Friday, November 5, 2010

KEMENANGAN GALAS & BATU SAPI – RAMUAN PERMULAAN SUDAH DIJUMPAI

Memanglah banyak cara boleh dilakukan untuk menenangi hati pengundi termasuk janji-janji pembangunan tetapi awas jangan jadi seperti PAS, janji lebih 20 tahun di Galas dan Gua Musang tidak dilaksanakan, akhirnya janji menjadi ‘senjata makan tuan’.

Tepat sekali jika Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut nama Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Musa Aman kerana bekerja keras untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) di Galas dan Batu Sapi.

Ini ramuan pertama. Di Galas, walaupun Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri adalah Datuk Seri Mustapa Mohamed tetapi Pengarah Pilihanraya BN untuk kali ini diserahkan kepada Tengku Razaleigh sementara di Batu Sapi, walapun calonnya dari Parti Bersatu Sabah (PBS) tetapi pengarahnya dari UMNO, Musa Aman.

Ramuannya ialah siapa yang mampu merancang dan mengemudikan jentera untuk kemenangan. Itu yang penting. Bukan memperkecilkan Mustapa atau Tan Sri Joseph Pairin Kitingan tetapi yang penting menang dan mengambil kepentingan semasa dan setempat.

Persoalannya, apakah ramuan ini boleh dilaksanakan pada pilihan raya umum kerana semua pihak terpaksa ‘menjaga kawasan masing-masing’?

Ia sekadar panduan tetapi jika ada perancangan teratur ia mampu untuk dilaksanakan dengan jayanya.

Ramuan Kedua ialah calonnya. Walaupun BN Pusat seperti menentukan calon tetapi hakikatnya di Galas, Abdul Aziz Yusof ditentukan oleh Tengku Razaleigh atau dengan kata lain ‘calon Tengku Razaleigh’ dan begitu juga di Batu Sapi, BN Pusat terpaksa akur dengan kehendak BN di kawasan berkenaan yang merasakan Linda adalah calon terbaik.

Ramuannya mesti kena letak calon sesuai. Jangan fikirkan sama ada dia berkelulusan tinggi atau sebaliknya kerana yang penting adalah menang dan ‘mudah dengan rakyat’. Wakil Rakyat adalah orang yang berkhidmat untuk rakyat dan menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan atau rakyat dan parti.

Yang nyata Abdul Aziz yang diperlekehkan kerana hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia akhirnya mengalahkan calon seorang doktor dan begitu juga di Batu Sapi – dua gergasi ditumbangkan oleh seorang ‘suri rumah’ (mengambil istilah Fauziah Salleh, Pengarah Pilihanraya PKR Batu Sapi).

BN harus melihat soal calon ini dengan teliti kerana sebagai ADUN atau Ahli Parlimen memerlukan seseorang yang boleh berkhidmat untuk rakyat.

Kalau mahu yang dilihat bijak atau berkelulusan – lantiklah mereka sebagai Senator (Ahli Dewan Negara.

Ramuan Ketiga ialah isu tempatan dan semasa. Di Batu Sapi lain di Galas lain. Mungkin isu-isu nasional atau dasar-dasar baru kerajaan lebih ‘laku’ di Batu Sapi, walaupun ‘umpan’ 1 Malaysia turut penting di Galas.

Namun isu tempatan yang memberikan harapan atau jaminan masa depan jelas diterima oleh pengundi dan jika pengundi muda mereka tentunya mahukan keselamatan dan masa depan yang terjamin.

Bagi mereka janji-janji mendapatkan syurga bukan tidak penting tetapi bagaimana mereka akan menempuh kehidupan dalam keadaan dan suasana semakin mencabar lebih penting.

Mereka tidak melihat kepada subsidi atau dividen palsu sebanyak RM200 atau RM500 sebulan tanpa jaminan mendapatnya berterusan. Yang penting mereka mahukan pekerjaan, keluarga mendapat perlindungan selain anak-anak mendapat pendidikan dan jaminan masa depan lebih baik.

Janji-janji yang tidak ditunaikan akan dinilai oleh pengundi umpamanya dalam isu pemilikan tanah di Galas.

Selain itu, BN perlu kekal dengan identitinya. PAS yang cuba menggunakan taktik ‘menabur wang’ memakan diri kerana rakyat tahu pemberian mana yang ikhlas. Pemberian hanya ketika pilihan raya atau pemberian sepanjang masa seperti yang dilakukan BN untuk orang tua, pelajar, ibu tunggal, golongan daif dan miskin dan sebagainya.

