Friday, January 8, 2010

PUNCA STADIUM RUNTUH – APA TINDAKAN SELANJUTNYA?


Kerajaan negeri Terengganu dijangka akan menerima laporan jawatankuasa siasatan yang mengkaji punca keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tidak lama lagi.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata laporan itu telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam dan satu lagi salinan dikemukakan kepada pejabat peguam negara.

Laporan itu menyebut beberapa faktor menyebabkan keruntuhan stadium berkenaan pada 2 Jun tahun lepas.

Antara puncanya ialah:


1. Bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi;
2. Faktor reka bentuk yang tidak memadai;
3. Bumbung yang tidak dibina dengan sempurna;
4. Kawalan kualiti yang tidak dilaksanakan di tapak projek;
5. Pengawasan yang agak kurang ketika kerja-kerja pembinaan; selain
6. Kerja dilakukan secara tergesa-gesa turut menjejaskan kualiti stadium.

Laporan Benama menyebut, bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi dikenal pasti antara punca utama struktur bumbung kerangka Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, runtuh Jun tahun lepas.

Menurut laporan jawatankuasa siasatan kejadian itu, faktor reka bentuk yang tidak memadai, bumbung yang tidak dibina dengan sempurna dan kawalan kualiti yang tidak dilaksanakan di tapak projek turut menyumbang kepada kejadian tersebut.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor yang mendedahkan laporan jawatankuasa siasatan itu hari ini berkata, siasatan juga mendapati pengawasan yang agak kurang ketika kerja-kerja pembinaan selain dilakukan secara tergesa-gesa turut menjejaskan kualiti stadium berkenaan.

Mengulas perkara itu, Shaziman berkata laporan itu telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam yang juga bersetuju supaya laporan itu diserahkan kepada kerajaan negeri Terengganu, manakala satu lagi salinan dikemukakan kepada pejabat peguam negara, katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Shaziman, yang ditemui ketika mengadakan lawatan kerja ke Hubungan Kerinchi Arah Utara Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dekat sini, berharap kerajaan negeri Terengganu dapat menggunakan hasil laporan itu untuk mengambil langkah susulan.

"JKR juga telah memaklumkan kepada kerajaan Terengganu supaya kerja-kerja mengubah runtuhan yang ada di kawasan stadium itu boleh dilakukan dan kerja-kerja pembaikan boleh dimulakan," katanya.

Dalam kejadian pada 2 Jun tahun lepas, bumbung stadium berkenaan di Gong Badak yang berharga RM300 juta dan siap dibina pada Mei tahun yang sama untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-12, runtuh secara tiba-tiba.

Ekoran kejadian itu, sebuah jawatankuasa siasatan terdiri daripada 10 wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan profesional berkaitan diberi masa enam bulan untuk melaksanakan penyiasatan dan menyiapkan laporan akhir ekoran kejadian keruntuhan bumbung utama stadium berkenaan.

Jawatankuasa itu dipertanggungjawab antara lain untuk mengenal pasti punca kejadian, mengesyorkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian itu berulang dan mengemukakan cadangan pembinaan semula stadium.

Setelah mengetahui puncanya, apakah tindakan lanjut terhadap pihak-pihak yang terbabit yang bertanggungjawab terhadap masalah itu?

Berapa lama lagikah stadium akan dibiarkan sedemikian atau akan dibaiki segera?

ANWAR FAIL PERMOHONAN TERUSKAN PERTUDUHAN QAZAF

Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur bagi perintah supaya pihak pendakwaan meneruskan pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 63, ditemani isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, memfailkan notis permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah pagi ini melalui peguamnya yang diketuai Kamar Ainiah

Kamaruzaman.

Dalam tuntutan notis permohonan itu, Anwar menamakan tiga responden iaitu Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Dalam notis permohonan itu, Anwar memohon perintah mahkamah supaya mengarahkan Shamsuddin menggunakan kuasa yang sedia ada padanya untuk menjalankan prosiding pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari dan menghalang Che Mat serta Jamil daripada menghalang Shamsuddin menjalankan pertuduhan itu.

