Wednesday, November 11, 2009

TAHNIAH DR ASRI KERANA INGIN SERTAI POLITIK

Baguslah kalau bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin mahu menyertai politik. Beliau boleh berkhidmat dan berdakwah secara terang, bukan senyap-senyap.

Lagipun, banyak pihak sudah melihat Dr Asri condong kepada parti tertentu.

Dengan menyertai politik beliau tidak akan lagi rasa terkongkong. Ini kerana beliau pernah meluahkan perasaannya dengan mengatakan: “Saya malu apabila 'orang agama' bertindak secara terbuka 'seakan' menghalang perkembangan Islam. Saya sedih apabila senjata kuasa digunakan untuk 'memerangi' golongan agama. Di kala umat sedang kehausan ilmu dan bimbingan, lalu diletakkan seribu halangan untuk insan muslim menyebarkan dakwah. Saya berfikir betapa sukar hendak menunaikan arahan Nabi SAW: Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat. (Riwayat al-Bukhari).”

Kita boleh faham siapa yang dimaksudkan dengan ‘orang agama’ yang dimaksudkan. Esok atau lusa apabila menyertai politik pula - Dr Asri jika tidak berpuas hati akan merujuk orang yang beliau tidak puas hati sebagai ‘orang politik” pula.

Beliau dengan berlapis menolak pelawaan Perdana Menteri untuk bertugas dengan kerajaan. Ini sedikit sebanyak membayangkan kepada kita bahawa penolakan itu mempunyai sebab dan asas kukuh.

Dengan kata lain bukan kerana kontroversinya baru-baru ini tetapi lebih kepada ketidak-sediaan beliau menyertai kerajaan, sebaliknya mirip kepada pembangkang.

Saya sedikit hairan bagaimana Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan boleh mengalu-alukan Dr Asri untuk menyertai UMNO sekiranya berminat menyertai politik.

“Kita harap beliau sertai UMNO kerana beliau turut memberi sokongan terhadap perjuangan UMNO dan memahami mengapa dasar-dasar UMNO dilaksanakan sedemikian rupa,” katanya.

Tidak tahulah bagaimana Ahmad Maslan boleh mengatakan Dr Asri member sokongan kepada perjuangan UMNO sedangkan Dr Asri sendiri dilaporkan pernah meluahkan minat untuk menyertai PAS.

Dr Asri beranggapan perjuangan PAS selari dengan pendiriannya dalam menyebarkan ajaran Islam sedangkan menolak cara UMNO.

Beliau mungkin merasakan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memenuhi kriteria untuk beliau sertai berdasarkan keinginannya menyebarkan ajaran Islam.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib sudah menyatakan keyakinannya bahawa PAS akan menjadi pilihan Asri untuk berpolitik sekiranya usaha menyebarkan dakwah melalui ceramah agama berdepan halangan.

"Dia nak masuk (PAS) dah. Semasa pertemuan dengannya sebelum ini, saya pernah mengajaknya menyertai PAS agar dia tidak berjuang sendiri, sebaliknya memperjuangkan Islam bersama parti. Nampakny a beliau berminat. Saya ingat dia hanya bercakap dengan saya, tetapi sekarang dia dah terbuka mengatakan kesediaannya menyertai politik,” kata Harun semalam.

Hakikatnya, jika menurut Harun, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu berminat dengan perjuangan Pas sejak sebelum menjadi Mufti Perlis lagi.

Dengan kata lain, semangat dan jiwa Dr Asri sejak menjadi Mufti Perlis pun sudah tidak bebas, apa lagi UMNO dan Barisan Nasional.

Jika demikian, pendapat Dr Asri sudah lama berasaskan simpati dan kepentingan politik. Cuma Dr Asri berupaya untuk berselindung dan tidak mahu dia nampak sangat ‘menentang kerajaan’.

Apapun, kita ucapkan tahniah kerana Dr Asri sudah berterus terang dan menunjukkan arah politiknya dan tidak mahu lagi berselindung.

Setidak-tidaknya beliau akan menyertai bekas penceramah dan tokoh motivator seperti Datuk Dr Hassan Ali, Datuk Haron Din atau juga Datuk Ismail Kamus.

Rasanya elok juga Dr Asri membuat keputusan cepat kerana beliau popular ketika ini selepas ditahan dan kemudian dituduh pula berfahaman Wahabi. Jika membuat keputusan dan mengumumkan segera, beliau akan dapat diterima baik oleh parti berkenaan.

Dr Asri akan mudah diterima kerana beliau tahu di mana letak dirinya. Beliau seorang yang berpengetahuan luas dan berpengalaman dalam Islam. Beliau tidak wajar disekat atau ditegur. Yang perlu diperiksa ialah yang tiada pengajian formal.

Ini kerana menurut Dr Asri: “Seorang muslim juga boleh menyampaikan ucapan kepada masyarakat melalui unsur-unsur agama dengan kadar yang difahaminya. Tidak perlulah setiap orang yang hendak memperkatakan tentang Islam dikehendaki mendapatkan tauliah. Berapa kerat manusia yang ada tauliah kalau begitu. Maka hanya berapa kerat manusia sahajalah yang boleh menyampaikan nasihat agama dalam ucapan-ucapan mereka dalam negara ini.

Jika pun tauliah hendak diwajibkan, wajibkan kepada mereka yang langsung tiada sijil pengajian Islam rasmi tetapi ingin mengajar bab-bab khusus dalam disiplin ilmu seperti mengajar khusus akidah, hadis, tafsir, fikah dan seumpamanya. Bidang-bidang ini memerlukan kepakaran, seseorang yang ingin mengajarnya padahal dia tidak pernah menjalani pengajian formal mengenainya, perlulah diuji. Di sini mungkin sistem tauliah boleh berfungsi.”

Amat jelas bahawa Dr Asri tidak memerlukan tauliah kerana sudah mendapat pengajian rasmi dan pakar.

Kita berharap sebagai pakar Dr Asri akan bercakap mengenai ‘kebenaran’ bukan dikaitkan kepada kepentingan kuasa dan politik selepas ini.

Juga, apabila menyertai politik Dr Asri perlu bersedia untuk bersaing dengan mereka yang tidak memerlukan tauliah seperti beliau dalam PAS yang juga mahu menyebarkan Islam.

Persaingan dan pertelingkahan pendapat bukan sahaja berlaku di luar parti politik tetapi dalam PAS pun ada kelompok dan piuak-puak bekepentingan sendiri, biarpun dalam Dewan Ulamak.

Dr Asri perlu menonjolkan dirinya untuk terus dihormati tetapi jika mencampur-adukkan falsafah dan pendiriannya dengan kepentingan kedudukan, politik dan kuasa, maka penghijrahan Dr Asri tidak banyak bezanya dengan penghijrahan pakar-pakar sebelum ini.

Ini kerana mereka kini sudah menjadi political animal dan apakah Dr Asri boleh bertahan untuk tidak menjadi seperti mereka?