Friday, November 5, 2010

TAHNIAH KEPADA PERANCANG STRATEGI DI GALAS

Banyak pihak terkejut Barisan Nasional (BN) menang begitu besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Pada pilihan raya kecil DUN Galas semalam , calon BN Abdul Aziz Yusof mendapat 5,324 undi manakala calon PAS Dr Zulkefli Mohamad memperolehi 4,134 undi. BN menang dengan majoriti 1,190 undi. Berbanding dengan pilihan raya 2008, calon PAS, Che Hashim Che Sulaima memperolehi 4,399 undi untuk menang dengan majoriti 646 undi.

Kemenangan ini walaupun ada kaitan dengan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Pusat, namun isu-isu yang ditimbulkan di Galas dan perancangan kempen menjadi faktor utama kepada kemenangan BN dengan majoriti sedemikian.

Banyak pihak memang merasakan undi Orang Asli dan orang Cina di Galas menjadi penentu biarpun pengundi Melayu-Islam tetap menjadi asas kemenangan atau kekalahan.

Kerana itu menarik untuk menghayati apa yang dikatakan oleh Pengarah Pilihanraya DAP, Thomas Su mengenai pengundi Cina seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini. Menurut analisisnya, terdapat dua faktor yang menjadi punca Pakatan hilang undi pengundi Cina, iaitu kempen 1Malaysia dan peratus pengundian yang tinggi.

Katanya, BN tidak pernah menggunakan parti politik Cina untuk berkempen, tetapi sebaliknya ia dilakukan menerusi apa yang dikenali sebagai "NGO 1Malaysia" untuk menarik pengundi Cina.

Kempen ini benar-benar berbeza berbanding dalam pilihan raya kecil yang lalu. BN tidak menggunakan parti politik (Cina) untuk kempen, semuanya datang dari kumpulan 1Malaysia, yang disokong oleh pemimpin MCA. "Setiap kali kita mengadakan ceramah besar, kumpulan itu akan mengadakan makan malam besar, ini tidak seperti trend kempen biasa pilihan raya BN."

Oleh itu, kata Thomas, peratusan pengundian yang tinggi memberi lebih banyak undi pengundi Cina kepada BN. Dengan mengambil contoh di Pulai, beliau berkata, walaupun Pakatan berjaya menambah sembilan undi, tetapi BN menambah lebih banyak undi daripada Pakatan dan menang di kawasan majoriti Cina.

Pakatan kalah 25 undi di Pulau dalam pemilihan umum.

Ini bermakna dasar 1Malaysia diperhalusi untuk dijadikan strategi oleh pihak tertentu dalam BN untuk membantu BN merampas DUN Galas yang menyaksikan kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada pakatan pembangkang.

DAP mengendalikan tiga kawasan dalam kempen di Galas, iaitu Pulai, Kampung Baru dan Bandar Lama. Hanya dua kawasan yang bermajoriti pengundi Cina - Pulai (83.86%) dan Kampung Baru (52.6%). Manakala Bandar Lama merupakan kawasan campuran Melayu-Cina (30.54%).

Pakatan memperolehi 1,784 undi di tiga kawasan tersebut pada 2008, tetapi merosot 206 undi atau 4.92 peratus secara keseluruhannya dalam pilihan raya kecil semalam. “Dari angka-angka ini, kami menganggarkan undi pengundi Cina merosot 2 hingga 3.5 peratus tetapi ia tidak serius, drastik atau membimbangkan," kata Thomas.

Mengenai Orang Asli pula, cara kempen untuk membantu mereka dalam konteks jaminan masa depan memberikan kelebihan kepada BN.

Pada ketika PAS hanya melihat keperluan semasa – kerana itu menabur wang sebelum dan ketika kempen pilihan raya – BN memainkan isu pemilikan tanah, rampasan tanah untuk dijadikan Ladang Rakyat serta isu hakisan, pencemaran, air bersih dan sebagainya berjaya memikat hati orang Asli.

Dalam isu peningkatan ketara pengundi Orang Asal kepada BN dikatakan oleh PAS sebagai penglibatan secara langsung agensi kerajaan terutamanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), tentera dan Rela di penempatan mereka.

Penglibatan secara langsung agensi kerajaan terbabit yang dikatakan dengan mengawal sepenuhnya masyarakat Orang Asal menyebabkan mereka tidak berani memberi sokongan kepada calon PAS.

Itu kata mereka. Namun hakikat yang perlu diterima ialah selain Orang Asli lama terabai, tanah mereka dirampas dan ketidakpastian masa depan mereka tidak dilihat oleh PAS.

Juga jangan perkecilkan bagaimana Tengku Razaleigh meredah hutan belantara untuk ke perkampungan Orang Asli yang turut menjadi punca sokongan kepada BN.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun (gambar kiri) berkata, PAS tidak menjangkakan menerima kekalahan dengan majoriti besar pada pilihan raya kecil Dewan itu tetapi terpaksa menerima hakikat gagal mempertahankan kerusi DUN Galas yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum 2008.

"Kekalahan ini sesuatu di luar jangkaan... tapi kami terpaksa menerima hakikat dengan keputusan ini. Saya terkejut kerana ia di luar dugaan kita, mungkin ada kelemahan yang berlaku," katanya malam semalam.

Jika PAS akan melakukan post-mortem untuk kenal pasti punca kekalahan, BN juga perlu kenal pasti punca kemenangan dan di atas dasar apa sebilangan pengundi terus menyokong PAS walaupun terang-terangan PAS terjerat dengan masaalah yang mereka sendiri ciptakan, khususnya dalam isu merasuah pengundi dan janji yang tidak dilaksanakan di Galas.

Dengan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan, BN akan bertambah yakin menghadapi pilihan raya umum akan datang dan dengan kedudukan semangat dan keyakinan yang semakin tingg, sewajarnya BN bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13 pada bila-bila masa.

No comments:

Post a Comment