kedudukannya.
Pada 18 Mac lalu, Dr Ahmad Zahid bertegas bahawa kerajaan
melalui Perdana Menteri akan membentangkan usul RUU355 dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung.
Katanya di Kuala Terengganu, buat pertama kalinya Datuk Seri Najib Razak akan
membentangkan usul tersebut, menerusi mesyuarat penggal kelima Parlimen ke-13,
yang akan berakhir 6 April depan.
Namun jelas kini UMNO sudah kantoi. Sejarah sudah tercipta!!!!
Janjinya untuk membantu PAS tidak kesampaian dan PAS pula
kantoi dengan penyokongnya yang mengharapkan bantuan UMNO untuk membolehkan
RUU355 dibentangkan dengan mudah dan tanpa halangan.
Jelas kini segala-galanya berada dalam keadaan yang tidak
tentu hala dan malang sungguh nasib RUU355 itu.
Bercakap pada sidang media di Menara Dato' Onn, Kuala
Lumpur malam tadi Perdana Menteri yang
juga Pengerusi BN, menegaskan keputusan
itu selaras dengan dasar dan amalan BN yang menetapkan semua keputusan mesti
dibuat secara konsensus.
Dengan kedudukan itu, status usul persendirian yang
dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, itu kini tertakluk kepada
pertimbangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Dengan kata lain, RUU355 yang dilihat sebagai ‘milik PAS’
walaupun untuk kepentingan kerajaan semata-mata bergantung kepada EHSAN SPEAKER.
Jika dibenar dibentangkan ia boleh dibentangkan dan jika
tidak, bermakna ia perlu ditangguhkan. Sampai bila? Tidak seorang pun ketahui.
Apakah PAS selesa dengan kedudukan itu selepas meyakini
bahawa BN, khsuusnya UMNO bersamanya menjamin RU355 dibentang dan diluluskan di
mahkamah?
Usul meminda Akta 355 itu dibawa Hadi untuk meningkatkan
had hukuman bagi kesalahan jenayah syariah menjadi RM100,00 denda, penjara 30
tahun dan 100 kali sebatan.
Selain memecahkan perpaduan pembangkang, usul berkenaan
juga ditentang hebat parti komponen dalam BN sehingga sekarang.
Kenyataan Dr Ahmad Zahid bahawa perdana menteri komited untuk menterjemahkan hasrat tersebut
tanpa mengganggu gugat kepentingan agama serta kaum lain di negara ini kini
mungkin boleh dipersoalkan.
Bagaimanapun ia kini diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat,
sedangkan sebelum ini UMNO memberikan
jaminan perdana menteri komited mengenainya?
Semalam Najib menjelaskan, ketika ini terserah kepada Pandikar Amin sama
ada akan membenarkan rang undang-undang Hadi itu dibentangkan di Dewan
Rakyat atau tidak.
"Kalau speaker memutuskan untuk membenarkan (ia
dibentangkan), maka ia akan dibentangkan. Begitu juga dengan keputusan
peraturan rang undang-undang tersebut," kata Najib.
Gembirakah PAS dengan pendirian Najib dan UMNO ini?
Malah ketika ditanya adakah ketetapan diambil itu
bermaksud ahli parlimen BN tidak menyokong rang undang-undang itu apabila ia
dibentangkan atau mereka boleh mengundinya, Najib sekali lagi berkata, ia
bergantung kepada peraturan speaker.
"Mungkin ada atau tidak ada undian. Bergantung
kepada peraturan speaker untuk memutuskannya," kata Najib.
Bukan sekadar itu sahaja, Perdana Menteri turut menolak
pandangan bahawa UMNO cenderung kepada cadangan tersebut.
Ternyata PAS kini terkial-kial dalam menjamin RUU355
mendapat tempat seperti diharapkannya.
Bagaimana UMNO boleh ‘cuci tangan’ dan menjaga hati
sekutu atau parti komponennya dalam BN, pada hal UMNO sudah memberikan harapan
begitu besar kepada PAS.
Apakah pendirian Dewan BN ini akan menggugat apa yang
disifatkan oleh Dr Ahmad Zahid sebagai kerjasama kerajaan BN dengan "rakan
baru" yang pernah menjadi musuh politik mereka demi memelihara kesucian
Islam dan kedaulatan Melayu selepas ini?
Najib memberikan alasan UMNO tidak cenderung kepada
cadangan Hadi itu kerana BN percaya
mengenai semangat dasar konsensus. “Begitulah cara BN," tegas Najib.
Ini sama sekali bertentangan dengan sikap awal UMNO yang
dilihat sangat mengambil berat mengenai hasrat PAS bagi membentangkan usul
berkenaan.
Apakah PAS akan bertindak balas seperti yang pernah
dilaungkan oleh pemimpinnya.
Rakyat Malaysia memerhatikan ‘drama RUU355’ ini dan
bagaimana penyudahnya?