Datuk
Seri Najib Razak dijangka didakwa minggu hadapan. Namun beliau terus membuat
kenyataan-kenyataan yang dilihat cuba mempertahankan dirinya.
Sejauh
ini penilaian terhadap rampasan wang tunai dan barangan mewah di kediaman yang dikaitkan dengannya dianggar RM900
juta hingga RM1.1 billion . Penilaian bukan
dibuat oleh polis tetapi oleh pakar.
Rakyat
setiap hari menilai dan media pula terus membicara dirinya. Apa untungnya bekas
Perdana Menteri ke-6 itu terus membuka
mulut mempertahankan diri di khalayak ramai?
Kenyataannya
ada yang lucu dan ada yang akan memakan diri jika beliau tidak berhenti segera.
Dakwaannya
bahawa barangan kemas yang didakwa diterimanya sebagai hadiah sekitar 20 tahun
lalu, jauh lebih rendah banyak timbulkan tanda tanya.
Kelmarin Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh
berkata nilai rampasan itu dianggarkan mengikut harga pasaran.
Kenyataan
Najib bahawa polis tidak sepatutnya
meninggalkan sesetengah fakta berhubung rampasan barangan kemas dan
jam tangan dari premis yang dikaitkan dengan dirinya kelihatan janggal.
Mengatakan
barangan ada diberikan oleh seorang
menteri dalam negeri, yang juga seorang putera dari sebuah negara di Asia
Barat, yang melawat Malaysia pada Mac tahun ini perlulah dibuktikan di
mahkamah, bukan di khalayak.
(Dilaporkan
pada 15 Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Saudi Putera Abdulaziz Saud Al-Saud
mengunjung Najib di pejabatnya di bangunan Parlimen).
Kenyataan
Najib bahawa Low Thaek Jho mempunyai hubungan strategik (dengan kepimpinan
beberapa kerabat diraja di Asia Barat) yang mungkin memberi faedah kepada
Malaysia menjelaskan lagi bahawa Najib
menggunakan Jho Low untuk tujuan – peribadi atau perniagaan.
Kata-kata
Najib bahawa Jho Low ada hubungan istimewa dengan kepimpinan Raja Arab Saudi - Raja Abdullah - dan kerabatnya serta juga
istana beberapa negara terutamanya di UAE tidak bermakna apa-apa sebaliknya
menunjukkan bahawa Jho Low banyak mempengaruhi Najib, walaupun kedudukannya
sebagai Perdana Menteri.
Bagaimana
seorang yang begitu muda boleh mempengaruhi seseorang yang berkedudukan tinggi
seperti Najib?
Najib
mengakui dalam temubual dengan Malaysiakini baru-baru ini bahawa Jho Low
mempunyai peranan yang besar dalam 1MDB, dan menganggap hubungan itu mampu
memberi nilai kepada Malaysia.
Kenyataan
itu hanya menguatkan kepercayaan rakyat dan pendakwa bahawa memang Najib mempunyai
hubungan rapat dan istimewa dengan jutawan Pulau Pinang itu.
Tidak
perlulah Najib membela Jho Low kerana yang penting Najib membela dirinya
sendiri atau kaum keluarganya.
Tidak
penting lagi sama ada sebelum 1Malaysia Development Berhad,(1MDB) wujud, Jho
Low sudah mengawal tiga syarikat tersenarai di Malaysia dan mempunyai pelaburan
dalam projek Iskandar Johor dengan dana dikatakan dari Asia Barat atau tidak.
Sifat
dan sikap kagum Najib dengan Jho Low yang didakwa menjadi dalang skandal 1MDB akan menyusahkan Najib bukan
membantunya.
Najib
perlu ingat bahawa walaupun mengatakan nilai semua barangan kemas yang dirampas
polis adalah subjektif dan tidak realistik, ia tidak bermakna apa-apa kerana
dibuat di luar mahkamah.
Malah
kenyataan mengatakan beliau tidak sedar koleksi barangan kemas dan barang-barang
lain menyeluruh milik isterinya dan menyatakan bahawa dirinya seperti
suami-suami yang lain, memudahkan tugas polifs untuk menyoal isterinya, Rosmah Mansor.
Tidakkah
Najib sebelum ini menasihati atau mengingatkan Rosmah bahawa mengambil pemberian dan hadiah
mahal akan menysuahkan diri mereka kelak?
Tidakkah
ini Najib membuka jalan untuk menyusahkan.isterinya yang kini turut termasuk
dalam senarai mereka yang akan disiasat mulai minggu depan?
Kenyataannya
bahawa tidak masuk akal jika beliau memberi kebenaran agar dana awam digunakan
bagi membeli barang kemas, berlian, kapal layar, karya seni serta membiayai
filem Hollywood, juga tidak bermakna apa-apa.
