Sunday, June 21, 2009

AGENDA BARU UMNO TERENGGANU

Jawapan sudah didapati.

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata perlantikan baru untuk tiga jawatan penting bagi menjamin agenda baru UMNO Negeri berjalan lancar, selain persediaan menjamin kemenangan pada pilihanraya umum ke 13.

Setiausaha UMNO Terengganu yang baru ialah Datuk Tengku Putera Awang, Bendahari ialah Datuk Abdul Rahin Mohd Said dan Ketua Penerangan kembali kepada Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Tepat beberapa ramalan bahawa Datuk Rosli Mat Hassan, Datuk Roslan Awang Chik dan Datuk Zuber Embong akan ditukar.

Cuma yang tidak tepat ialah beberapa ramalan sebelum ini kononnya kerana faktor kawan - Datuk Din Adam akan dilantik Hishamuddin sebagai Setiausaha UMNO Negeri yang baru.

Perlantikan yang diumumkan Hishamuddin itu berlaku di Pejabat UMNO Negeri Terengganu kira-kira jam 7.35 petang selepas mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri berlangsung kira-kira satu jam setengah.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Perhubungan, Datuk Ahmad Said, Rosli dan beberapa ketua bahagian.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, tidak hadir pada mesyuarat hari ini.

Semua tujuh Ketua UMNO Bahagian lain hadir.

(Analisis akan menyusul kemudian)

BUMBUNG STADIUM RUNTUH – SPRM ‘MENGAMUK’

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan akan ‘mengamuk’ minggu ini untuk melengkapkan siasatan mereka berhubung kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang runtuh 2 Jun lalu.

Dalam kejadian itu, separuh daripada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang dibina dengan kos RM292 juta sebagai tempat utama temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008, runtuh kira-kira pukul 9.30 pagi ini iaitu kira-kira setahun selepas ia siap dibina pada Mei tahun lepas.

Menurut sumber, SPRM akan turut menyoal kakitangan syarikat arkitek dan perunding yang terbabit dengan projek itu bagi melengkapkan lagi siasatan mereka.

Sumber memberitahu, pegawai SPRM akan turun padang dan tidak memanggil mereka yang dikehendaki datang ke pejabat SPRM negeri.

Ia bertujuan meninjau sendiri keadaan pejabat dan kelengkapan pejabat berkenaan bagi menentukan ia benar-benar berfungsi sebagai pejabat arkitek atau perunding.

Pada 13 Jun dilaporkan sekurang-kurang tiga orang bekas Exco kerajaan negeri dan beberapa pegawai kanan dari Jabatan Kerja Raya negeri akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan tragedi bumbung runtuh Stadium Sultan Mizan Zainal.

Menurut laporan sebelum ini, bekas Exco kerajaan negeri mempunyai maklumat penting dalam membantu merungkai kejadian yang memalukan 2 Jun lalu.

Sumber tersebut turut menyebut dokumen melibatkan pemilihan kontraktor yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pemasangan atap stadium yang dikatakan bernilai lebih RM20 juta.

Menurut laporan, tiga orang yang bertanggungjawab memastikan stadium tersebut siap menjelang SUKMA 2008 adalah Dato’ Wan Hisham Wan Salleh (Kemudahana Awam dan Infrastruktur), Dato’ Din Adam (Belia dan Sukan) dan Dato’ Rasol Wahid (Islam Hadhari dan Kebajikan)

Din dan Rasol masih berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, sebelumnya menjadi Exco kerajaan dibawah bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pada 9 Jun, SPRM berkata pihaknya sudah mempunyai nama beberapa individu yang akan diambil keterangan bagi siasatan kes keruntuhan sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2 Jun lalu.

Menurut sumber, SPRM akan mendapatkan dokumen daripada individu terlibat serta membuat pemeriksaan untuk siasatan yang menyeluruh dan tepat.

Bagaimanapun, sumber berkenaan enggan mendedahkan mereka yang tersenarai sama ada ia turut membabitkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Wan Hisham pada 8 Jun lalu berkata, dia sedia disiasat oleh SPRM berhubung kejadian itu.
Runtuhan yang membabitkan bumbung di bahagian timur stadium itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.

Selain Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri turut menempatkan stadium tertutup bernilai RM160 juta serta pelbagai kemudahan sukan serta rekreasi lain termasuk skuasy serta Pusat Boling Si Diman yang mempunyai 48 lorong.

Pembinaan kompleks yang boleh menampung kapasiti 40,000 penonton itu yang bermula pada tahun 2005 sepatutnya siap pada April 2008, namun sehingga berlangsung Pra Sukma 2008 pada 1 hingga 5 Mei, ia hanya 90 peratus siap.

