Tuesday, July 20, 2010

PAS SANGGUP 'MELACUR' DEMI DAP

Aiii...Tok Guru kena pulas tangan kat Karpal ke?

Saya sangat tertarik dengan ulasan Kickdefella mengenai kedudukan PAS yang disifatkan oleh beliau amat tertekan. Ia bagaikan amaran beliau kepada PAS!

Apa yang dilihat olehnya sebagai tertekan? Ia berlandaskan kepada kenyataan Ahli Parlimen PAS Jerai, Mohd Firdaus Jaafar dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bertentangan di antara satu sama lain.

Kenyataan itu berkaitan sasaran untuk merebut kerusi Parlimen bagi menjadikan PAS sebagai sebuah parti dominan.

Firdaus menyatakan PAS mensasarkan 60 kerusi Parlimen, supaya ia akan muncul sebagai Parti yang dominan di dalam Pakatan Rakyat. Lebih dari itu, PAS akan muncul sebagai Parti Politik teras orang-orang Melayu.

Pada pandangan Kickdefella, pada ketika memperolehi 55 peratus undi Melayu pun PAS hanya mendapat 27 kerusi Parlimen. Malah, berdasarkan rumusan daripada keseluruhan pilihanraya kecil yang telah PAS lalui, undi Melayu terhadap PAS telah mencatatkan kemerosotan.

Selain itu, ulasan Kickdefella juga mengatakan berasaskan undi bukan Melayu terhadap PAS telah meningkat dengan mendadak dan di dalam PRU Bukit Gantang (ada pihak di dalam PAS mengakui PAS menerima hampir 84 peratus undi Cina), PAS mensasarkan untuk memperolehi 60 kerusi Parlimen dengan melacurkan PAS kepada pengundi bukan Melayu.

Kata Kickdefella, 'Melacurkan’ adalah suatu perkataan yang keras buat sebuah Parti Islam.

Tetapi itulah hakikatnya yang cuba dibuat oleh segelintir pimpinan di dalam PAS dan itulah sebabnya sebahagian besar ulama di dalam PAS berasa tidak selesa dan mahukan PAS bersatu dengan UMNO.”

Kickdefella mendedahkan sebahagian besar ulamak di dalam PAS mempertikaikan konsesi yang terlalu banyak diberikan kepada DAP ini. “
Mengapa mereka harus bersama DAP dan berkorban begitu banyak, jika mereka ada pilihan untuk bersama UMNO dan menekankan perlaksanaan apa yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengangkat Islam sebagai Agama Persekutuan?
tanya beliau.

Berikutan itu Kickdefella mencadangkan:
Di dalam kata lain, kalau PAS sanggup gugurkan tuntutan menubuhkan Negara Islam kerana DAP, mengapa tidak boleh PAS terus berjuang ke arah menubuhkan Negara Islam dengan UMNO? Negara Islam yang progresif. Asalkan bukan Islam ala Taliban, sudah pasti UMNO juga mahu menuju ke arah itu.”

Untuk lebih jelas baca ulasan Kickdefella berikut (saya mohon maaf kepada Kickdefella kerana memetik tanpa menghubungi beliau terlebih dahulu).


Tergamakkah PAS Anjakkan Lagi Pintu Gol Mereka?

15 07 2010

Saya membaca dua berita yang diterbitkan di HarakahDaily dengan penuh minat dan penuh insaf. Berita pertama berbunyi, Sasaran 60 Kerusi Parlimen Cerah dan berita keduanya bertajuk, Retreat Sahkan Sokongan Melayu Kekal Kepada PAS.

Berita pertama memetik kenyataan Ahli Parlimen PAS Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.
Antara kandungannya ialah berhubung sasaran PAS untuk
merampas 37 kerusi Parlimen daripada UMNO pada Pilihanraya Umum ke 13, selain mempertahankan 23 kerusi yang sedia ada.

“Sasaran kita yang sebenar adalah 60 Parlimen ke Putrajaya, janganlah main isu lain,” kata Mohd Firdaus yang juga Pangarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Pusat.

Di dalam berita kedua pula, memetik kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena yang rumusannya menegaskan undi teras Melayu terhadap PAS tidak merosot seperti di dakwa oleh sesetengah pihak.