Ramuan Keempat, jangan melanggar sebarang peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) seperti yang berlaku terhadap PAS di Galas. Walaupun SPRM menegur PAS jangan menabur wang, mereka berkeras, malah dengan bangganya mengatakan wang itu ‘halal’.

Persoalannya di sini ialah, jika sesuatu pihak atau parti menentang peraturan, rakyat boleh menilai apa jenis parti yang wajar mereka sokong. Keduanya di Kelantan, PAS sering mengatakan ia ‘parti miskin’ (hakikatnya ramai pemimpin PAS kaya raya). Persoalanya bagaimana ia tiba-tiba banyak wang untuk ditaburkan masa pilihan raya.

Amat jelas PAS bukan sahaja melakukan rasuah kerana memberikan wang kepada rakyat tetapi juga mungkin melakukan rasuah kerana menerima wang daripada pihak tertentu tanpa adanya projek atau pembangunan besar di Kelantan.

Dari mana PAS banyak duit. Duit balak? Pemberian daripada parti pembangkang lain? Banyak persoalan dan pertanyaaannya. PAS hanya mengatakan ia daripada tabung. Siapa penyumbangnya?

Ramuan Kelima, jangan umumkan dasar yang boleh menjejaskan sokongan seperti kenaikan harga barang atau minyak sebelum pilihan raya. Pastinya ia akan menjadi isu. Kalaupun tidak teruk tetapi BN menghadapi kempen pembangkang mengenai isu-isu seperti ini yang kadangkalanya dilihat ‘unnecessary’.

Bagi Menteri mungkin tidak merasa apa-apa tetapi tukang kempen di bawah khususnya dari rumah ke rumah akan menghadapi masalah dalam kerja merayu undi.

Mujurlah kenaikan minyak RON97 tidaklah begitu teruk tetapi kalau RON95 dan gas dinaikkan, BN mungkin menghadapi masalah besar!

Ramuan Keenam, strategi kempen tidak perlu majlis besar-besaran dan pergunakan kumpulan berkepentingan dan NGO . Pilihan raya bukan untuk menunjukkan kekuatan atau ‘berlagak dengan rakyat’. Adalah baik menganjurkan majlis yang lebih ‘dekat di hati rakyat’. Makan malam besar seperti dianjurkan untuk orang Cina di Galas menjadi strategi mengena dan memerangkap pembangkang.

Menggunakan pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuang dan menjulang dasar serta pendekatan kerajaan adalah lebih berkesan daripada menggunakan sayap parti untuk berkempen di kawasan-kawasan tertentu.

Malah jika perlu NGO ini diberikan ‘kebebasan’ untuk mereka menjelas dan menyatakan perkara sebenar mengenai kerajaan dan BN berbanding ‘orang parti’ yang selalunya terlalu rigid dan mengharapkan reaksi spontan mereka yang ditemui.

Memanglah banyak cara boleh dilakukan untuk menenangi hati pengundi termasuk janji-janji pembangunan tetapi awas jangan jadi seperti PAS, janji lebih 20 tahun di Galas tidak dilaksanakan, akhirnya janji menjadi ‘senjata makan tuan’.

Juga kalau boleh isu serangan peribadi dielakkan seperti dilakukan Tengku Razaleigh Hamzah yang langsung tidak menyerang calon PAS walaupun beliau dituduh dan difitnah berbagai.

Rakyat di Galas dan Gua Musang tahu sumbangan Tengku Razaleigh berbanding Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah atau pemimpin PAS lain sama ada di Galas, Gua Musang hatta di Kelantan sendiri.

TAHNIAH KEPADA PERANCANG STRATEGI DI GALAS

Banyak pihak terkejut Barisan Nasional (BN) menang begitu besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Pada pilihan raya kecil DUN Galas semalam , calon BN Abdul Aziz Yusof mendapat 5,324 undi manakala calon PAS Dr Zulkefli Mohamad memperolehi 4,134 undi. BN menang dengan majoriti 1,190 undi. Berbanding dengan pilihan raya 2008, calon PAS, Che Hashim Che Sulaima memperolehi 4,399 undi untuk menang dengan majoriti 646 undi.

Kemenangan ini walaupun ada kaitan dengan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Pusat, namun isu-isu yang ditimbulkan di Galas dan perancangan kempen menjadi faktor utama kepada kemenangan BN dengan majoriti sedemikian.

Banyak pihak memang merasakan undi Orang Asli dan orang Cina di Galas menjadi penentu biarpun pengundi Melayu-Islam tetap menjadi asas kemenangan atau kekalahan.

Kerana itu menarik untuk menghayati apa yang dikatakan oleh Pengarah Pilihanraya DAP, Thomas Su mengenai pengundi Cina seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini. Menurut analisisnya, terdapat dua faktor yang menjadi punca Pakatan hilang undi pengundi Cina, iaitu kempen 1Malaysia dan peratus pengundian yang tinggi.

