Wednesday, December 8, 2010

PERSOAL HAK ISTIMEWA MELAYU ADALAH DERHAKA

Amat malang kepada agama dan bangsa apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah. Jika ini dibiarkan, tidak ada maknanya lagi apabila bangsa di kemudian hari menghadapi sesalan kerana ketika itu telah terpinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan...Barang dijauhkan Ilahi daripada berlaku... belajarlah daripada nasib malang yang telah menimpa umat terdahulu akibat daripada perpecahan. – Sultan Perak

Baca dan teliti tiga ucapan oleh Yang di-Pertuan Agong. Sultan Pahang dan Sultan Perak.

Dalami maksud yang tersirat daripada ucapan tiga Raja Melayu ini sempena Maal Hijrah.
Intipatinya adalah berikut:

1. Sebarang suara yang mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di negara ini adalah perbuatan yang tidak berasaskan sejarah serta bercanggah dengan Perlembagaan negara;

2. Jika ada kalangan orang Melayu yang melakukan mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di bumi ini, mereka itu sebenarnya telah melakukan penghinaan kepada bangsa dan telah derhaka kepada bangsa sendiri;

3. Umat Islam dan orang Melayu hendaklah jangan melakukan perbuatan mencurahkan air di tempayan kerana mendengar guruh di langit;

4. keistimewaan yang ada ini diperoleh melalui hasil persepakatan dan penyatuan daripada segi prinsip perjuangan dan suara tuntutan umat Islam dari seluruh pelusok Tanah Melayu hingga mendapat pengiktirafan untuk dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara;

5. Keistimewaan akan hanya dapat dikekalkan jika keistimewaan itu terus dipelihara dengan prinsip dan asas perjuangan yang bersandarkan kepada sejarah bumi yang dipijak dan salahsilah langit yang sedang dijunjung;

6. Semua kaum haruslah saling memahami dan menghormati serta bertolak ansur demi keharmonian rakyat dan negara:

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mahu semua pihak tidak lagi membangkitkan isu-isu berkaitan hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Titah baginda, meskipun orang Melayu mempunyai hak keistimewaan tersendiri namun hak-hak kaum lain tetap terpelihara.

"Tidak wajar perkara ini (hak orang Melayu) dibangkitkan. Dalam Perlembagaan hak-hak semua kaum telah dijelaskan termasuk kebebasan beragama. Semua diperuntukkan dalam Perlembagaan, orang Melayu dan bukan Melayu sudah diberi hak. Contohnya bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi atau agama Islam adalah agama rasmi tetapi penganut agama lain serta bangsa lain boleh mengguna atau mengamalkan bahasa serta agama mereka di negara ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di Kuantan semalam.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, pula bertitah bahawa sebarang suara yang mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di negara ini adalah perbuatan yang tidak berasaskan sejarah serta bercanggah dengan Perlembagaan negara.

Baginda menegaskan Orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini telah menghina dan menderhaka bangsanya sendiri.

Baginda bertitah, raja-raja Melayu yang bersemayam di takhta pemerintahan pada hari ini bukan sekadar mewarisinya bahkan turut bertanggungjawab kepada agama dan bangsa.
Justeru tegas baginda, menjadi tanggungjawab raja-raja Melayu bersama umat Islam dan orang Melayu untuk terus mempertahankan hak dan keistimewaan mereka daripada sebarang usaha menghakisnya.

''Sebarang suara mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di bumi ini, adalah perbuatan yang tidak berasaskan sejarah serta bercanggah dengan Perlembagaan Negara. 'Jika ada kalangan orang Melayu yang melakukannya, mereka itu sebenarnya telah melakukan penghinaan kepada bangsa dan telah derhaka kepada bangsa sendiri," titah baginda.

"Wasiat Raja-Raja Melayu adalah sebahagian daripada perjanjian yang menjadi landasan kepada penggubalan Perlembagaan Merdeka. Raja-Raja Melayu yang bersemayam di takhta pemerintahan pada hari ini bukan sekadar mewarisi takhta pemerintahan tetapi turut mewarisi tanggung jawab kepada agama dan bangsa, memastikan wasiat tersebut terus dijunjung.

"Umat Islam dan orang Melayu hendaklah jangan melakukan perbuatan mencurahkan air di tempayan kerana mendengar guruh di langit, takut-takut nanti umat Islam dan orang Melayu berakhir dengan keadaan yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran lalu berdagang di tanah sendiri, laksana ayam kelaparan di kepuk dan itik kehausan di air," titah baginda semasa merasmikan Majlis Sambutan Ma'al Hijrah peringkat negeri Perak di Dewan Kolej Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Titah baginda, amat malang kepada agama dan bangsa apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah.

Baginda bertitah, jika ini dibiarkan, tidak ada maknanya lagi apabila bangsa di kemudian hari menghadapi sesalan kerana ketika itu telah terpinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan.

