Tuesday, February 3, 2009

FAUZI DITUDUH BERHOHONG, MAHU MEMALUKAN NAJIB

Saya tidak fikir Abah berbohong!

Abah atau Datuk Zainal Abidin Zin - bekas guru dan menjadi pemimpin politik yang naik bukan melalui helikopter tidak berbuat sedemikian.

Saya percaya beliau kerana mengenali beliau sejak di kampus lagi.

Apabila Bekas Timbalan Menteri Pertahanmenafikan beliau terbabit dalam cubaan memujuk wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat menyertai Barisan Nasional (BN), saya percaya seratus peratus.

Lagipun Abah berkata beliau bersetuju membawa Fauzi menemui Najib “semata-mata kerana mahu membantu seseorang yang memerlukan bantuan.”

Abah mengakui membawa Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ipoh Barat, Fauzi Muda menemui Datuk Seri Najib Razak pada Mac tahun lalu tetapi ia bagi membolehkan pemimpin PKR itu memberitahu masalah peribadinya kepada Timbalan Perdana Menteri.

Fauzi sebaliknya membuat akuan bersumpah di Mahkamah Sesyen semalam, mendakwa pernah dijanjikan RM50 juta oleh seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) hampir setahun lalu.

Beliau mendakwa akan memperoleh ganjaran itu sekiranya berjaya menarik sekurang-kurangnya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti pembangkang di Perak menyertai BN.

Tawaran itu, dakwa Fauzi, dikemukakan kepadanya pada satu pertemuan pada 11 Mac 2008.
"Walaupun pertemuan itu berlaku hampir setahun lalu, saya terpaksa membuat akuan bersumpah hari ini kerana mengesyaki kehilangan dua ADUN dari PKR ketika ini ada kaitan dengan pemimpin itu,'' katanya pada sidang akhbar.

Mengenai pertemuan itu, Fauzi berkata, pada tarikh tersebut, dia telah diajak rakannya, Sulaiman Osman ke Kuala Lumpur atas urusan perniagaan.

Bagaimanapun katanya, apabila sampai di Plaza Tol Jalan Duta, tiga lelaki sedang menunggu mereka dan telah membawanya ke satu tempat di mana beliau dijanjikan RM50 juta itu.

Menurut Fauzi: “Pada 11 Mac 2008, saya dibawa oleh kenalan saya, Sulaiman ke Kuala Lumpur untuk urusan perniagaan, tetapi tiba di Tol Jalan Duta, saya dibawa berjumpa tiga lelaki dan salah seorang daripadanya ialah Datuk Zainal Abidin Zin, bekas Timbalan Menteri Pertahanan kepada Najib dulu.

"Di situ, beliau memberitahu tujuan sebenar saya dibawa ialah untuk berbincang dengan Najib atas urusan politik. Saya terus dibawa ke Putrajaya, di kediaman Najib.

"Saya dibawa Najib ke bilik khas dan beliau merayu dan meminta saya mengusahakan menarik sekurang-kurangnya dua wakil rakyat dengan janji dia (Najib) bersedia membayar saya RM50 juta," katanya kepada pemberita di Pejabat PKR Perak di sini semalam.

Fauzi berkata, beliau memaklumkan pertemuan itu kepada kepemimpinan PKR dalam satu mesyuarat parti tahun lalu.

Katanya, Najib juga berjanji akan melambat-lambatkan pelantikan Menteri Besar Perak sementara menunggu Adun berkenaan melompat parti.

Beliau berkata, usaha memujuk terus dilakukan selepas Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Mohd Jailu menghadapi tuduhan rasuah.

"Selepas exco Pakatan Rakyat menghadapi tuduhan rasuah, usaha ini terus dilakukan. Ejen beliau berjumpa saya meminta terus berusaha, cuba dekati dan cuba meyakinkan atau merayu dua rakan saya ini supaya 'crossover' (menyeberang ke PN).

"Kalau saya berjaya, mereka berjanji ‘amountnya’ (jumlah wang) RM5 juta setiap Exco. Jawatan Exco tetap diberi dan kes yang sedang mereka hadapi akan pasti digugurkan," katanya.