Pembukaan kompleks itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008 iaitu 21 hari sebelum Sukma 2008 berlangsung dari 31 Mei hingga 9 Jun.

Sebenarnya siasatan oleh SPRM ini sudah bermula sejak hari bumbung stadium runtuh lagi.

Pada hari kejadian, sekurang-kurangnya tiga pegawai suruhanjaya itu dilihat mengambil gambar serta mengumpul butiran kejadian itu untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah SPRM Terengganu yang baru, Ahmad Sabri Hussin turut kelihatan meninjau pada tempat kejadian itu.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, SPRM mempunyai asas untuk bertindak apabila berlaku kejadian seumpama itu.

Menurutnya, pemantauan dilakukan untuk mengenalpasti sekiranya ada perkembangan yang membolehkan kertas siasatan dibuka.

Menurutnya, siasatan berkemungkinan berkaitan sistem pengurusan atau masalah kerja-kerja kontrak sehingga menyebabkan kejadian itu berlaku.

Banyak pihak menyatakan kesediaan untuk disiasat termasuk mereka yang terbabit dengan kontrak dan pembinaan stadium dan bumbung stadium berkenaan.

Malah dikatakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong yang mengetuai Jawatankuasa Tender Negeri turut menjadi sasaran SPRM untuk memberi keterangan.

Walaupun Mokhtar enggan mengulas ketika ditanya dakwaan bahawa jawatankuasa itu bertanggungjawab melantik kontraktor dari Korea untuk membuat reka bentuk dan pemasangan bumbung stadium itu, sebagai ketua jawatankuasa, beliau juga disoal.

Blog ini dalam laporan bersiri (siri dua) 17 Jun lalu menyebut bahawa nombor kontrak untuk pembinaan bumbung ialah JKRNT(T)2/2005.

Kontrak yang diputuskan bagi kerja-kerja bumbung diperuntukkan sebagai Wang Kos Prima (prime cost sum) ialah sebanyak RM28,000,000.00. Bagaimanapun, keputusan mesyuarat Lembaga Jawatankuasa Perolehan Negeri pada 9 April 2006 memutuskan kontrak diberikan kepada Swissma Building Technologies , Nam Fatt/Sowon Plant Construction Compony Ltd (Korea) JV bernilai RM35,246,600.00.

Banyak persoalan mengenai pembinaan bumbung stadium ini.
Harapan ialah siasatan SPRM akan menjawab banyak persoalan yang bermain di kepala rakyat – apakah projek ini benar-benar dilaksanakan mengikut piawaian , siapa penyelia, siapa arkitek, siapa kontraktornya dan siapa pula yang mengawas.

Apakah kosnya berpadanan dan kenapa kontrak diberikan kepada syarikat dari Korea.
Ini belum lagi termasuk individu dan pemain penting berkaitan projek ini.

NAJIB JANGAN HILANG FOKUS

(Sembang Ahad)
Bagi saya, baik lupakan sahaja konsep kerajaan perpaduan.

Jangan menjadi hipokrit – kerajaan perpaduan asal ialah kerjasama UMNO dan PAS tidak membabitkan parti lain sama ada dalam Barisan Nasional (BN) atau pembangkang.

Jika tidak masakan pemimpin MCA seperti Timbalan Presiden MCA, Chua Soi Lek di Pasir Putih, Kelantan kelmarin bernai mengatakan: "Demi kepentingan rakyat, maka MCA juga boleh duduk bincang dengan DAP."

Apa maknanya ini? Bukankah ia juga konsep kerajaan perpaduan tetapi antara Cina dengan Cina.

Oleh itu, Soi Lek percaya UMNO tidak mungkin membentuk satu kerajaan bersama PAS dan membiarkan parti kaum Cina menjadi pembangkang.

Yang jelas, kerana mahu menjaga hati pakatan pembangkang, pemimpin PAS terutamanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan sewaktu dengannya - konsep PAS mengenai kerajaan perpaduan asal sudah lari daripada matlamatnya.

Kalau konsep kerajaan perpaduan mahu dirojakkan, baik tidak usah adakan kerajaan perpaduan kerana konsep Barisan Nasional (BN) dan 1Malaysia sudahpun ada dan lengkap.
Ia lebih baik daripada ‘kawin campur’ melalui pakatan pembangkang.

Agak mengejutkan juga semalam apabila PAS tidak berminat sama sekali untuk mengadakan perbincangan dengan Umno termasuk berkaitan dengan idea pembentukan kerajaan perpaduan.
Ini disuarakan senditi oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.