"Barang dijauhkan Ilahi daripada berlaku...oleh itu wajib dijadikan pengajaran daripada peristiwa kejatuhan empayar dan sejarah keruntuhan pemerintahan Islam. Begitu juga kisah-kisah ketewasan tentera Islam dalam pelbagai peperangan...belajarlah daripada nasib malang yang telah menimpa umat terdahulu akibat daripada perpecahan," titah banginda.

Baginda menegaskan keistimewaan yang dinikmati umat Islam ini bukannya pipih datang melayang atau bulat datang menggolek kerana status agama Islam di negara ini mempunyai sejarah lama dan ketahanan umat Islam untuk tidak mudah dipesongkan daripada aqidah Islam adalah kerana telah dibina mekanisme secara perundangan untuk melindungi umat Islam daripada dipengaruhi oleh sebarang usaha dakyah.

"Sedarilah! Bahawa segala keistimewaan yang dimiliki oleh umat Islam di negara ini, adalah hasil daripada pemikiran yang dirumuskan secara strategik untuk memastikan bahawa umat Islam akan sentiasa dilindungi dan aktiviti Islam bukan sahaja dapat dikembangkan tetapi diberikan hak untuk mendapat pembiayaan negara," titah Sultan Azlan.

Baginda bertitah, keistimewaan yang ada ini diperoleh melalui hasil persepakatan dan penyatuan daripada segi prinsip perjuangan dan suara tuntutan umat Islam dari seluruh pelusok Tanah Melayu hingga mendapat pengiktirafan untuk dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara.

Titah baginda, pencapaian tersebut melambangkan manifestasi satu perjuangan asas yang kudus lagi suci yang meletakkan Islam pada martabat yang tinggi dan melindungi umat Islam dari sebarang usaha pemesongan.

Demikian tahap kejayaan perjuangan yang dapat dicapai melalui perpaduan ummah iatu perpaduan yang tidak dipisahkan oleh sempadan negeri, ideologi, profesion, disiplin pengajian atau status sosial mahupun status ekonomi, titahnya.

"Keistimewaan akan hanya dapat dikekalkan jika keistimewaan itu terus dipelihara dengan prinsip dan asas perjuangan yang bersandarkan kepada sejarah bumi yang dipijak dan salahsilah langit yang sedang dijunjung," tegas baginda.

Baginda turut berpesan agar sambutan Maal Hijrah dipenuhi dengan peringatan agar ummah dapat bermuhasabah untuk tidak mengulangi kesilapan, dapat bertawaduk untuk merendahkan ego diri serta sama-sama memohon Nur Illahi mencari jalan yang diredai.

Sementara Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, pula bertitah supaya rakyat Malaysia tidak meruntuhkan perpaduan yang dibina hanya kerana memenuhi tuntutan segelintir pihak yang ekstrem dan rakus meraih keuntungan untuk kelompok sendiri.

"Perancangan pembangunan negara pasti akan terbantut sekiranya perpaduan dan keharmonian rakyat tidak dipertahankan bersama," titah baginda pada sambutan Ma'al Hijrah 1432 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Baginda bertitah, negara akan terdedah kepada kemunduran dan kehancuran sekiranya masyarakat saling curiga mencurigai serta saling bertelagah. "Adalah menjadi tanggungjawab bersama bagi memastikan negara dalam keadaan aman dan berjaya untuk diwarisi oleh anak-anak kita nanti," titah baginda.

Seri Paduka bertitah, untuk mencapai perpaduan yang diidamkan bukanlah satu yang mudah dan semua pihak harus memainkan peranan dan membuktikan keikhlasan bagi mencapai tujuan tersebut.

Baginda bertitah, semua kaum haruslah saling memahami dan menghormati serta bertolak ansur demi keharmonian rakyat dan negara.

"Bagi umat Islam, binalah ummah dan negara yang tercinta ini atas dasar iman dan ukhuwah yang erat. Ambillah pengajaran daripada peristiwa hijrah ini dengan penuh keinsafan dan mengharapkan keredaan Allah Subhanahu wata'ala," titah baginda.

Menyentuh mengenai peristiwa Hijrah, Tuanku Mizan bertitah peristiwa itu telah membawa perubahan dan transformasi positif pada sikap dan cara hidup umat Islam dan telah menggambarkan betapa perlunya pengorbanan dan usaha yang gigih dalam mencapai kejayaan sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Umat Islam perlu mengambil contoh golongan Muhajirin dan Ansar yang sanggup mengorbankan kepentingan sendiri demi Islam, titah baginda.

Baginda bertitah, semua pengajaran ini akan tinggal dalam lipatan sejarah sekiranya "kita terus leka dan hanya berbangga dengan pencapaian umat terdahulu sedangkan kita sendiri tidak pernah berubah untuk mencapai kejayaan."

Baginda juga berharap rakyat Malaysia dapat sentiasa berusaha mengekalkan perpaduan di negara ini, dan bagi umat Islam turut menghayati tema sambutan Ma'al Hijrah tahun ini iaitu "1Malaysia, 1Ummah."