Katanya, BN tidak pernah menggunakan parti politik Cina untuk berkempen, tetapi sebaliknya ia dilakukan menerusi apa yang dikenali sebagai "NGO 1Malaysia" untuk menarik pengundi Cina.

Kempen ini benar-benar berbeza berbanding dalam pilihan raya kecil yang lalu. BN tidak menggunakan parti politik (Cina) untuk kempen, semuanya datang dari kumpulan 1Malaysia, yang disokong oleh pemimpin MCA. "Setiap kali kita mengadakan ceramah besar, kumpulan itu akan mengadakan makan malam besar, ini tidak seperti trend kempen biasa pilihan raya BN."

Oleh itu, kata Thomas, peratusan pengundian yang tinggi memberi lebih banyak undi pengundi Cina kepada BN. Dengan mengambil contoh di Pulai, beliau berkata, walaupun Pakatan berjaya menambah sembilan undi, tetapi BN menambah lebih banyak undi daripada Pakatan dan menang di kawasan majoriti Cina.

Pakatan kalah 25 undi di Pulau dalam pemilihan umum.

Ini bermakna dasar 1Malaysia diperhalusi untuk dijadikan strategi oleh pihak tertentu dalam BN untuk membantu BN merampas DUN Galas yang menyaksikan kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada pakatan pembangkang.

DAP mengendalikan tiga kawasan dalam kempen di Galas, iaitu Pulai, Kampung Baru dan Bandar Lama. Hanya dua kawasan yang bermajoriti pengundi Cina - Pulai (83.86%) dan Kampung Baru (52.6%). Manakala Bandar Lama merupakan kawasan campuran Melayu-Cina (30.54%).

Pakatan memperolehi 1,784 undi di tiga kawasan tersebut pada 2008, tetapi merosot 206 undi atau 4.92 peratus secara keseluruhannya dalam pilihan raya kecil semalam. “Dari angka-angka ini, kami menganggarkan undi pengundi Cina merosot 2 hingga 3.5 peratus tetapi ia tidak serius, drastik atau membimbangkan," kata Thomas.

Mengenai Orang Asli pula, cara kempen untuk membantu mereka dalam konteks jaminan masa depan memberikan kelebihan kepada BN.

Pada ketika PAS hanya melihat keperluan semasa – kerana itu menabur wang sebelum dan ketika kempen pilihan raya – BN memainkan isu pemilikan tanah, rampasan tanah untuk dijadikan Ladang Rakyat serta isu hakisan, pencemaran, air bersih dan sebagainya berjaya memikat hati orang Asli.

Dalam isu peningkatan ketara pengundi Orang Asal kepada BN dikatakan oleh PAS sebagai penglibatan secara langsung agensi kerajaan terutamanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), tentera dan Rela di penempatan mereka.

Penglibatan secara langsung agensi kerajaan terbabit yang dikatakan dengan mengawal sepenuhnya masyarakat Orang Asal menyebabkan mereka tidak berani memberi sokongan kepada calon PAS.

Itu kata mereka. Namun hakikat yang perlu diterima ialah selain Orang Asli lama terabai, tanah mereka dirampas dan ketidakpastian masa depan mereka tidak dilihat oleh PAS.

Juga jangan perkecilkan bagaimana Tengku Razaleigh meredah hutan belantara untuk ke perkampungan Orang Asli yang turut menjadi punca sokongan kepada BN.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun (gambar kiri) berkata, PAS tidak menjangkakan menerima kekalahan dengan majoriti besar pada pilihan raya kecil Dewan itu tetapi terpaksa menerima hakikat gagal mempertahankan kerusi DUN Galas yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum 2008.

"Kekalahan ini sesuatu di luar jangkaan... tapi kami terpaksa menerima hakikat dengan keputusan ini. Saya terkejut kerana ia di luar dugaan kita, mungkin ada kelemahan yang berlaku," katanya malam semalam.

Jika PAS akan melakukan post-mortem untuk kenal pasti punca kekalahan, BN juga perlu kenal pasti punca kemenangan dan di atas dasar apa sebilangan pengundi terus menyokong PAS walaupun terang-terangan PAS terjerat dengan masaalah yang mereka sendiri ciptakan, khususnya dalam isu merasuah pengundi dan janji yang tidak dilaksanakan di Galas.

Dengan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan, BN akan bertambah yakin menghadapi pilihan raya umum akan datang dan dengan kedudukan semangat dan keyakinan yang semakin tingg, sewajarnya BN bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13 pada bila-bila masa.