Thursday, September 24, 2015

JAMAL JANGAN AGRESIF MELULU DAN MEMALUKAN MELAYU!


Jangan berlebih-lebih Jamal! Jangan sampai Kerajaan pun mahu diugut.
Kuat sangatkah Baju Merah dan kuat sangatkah beliau?
Apakah UMNO atau pemimpinnya seperti Perdana Menteri akan menyokong dan melindungi Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos kerana ancaman dan kemungkinan tindakannya itu?
Pada perayaan Aidiladha ini, Jamal dan pengikutnya bermuhasabah dan fikirkan jalan yang diredhai Islam untuk melakukan sesuatu tindakan, bukan kerana amarah dan prejudis.
Semalam Jamal memberi amaran kemungkinan bakal berlaku "kekecohan lain" di Petaling Street jika tuntutan penunjuk perasaan 'baju merah' tidak dipenuhi hingga Jumaat ini.

"Jika pihak berkuasa tidak ambil tindakan, saya 99 peratus yakin bahawa satu lagi perhimpunan akan diadakan malah rusuhan juga akan berlaku di sana," katanya.
Lebih memalukan beliau membuat kenyataan itu kepada pemberita di Balai Polis Ampang Jaya semalam.
Dengan memberi kata dua kepada kerajaan (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menunjukkan beliau sudah tidak dapat mengawal emosi.
Lagipun, dengan membuat amaran untuk mengadakan himpunan baju merah ke kawasan perniagaan Jalan Petaling di ibu kota yang didominasi peniaga Cina, ia akan menyemarkkan lagi ‘ketegangan kaum’ yang sudah wujud diakibatkan perhimpunan Baju Kuning dan Baju Merah.
Dengan ikrarnya  akan turun ke Petaling Street  sekiranya Putrajaya tidak bertindak terhadap perniagaan di situ yang didakwa menjual barangan tiruan ada sesuatu yang boleh menimbulkan kebencian orang Cina terhadap orang Melayu.
"Kalau mereka tidak ambil tindakan sehingga Jumaat ini, kalau berlaku apa-apa kekecohan di sana, saya tidak akan bertanggungjawab. Mereka yang datang hari itu kata (akan ada) dalam 5,000 orang.
"Saya harap persatuan peniaga dan peniaga-peniaga Petaling Street beri kerjasama sepenuhnya. Kita tidak mahu, insiden 916 (himpunan baju merah 16 September) lepas berulang sekali lagi," katanya tengahari semalam.

Jamal jangan bermain api.
Walaupun sudah bertemu ketua pengarah penguatkuasaan Kementerian berkenaan perkara itu dan memberi tempoh sehingga Jumaat ini bagi turun padang dan bertindak, Jamal boleh dituduh cuba mengganggu-gugat tugas pegawai awam.
Memang wajarlah jika Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Roslan Mahayuddin melahirkan rasa terkejutnya dengan kata dua Jamal kepada pihaknya.
"Apa ini, dia hendak mengugut kerajaan pula? Mana boleh begitu. Bukan begitu cara kami bekerja," kata Roslan mengakui ada bertemu Jamal namun enggan mengulas butiran perbincangan mereka.
"Kami turun atau tidak turun itu keputusan kami. Tidak semestinya kami ikut rentak dia. Kita ada strategi kami sendiri malahan Petaling Street dan beberapa tempat lain juga kami turun," katanya.
Roslan berkata, pada tahun 2015 KPDNKK sudah melakukan 18 kali serbuan dan pemeriksaan ke kawasan Jalan Petaling  sementara tahun 2014 sebanyak 24 kali.
Sampai masanya, UMNO memutuskan hubungan dengan NGO seperti ini kerana sebagai parti yang menjaga kepentingan Melayu dan Islam, UMNO tidak sewajarnya bertindak di luar batasan.

Cukup-cukuplah menunjukkan kekuatan seperti tunjuk perasaan dan berhimpun di jalan-jalan raya.
UMNO kukuh kerana perjuangannya yang sederhana dan tidak mengikut rentak radikal.

UMNO berjaya kerana memperjuangkan sesuatu dengan memujuk dan perundingan, bukan menunjuk-nunjuk kekuatan tenaga dan ancaman perkauman yang kelak akan menyebabkan sokongan bukan Melayu akan semakin merosot.

Beringatlah, bukan semua bukan Melayu menentang Melayu dan bukan semua orang Melayu anti bukan Melayu!

Tindakan memaksa dan agresif akan hanya memalukan Melayu dan menjauhkan lagi bukan Melayu menyokong UMNO dan Barisan Nasional.