Saturday, August 11, 2012

ANTALTUYA - KOMPLOT FITNAH NAJIB DIRANCANG R SIVARASA?


 "Anwar telah mengarahkan seorang tauke Cina membayar kepada Balasubramaniam sebanyak RM20,000 sebulan bagi memastikan penyiasat persendirian tersebut terus menyokong pembangkang....langkah itu diambil selepas Balasubramaniam dikatakan sedang melakukan rundingan rahsia bagi membolehkan beliau mendapat bayaran RM5 juta menyebabkan Anwar bimbang jika penyiasat persendirian tersebut membongkar rahsia mereka." - Raja Petra Kamaruddin

Akuan bersumpah penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu didakwa dirancang pihak tertentu termasuk beberapa pemimpin pembangkang.

Perkara itu didedahkan pengendali portal propembangkang, Raja Petra Kamaruddin selepas beliau mendedahkan peranan seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa bersama seorang peguam di sebalik akuan bersumpah tersebut bagi memfitnah Najib.

Dalam pendedahan di portal malaysia-today.net itu beliau turut menyebut pembabitan beberapa pemimpin pembangkang dan peguam yang terlibat dalam merancang untuk menghasilkan akuan bersumpah berkenaan termasuk M. Puravalen yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan.

Raja Petra mengakui semua kenyataan yang dibuat Balasubramaniam pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR memang telah dirancang lebih awal agar penyiasat persendirian itu tidak tersalah cakap.

Pada masa sama Raja Petra mengakui Balasubramaniam dibayar untuk membuat akuan bersumpah tersebut dan dakwa beliau, perkara itu memang diketahui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya bertemu Balasubramaniam 2 Julai 2008 iaitu sehari selepas beliau membuat akuan bersumpah. Pertemuan itu berlaku selepas saya dihubungi Sivarasa yang meminta saya pergi ke rumah seorang peguam bagi membincangkan kes pembunuhan Altantuya.

"Kami berbincang bagaimana perkara ini perlu ditangani dan apa yang Balasubramaniam perlu cakap semasa sidang akhbar yang akan dibuat keesokan hari di Ibu Pejabat PKR," dakwanya sebagaimana dipetik dari malaysia-today.net.

Pada 1 Julai 2008, Balasubramaniam mengejutkan negara apabila mengeluarkan akuan bersumpah mengaitkan Perdana Menteri dalam pembunuhan tersebut tetapi selang dua hari kemudian penyiasat persendirian itu membatalkan akuan bersumpah berkenaan.

Dalam pada itu, Raja Petra mendakwa Anwar telah mengarahkan seorang tauke Cina membayar kepada Balasubramaniam sebanyak RM20,000 sebulan bagi memastikan penyiasat persendirian tersebut terus menyokong pembangkang.

Katanya, langkah itu diambil selepas Balasubramaniam dikatakan sedang melakukan rundingan rahsia bagi membolehkan beliau mendapat bayaran RM5 juta menyebabkan Anwar bimbang jika penyiasat persendirian tersebut membongkar rahsia mereka.

Dalam pada itu, Sivarasa dan Balasubramaniam gagal dihubungi malam ini untuk mengesahkan dakwaan Raja Petra tersebut.

Utusan Malaysia