“Pada PRU 1995 undi Melayu kepada PAS sekitar 38 hingga 40 peratus, 1999 kita mendapat lonjakan 55 peratus ekoran isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet,” Harakahdaily memetik Mahfuz sebagai berkata demikian.

Kemudian Mahfuz dilaporkan menambah, “Pada PRU 2008, sokongan Melayu terhadap PAS antara 42 hingga 46 peratus.”

Di dalam laporan HarakahDaily turut tertulis berikut, ‘Mengulas lanjut Mahfuz berkata, PAS memperoleh 45 peratus sokongan Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gantang sewaktu Datuk Seri Mohammad Nizar menjadi calon.’

Saya gabungkan kedua-dua berita ini sebagai kononnya maklumat yang keluar daripada hasil pemukiman PAS di Port Dickson baru-baru ini.
Saya melihatnya sebagai tanda PAS sedang dalam satu keadaan yang tertekan. Kenyataan Firdaus dan Mahfuz bertentangan diantara satu sama lain.

Firdaus menyatakan PAS mensasarkan 60 kerusi Parlimen, supaya ia akan muncul sebagai Parti yang dominan di dalam Pakatan Rakyat. Lebih dari itu, PAS akan muncul sebagai Parti Politik teras orang-orang Melayu.

Apakah Mohd Firdaus sedar kenyataan yang dibuat oleh Mahfuz? Biar saya jawab kenyataan Mohd Firdaus berdasarkan hujah Mahfuz:

1. Kata Mahfuz, di dalam PRU 1995, PAS mendapat sekitar 38 hingga 40% undi Melayu. Itu diterjemahkan dalam Pilihanraya Parlimen bagi PAS di dalam PRU 1995 ialah PAS memenangi sebanyak 7 kerusi atau 3.8% dari jumlah keseluruhan kerusi yang dipertandingkan. Kerusi itu ialah 6 di Kelantan dan 1 di Kedah. Harus di ingat, kesemuanya di menangi hasil gabungan dengan Parti Melayu Semangat 46 di dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

2. Kata Mahfuz, pada PRU 1999, PAS memperolehi 55 peratus undi Melayu disebabkan faktor Anwar Ibrahim. Itu diterjemahkan dalam PRU 1999 dengan melihat PAS mendapat sejumlah 27 kerusi Parlimen atau 13.99 peratus dari kerusi di pertandingkan. PAS menang 8 kerusi di Kedah, 10 kerusi di Kelantan, 7 di Terengganu dan 2 di Perak. Ketika ini PAS bergabung di bawah platform longgar Barisan Alternatif.

3. Kata Mahfuz, dalam PRU 2008 PAS mendapat 42 hingga 46 peratus undi Melayu. Itu diterjemahkan didalam PRU 12 sebagai PAS memperolehi 23 kerusi Parlimen atau sebanyak 10.36 peratus kerusi yang dipertandingkan.

4. Kata Mahfuz dalam Pilihanraya Kecil Bukit Gantang, PAS memperolehi 45 peratus undi Melayu. Jadi adakah bersandarkan kepada 45 peratus undi Melayu ini Mohd Firdaus merasakan PAS boleh menang 60 kerusi Parlimen? Sedangkan ketika memperolehi 55 peratus undi Melayu pun PAS hanya mendapat 27 kerusi Parlimen?

5.Sebenarnya, walaupun Mahfuz cuba berkias, tetapi hakikat semasa berdasarkan rumusan daripada keseluruhan pilihanraya kecil yang telah kita lalui, undi Melayu terhadap PAS telah mencatatkan kemerosotan.

Apa yang Mahfuz dan Mohd Firdaus tidak jelaskan di dalam kedua-dua berita itu ialah undi bukan Melayu terhadap PAS telah meningkat dengan mendadak dan di dalam PRU Bukit Gantang, ada pihak di dalam PAS mengakui PAS menerima hampir 84 peratus undi Cina.

Sebenarnya PAS mensasarkan untuk memperolehi 60 kerusi Parlimen dengan melacurkan PAS kepada pengundi bukan Melayu.

‘Melacurkan’ adalah suatu perkataan yang keras buat sebuah Parti Islam. Tetapi itulah hakikatnya yang cuba dibuat oleh segelintir pimpinan di dalam PAS dan itulah sebabnya sebahagian besar ulama di dalam PAS berasa tidak selesa dan mahukan PAS bersatu dengan UMNO.

