Sunday, June 21, 2009

BUMBUNG STADIUM RUNTUH – SPRM ‘MENGAMUK’

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan akan ‘mengamuk’ minggu ini untuk melengkapkan siasatan mereka berhubung kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang runtuh 2 Jun lalu.

Dalam kejadian itu, separuh daripada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang dibina dengan kos RM292 juta sebagai tempat utama temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008, runtuh kira-kira pukul 9.30 pagi ini iaitu kira-kira setahun selepas ia siap dibina pada Mei tahun lepas.

Menurut sumber, SPRM akan turut menyoal kakitangan syarikat arkitek dan perunding yang terbabit dengan projek itu bagi melengkapkan lagi siasatan mereka.

Sumber memberitahu, pegawai SPRM akan turun padang dan tidak memanggil mereka yang dikehendaki datang ke pejabat SPRM negeri.

Ia bertujuan meninjau sendiri keadaan pejabat dan kelengkapan pejabat berkenaan bagi menentukan ia benar-benar berfungsi sebagai pejabat arkitek atau perunding.

Pada 13 Jun dilaporkan sekurang-kurang tiga orang bekas Exco kerajaan negeri dan beberapa pegawai kanan dari Jabatan Kerja Raya negeri akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan tragedi bumbung runtuh Stadium Sultan Mizan Zainal.

Menurut laporan sebelum ini, bekas Exco kerajaan negeri mempunyai maklumat penting dalam membantu merungkai kejadian yang memalukan 2 Jun lalu.

Sumber tersebut turut menyebut dokumen melibatkan pemilihan kontraktor yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pemasangan atap stadium yang dikatakan bernilai lebih RM20 juta.

Menurut laporan, tiga orang yang bertanggungjawab memastikan stadium tersebut siap menjelang SUKMA 2008 adalah Dato’ Wan Hisham Wan Salleh (Kemudahana Awam dan Infrastruktur), Dato’ Din Adam (Belia dan Sukan) dan Dato’ Rasol Wahid (Islam Hadhari dan Kebajikan)

Din dan Rasol masih berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, sebelumnya menjadi Exco kerajaan dibawah bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pada 9 Jun, SPRM berkata pihaknya sudah mempunyai nama beberapa individu yang akan diambil keterangan bagi siasatan kes keruntuhan sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2 Jun lalu.

Menurut sumber, SPRM akan mendapatkan dokumen daripada individu terlibat serta membuat pemeriksaan untuk siasatan yang menyeluruh dan tepat.

Bagaimanapun, sumber berkenaan enggan mendedahkan mereka yang tersenarai sama ada ia turut membabitkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Wan Hisham pada 8 Jun lalu berkata, dia sedia disiasat oleh SPRM berhubung kejadian itu.
Runtuhan yang membabitkan bumbung di bahagian timur stadium itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.

Selain Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri turut menempatkan stadium tertutup bernilai RM160 juta serta pelbagai kemudahan sukan serta rekreasi lain termasuk skuasy serta Pusat Boling Si Diman yang mempunyai 48 lorong.

Pembinaan kompleks yang boleh menampung kapasiti 40,000 penonton itu yang bermula pada tahun 2005 sepatutnya siap pada April 2008, namun sehingga berlangsung Pra Sukma 2008 pada 1 hingga 5 Mei, ia hanya 90 peratus siap.

Pembukaan kompleks itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008 iaitu 21 hari sebelum Sukma 2008 berlangsung dari 31 Mei hingga 9 Jun.

Sebenarnya siasatan oleh SPRM ini sudah bermula sejak hari bumbung stadium runtuh lagi.

Pada hari kejadian, sekurang-kurangnya tiga pegawai suruhanjaya itu dilihat mengambil gambar serta mengumpul butiran kejadian itu untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah SPRM Terengganu yang baru, Ahmad Sabri Hussin turut kelihatan meninjau pada tempat kejadian itu.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, SPRM mempunyai asas untuk bertindak apabila berlaku kejadian seumpama itu.

Menurutnya, pemantauan dilakukan untuk mengenalpasti sekiranya ada perkembangan yang membolehkan kertas siasatan dibuka.

Menurutnya, siasatan berkemungkinan berkaitan sistem pengurusan atau masalah kerja-kerja kontrak sehingga menyebabkan kejadian itu berlaku.

Banyak pihak menyatakan kesediaan untuk disiasat termasuk mereka yang terbabit dengan kontrak dan pembinaan stadium dan bumbung stadium berkenaan.

Malah dikatakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong yang mengetuai Jawatankuasa Tender Negeri turut menjadi sasaran SPRM untuk memberi keterangan.

Walaupun Mokhtar enggan mengulas ketika ditanya dakwaan bahawa jawatankuasa itu bertanggungjawab melantik kontraktor dari Korea untuk membuat reka bentuk dan pemasangan bumbung stadium itu, sebagai ketua jawatankuasa, beliau juga disoal.

Blog ini dalam laporan bersiri (siri dua) 17 Jun lalu menyebut bahawa nombor kontrak untuk pembinaan bumbung ialah JKRNT(T)2/2005.

Kontrak yang diputuskan bagi kerja-kerja bumbung diperuntukkan sebagai Wang Kos Prima (prime cost sum) ialah sebanyak RM28,000,000.00. Bagaimanapun, keputusan mesyuarat Lembaga Jawatankuasa Perolehan Negeri pada 9 April 2006 memutuskan kontrak diberikan kepada Swissma Building Technologies , Nam Fatt/Sowon Plant Construction Compony Ltd (Korea) JV bernilai RM35,246,600.00.

Banyak persoalan mengenai pembinaan bumbung stadium ini.
Harapan ialah siasatan SPRM akan menjawab banyak persoalan yang bermain di kepala rakyat – apakah projek ini benar-benar dilaksanakan mengikut piawaian , siapa penyelia, siapa arkitek, siapa kontraktornya dan siapa pula yang mengawas.

Apakah kosnya berpadanan dan kenapa kontrak diberikan kepada syarikat dari Korea.
Ini belum lagi termasuk individu dan pemain penting berkaitan projek ini.

2 comments:

  1. SPRM mengganas lagi..terer semua mereka ni termasuk membaik pulih stadium runtuh..Tahniah SPRM..taniah Pak Lh..

    ReplyDelete
  2. Nota undang-undang untuk pelajar undang-undang di llbnotes.blogspot.com

    Tolong JANGAN klik di iklan. Tolong JANGAN klik!

    ReplyDelete