"Dakwaan itu (menjadi Menteri Besar) hanyalah spekulasi dan sudah diperkatakan sejak 2008 lagi..Saya selalunya bertemu dengan Tan Sri Khalid seminggu sekali, sama ada di pejabatnya, atau di rumah Menteri Besar, untuk perbincangan mengenai kedudukan Pakatan Rakyat dan perkara umum mengenai Selangor."
- Datuk Seri Anwar Ibrahim
Anwar tidak mungkin mahu menjadi menteri besar Selangor kerana kedudukannya sekarang sebagai pemimpin nasional.
Adalah sesuatu yang mustahil Anwar akan ‘menurunkan pangkat’ beliau sendiri daripada kedudukannya sekarang sebagai Ketua Pembangkang dengan menjadi Menteri Besar Selangor.
Namun beberapa rakab blogger mengusik…apasalahnya jika menjadi Perdana Menteri dah malap, Menteri Besar pun Menteri Besarlah!
Menurut seorang penganalisis, James Chin, cerita 'kurang senang' mengenai PKR itu berkaitan dengan pemilihan parti itu April depan.
Namun Anwar kini dikaitkan dengan pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang itu walaupun beliau menafikan mahu menjadi Menteri Besar Selangor.
Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam berkata tidak wajar seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri atau ADUN meletakkan jawatan tanpa alasan yang kukuh.
Tidak tahulah kalau-kalau ia dilakukan kerana ada sebab tersendiri.
Pilihan raya adalah untuk memilih wakil kepada rakyat, bukan kerana mahu menolong rakan atau sebagainya.
Meletak jawatan bermakna PRK perlu diadakan dan pastinya membabitkan wang rakyat yang agak banyak.
Berikutan itu, jika dilakukan juga oleh seseorang ADUN, sewajarnya bukan sahaja ADUN berkenaan wajar ‘dicerca’ tetapi orang yang bertanding menggantikannya juga ‘patut dicerca’, apa lagi sekiranya PRK diadakan kerana ingin memberi ruang kepada rakan atau kawan dalam parti.
Menurut Dr Asri, “...pilihan raya kecil membabitkan wang rakyat yang agak banyak..kalau jadi tabiat wakil rakyat letak mudah-mudah maka banyaklah wang rakyat dibazirkan. “...kalau ada alasan kukuh seperti kesihatan bolehlah diterima tapi kalau sekadar nak beri ruang kawan-kawan maka itu satu pembaziran.. kenapa yang sepatutnya tidak bertanding dari awal?,” katanya yang dipetik menerusi laman Facebooknya.
Media semalam melaporkan Adun Kajang dari PKR, Lee Chin Cheh telah meletakkan jawatan sebagai ADUN di kerusi itu.
Peletakan jawatan Chin Cheh sebagai anggota ADUN Kajang membuka persoalan sama ada tempat itu akan ditandingi oleh Ketua Umum PKR itu.
Anwar semalam menafikan beliau akan mengambil alih tempat Khalid sebagai Menteri Besar Selangor, seperti yang didakwa sebuah portal berita.
Anwar berkata, dakwaan itu hanyalah spekulasi dan sudah diperkatakan sejak 2008 lagi.
Menjawab soalan media mengenai pertemuannya dengan Khalid malam minggu lalu, Anwar menjelaskan, beliau sering mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu, bukan pada malam Ahad lalu sahaja.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail turut menafikan bahawa Anwar akan menggantikan tempat Abdul Khalid.
“Abdul Khalid akan tetap meneruskan tugasnya sebagai menteri besar,” kata Saifuddin.
Perletakan jawatan itu diumumkan speaker DUN Selangor Hannah Yeoh petang ini dan akan dimaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok (hari ini).
Yeoh berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan semalam.
Berhubung sebab peletakan jawatan itu, Yeoh berkata perkara itu harus diajukan kepada Lee sendiri. Undang-undang menetapkan pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Yeoh yang juga ADUN DAP bagi kawasan Subang Jaya jari ini turut ditanya berhubung kemungkinan calon untuk kawasan itu.
