Wednesday, May 20, 2009

MAMPUKAH PUTRAJAYA ATASI KEMELUT POLITIK TERENGGANU?

Hari ini yang ada di negeri Terengganu rakyat sahaja.

Semua orang ‘berpolitik’ di Terengganu - ada di Kuala Lumpur. Semua orang politik - ADUN, Ketua Bahagian dan Menteri Besar ada di Kuala Lumpur. Mesyuarat mingguan Exco juga diadakan di Kuala Lumpur.

Malam ini mereka ke Putrajaya. Agenda kemuncak akan berlaku di Putrajaya.

Ramai yang menunggu pengumuman yang akan dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu malam ini. Selain kedudukan Menteri Besar, siapa akan menduduki Setiausaha Perhubungan, Bendari dan Ketua Penerangan UMNO Terengganu. Begitu juga dengan jawatan-jawatan lain.

Apa tidaknya. Sesetengah menganggap mesyuarat malam ini yang akan menghimpunkan semua ADUN Terengganu dan Ketua-Ketua Bahagian dengan Datuk Seri Hishamuddin Hussein itu sebagai ‘jalan terakhir’ menentukan kedudukan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Dengan kata lain, teka teki bila dan siapa akan menggantikan Ahmad Said, dikatakan bergantung kepada keputusan mesyuarat malam ini.

Kerana itu tidak pelik kalau ada di kalangan 18 ADUN BN Terengganu yang sebelum ini mahu Ahmad Said disingkirkan, kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Menteri Besar itu, dikekalkan.

Menurut mereka, kenyataan tersebut "terlalu awal" kerana perjumpaan dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein belum diadakan.

Menurut laporan Malaysiakini semalam, seorang ADUN yang enggan namanya disiarkan berkata, sepatutnya kenyataan itu dibuat selepas perjumpaan dengan Hishamuddin diadakan malam ini.

Hishammuddin dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan ADUN dan ketua Umno bahagian Terengganu itu, di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya malam.

Malah, kata ADUN berkenaan, beliau dan rakan-rakannya akan cuba menimbulkan isu sebenar dalam perjumpaan dengan Hishammuddin tersebut, iaitu Ahmad Said mesti diganti.

"Ini fokus sebenar 18 ADUN berkenaan. Kami berjuang untuk kepentingan parti, negeri Terengganu dan rakyat negeri itu. Walau apapun, kumpulan kami tetap patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti," katanya tanpa mengulas lanjut.

Bercakap kepada wartawan di Kuala Terengganu sempena pelancaran hari guru peringkat kebangsaan Sabtu lalu, dilaporkan berkata, Ahmad kekal sebagai menteri besar.

Muhyiddin dikritik oleh sesetengah ADUN kerana membuat kenyataan mempertahankan kedudukan Ahmad Said mendahului Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.
Tidak tahulah SIAPA BESAR dalam konteks membuat kenyataan mengenai kedudukan Ahmad Said antara Timbalan Presiden UMNO berbanding Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.
Yang pasti Ahmad Said yang telah diturun pangkat dari jawatan pengerusi Umno Terengganu kepada timbalan pengerusi akan terlebih dahulu bertemu Hishamuddin sebelum mesyuarat penuh membabitkan semua ADUN.
Bagi yang waras, mesyuarat ini dilihat sebagai ‘mendengar’ daripada ‘menghukum’. Mendengar ialah memberikan ruang kepada ADUN dan pemimpin UMNO, termasuk Ketua-Ketua Bahagian menyatakan pendirian mereka.
Biarkan mereka menghentam apa sahaja. Dengan kata lain Putrajaya akan menjadi medan di mana Ahmad Said akan ‘dibelasah’ habis-habisan.
Persoalannya, apakah Hishamuddin akan membiarkan medan itu untuk membenarkan Ahmad Said dibelasah sedemikian rupa?
Persoalannya juga, sejauh mana luahan itu akan dijadikan asas untuk memutuskan untuk mengguggurkan Ahmad Said?
Pada pengamatan saya, Hishammuddin boleh mengambil apa-apa tindakan berhubung urusan parti, tetapi pelantikan Ahmad Said sebagai menteri besar bukan ditentukan oleh parti sahaja.
Kalau parti sahaja menentukan perlantikan Menteri Besar, sudah pasti Datuk Seri Idris Jusoh boleh menjadi Menteri Besar.
Dalam politik Terengganu, Barisan Nasional dan UMNO perlu bertindak bagai ‘menarik rambut dalam tepung’ – Rambut Jangan Putus, Tepung Jangan Tumpah.