Yang pasti, kenyataan terbaru ini dikeluarkan tiga hari selepas Mustafa mengumumkan bahawa PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Umno-BN jika ia disertai bersama dua komponen Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Sedangkan sebelum ini, apa yang difahamkan ialah perbincangan hanya membabitkan UMNO-PAS yang menjadikan banyak pihak dalam PAS, khususnya Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat yang serik dengan kerajaan campuran menentang bulat-bulat.

Malah, sebelum ini Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak begitu yakin terhadap keikhlasan PAS berhubung cadangan kerajaan perpaduan seperti mana yang dicetuskan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Justeru, Perdana Menteri tetap dengan pendiriannya untuk mengamalkan sikap terbuka dan pada masa sama, bersedia mendengar serta mempertimbangkan apa jua cadangan yang akan dikemukakan oleh Pas.

Pada 16 Jun lalu, Najib berkata, pihaknya tidak pernah menolak segala bentuk kerjasama yang akhirnya boleh memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Abdul Hadi kerana mengemukakan konsep itu, Najib berkata, beliau bagaimanapun belum mempunyai kefahaman yang jelas mengenainya.

Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebagai reaksi kepada kenyataan itu berkata PAS menerima dengan hati terbuka keyakinan Perdana Menteri mengenai keikhlasan parti itu berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Akibatnya, Nasharudddin diminta oleh Nik Aziz supaya tinggalkan PAS dan masuk UMNO selain kata-kata pedih lain.

Persoalannya apa konsep kerajaan perpaduan terbaru?

Apakah ia UMNO + BN + PAS+ pakatan pembangkang? Kalau begini, sampai kiamat pun sukar untuk dibentuk kerana sebab-sebab yang rakyat sendiri sudah tahu.

Malah, semalam Nik Aziz mendakwa konsep pakatan pembangkang jauh lebih baik daripada kerajaan pimpinan UMNO dan dan kerana itu PAS tidak perlu mengadakan sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak lain.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pendiriannya tetap menolak konsep kerajaan perpaduan dengan Umno-Barisan Nasional (BN) yang hangat diperkatakan kalangan pemimpin tertinggi kedua-dua parti itu kebelakangan ini.

"Kerajaan pakatan jauh lebih baik daripada kerajaan perpaduan... nak buka lembaran baru kerana apa, yang lama tutup kenapa. Ya... tetap (menentang kerajaan perpaduan)... kami dah kenal Umno," katanya di Alor Setar.

Jelas dan nyata kini PAS semakin menjauhkan dirinya dari UMNO.

Tidak diketahui sejauh mana UMNO masih mahu mendekati PAS. Yang pasti, PAS lebih selesa dengan sekutunya DAP dan PKR.

Benar juga kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa cadangan rundingan kerajaan perpaduan antara UMNO dan PAS bukan keputusan yang bijak kerana ia boleh memberi pelbagai kesan buruk kepada Barisan Nasional (BN).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sendiri tidak pasti sama ada ahli UMNO bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan.

Hendaknya Najib memberikan arahan supaya jangan membuat kenyataan-kenyataan mengelirukan ahli UMNO dan rakyat seluruhnya.

Selain itu saya (siapalah saya) ingin mengingatkan Najib, teruskan dengan agenda 1Malaysia itu kerana ia perjuangan yang berpandangan jauh dan mula diterima rakyat. Rakyat Didahulukan, Pencapaian diUtamakan cukup memberangsangkan daripada pakatan pembangkang yang bercelaru.

BN sudah mempunyai rekod pencapaiannya tetapi kerajaan perpaduan pembangkang berkecamuk di mana sahaja – Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan sebelum ini di Perak.

Di Kelantan tanda-tanda menunjukkan ia juga akan berkecamuk sesama sendiri kerana ada puak yang tidak mahu Melayu dan Melayu bersatu selain membenci orang Islam sesama Islam berbaik-baik.

Bagi mereka asal jangan UMNO, yang lain tidak apa kerana UMNO itu kafir dan diharamkan masuk syurga.

Apakah UMNO atau BN yang begitu murni perjuangannya mahu mendekati orang yang bersikap seperti ini?

Adalah baik Najib meneruskan agenda BN dengan memperkukuhkan UMNO dan jika ada yang sudi dari PAS untuk berbaik-baik, terimalah mereka dengan apa cara sekali pun tetapi lupakan kerajaan perpaduan jika ia akan mendatang lebih banyak masalah daripada penyelesaian.

Fikirkanlah Datuk Seri Mohd Najib Razak!