"Datuk orang yang baik. Saya tidak pernah ada masalah dengannya (Rais).
"Semua laporan yang mengatakan saya diperkosa sama sekali tidak benar," demikian kata Robingah dalam kenyataan yang disiarkan portal berita Detiknews.com semalam. Laman web itu ialah portal berita paling berpengaruh di Indonesia.
Jadi di manakah kebenaran laporan sama ada oleh bloggers mahupun mereka yang memetik berita daripada blogger berkenaan mengatakan Rais adalah ‘perogol’?
Wanita itu berkata, jika Rais berperangai jahat dan berperilaku kasar terhadapnya, tentu beliau tidak akan dapat bertahan untuk bekerja selama itu di rumahnya.
Semua keluarga Rais juga melayan para pembantu dengan baik, katanya.
"Jadi jika ada pemberitaan yang menyatakan bahawa saya pernah diperkosa Datuk, itu sama sekali tidak benar," katanya.
Suami wanita itu yang berusia 52 tahun, yang turut mendampinginya semasa ditemuramah wartawan, telah menyatakan rasa terkejut ketika mendengar berita yang menyebutkan bahawa bekas majikan isterinya itu kononnya telah memperkosa pembantunya, apalagi mahu mempercayai bahawa mangsa itu adalah isterinya.
"Selama bekerja di Malaysia, isteri saya tidak pernah mengeluh mendapat perlakuan yang tidak baik daripada majikannya," kata beliau.
Bekas pembantu rumah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Robingah, 46 semalam menafikan dakwaan dia telah dirogol oleh bekas majikannya itu seperti yang tersebar dalam Internet baru-baru ini.
Malah, wanita itu, sebaliknya memberitahu, dia telah dilayan dengan baik oleh Rais dan ahli keluarganya sepanjang bekerja di rumah majikannya itu dari tahun 1999 hingga 2007.
"Datuk Rais Yatim orang yang baik. Bahkan pemberitaan yang selama ini menyebutkan saya sudah diperkosa sama sekali tidak benar. Saya juga sering diberi wang serta oleh-oleh daripada beliau," jelas wanita warga Indonesia berusia 46 tahun itu kepada wartawan di rumahnya di sebuah perkampungan di Jawa Tengah, Jumaat.
Laporan portal berita detik.com memetik beliau sebagai berkata bahawa sepanjang lapan tahun beliau bekerja sebagai pembantu di rumah Rais dari 1999 hingga 2007, beliau pernah diberi cuti satu setengah bulan.
Katanya, beliau bekerja bersama tiga orang pembantu lain dari Indonesia.
"Biasanya kami sering bahagi-bahagi tugas. Saya bertugas sebagai pengantar makanan jika ada jamuan di rumah Datuk. Selain itu juga membukakan pintu pagar bila Datuk baru pulang," katanya.
Robingah semalam dikunjungi empat kakitangan Balai Pelayanan Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BP3TKI) di rumahnya di Banjarnegara, Jawa Tengah untuk siasatan mengenai dakwaan tersebut.
Dan semalam juga NGO - Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta memutuskan untuk tidak akan membawa perkara berkenaan kepada mahkamah, lapor Kompas.com.
Ia kerana menghormati hak seorang amah Indonesia yang didakwa dirogol oleh seorang menteri Malaysia.
"Kami berada pada posisi menghormati permintaan mangsa supaya kes ini tidak dihebahkan dan dibawa ke muka pengadilan,” kata penganalis dasar, Migrant Care, Wahyu Susilo, pada sidang media di Warung Daun, Cikini, Jakarta. Menurut Wahyu, Migrant Care berharap kejadian itu dijadikan teladan kepada kerajaan Indonesia supaya tidak mengabaikan nasib pekerjanya di luar negara.
"Pemerkosaan perlu dibuktikan dan harus ada laporan sebelum membolehkan tindakan lanjut diambil. Tetapi sehingga malam semalam, mangsa masih belum mahu membuat laporan, maka kami hanya menghormati.
Saya kira dalam keadaan ini kami tidak boleh ke mahkamah tetapi hanya ingin menegakkan hak asasi manusia dan mahu kes tersebut dijadikan pelajaran kepada kedua-dua kerajaan untuk benar-benar serius soal perlindungan buruh asing,” katanya.
Amat jelas kini dengan Rais membuat penafian dan Robingah semalam menafikan Rais ‘merogolnya’, kes ini seakan tamat.
Rabu lalu, Rais menafikan segala dakwaan yang dibuat ke atasnya oleh beberapa orang bloger dan juga beberapa pemimpin parti pembangkang bahawa dia telah memperkosa pembantu rumahnya berbangsa Indonesia empat tahun lalu ketika masih berkhidmat di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.
Malah, hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk julung-julung kalinya mengulas mengenai kes ini dengan menggesa semua pihak agar tidak membuat andaian ke atas tuduhan yang dilemparkan kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, bahawa beliau telah merogol pembantu rumahnya empat tahun dahulu.
Perdana Menteri berkata, semua pihak harus membenarkan undang-undang mengambil tempatnya kerana Rais telah menyatakan kesediaannya untuk disiasat secara menyeluruh berkaitan dakwaan tersebut.
"Beliau telah pun membuat kenyataan berhubung dakwaan itu dan beliau berdiri teguh bahawa beliau tidak melakukan perbuatan itu. Oleh itu kita tidak harus membuat andaian dan menjatuhkan hukuman ke atas seseorang melainkan siasatan telah selesai dilakukan," ujar Najib.
Banyak pihak meminta Najib membuat pendirian mengenai isu ini dan ternyata dua penafian oleh Rais dan Robingah telah menjernihkan imej Rais.
Kini terpulanglah untuk Rais yang berkelulusan undang-undang untuk memikir atau menilai apakah akan mengambil sebarang tindakan terhadap orang yang ‘memfitnahnya’.
Apakah Rais akan menyaman dan menuntut ganti rugi kerana memalu dan mengaibkan diri dan tempias terhadap keluarganya.
Kita juga mahu mendengar apakah ada permohonan kemaafan daripada mereka yang sebelum ini mendakwa Rais seorang ‘perogol’.