Saya tertarik dengan kata-kata Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Zaabar Adib baha kemelut politik Terengganu kelihatan semakin reda sejak kebelakangan ini namun saya melihat rasa tidak puas hati -kenapa Datuk Ahmad Said yang masih terpacak di situ - tetap membara.

Kata Mohd Zaabar, kemelut yang berlaku sejak lebih sebulan lalu tidak akan selesai jika ada pihak yang berkeras mahu mempertahankan prinsip masing-masing.

"Kalau ada yang tidak memikirkan keutamaan bersama kemelut ini akan berlanjutan. Kemelut ini merugikan rakyat, saya berharap ia dapat diredakan segera. Tetapi sudah nampak ia semakin reda.

"Kita serahkan kepada pimpinan UMNO untuk menyelesaikan kemelut tersebut," katanya.

Persoalannya, bolehkah Putrajaya selesaikan kemelut politik Terengganu. Bolehkah UMNO melalui Hishamuddin meredakan kemelut ini?

RASUAH BUKAN BARU BAGI PAS

Saya seronok baca mengenai rasuah dalam PAS.

Selama ini pemimpin PAS berkokok tidak henti-henti bahawa pemilihan UMNO penuh dengan rasuah.

Tetapi PAS sendiri bukan sahaja bergelumang dengan rasuah tetapi juga menggalakkan rasuah.

Yang nyata, Musyridul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan berlaku rasuah ataupun politik wang semasa berlangsung pemilihan peringkat kawasan bulan lepas. Beliau tidak menolak mentah-mentah dakwaan yang dibuat oleh Ketua Dewan Ulama, Mohamed Daud Iraqi.

Nik Aziz juga tidak dapat menentukan apakah Mat Iraq memberi nasihat ataupun beliau (Mat Iraqi) ada bukti bila menuduh berlaku rasuah dalam pemilihan PAS.

Saya ingin penjenguk fikir satu perkara sebelum menilai tulisan saudara Mohd Sayuti Omar bertajuk “Jangan Sembunyi Rasuah Bawah Kupiah “Celoteh Murai 45” melalui blognya untuk renungan bersama. Saya perturunkan beberapa para untuk tetapan.

Hakikatnya PAS sudah lama bergelumang dengan RASUAH SECARA TERANG-TERANGAN.

Bukan sekadar menawarkan ‘syurga’ dan perkara-perkara Islam sahaja.

Ambil sahaja fatwa Nik Aziz “Beri duit ambil, beri kain pakai, beri gula kacau, bila mengundi pangkah bulan. ...”

Kata-kata ini merujuk kepada kononnya ‘rasuah UMNO dan Barisan Nasional (BN)’ kepada pengundi pada musim pilihan raya.

Pokoknya – jika DUIT, KAIN, KOPI, GULA bersifat rasuah, apakah wajar pengundi PAS (sudah pasti Islam) mengambilnya? Apakah agama Islam menggalakkan orang Islam pejam mata mengambil apa sahaja bentuk pemberian berunsur rasuah.

Tidakkah PAS menganggap wang, kain dan minuman itu rasuah? Kenapa kepada penyokong dan pengikut PAS ‘pemberian UMNO dan BN itu halal’ dan kepada penyokong UMNO dan BN haram?

Setahu saya rasuah berlaku apabila ada orang memberi dan menerima. Dia bukan di pihak pemberi sahaja. Malah lebih buruk, apabila Nik Aziz berfatwa ‘menghalalkan orang PAS menerima rasuah, walaupun wang, kain, kopi dan gula’.

Jadi tidak hairan kalau dalam pemilihan parti, ada perbuatan rasuah dilakukan dan cita-cita untuk menang dalam pemilihan tetap tinggi, kalaupun pemimpin PAS mendakwa merekalah benar-benar Islam.

