Wednesday, May 25, 2016

MENTERI RUSSIA ‘GOYANG POKOK’, NAJIB JADI MANGSA SERANGAN...


Pepatah Melayu ada menyebut ‘tiada angin tak kan pohon nak bergoyang’.

Itu mungkin betul dalam beberapa perkara. Namun, ‘tanpa angin pun pokok boleh bergoyang kalau digoncang’. Gajah selalu buat kerja macam ini, malah monyet dank era pun pandai buat kerja semacam ini!!!

‘Pokok bergoyang’ ini berlaku di negara ini apabila Menteri Tenaga Russia, Alexander Novak (gambar atas) pandai-pandai jer buat hal. Sudah kecoh satu Malaysia.

Sudahlah negara ini kecoh mengenai isu  1Malaysia Development Berhad (1MDB), ini ditambah pula dengan kenyataan Novak bahawa  firma Russia, Zarubezhneft berminat dengan aset-aset Petronas.


“Zarubezhneft menunjukkan minat dalam mengkaji aset-aset Petronas. Pihak-pihak sedang mengadakan perundingan mengenainya," Novak dilaporkan berkata 20 Mei lalu.

Masalah yang timbul kini ialah ada tuduhan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak kini bersedia pula menggadai atau menjual asset negara.

Tuduhan ini berat kerana membabitkan harta negara dan kepentingan anak cucu kita pada masa hadapan.

Tidak pasal-pasal Novak menambahkan tekanan terhadap Najib akibat berita yang diviralkan melalui pelbagai saluran media baru.


Sudah pasti media arus perdana, termasuk akhbar dan tv milik kerajaan dan yang ada kaitan dengan kerajaan tidak melapor mengenainya. Malah menafikan awal-awal jauh sama sekali.

Malah ahli politik pun ramai mengatakan mengenainya, termasuk dari Sabah dan Sarawak (baca di sini dan di sini).

Semalam, Malaysiakini turut melaporkan isu ini dengan tajuk “Firma minyak Russia mungkin beli aset Petronas”. Malaysiakini sebut ‘mungkin’ sahaja.

Hari ini Petroliam Nasional Bhd (Petronas) terpaksa menafikan  wujudnya perbincangan untuk jual aset kepada Rusia.

Firma itu menolak laporan bahawa ia  sedang melakukan perundingan dengan syarikat dalam industri yang sama dari Russia, Zarubezhneft untuk menjual aset-asetnya.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini, syarikat itu berkata, “Petronas merujuk kepada beberapa laporan media baru-baru ini yang berpunca dari Russia mengenai rundingan penjualan 'aset-aset' dan 'kepentingan' tertentunya.

“Kami ingin menjelaskan bahawa Petronas tidak pernah, dan pada masa ini tidak, berbincang dengan mana-mana pihak di Rusia untuk tujuan seperti yang disebut di atas.”

Novak dilaporkan agensi berita Russia, Tass, pada Jumaat lalu, sebagai berkata: “Zarubezhneft menunjukkan minat dalam mengkaji aset-aset Petronas. Pihak-pihak sedang mengadakan perundingan mengenainya.”

Perbincangan dengan siapa? Kalau bukan dengan Petronas, dengan pihak mana?

Ini nak kena tanya Novak macam tanya Menteri Luar Arab Saudi atau Menteri Pelancongan Arab Saudi mengenai derma RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib.

Tak boleh jadi kalau dibiarkan begitu sahaja. Novak perlu perjelaskan dengan siapa dia berunding?

Jawapan mesti jelas. Apakah ada aset negara melalui Petronas yang mahu digadai atau dijual?

Tuduhan bahawa Perdana Menteri terbabit kerana kebetulan Najib berada di negara Russia itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Rusia dua hari di Sochi 20 Mei lalu, tidak adil!

Tuduhan itu mungkin ada kaitan dengan kedudukan Petronas kini bahawa keuntungan sebelum cukainya menurun sebanyak 53 peratus kepada RM36 bilion bagi tahun berakhir 31 Dis, 2015.

Selain itu syarikat negara itu juga pada Mac lalu berkata ia akan mengurangkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan dalam usaha untuk mengurangkan kosnya di tengah-tengah kejatuhan harga minyak mentah dunia.
  
Menurut Novak, Zarubezhneft kini sedang meninjau peluang untuk menjalankan projek-projek Malaysia. Menurutnya,  Zarubezhneft mempunyai banyak pengalaman untuk meningkatkan keberkesanan dalam lapangan semasa dan menawarkan perkhidmatan serta penyertaannya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan Chua Tee Yong tidak tahu menahu berkaitan minat syarikat Russia Zarubezhneft untuk membeli aset Petronas.

Katanya, soalan berkaitan sepatutnya ditanya langsung kepada Petronas.

“Saya betul-betul tidak tahu berkaitan perkara ini,” kata Chua yang juga anggota parlimen Labis.

Menurutnya, ia mungkin perbincangan yang sedang berjalan. “Kita tidak tahu dengan terperinci. Mungkin juga tiada jualan sama sekali. Saya tidak fikir kita patut buat spekulasi,” katanya.

Berbalik kepada pepatah Melayu tadi, bagaimana Novak boleh berani berkata demikian?

Apakah ini hanya kerana minat Russia atau lebih khusus Zarubezhneft semata-mata tanpa pengetahuan Petronas sama sekali.

Cuma peliknya, Novak turut mengatakan berikut:

“The minister also announced that several Russian companies, including Rosatom and Zarubezhneft have plans to participate in industry-specific projects in Malaysia, while Gazprom has already established cooperation with this country.”
 
Ini bermakna bukan Zarubezhneft sahaja tetapi juga Rosatom, malah Gazprom sudah menjalinkan kerjasama dengan Malaysia. Bukan sekadar dan industri minyak dan gas tetapi juga sektor lain.

Akhirnya, "pokok oh pokok, kenapa engkau goyang?”