Abah hari ini menegaskan, beliau tidak mengenali Fauzi sebelum itu tapi bersetuju membenarkannya mengikuti beliau dalam pertemuan dengan Najib itu kerana pemimpin PKR itu mengenali seorang kawannya bernama Suleiman Mansor.

“Kami menemui Datuk Seri Najib di kediamannya. Ada sekitar 10 orang tetapi sepanjang perbincangan itu, tidak timbul soal tawaran kepada wakil rakyat di Perak supaya menyertai Barisan Nasional,” katanya pada satu sidang akhbar.

Abah membuat kenyataan itu bagi merujuk kepada dakwaan Fauzi kononnya dia (Fauzi) ditawarkan RM50 juta untuk membawa masuk sekurang-kurangnya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak daripada PKR untuk menyertai BN.

Sementara itu, satu laporan polis dibuat hari ini terhadap Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Ipoh Barat itu kerana didakwa memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya Timbalan Perdana Menteri menawarkan RM50 juta kepada mana-mana ahli dewan undangan negeri (Adun) daripada Pakatan Rakyat di Perak supaya menyertai Barisan Nasional.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di Ipoh, berkata kenyataan Fauzi yang membuat akuan bersumpah bahawa Najib membuat tawaran berkenaan, adalah berunsur fitnah yang menimbulkan rasa resah, gelisah dan tidak puas hati masyarakat.

"Kenyataan Fauzi memberi gambaran bahawa pemimpin tertinggi negara adalah tidak bermoral dan korup dan ini boleh memimbulkan suasana tegang di kalangan rakyat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu, lapor Bernama.

Jelas sekali, banyak pihak dalam PKR berusaha menjatuhkan imej Najib dan cara Fauzi melakukan ini sewajarnya ditangani dengan bijak.

Jika ia fitnah, Najib wajar mengambil tindakan untuk membersihkan namanya.

Najib tidak boleh membiarkan pihak lawan terus-terusan memfitnahnya. Jangan fitnah bertukar menjadi keyakinan kepada rakyat.

Banteras segera!

SIAPA MENTERI BESAR PERAK YANG BARU?

SPR sudah putuskan DUN Behrang, DUN Changkat Jering kekal.

Sah kini tiada pilihan raya kecil bagi kedua-dua DUN berkenaan.

BN hanya memerlukan satu kerusi sahaja lagi.
Masanya sudah sampai untuk Perhubungan UMNO Perak memikirkan siapa calon layak menjadi Menteri Besar.

Nama-nama seperti Datuk Dr Zamri Abdul Kadir, Datuk Raja Ahmad Zainuddin, Datuk Ramly Zahari atau nama-nama lain wajar dipertimbangkan sekarang.

Nama Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali sudah tenggelam terus.
Yang pasti Perak memerlukan seseorang yang berani menggerakkan BN, UMNO serta tahu selok belok politik disamping rapat dengan semua wakil rakyat BN.

Dengan kedudukan di mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan kedua-dua kerusi DUN Behrang dan DUN Changkat Jering, di Perak kekal disandang kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sedia ada, Barisan Nasional (BN) kini berada pada kedudukan baik membentuk kerajaan.

Apa juga akan dikatakan pembangkang tidak penting lagi.

Kejayaan menggembalikan semula kerajaan Perak kepada BN sekiranya Berjaya dilakukan adalah pencapaian besar Datuk Seri Mohd Najib sebagai Pengerusi Baru BN Perak dan timbalannya, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Kedua-duanya juga perlu menjamin supaya masalah yang melanda bahagian sebelum ini diatasi secara sebaik-baiknya agar mereka yang dikatakan menyatakan hasrat mahu meninggalkan parti itu tidak berbuat demikian.

SPR yang bermesyuarat di Putrajaya pagi tadi bersetuju bahawa dua ADUN PKR kekal sebagai wakil rakyat dan diumumkan sendiri oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusuf, pada sidang akhbar.

Mesyuarat khas mengenai isu peletakan jawatan dua Adun dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memutuskan bahawa “selepas meneliti dengan mendalam dari sudut perundangan dan memaklumkan, SPR mengenal pasti wujud keraguan terhadap surat peletakan jawatan oleh penyandang kedua-dua kerusi berkenaan yang dihantar Speaker DUN Perak memandangkan kedua-dua Adun itu juga secara sedar surat berkenaan (peletakan jawatan) tidak berkuatkuasa.

