Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang memasuki hari ke-13 pada Khamis, menyaksikan pelbagai pihak tampil dengan teori dan gambar kononnya yang diperoleh menerusi rakaman satelit menunjukkan lokasi terakhir pesawat itu dilaporkan hilang.
Terbaharu, satu lagi imej dimuat naik dengan mendakwa bayangan dalam air yang dirakam oleh satelit merupakan pesawat MH370 yang dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu.
Berbeza dengan gambar lain, kali ini penerangan mengenai gambar tersebut lebih terperinci termasuk kedudukan pesawat itu ditemui.
Pesawat tersebut kini didakwa berada di dalam lautan di Selat Melaka iaitu lokasi terakhir penerbangan yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu dikesan radar tentera.
Bagaimanapun tiada pihak yang tampil membuat pengesahan mengenai ketulenan gambar tersebut.
Sementara itu, penemuan dua objek di Lautan Hindi oleh pihak berkuasa Australia berwibawa, tetapi ia masih belum disahkan sebagai pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Laporan penemuan satelit tersebut adalah pemecah berita dalam usaha mencari dan menyelamat yang masuk hari ke-13.
Bagaimanapun, setiap petunjuk yang ditemui perlu disahkan kebenarannya bagi mengelak memberi sebarang harapan palsu kepada ahli keluarga penumpang MH370.
"Penemuan tersebut berwibawa, tetapi ia masih belum disahkan dan dipastikan," kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Husseindalam sidang media yang padat dengan wartawan di Hotel Sama-Sama hari ini.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (dua dari kiri) bersama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (tiga dari kiri) di Hotel Sama-Sama bagi memberi taklimat kepada media. |
Awal hari ini, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata tentera udara negara itu sedang menyiasat tentang kemungkinan serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang itu ditemui di laut.
Ini berikutan penemuan dua imej satelit dengan saiz 24 meter (79 kaki) yang dipercayai tenggelam timbul di permukaan air.
Pihak berkuasa Malaysia Isnin lepas meminta Canberra mengambil tanggungjawab mencari di "Koridor Selatan" dalam usaha mencari Boeing 777 yang hilang pada pagi 8 Mac semasa perjalanan ke Beijing, China dengan 239 penumpang itu.
Kerajaan Malaysia percaya, pesawat itu secara sengaja ditukar hala tujunya dan terbang beberapa jam selepas keluar daripada laluan asalnya – sama ada ke utara Asia Tengah atau ke selatan di Lautan Hindi.
Selepas mendapat maklumat tersebut, Hishammuddin memberitahu empat pesawat telah dikerahkan ke barat daya Perth yang berkeluasa 2,500 kilometer.
"Pesawat Tentera Udara Australia (RAAF), P-3 Orion tiba di lokasi sekitar jam 10.50 pagi. "Tiga lagi pesawat diarahkan ke kawasan tersebut, termasuk satu lagi pesawat RAAF, sebuah pesawat Orion daripada Tentera Udara New Zealand dan pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat, P-8 Poseidon.