Mengapa saya memilih perkatan melacur?

Jika dilihat perhubungan PAS dengan DAP dan dirujuk segala insiden yang berlaku ternyata DAP adalah sebuah Parti yang teguh dan seincipun tidak berganjak ideologi mereka di dalam perhubungan mereka dengan PAS.

DAP menolak Penubuhan Negara Islam kerana menurut Karpal, ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Di atas dasar itu, pada tahun 1990, ketika DAP bersama Parti Melayu Semangat 46 dan PBS di dalam Gagasan Rakyat, Karpal berkata, “Langkah mayat saya dulu…”

Dan tiga minggu lepas, Karpal sekali lagi berkata, “Langkah mayat saya dulu…”

Tetapi PAS yang sejak awal penubuhannya mahu menubuhkan Negara Islam hari ini sudah menggugurkan cadangannya itu. Bukan kerana mereka tidak berani untuk melangkah mayat Karpal Singh, tetapi kerana mereka melihat menggugurkan cadangan menubuhkan Negara Islam adalah lebih baik untuk masa depan mereka untuk memenangi undi pemilih Cina.

Sebahagian besar Ulamak di dalam PAS mempertikaikan konsesi yang terlalu banyak diberikan kepada DAP ini. Mengapa mereka harus bersama DAP dan berkorban begitu banyak, jika mereka ada pilihan untuk bersama UMNO dan menekankan perlaksanaan apa yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengangkat Islam sebagai Agama Persekutuan.

Di dalam kata lain, kalau PAS sanggup gugurkan tuntutan menubuhkan Negara Islam kerana DAP, mengapa tidak boleh PAS terus berjuang ke arah menubuhkan Negara Islam dengan UMNO? Negara Islam yang progresif. Asalkan bukan Islam ala Taliban, sudah pasti UMNO juga mahu menuju ke arah itu.

Lihat turutan konsesi yang terpaksa di buat oleh PAS menerusi kenyataan – kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS sendiri.

“Orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir atau haram.” Hukum Dewan Ulama PAS Kelantan, Ogos 1993.

“Jika ada parti lain yang menentang kepimpinan PAS yang menjalankan pemerintahan cara Islam, ia adalah haram.” Harakah, 23 April 1994.

“Menentang PAS adalah haram mengikut Al Quran.” Berita Minggu, 24 April 1994.

Begitulah tegasnya Nik Aziz dan begitulah juga tegasnya pimpinan-pimpinan PAS lain di dalam menentang kerjasama dengan Parti-Parti Politik Bukan Islam.

Bahkan, kita tentu masih ingat laungan di tahun-tahun lapan puluhan dan awal sembilan puluhan bahawa, PAS menentang UMNO bukan sebab namanya UMNO, tetapi sebab UMNO itu kafir, Perlembagaan UMNO adalah kafir dan UMNO berkerjasama dengan Parti-Parti Politik Kafir.

Di atas ketegasan PAS pada waktu itu jugalah, PAS tidak boleh bergabung di bawah Gagasan Rakyat di dalam pilihanraya 1990. Sebaliknya terpaksa ditubuhkan sebuah platform lain, bernama Angkatan Perpaduan Ummah untuk PAS bergabung dengan Semangat 46.

Di dalam kempen pilihanraya 1990 itu jugalah, Karpal Singh telah mengeluarkan kata-kata keramat, “… langkah mayat saya dulu.”

Tetapi bermula dengan pemecatan Anwar Ibrahim dari UMNO dan melihat kepada peluang yang ada bagi PAS untuk menunggang arus perubahan politik tempatan akibat insiden itu, PAS mula mengendurkan layarnya dalam pelayaran ke arah penubuhan sebuah Negara Islam.

Renungi kenyataan-kenyataan Nik Aziz berikut, “Kita bersyukur dengan pendirian DAP sekarang, kerana mereka sudah berubah sikap dan sanggup bekerjasama dengan PAS, asalkan tidak mendirikan Negara Islam.” Berita Harian, 12 Mei 1999.

DAP yang berubah sikap atau PAS? Bukankah Nik Aziz mengakui bahawa ‘asalkan PAS tidak mendirikan Negara Islam’ sebagai alasan kesanggupan DAP.