“Saya tidak mahu cakap perihal calon dan saya tidak mahu mengulas khabar angin. Agak awal untuk membuat spekulasi. Sehingga hari ini kerusi ini kosong. Itu sahaja,” katanya.
Yeoh juga berkata, oleh kerana ia kerusi PKR, parti itu yang akan mengumumkannya. Bagaimanapun, cara yang dipilih oleh PKR itu masih memerlukan persetujuan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat.
Pada pilihan raya umum lalu, Lee sebagai calon PKR menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, BERJASA dan tiga calon bebas.
Kawasan itu mempunyai 38,965 pengundi dengan 48 peratus Melayu, 41 peratus Cina dan India sebanyak 10 peratus.
Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad pula berkata, walaupun hanya mengetahui pengunduran itu melalui media, beliau difahamkan bahawa PKR akan meminta Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berundur dan Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil.
“Saya hanya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution kelmarin bahawa PKR akan meminta Tan Sri Khalid berundur dan Anwar akan bertanding pada satu pilihan raya kecil,” katanya
Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan atau persetujuan dibuat untuk menggantikan menteri besar Selangor dibuat.
“Tidak pernah dibincangkan,” katanya menjawab soalanMalaysiakini. Khalid memberikan pendapatnya bahawa pelantikan menteri besar di negeri itu perlu mendapat konsensus daripada tiga komponen parti dalam Pakatan Rakyat seterusnya mendapat perkenan sultan.
"Tak ada. Proses pelantikan MB perlu mendapat konsensus ketiga-tiga parti (dalam Pakatan Rakyat). Calon menteri besar dipilih dan dipersetujui ketiga-tiga parti.
"Mereka juga akan memberitahu kepada Tuanku Sultan dan perkenan Sultan. Jadi banyak tatacaranya," katanya bagi menjawab soalan pemberita di Kuala Lumpur semalam. Beliau ditanya sama ada peletakan jawatan ADUN Kajang itu sebagai usaha menyingkirkan beliau sebagai menteri besar.
Ditanya sama ada ura-ura Anwar bertanding di DUN Kajang dalam pilihan raya kecil dan menggantikan beliau, Khalid berkata: "Kita belum ada perbincangan lagi (mengenainya).
Perkara itu akan ditentukan oleh biro politik (PKR)," katanya sambil menjelaskan bahawa beliau "tidak terkejut" dengan usaha menggantikannya kerana sebelum ini ada "ura-ura" mengenainya.
Ditanya sama ada beliau bersetuju untuk melepaskan jawatan sekiranya PAS dan DAP bersetuju beliau berbuat demikian, Khalid berkata: "Ia boleh dilakukan dengan ketiga-tiga parti duduk bersama.
Kena ada perbincangan. Tapi sekarang tidak ada lagi".
Spekulasi itu timbul ekoran laporan The Star Online bahawa Anwar akan menggantikan Khalid sebagai menteri besar.
Portal itu melaporkan bahawa Khalid bersetuju melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada ketua pembangkang Dewan Rakyat itu.
Susulan perletakan jawatan Chin Cheh dari PKR sebagai Adun Kajang, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyatakan pihaknya tidak akan terburu-buru untuk mengambil sebarang tindakan susulan berhubung perkara itu.
Menurutnya, Adun tersebut mungkin akan berubah fikiran dalam hal tersebut (peletakan jawatan), namun pun begitu pihaknya tetap menunggu surat tersebut daripada Speaker Selangor, Hannah Yeoh.
“Tidak boleh terburu-buru, dia (Adun) tersebut mungkin merubah fikirannya malam ini. “…namupun begitu kita akan tetap menunggu surat peletakan tersebut…. baru kita akan buat tindakan lanjut. “…kita tengok surat itu, dan baru kita akan rujuk kepada Pegawai Undang-Undang SPR, untuk buat keputusan” katanya kepada Sinar Harian Online semalam.
Antara nama lain yang dipercayai bakal bertanding selain Anwar adalah Ahli Parlimen Pandan penggal pertama Rafizi Ramli.