Pada bulan Jun 2017, Jabatan Kehakiman AS (DOJ) memfailkan saman untuk merampas aset AS $ 540
juta, termasuk kapal layar Equanimity dan hak untuk filem Dumb and Dumber, yang
dihasilkan oleh Red Granite, sebuah syarikat produksi yang dimiliki oleh anak
tiri Najib, Riza Aziz.
Pada Ogos 2017 pula, DOJ meminta penangguhan saman sivilnya bagi
merampas aset lebih AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan dana dicuri
daripada 1MDB kerana ia sedang menjalankan siasatan jenayah berkaitan.
Antara aset dikehendaki ialah sebuah kapal layar mewah
bernilai AS$250 juta yang dibeli pembiaya Malaysia, Low Taek Jho, yang
dinamakan sebagai orang penting dalam saman AS itu.
Menurut saman itu, Jho
Low menggunakan wang diseleweng daripada 1MDB untuk membeli Equanimity, kapal
layar sepanjang 300 kaki (91m) yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.
Kenyataannya
bahawa beliau tidak bersetuju dengan
semua perkara ini dan bukan sebahagian daripada semua itu - hanya mahkamah akan
membuktikannya!
Mereka
yang dikaitkan dengan pembelian itu bukan sahaja akan didakwa di negara ini
tetapi sudah disiasat oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan beberapa negera
lain.
Tidakkan
antara mereka ini rapat dengan Najib?
Tidakkah
Najib melihat bagaimana beberapa individu penting sudah menjauhkan diri
daripada Jho Low dan anak tirinya – Reza Azia - seperti pelakon dan model yang menyerahkan balik
hadiah yang diberikan kepada mereka?
Pertengahan Jun 2017, pelakon, Leonardo DiCaprio menyerahkan
trofi Oscar dimenangi Marlon Brando kepada pihak berkuasa AS yang menyiasat
dakwaan pengubahan wang dikaitkan dengan dana 1MDB.
Selain trofi diberikan kepadanya sebagai hadiah oleh Red
Granite - tanda terima kasih kepada DiCaprio untuk kerjanya dalam ‘The Wolf of
Wall Street’ - turut memulangkan barang lain tidak dikenali yang diberikan
kepadanya sebagai hadiah untuk lelongan amal dan berasal daripada orang
dikaitkan dengan dana 1MDB.
Julai 2016, Jabatan Kehakiman AS (DoJ) melalui saman
sivilnya menuduh syarikat penerbitan Hollywood, Red Granite menggunakan AS$100
juta daripada dana 1MDB untuk membiayai filem “The Wolf of Wall Street” yang
dibintangi DiCaprio pada 2013.
Model dan pelakon Australia, Miranda Kerr menyerahkan
barang kemas berjuta dolar yang menurut pihak berkuasa AS diberikan Low
kepadanya, termasuk 1 set barang kemas yang diberikan kepadanya dalam satu
pelayaran di atas Equanimity pada 2014.
Kenyataan
Najib juga mamakan diri dan memalukan dirinya, khususnya mengenai hadiah mahal
yang diterimanya yang cuba dikaitkan dengan isteri bekas Presiden Amerika
Syarikat - kononnya turut terima hadiah
Najib
mendakwa Michelle Obama menerima hadiah bernilai jutaan dollar daripada Raja
Saudi Abdullah Abdulaziz Al Saud ketika suaminya Barack Obama bergelar presiden.
Pada
2009, Michelle menerima set perhiasan berlian dan batu delima bernilai
AS$132,000 (RM533,940) daripada Abdullah Abd Al Aziz tetapi Michelle tidak
menyimpan barangan perhiasan mewah tersebut di almari rumah atau dalam kotak di
bawah katilnya. Ia diserahkan kepada Arkib Luar Negara AS.
Di
AS tidak seperti Najib, presiden atau isteri yang menerima hadiah daripada
orang kenamaan dari luar negara, mereka akan menyerahkan hadiah-hadiah itu
kepada Unit Jabatan Protokol Hadiah selain dicatatkan rekod hadiah tersebut.
Obama
pernah menerima hadiah paling mahal pada tahun lalu iaitu pada arca kumpulan
Bedouin yang dinamakan "The Small Caravan" daripada Raja Salman
Abdulaziz Al Saudi serta pembuka surat rona perak dengan pemegang Falcon dan
pen Chopard yang dianggarkan bernilai AS$56,720 (RM229,432) tetapi tidak
menjadikannya ia milik peribadi.
Najib wajar tutup mulut segera dan menjelaskan semua perkara yang tercatat dalam hatinya di mahkamah daripada membuat kenyataan yang mendedahkan kelemahan diri dan membiarkan media membicarakan dirinya.
Perdana
Menteri Tun Dr Mahatir Mohamad kelmarin berkata pihak berkuasa kini sedang
menyiasat dan mengumpulkan bukti yang kukuh berkaitan penyelewengan dana 1MDB serta
kes berkaitan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada Oktober
2006 untuk mendakwa Najib.
Harap
Najib segera tutup mulut dan bersedia berdepan dengan tuduhan-tuduhan
terhadapnya.