Lebih sepuluh tahun selepas kenyataan Nik Aziz di atas, Karpal masih berpegang kepada kenyataannya pada tahun 1990, “… langkah mayat saya dulu”.

Berikut adalah di antara kenyataan Karpal Singh seperti yang diterjemahkan dari berita yang dilaporkan oleh The Malaysian Insider pada 28 Jun 2010.

Adalah mustahil bagi DAP untuk berkompromi dalam soal itu (Penubuhan Negara Islam). Kita tidak boleh kompromi untuk menjadikan Negara ini Negara Islam (sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan Persekutuan.)”

“Di dalam tahun 1990, semasa ceramah di Sungai Pinang, akhbar telah memetik saya sebagai berkata, “Islamic state over my dead body.”

“Mereka (wartawan) tidak melaporkan konteks kenyataan saya itu. (Konteks) Kenyataan saya adalah berdasarkan Perlembagaan. Tetapi pendirian saya waktu itu, sama seperti pendirian saya sekarang.”

Salahudin Ayub cuba membodohkan dirinya dengan mengatakan bahawa kenyataan Karpal itu adalah kenyataan peribadi.

Utusan Malaysia yang menghubungi Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS melaporkan pada 3 Julai 2010 kata-kata Salahudin seperti berikut, “Ia adalah pandangan peribadi Karpal. Tidak semestinya apa yang keluar dari mulut beliau akan menjadi pandangan rasmi pembangkang.”

Satu-satunya pandangan peribadi Karpal hanyalah ungkapan ‘langkah mayat saya dulu.’ Tetapi jelas dari terjemahan di atas, penolakan penubuhan Negara Islam adalah pendirian rasmi DAP.

Jadi atas sebab pendirian tegas DAP yang tidak berubah itulah, PAS dipaksa untuk terus kendurkan lagi layarnya ke arah penubuhan Negara Islam sehingga akhirnya, layar itu dilipat dan disimpan.

Utusan Malaysia melaporkan pada 4 Ogos 2001 kenyataan Nik Aziz seperti berikut,
“Bukan sahaja dalam manifesto PAS, dalam Perlembagaan PAS sendiri memang tidak mengandungi satu perkataan pun untuk menubuhkan sebuah Negara Islam.”

Akhir sekali, PAS dipaksa melacurkan dirinya ke tahap paling hina bila pada 12 Ogos 2009, Nik Aziz di laporkan oleh Utusan Malaysia sebagai berkata, “DAP kalau nak hina Islam (tidak apa) pasal dia bukan Islam.”

Pada 30 Jun 2010, HarakahDaily melaporkan Nik Aziz sebagai berkata, “You (Karpal) sebut Islam tak betul dengan hujah yang tak pasti, tetapi selagi you tak boleh menyebut Islam ini tak betul sama ada dari segi akidah, muamalah, saya nak tinggal Islam pun tak boleh…”

Dan lebih memeranjatkan lagi ialah apabila New Straits Time melaporkan pada 9 Julai 2010 kenyataan Nik Aziz yang saya terjemahkan seperti berikut, “Saya sudah sebut banyak kali. Kalau mereka yang tak boleh terima polisi kita boleh tunjukan saya bukti terdapat kesilapan dengan Islam, saya sendiri akan tolak Islam. Kalau tidak kamu tidak boleh bagi bukti, maka saya tidak ada alasan untuk meninggalkan Islam, (kenyataan asal, I have mentioned this many times. If those who cannot accept our policies can show me what is wrong with Islam, then I personally will reject Islam. If you cannot give proof, the I have no reason to leave my religion,”

Sudah tentulah DAP, sama ada Karpal Singh atau Lim Kit Siang merasakan mereka ada bukti bahawa ada yang tidak kena dengan Islam, jika tidak sudah tentu mereka sudah memeluk agama Islam apalagi Lim Guan Eng yang tidak habis-habis dengan Khalifah Umar Abdul Aziz.
Tetapi ini adalah soal kepercayaan. Islam adalah agama dan agama adalah isu kepercayaan.

Apapun yang Karpal Singh dan Lim Kit Siang kata tentang kelemahan Islam, tidak boleh menyebabkan kita meminda aqidah kita. Islam itu tetap sempurna, itu kepercayaan kita.
Bagaimanapun, saya yakin UMNO tidak akan mengatakan Islam itu tidak sempurna atau mencari kesilapan di dalam polisi Islam.

