“Responden pertama mahukan Perdana Menteri memberi penjelasan. Penjelasan, pengesahan mengenai apa yang berlaku pada 24 Jun tiada kaitan dengan tingkah laku utama... insiden pada 26 Jun, bukan sehari awal ataupun selepas itu….(dan) mereka tidak ada hak perundangan untuk memanggil mana-mana orang yang tiada kaitan dan tiada relevan dengan tuduhan.” - Datuk Hisham Teh
Seorang saksi misteri dijadual memberi keterangan pada perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.
Peguambela Anwar enggan mendedahkan identiti individu berkenaan ketika ditanya oleh pihak pendakwaan dan mahkamah.
Peguam Sankara Nair hanya berkata individu itu akan memberi keterangan selepas ketua pengarah Jabatan Kimia Lim Kong Boon berbuat demikian.
Peguam pembelaan sebelum ini pernah memberitahu sesi perbicaraan bahawa saksi tambahan akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Mereka termasuk, pakar tulang belakang, Dr Thomas Hoogland, yang melakukan pembedahan ke atas Anwar pada 2004.
Hari ini peguam utama Anwar, Karpal Singh berkata keterangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohjd Najib Razak dan isterinya sangat penting.
Bagi Karpal, keterangan Najib dalam kes liwat Anwar sangat penting kerana ia akan membantu mengenal pasti keadaan mental pengadu.
Datuk Hisham Teh, salah seorang peguam yang mewakili Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor pula berhujah, ketua pembangkang itu telah gagal menyediakan bukti kukuh bahawa mereka adalah saksi yang relevan.
Tiada keputusan dibuathari ini sama ada perlu Najib dan isteri dipanggil untuk memberikan keterengan di mahkamah atau sebaliknya kerana Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah hanya akan membuat keputusan Khamis ini.
Perbicaraann akan diteruskan esok dengan pasukan pembela akan memanggil Lim Kong Boon iaitu Ketua Pengarah Jabatan Kimia.
Karpal berhujah bahawa Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan pada sebelah malam 24 Julai 2008 sebelum pengadu mendakwa Anwar telah meliwatnya.
Kata Karpal, keterangan Perdana Menteri tentang apa yang berlaku ketika pertemuan itu akan membantu mahkamah dalam perbicaraan ini.
Hisham berhujah, Najib dan isteri bukan saksi relevan dan tidak dapat menyediakan keterangan penting dalam keterangan kes liwat membabitkan Anwar.
Demikian kata Hisham yang membacakan kandungan afidavit Najib di Mahkamah Tinggi petang tadi.
Menurut peguam-peguam Najib, permohonan Anwar untuk memaksa Najib dan Rosmah untuk memberi keterangan hanya bertujuan “memancing” maklumat daripada mereka kerana itu mereka tidak boleh memberi keterangan yang relevan tentang apa yang dibawa oleh responden pertama (Anwar).
Afidavit Rosmah juga mempunyai penjelasan yang sama.
Namun peguam Najib berhujah, pertemuan pada 24 Jun tiada neksus, tiada kaitan dengan insiden 26 Jun 2008.
Menurut Hisham: “Responden pertama mahukan Perdana Menteri memberi penjelasan. Penjelasan, pengesahan mengenai apa yang berlaku pada 24 Jun tiada kaitan dengan tingkah laku utama... insiden pada 26 Jun, bukan sehari awal ataupun selepas itu….(dan) mereka tidak ada hak perundangan untuk memanggil mana-mana orang yang tiada kaitan dan tiada relevan dengan tuduhan.”
Di pihak Anwar, peguam mereka berpendapat afidavit Najib ada menyebut bahawa Perdana Menteri telah menasihati Saiful agar membuat laporan polis selepas dia mendakwa pada 24 Julai bahawa Anwar telah meliwatnya.
“Adalah perlu untuk memperoleh keterangan daripada Perdana Menteri berkenaaan keadaan fikiran SP1 (Saiful) dan sama ada dia takut atau sama ada Perdana Menteri kemungkinan mengharapkan SP1 akan mematuhi nasihat beliau. Sudah pasti, seseorang akan mematuhi nasihat personaliti tidak kira pangkat, terutama seorang timbalan perdana menteri (ketika itu), yang nasihatnya diperoleh,” kata Karpal.
Anwar dalam afidavit balas mendakwa Rosmah berada dalam kedudukan untuk memberi keterangan yang relevan, yang akan membantu dalam prosiding ke atasnya.
Katanya, peguam-peguamnya ada menemu bual rakan Rosmah Datuk Mumtaz Begum Jaafar dan beliau telah mengatakan bahawa ada satu mesyuarat antara kawan rapat Saiful, Muhamad Rahimi Osman dan Rosmah.