Anwar juga mendakwa laporan qazaf berhubung pernyataan palsu mengenai beliau meliwat Mohd Saiful Bukhari telah dibuat kepada Bahagian Penguatkuasa dan Pendakwaan Jawi pada 9 Julai 2008, dan beliau dipanggil untuk memberi keterangan tetapi masih tiada maklum balas daripada Jawi.

Bagaimanapun, beliau diberitahu status laporan itu telah selesai.
Notis itu juga turut menyebut pada 27 Oktober 2009, Jamil menyatakan Anwar perlu menunggu perbicaraan liwat terlebih dahulu sebelum meneruskan perbicaraan pertuduhan qazaf terhadapnya.

Bagaimanapun dalam notis permohonan itu, Anwar menegaskan perbicaraan yang dihadapinya adalah berlainan.

Mahkamah menetapkan Rabu ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu jawapan balas dalam tempoh 14 hari daripada pihak pendakwaan.

Kenyataan Tuntutan Qazaf oleh Anwar

Pagi ini saya telah memfailkan suatu Permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur terhadap tiga pihak iaitu, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan (“KPS”), Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (“JAWI”) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal Agama Islam, Mejar Jeneral (B) Dato’ Hj Jamil Khir bin Baharom.

Permohonan saya adalah untuk mendapat suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap KPS supaya menggunakan kuasanya bagi mendakwa MOHD SAIFUL BUKHARI BIN AZLAN (“MSB”) di atas kesalahan jenayah Qazaf di bawah Seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997. (Gambar - Anwar semasa kali pertama memfailkan tuntutan Qazaf pada 8 Julai, 2008)

Saya juga memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Pengarah JAWI dan Menteri tersebut supaya tidak menghalang dan/atau mempengaruhi KPS daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pendakwaan terhadap MSB.

Permohonan saya tersebut adalah lanjutan daripada Qazaf saya bertarikh 9 Julai 2008 kepada Bahagian Penguatkuasa dan Pendakwaan JAWI terhadap MSB yang telah membuat suatu pengataan palsu bahawasanya saya telah melakukan perbuatan liwat ke atas dirinya pada tarikh 26 Jun 2008.

Saya telah disiasat sebanyak dua kali dan saya telah menyerahkan kepada JAWI kesemua bukti-bukti, di antaranya laporan polis, Sumpah Laknat Saiful, laporan perubatan dan senarai saksi-saksi yang bersama saya pada waktu kejadian.

Dalam bulan Ogos 2009 saya mendapat maklumat pihak JAWI telah selesai menjalankan siasatan mereka namun sehingga sekarang KPS masih belum mengambil apa-apa tindakan Mahkamah terhadap MSB. Kesemua surat-surat peguam syarie saya yang bertanyakan mengenai status Laporan Qazaf saya, tidak dijawab KPS.

Oleh itu saya agak terkejut apabila YB Menteri telah memberitahu Parlimen pada 27 Oktober 2009 bahawa KPS memutuskan bahawa pendakwaan Qazaf terhadap MSB hendaklah menunggu perbicaraan Liwat di Mahkamah Tinggi Sivil selesai terlebih dahulu.

Saya ingin menegaskan bahawa kesalahan jenayah Qazaf adalah berbeza dengan kesalahan jenayah Liwat. Qazaf adalah kesalahan jenayah syarie yang tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana kesalahan di bawah Kanun Jenayah yang digunakan di Mahkamah Sivil.

Saya memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah kerana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan kesalahan Qazaf.

Mahkamah Syariah juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan Responden-Responden supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka ke atas kesemua pendakwaan dan pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Sebagai seorang Islam saya berhak untuk mendapat perlindungan terhadap maruah dan nama baik saya daripada dicemari seperti yang dijamin oleh Hukum Syarak.