Cuma UMNO adalah sama dengan PAS hari ini, hanya sekadar sebuah Parti Politik. Segala keputusan dan perubahan di dalam dasar-dasar yang hendak dilaksanakan hendaklah di ambil kira pelbagai pertimbangan politik dan daya tahan politik.

Melihat begitu banyak yang telah terpaksa PAS korbankan sedangkan DAP terus teguh dengan pendirian mereka, maka kenyataan Mahfuz dan Mohd Firdaus yang menjadi teras penulisan saya ini, begitu mengganggu saya.

Saya tidak mahu mempertikaikan sama ada PAS mampu atau tidak menang 60 kerusi Parlimen. Itu adalah persoalan lain. Tetapi saya masa melihat bagaimana kedudukan PAS dalam PRU ke 13 berdasarkan hujah-hujah kedua-dua mereka.

Pada Jun 2009, saya telah diarahkan untuk menyiapkan satu analisa bagi kerusi-kerusi Parlimen yang PAS tewas di dalam PRU 2008 lalu. Analisa itu dibuat bersempena Muktamar PAS pada tahun tersebut. Kenyataan Mohd Firdaus tidak bercanggah dengan analisa yang saya buat ketika itu.

Tetapi berdasarkan analisa itu, kesimpulannya ialah jika PAS mahu memenangi kerusi-kerusi Parlimen yang PAS tewas di dalam 2008:

1.Mempertahankan sokongan pengundi Melayu yang diterima di dalam PRU 12.
2.PAS harus mengaut sokongan daripada pengundi-pengundi Cina.
3.Memperlengkapkan jentera di kawasan-kawasan Parlimen tersebut.

Bagaimanapun, ianya datang dengan risiko yang besar. Ini kerana di dalam menambah sokongan pengundi Cina, PAS perlu memberi lebih banyak konsesi kepada mereka. Konsesi yang dimaksukan ialah untuk menggugurkan lebih banyak elemen-elemen perjuangan Islam di dalam PAS.

Jika ini berlaku, PAS berkemungkinan besar akan kehilangan pula pengundi teras mereka yang menyokong PAS kerana PAS memperjuangkan Islam. Ini akan menjadikan PAS hanya satu lagi replika kepada Parti Keadilan Rakyat yang berjuang untuk menentang apa yang lihat mereka sebagai ketidak adilan.

Kenyataan Mahfuz pula walaupun bertujuan untuk menyatakan bahawa undi Melayu terhadap PAS tidak merosot, tetapi sebenarnya Mahfuz telah mendedahkan bahawa undi Melayu terhadap PAS sudah merosot hampir 10 peratus dari tahun 1999. Kenyataan Mahfuz juga secara tidak langsung mendedahkan undi Melayu yang diterima PAS juga telah merosot hari ini berbanding dengan semasa PRU 2008.

Perlu diingat sewaktu berdepan dengan PRU 2008, PAS dan DAP tidak diikat oleh mana-mana gandingan politik melainkan memperjuangkan isu-isu bersama. Selepas PRU 2008 barulah PAS memeterai satu pakatan politik bersama DAP.

Apakah ini yang mengakibatkan kemerosotan dari segi peratusan undi Melayu yang PAS terima?

Pengikut PAS harus sedar, jika benar PAS memperolehi hanya 45 peratus undi Melayu seperti yang dinyatakan oleh Mahfuz, tidak mustahil tragedi PRU 2004 akan berulang.

Jika hanya 45% pengundi Melayu memilih PAS pada hari ini, PAS akan berdepan dengan masalah bagi konstituensi-konstituensi dimana komposisi pengundi Melayunya melebihi 88 peratus. PAS juga akan bermasalah di konstituensi-konstituensi dimana pengundi Cinanya kurang daripada 18 peratus.

Ini bererti, PAS boleh kehilangan minimum 10 kerusi Parlimennya sekarang. Ini bagaimanapun tidak termasuk kerusi tradisi mereka di Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian serta Marang. Bagaimanapun harus diingat, PAS pernah terlucut Marang dalam PRU 2004.

