Wednesday, May 18, 2016

BAGAIMANA KU LI BOLEH MENGATAKAN DR M DIPANDANG TINGGI OLEH AKAR UMBI?


Apabila seluruh jentera Barisan Nasional (BN)  – pemimpin, media arus perdana, media sosial pro-Najib – menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad, membuktikan bahawa ‘tentera bersaorangan’ ini sebenarnya masih kuat.

Hakikatnya ramai rakyat biasa tahu siapa Dr Mahathir,  apa yang dia lakukan untuk Malaysia sewaktu memerintah dan segala-galanya.

Kemudahan awam – pendidikan, lebih raya, jambatan, peluang pekerjaan, pertanian, industry, perniagaan, dasar Islam dan sebagainya – terlalu banyak untuk disebut dapat dirasai oleh seluruh rakyat, bukan yang kaya atau kelas menengah semata-mata.

Jika ada kelemahan, namun banyak lagi kebaikan.

Malaysia daripada sebuah negara membangun menjadi sebuah negara maju – setidak-tidaknya antara negara Islam yang paling maju di dunia.

Barat dan seluruh dunia mengenali Malaysia kerana kepimpinan Dr Mahathir melalui dasar luar yang progresif dan memperjuangkan kesamarataan manusia dan negara.

Malaysia pencetus kebebasan dan kemerdekaan banyak negara sama ada di Afrika, Asia, Asia Barat serta di Eropah.

Tidak boleh sesiapa pun menafikan perkara itu.


Kebimbangan Barisan Nasional (BN) terhadap Dr Mahathir begitu menyerlah terhadap sumbangannya sehinggakan pemimpin parti pembangkang ketika ini – Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Lim Kit Siang – sudah tidak ada apa-apa berbanding Dr Mahathir.

Malah, Deklarasi Rakyat (DR) – menggabungkan tenaga pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) – dilihat semakin menjadi ancaman kepada kepimpinan PerdanaMenteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Walaupun pelbagai cara cuba dilakukan untuk memperkecilkan keupayaan DR dengan meletakkan imej hodoh dan menonjolkan kononnya tiada sokongan tetapi ternyata semakin hari DR semakin mendapat sambutan.

Malah, pada kempen di dua pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar nanti, isu DR dan faktor ‘tentera bersaorangan’ akan menjadi tumpuan utama.

Semalam pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mengakui akar umbi UMNO masih memandang sumbangan-sumbangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun memerintah negara.

Apakah pendapat Ku Li tidak  benar? Ku Li sebagai ‘musuh, pesaing dan rakan politik’ Dr Mahathir tidak melontarkan pandangannya untuk mengkritik sesiapa.

Beliau menyatakan pendapatnya dan tahu kedudukan sebenar keadaan di akar umbi.

Dengan kata lain, Ku Li berkata keadaan sebenar di bawah, bukan untuk kalangan pemimpin atasan.

Rakyat tidak boleh menafikan perkara itu, walaupun Dr Mahathir kini dilihat sering mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Razak selain bertindak keluar dari UMNO, demikian pendapat Ku Li.

“Sudah tentu kerana beliau telah berada di sana (memerintah) sejak sekian lama dan selain apa yang beliau telah lakukan, kepimpinannya, dia (Dr Mahathir) juga masih mempunyai pengaruh.

Mengulas dua PRK yang bakal diadakan, Ku Li akui sukar menjangkakan sama ada Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi atau sebaliknya.

“Sukar untuk saya ulas, kerana dia (Dr Mahathir) sering mengejutkan. Dengan semua cadangannya, saya tidak boleh nilaikan situasi atau memberikan cadangan, ia sukar,” katanya lagi.

Ku Li juga tidak menafikan Dr Mahathir seorang yang sedar apa yang dilakukan.

“Dia mempunyai objektif. Jadi, sudah tentu dia akan mempromosikan objektifnya agar tercapai. Dia akan buat yang terbaik,” katanya.

Ujar Ku Li lagi, persoalan sama ada Dr Mahathir menjejaskan UMNO tidak seharusnya timbul memandangkan beliau sudah tidak bersama parti Melayu itu lagi.

“Dia bukan lagi ahli UMNO dan dia sudah meluahkan perasaannya bahawa tiada guna bersama parti yang hanya dipimpin oleh seorang individu. Itulah pendirian dia,” ujar beliau lagi.

Dengan kedudukan di mana akar umbi masih memandang tinggi kepada Dr Mahathir, BN dan UMNO perlulah mencari jalan bagaimana untuk melemahkan kekuatan ‘tentera bersaorangan’ ini sekiranya mahu mempertahankan Njib atau menjamin BN menang pilihan raya.

Mengkritik membuta tuli atau cuba memburukkan imej Dr Mahathir melalui kelemahan masa lalunya tetap sukar diterima oleh rakyat biasa atau akar umbi.

Ini kerana Dr Mahathir tidak terpalit dengan isu yang menjadi persoalan umum sampai ke akar umbi seperti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang riuh satu dunia.

Tidak pernah pemimpin negara Malaysia sebelum ini berdepan dengan kritikan berterusan oleh media utama dunia separti dalam kes 1MDB ini.

Soal benar atau persepsi semata-mata tidak lagi penting tetapi ‘maruah Malaysia, BN dan UMNO’ sudah tercalar dan kritikan dari luar oleh Dr Mahahir mungkin akan menyebabkan keadaan semakin parah jika tidak ada jalan keluar atau penyelesaian terhadapnya dalam tempoh segera.

Jika rasuah diperkatakan membabitkan diri atau kepimpinan Dr Mahathir, keluarga serta kroninya seperti Tun Daim Zainuddin, ia tidak dapat dibuktikan di mahkamah – sama ada dalam negeri atau luar negara – dan tinggal hanya cakap-cakap semata-mata.

Kalaupun tuduhan ada, ia tidaklah merebak sehingga media, institusi serta pemimpin luar negara bercakap mengenainya sebagai suatu suara tetapi lebih kepada mirip ‘isu terpencil’.

Jadi untuk beberapa ketika akan datang, akar umbi tetap percaya dan memandang tinggi Dr Mahathir.

Persoalannya, bagaimana menghapuskan kepercayaan dan keyakinan sedemikian?

Pada ketika yang sama aka nada serangan dari dalam dan luar oleh media dan institusi asing secara berterusan yang akan menjadikan kemelut politik dan ekonomi negara berterusan.

Sampai bila kepimpinan yang menyokong UMNO dan BN boleh bertahan?