"Oleh itu, selepas SPR memastikan kedudukan kedua-dua kerusi DUN itu, SPR tidak dapat menggunakan kuasa di bawah Perkara 36 (5) Perlembagaan Negeri Perak dalam memastikan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan.”

Ini berikutan kekeliruan timbul mengenai surat peletakan jawatan yang dikemukakan Speaker DUN Perak, V Sivakumar terhadap Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu yang kemudian dinafikan mereka.

PENYAKIT PAS TERENGGANU DAH MEREBAK

Jangan zalim bila ada kuasa.
Kesiankanlah kanak-kanak mahu belajar.


















Agaknya Jawatankuasa Keselamatan & Kemajuan Kampung (JKKK) Kuala Sungai Pinang. di Balik Pulau di bawah kelolaan kerajaan negeri, sudah dijangkiti penyakit kerajaan PAS Terengganu 1999-2004.

Perangai dan tindakan hampir sama dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan PAS Terengganu kini dilakukan terhadap Tabika Perpaduan Kemas Taman nelayan Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau.

Utusan Malaysia melaporkan seramai 22 kanak-kanak tabika berkenaan terpaksa belajar di bawah panas terik matahari lebih dua jam ekoran pintu pagar tabika berkenaan dirantai dan dimangga hari ini.

Tindakan tidak membenarkan pihak tabika menggunakan bangunan Desa Taman Nelayan Kuala Sungai Pinang itu didakwa dilakukan oleh JKKK berkenaan.

Tindakan mengunci premis berkenaan dibuat dikatakan kerana pihak berkenaan mahu mengambil alih bangunan dan dijadikan pusat bagi jawatankuasa tersebut menjalankan pelbagai aktiviti setempat.

Tabika Kemas tersebut telah beroperasi di situ sejak tahun 2003.
Persoalannya kerana mahu merampas bangunan yang dibina oleh kerajaan sebelum ini?

Tidak adakah cara lain selain merampas bangunan berkenaan?
Difahamkan pihak yang menggendalikan tabika itu sudah menerima dua surat pada awal tahun ini dan pertengahan bulan lepas meminta bangunan tersebut dikosongkan walaupun arahan supaya mereka tidak diganggu telah dikeluarkan.

Penyelia Kanan Tabika Kemas Balik Pulau, Rozhan Che Din menegaskan: “Kita pun tidak faham kenapa mereka buat macam ini, apa motif sebenarnya, jika mahu berpolitik sekali pun janganlah babitkan kanak-kanak tabika ini kerana mereka tidak tahu apa-apa.”

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau, Aziaan Ariffin pula menyifatkan kejadian itu bermotifkan politik oleh kerajaan Pakatan Rakyat sekali gus membuktikan mereka sanggup melakukan apa sahaja tanpa mengira impaknya.

Kanak-kanak berkenaan dikatakan belajar di luar beralaskan tikar tanpa kerusi dan meja serta berbumbungkan langit dalam cuaca panas terik manakala guru mereka pula berdiri, dari sesi sekolah bermula pada pukul 8 hingga 11 pagi.

Rozhan memberitahu, tindakan pihak berkenaan mengunci pintu pagar sekolah di bangunan tersebut bukan kali pertama tetapi kejadian itu merupakan kali ketiga berlaku kepada mereka tahun ini.

Katanya, pihak tabika tidak faham mengapa ia berlaku sedangkan kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan melalui pejabat daerah untuk tidak mengganggu semua tabika Kemas di Pulau Pinang dan ia dibenarkan beroperasi seperti biasa.

‘‘Kali pertama dan kedua insiden sekolah dikunci, ia berjaya diselesaikan dan dibuka semula atas budi bicara pihak berkenaan tetapi apabila berlaku sekali lagi hari ini, kita tidak boleh berdiam diri sahaja.


‘‘Perbuatan mereka sudah melampau kerana kanak-kanak ini pula bukan dari keluarga senang, rata-rata anak nelayan dan mereka ini juga perlu pergi ke sekolah,” katanya.