Kerusi-kerusi yang PAS akan kehilangan ialah:

1. P007 Padang Terap.
2. P011 Pendang.
3. P012 Jerai.
4. P013 Sik.
5. P016 Baling.

Kesemua kerusi di atas adalah di Kedah dan pada 2004, kerusi-kerusi tersebut dimenangi oleh BN UMNO melainkan Pendang dimana PAS pertahankannya dengan hanya 50 undi. Pada 1999 PAS menang Pendang dengan majoriti 2,939 undi atau 6.91 peratus. Pada Pilihanraya Kecil 2002, BN UMNO merampas Pendang dengan majoriti, 283 undi atau 0.62 peratus.

PAS juga akan kehilangan kerusi-kerusi berikut:

6. P019 Tumpat.
7.P023 Rantau Panjang.
8. P025 Bachok
9. P028 Pasir Puteh
10. P031 Kuala Krai.

Pada tahun 2004, PAS kehilangan Kuala Krai dengan majoriti 2,416 undi, Pasir Puteh dengan 3,810 undi dan Bachok dengan 6,272 undi. Bagaimanapun Rantau Panjang di menangi PAS dengan majoriti 723 undi dan Tumpat dengan majoriti 1,820 undi.

Jika benar PAS menikmati 45 peratus undi Melayu dan kekal menikmati lebih 80 peratus undi pemilih Cina, PAS seharusnya tidak bermasalah untuk mempertahankan kerusi-kerusi berikut:

1. P008 Pokok Sena.
2. P021 Kota Bharu.
3. P036 Kuala Terengganu.
4. P057 Parit Buntar.
5. P059 Bukit Gantang.
6. P096 Kuala Selangor.
7. P101 Hulu Langat.
8. P108 Shah Alam.
9. P111 Kota Raja.
10. P119 Titiwangsa.

Daripada jumlah 43 buah kerusi Parlimen yang PAS tewas dalam PRU 2008, saya mendapati PAS hanya mempunyai peluang untuk menawan 9 buah kerusi Parlimen sahaja. Konstituensi tersebut ialah:

1. P081 Jerantut.
2. P067 Kuala Kangsar.
3. P042 Tasek Gelugor.
4. P090 Bera.
5. P095 Tanjung Karang.
6. P093 Sungai Besar.
7. P001 Padang Besar.
8. P079 Lipis.
9. P059 Lenggong.

Peluang PAS ini bagaimanapun banyak bergantung kepada calon yang akan diletakan oleh BN UMNO serta keupayaannya mendapatkan sekurang-kurangnya 45 peratus undi pemilih Melayu.

Bagi konstituensi seperti Arau, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Jerlun, walaupun PAS menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam PRU 2008, tetapi PAS akan menemui laluan sukar kerana mereka perlu memenangi lebih dari 50 peratus undi Melayu untuk menang di sini.

Walaupun PAS mensasarkan untuk bertapak di beberapa kawasan Parlimen di Negeri Sembilan dan Johor di mana pengundi Melayu kurang daripada 80% dan jumlah pemilih Cina adalah tinggi, namun pengikut PAS harus sedar, secara realitinya ia adalah amat sukar. Ini kerana PAS tidak mempunyai jentera yang besar di negeri-negeri tersebut bagi menawan kerusi-kerusi Parlimen.

Di dalam pilihanraya kecil di mana jentera PAS dari Kelantan dan Terengganu menumpu sepenuh perhatian pun, PAS masih menghadapi kesukaran apa lagi di dalam Pilihanraya Umum.

Sebenar-benarnya, PAS telah mengganjakkan pintu gol mereka untuk memudahkan DAP menjaringkan gol. Tetapi di dalam berbuat begitu, PAS telah menimbulkan kekeliruan kepada barisan pertahanan mereka.

Impak dari tindakkannya itu juga, PAS berpotensi untuk kehilangan kerusi-kerusi tradisinya kesan dari kemuncupan sokongan pengundi Melayu akibat keghairahan segelintir dari pimpinan PAS menari mengikut gendang perang oleh masyarakat Cina.

Tiada siapa dapat menafikan bahawa, berkemungkinan PRU ke 13 akan menjadi medan bagi pemilih Melayu menentukan hidup mati Ketuanan Melayu di bumi yang satu ketika dahulu di panggil Tanah Melayu.

Jika ini benar berlaku, ia akan menyaksikan pengundian berdasarkan garisan perkauman dan PAS berkemungkinan akan tersepit di dalam pertembungan itu.