Saturday, March 28, 2009

Satu lagi kekuatan kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan beliau akan menyertai semula UMNO.

Ini semangat dan kemenangan moral kepada Najib dan saf kepimpinan UMNO, kecuali bagi mereka yang merasakan Dr Mahathir ‘sebagai pengacau’ sebelum ini.

Juga hari ini secara rasmi Datuk Seri Abdullah Badawi mengumumkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Razak pada 2 April ini.

Segala-galanya berlaku dalam keadaan yang akan menguntungkan UMNO dan akan menutup mulut pemimpin pembangkang yang sebelum ini mengatakan UMNO dilanda krisis dan sebagainya.

Respon kepada dua perkembangan ini, Najib mengatakan Dr Mahathir dan Abdullah ada peranan untuk UMNO.

Presiden Umno baru itu bagaimanapun belum membuat keputusan peranan yang boleh dimainkan Dr Mahathir dan Abdullah dalam kepimpinannya.

"Saya belum buat keputusan lagi, tapi ada peranan untuk mereka. Tunggu sehingga saya masuk pejabat dulu," katanya pada sidang media selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno 2008 di Kuala Lumpur, hari ini.

Juga menarik daripada perkembangan terbaru dalam UMNO ialah Abdullah secara terbuka menyatakan beliau sama sekali tidak marah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencetuskan idea supaya disegerakan perubahan kepimpinan UMNO untuk membolehkan parti itu terus diterima orang Melayu dan rakyat.

Menurut Perdana Menteri, beliau mahu bersara dengan rasa senang hati dan tidak mahu ada perasaan-perasaan yang tidak baik dibawanya selepas ini.

``Saya ingin nyatakan di depan semua yang ada, saya sebenarnya tidak pernah marah pada dia (Muhyiddin) sebab itu saya tidak pernah balas apa yang dia cakap.

``Saya maafkan saudara, kepada kawan-kawan yang lain kita mahu persahabatan kita terus berkekalan,’’ kata Abdullah semasa berucap pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO ke-59 hari ini.

Dengan kata lain kini, UMNO hamper pulih sepenuhnya dari segi kesepakatan kepimpinan dan ini sewajarnya diteladani oleh mereka di peringkat bahagian dan cawangan.

Biar apapun yang berlaku sebelum ini, hendaknya semua ahli UMNO kembali ke pangkal jalan. Perhimpunan dan pertandingan selesai maka pertarungan dan perselisihan pun selesai.

Adalah penting bagai Pengurusan UMNO dan Ibu Pejabat UMNO menyelesaikan mana-mana kes tertunggak khususnya dalam meleraikan masalah-masalah bahagian umpamanya Bahagian Larut.

Pada perhimpunan kali ini, perwakilan Larut dibiarkan ‘merempat’ tanpa adanya tempat khusus untuk mereka – kalau pun tidak boleh mengundi.

Pada masa hadapan, di harapkan kejadian seperti ini tidak berlaku dan sewajarnya ada tempat – sebagai pemerhati khas – bukan duduk merata-rata sebagai pemerhati biasa.

Muhyiddin yang dijangka mengetuai Pengurusan UMNO wajar melihat kepada masalah ini dan kalau sekiranya perlu ada ‘pembersihan’ di Ibu Pejabat UMNO, lakukan segera bagi menjamin UMNO mantap.

Elakkan Ibu Pejabat UMNO dianggap tempat di mana ada percaturan dan permainan politik tertentu. Jika ia berterusan, peranan UMNO tidak akan dapat menyatu dan meyakinkan ahli.
Dengan ikrar Muhyiddin bahawa beliau akan menjadi seorang timbalan yang setia kepada Presiden Umno seperti yang dilakukan Najib kepada Abdullah, akan memperkukuhkan kedudukan Najib.

Ini kerana banyak pihak mengatakan Muhyiddin ‘akan langgar’ Najib seperti yang dilakukan oleh beliau terhadap Abdullah.

Muhyiddin, yang memenangi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti Khamis lalu, berkata beliau akan memberi sokongan tanpa berbelah-bahagi kepada Najib untuk memimpin parti dan menjayakan agenda perubahan Umno.

"Saya insaf, sebagai timbalan saya adalah orang nombor dua. Orang nombor dua harus jadi seperti orang nombor dua, bukan (orang) nombor satu.

Kalau berkelakuan seperti orang nombor satu, nanti akhirnya semuanya akan musnah,” katanya.

Yang penting sekarang ialah setiap pihak mengambil berat pesanan Abdullah supaya anggota parti agar memelihara perpaduan dan menghidupkan semangat kekeluargaan.
Beliau meminta mereka agar tidak sekali-kali mengkhianati parti dan berhenti daripada memfitnah pemimpin.

Menekankan semangat setiakawan, Abdullah berkata hanya dengan cara itu kekuatan parti dapat dipertingkat.

“Ini adalah penting. Kita mahu supaya kekuatan parti akan dapat diteguhkan lagi, akan dapat ditingkatkan lagi. Kita mesti terus menjadi penyokong, penyokong yang kuat bukan saja kepada pemimpin, tapi kita sebenarnya menyokong parti kita melalui pemimpin-pemimpin kita.