Jadi jom kita tinjau apa kata Sayuti:

1. Mat Iraq tidak dikenakan apa-apa tindakan. Kalau benar tidak ada rasuah dalam PAS kenapa Mat Iraq tidak dikenakan tindakan disiplin? Apakah PAS memberi amaran kepada Mat Iraq? Kalau amaran kenapa pula tidak disebut ia diberikan amaran? Logik dan adilnya kalau dah buat fitnah, hukum saja jangan taruh dan simpan lagi. Pas tentu arif mengenai bahaya fitnah dan kata-kata Rasulullah mengenai anaknya Fatimah! Apakah PAS juga mengamalkan tindakan double standard macam parti cap keris itu?

2. Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) cuba menyembunyikan isu rasuah atau politik wang di bawah kupiah kerana nak jaga maruah parti. Tentu Hadi tahu apa hukumnya hipokrit dan munafik serta persoalan di Mahsyar kelak. Kalau Hadi juga berbuat begitu bermakna Hadi juga mengamalkan politik tusuk punca dalam kain?

3. Murai cukup benci kalau orang bercakap; berkatalah yang benar walaupun pahit, tetapi bila kena gilirannya sendiri yang pahit tidak mahu dikatakan dan hanya suka mengatakan yang manis-manis sahaja. Keputusan yang Pas ambil berhubung dengan rasuah itu menjelaskan bagaimana wibawa para ulama dalam PAS itu sendiri!

Sebenarnya bagi PAS, memang dia pandai menutup kelemahan parti dan pemimpinnya.

PAS berbeza dengan UMNO bukan dalam konteks Islamnya tetapi cara pemimpin utama PAS menutup dosa dan kelemahan pemimpinnya.

Saya bersetuju dengan Sayuti kalau beliau mengandaikan PAS menutup perbuatan rasuah dengan kopiahnya.

Bukan ini kali pertama PAS menutup kelemahan pemimpinnya. Ada beberapa kes rasuah lain PAS selindungkan, termasuk rasuah dalam Kerajaan Negeri Kelantan.

PAS juga bijak menutup malu parti dan pemimpinnya. Lihatlah berapa banyak kes khalwat dan ‘main dengan bini’ orang PAS boleh tutup rapat-rapat.

Inilah sahaja kelebihan pemimpin dan ahli PAS. Pemimpin tutup kesilapan dan ahli menerima dan kunci mulut. ‘Tidak baik memperkatakan dan menyebarkan aib orang lain”

Tetapi UMNO, pemimpin dan hali tidak reti tutup atau lindungi salah laku pemimpinnya.

Pemimpin buka mulut seluas-luasnya kalau ada perbuatan rasuah di kalangan pemimpin dan ahli UMNO jadi tukang karut yang menjaja ke seluruh negara. “Lebih banyak dedah, walaupun aib, lebih seronok”.

Lihat sahaja isu rasuah dalam pemilihan parti UMNO yang lalu. Yang dipanggil dan didakwa beratus-ratus. Belum tentu salah sudah nampak bersalah.

Yang kena tindakan seorang dua tetapi hebohnya sampai satu dunia.

Lebih memburukkan keadaan yang tidak didakwa ada beratus-ratus dan selepas pemilihan, Jawatankuasa Disiplin pun tidak berfungsi dan UMNO dilihat parti yang mengamalkan rasuah.

Sewajarnya kalau mahu nampak bersih, bicara dan dakwa dan bagi yang bersih, umumkan nama mereka sebagai ‘bersih daripada rasuah’, bukan longgokkan dengan yang memang sewajarnya didakwa.

Akhirnya, kononnya mahu dilihat bersih dan bersedia menjadi telus – UMNO dilihat parti kotor dan rasuah sedangkan PAS parti bersih dan Islam.

Tiba pilihan raya UMNO yang telus putih mata dan PAS yang menutup dosa dan kejahatan di bawah kopiah di lihat bersih dan disokong oleh rakyat yang dibutakan mata melalui fatwa – termasuk fatwa Nik Aziz mengenai duit, wang, kopi dan gula.