Hakikatnya setiap ahli UMNO perlu menjadi penyokong dan kawan setia, kawan pada masa susah, kawan pada masa senang.

Inilah ertinya setiakawan, inilah ertinya keluarga dalamUMNO.

APA MAKNA PEMILIHAN MT?


(Isu Sabtu)


Bertanding jawatan tinggi sama ada sebagai Naib Presiden atau Ahli Majlis Tertinggi – demi memperkuatkan parti atau mendapatkan jawatan dalam kerajaan?

Apakah dengan menduduki kerusi itu kedudukan seseorang dalam kerajaan akan terjamin?
Lebih jauh apakah juga bermakna dengan mendapat jawatan parti, seseorang akan melonjak naik dalam kerajaan?

Soal pokok kepada pertandingan MT bertujuan memperkukuhkan parti.

Kini suara-suara supaya mereka yang menduduki jawatan parti perlu mengutamakan parti terlebih dahulu semakin ketara.

Persoalan ialah apakah pemilihan untuk MT kali ini mencerminkan kehendak ahli untuk meletakkan pemimpin yang mampu menggembalikan maruah parti?

Apakah 25 ahli MT ini mempunyai kelebihan sendiri untuk berjuang demi parti?

Dengan kata lain ahli UMNO akan mempersoalkan mereka yang dipilih, apakah mereka menyumbang untuk UMNO atau untuk kedudukan mereka dalam Kabinet?

Persoalannya, apakah mereka yang kalah tidak lagi perlu menyumbangkan tenaga untuk parti?

Apakah wajar menyerahkan tugas memulihkan parti bergantung bulat-bulat kepada Presiden, timbalan, naib-naib, ahli majlis tertinggi serta barisan pemimpin wanita, pemuda dan puteri?

Bila melihat kepada kekalahan beberapa Pengerusi Perhubungan UMNO pada pemilihan kali ini, banyak persoalan yang timbul di kepala kini.

Apa maknanya kepada kejutan kekalahan semua empat Menteri Besar dan dua Menteri Kabinet yang bertanding Ahli Majlis Tertinggi?

Keempat-empat Menteri Besar yang tewas ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Dua menteri Kabinet yang tewas ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Turut gagal pada pemilihan MT yang keputusannya diumumkan malam ini ialah bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad. Dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharom dan Datuk Hassan Malek turut tewas.

Apakah mereka dilihat tidak mampu menyumbang kepada parti atau negeri-negeri berkenaan memerlukan pemimpin lebih kuat dan mampu membawa arus perubahan?

Atau apakah mereka ini sudah terlalu lama dalam politik dan tidak lagi menggambarkan ‘kepentingan golongan kepimpinan baru’?

Bagaimana yang baru kali pertama mencuba? Juga mungkin ada persepsi bahawa kalaupun kalah, mereka tetap akan dilantik semula dan dengan melantik ‘orang luar’, akan lebih ramai bekerja untuk UMNO.

Tetapi apa pula maknanya kemenangan kepada mereka yang tidak mempunyai jawatan kerajaan, sebaliknya hanya memegang kerusi pengerusi agensi kerajaan?

Kemenangan besar kepada mereka yang yang tidak berada pada jawatan penting dalam kerajaan melebihi 40 peratus.

Apakah mereka menang kerana dilihat mampu memberikan sumbangan kepada parti?

Ramai juga yang menimbulkan pertanyaan, bagaimana mereka ini boleh menang. Apakah kerana mereka berkedudukan sebagai Pengerusi kepada agensi kerajaan yang penting dan boleh menawarkan ‘ganjaran untuk ahli UMNO’ dan bagaimana pula yang tidak berjawatan?

Bagaimana mereka yang tidak berjawatan ini mampu berkempen dan menawan hati ahli UMNO untuk memilih mereka?

Mereka adalah (mengikut nombor kemenangan dan jumlah undi) : (4) Senator Datuk Azian Osman (2,060), (5) Datuk Zainal Abidin Osman (2,054) (10) Dr Mohd Puad Zarkashi (1,700), (11) Datuk Tajuddin Abdul Rahman (1,685), (14) Datuk Seri Dr Jamaluddin Mohd Jarjis (1,622), (16) Senator Datuk Dr Norraesah Mohamad (1,611), (17) Datuk Seri Mahadzir Khalid (1,580), (20) Datuk Bung Moktar Radin (1,517), (21) Datuk Dr Awang Adek Hussin (1,481), (24) Datuk Seri Idris Jusoh (1,275) dan (25) Datuk Azeez Abdul Rahim (1,265).

Mengambil beberapa contoh – Azian ialah Pengerusi Syarikat Perumahan Negara, Tajuddin (Felcra), Dr Awang (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad) dan Idris (Pengerusi Mara) sementara Zainal adalah Penasihat Kementerian Luar Bandar.

Berbalik kepada soal berbakti kepada parti, adalah menjadi cabaran kepada mereka ini supaya membalas kepercayaan ahli UMNO.

Ujian paling awal adalah tiga pilihan raya kecil. Apakah mereka ini mampu memberikan sumbangan besar menjamin kemenangan Barisan Nasional?

Kita tunggu bagaimana cara mereka bekerja dan bertindak.

Bola sudah berada di kaki mereka!