Monday, March 24, 2014

AZMIN GUNAKAN KEMENANGAN WAN AZIZAH SERANG KHALID…


"Beliau pernah menjadi ketua pembangkang wanita pertama dalam sejarah politik Malaysia. Malah memegang jawatan Ahli Parlimen selama tiga penggal...saya yakin beliau mampu memikul tanggungjawab baharu bersama-sama Adun Selangor yang lain," 
- Tim Presiden PKR, Azmin Ali

Orang paling gembira Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri )DUN) Kajang tidak lain dan tidak bukan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Ini kerana Azmin kini sudah mempunyai ‘senjata’ lebih berkesan untuk menyerang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ‘perangnya’ dengan Menteri Besar Selangor itu.

Azmin akan terus menyerang Khalid selepas ini untuk menjamin beliau melepaskan jawatan.

‘Langkah Kajang’ yang diatur oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun tergencat untuk dirirnya, tidak menghalang Azmin menggunakan kemenangan Wan Azizah untuknya meneruskan perjuangannya agar Menteri Besar Selangor digantikan

 Azmin dalam beberapa hari ini pastinya mengatur strategi sementara menunggu Wan Azizah mengangkat sumpah. Wan Azizah yang memenangi PRK N25 Kajang akan mengangkat sumpah sebagai ADUN Kajang baharu pada 7 April depan.

Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh berkata dengan pelantikan Wan Azizah itu, jumlah ADUN dalam kalangan wanita juga turut meningkat kepada 15 orang.

Wan Azizah yang diumumkan menang pada PRK N25 Kajang itu akan mengangkat sumpah sebagai ADUN Kajang baharu pada 7 April depan.

Wan Azizah mengalahkan lawannya, Datin Paduka Chew Mei Fun dari Barisan Nasional apabila meraihkan majoriti 5,379 undi.

Menggembirakan Azmi ialah kenyataan Anwar hari ini yang tidak menolak kemungkinan berlakunya perbincangan di peringkat pimpinan parti untuk melantik Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor.

Walaupun tidak menyatakan secara langsung tetapi Anwar mengakui perbincangan untuk peralihan tampuk kerajaan negeri itu akan diadakan kelak.

"Hal itu mereka akan bincangkan melalui pimpinan negeri. Program Wan Azizah hari ini masih di Kajang. Langkah Kajang masih diteruskan yang mana Wan Azizah sekarang sudah menang di sana," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.


Spekulasi mengenai perubahan kerusi Menteri Besar Selangor kembali diperkatakan selepas PKR atau lebih tepat Wan Azizah berjaya memenangi pilihan raya kecil itu.

Kejayaan PKR menempatkan diri dalam DUN Selangor membuktikan Wan Azizah mempunyai kemampuan untuk meneruskan agenda 'langkah Kajang' yang dirancang parti itu.

Wan Azizah dikatakan mempunyai kelayakan untuk diangkat sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu sekiranya menerima sokongan majorti ADUN Pakatan Rakyat di negeri itu.

Sebelum ini pada 15 Mac lalu, apabila diajukan soalan kepada Wan Azizah mengenai calon Menteri Besar Selangor, beliau menidakkan misi utama ‘Langkah Kajang’ bertujuan menukar Menteri Besar Selangor.

 Sebaliknya Wan Azizah yang juga Presiden PKR meminta soalan penukaran penukaran menteri besar itu diajukan kepada Azmin.

"Perkara ini kena tanya Azmin sendiri sebab itu kenyataan dia. Tapi pada saya jawatan itu tidak penting kerana niat saya hanya untuk berkhidmat dan memperkuatkan pasukan. Ada banyak perubahan dan pembaharuan yang kita boleh baiki dan itulah niat saya," katanya.

Wan Azizah pula pada 22 Mac lalu mengatakan beliau tidak berhasrat menjadi Menteri Besar Selangor jika ditakdirkan menang pilihan raya itu.

Baginya, beliau mahu memberikan kemenangan pada PRK selain mengatakanTan Sri Khalid Ibrahim adalah Menteri Besar Selangor.

Wan Azizah menggantikan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini mengumumkan untuk bertanding di DUN Kajang selepas perletakan jawatan mengejut wakil rakyat kawasan itu, Lee Chin Cheh.

Bagaimanapun kelayakan Anwar untuk bertanding telah terlucut selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Dalam pada itu, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong berkata setakat ini tiada perbincangan dibuat berhubung hasrat untuk menukar Menteri Besar seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Fokus kita adalah menang dengan majoriti tinggi pada PRK Kajang kerana ia bukan sekadar PRK, sebaliknya satu referendum,” katanya.

Khalid pula enggan mengulas lanjut sama ada Wan Azizah akan menggantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor baharu sekiranya berjaya menjadi ADUN Kajang.

Malah menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ini, fokus Pakatan Rakyat (Pakatan) pada ketika ini adalah untuk memastikan kerusi DUN Kajang ini terus kekal menjadi milik PKR.

"Kita belum buat apa keputusan.. kita menangkan Datuk Seri Wan Azizah. Sebarang pengumuman akan diumumkan kelak. Jangan buat spekulasi. Tak boleh (nak jawab sekarang)," kata Khalid pada 11 Mac lalu.

Dikatakan juga bahawa Ibu pejabat PKR sudah dua kali meminta Khalid menandatangani surat letak jawatan sebagai MB sejak bulan lalu, namun Khalid enggan berbuat demikian.

PKR mengambil pendirian rasmi bahawa soal kedudukan Khalid sebagai MB hanya akan diputuskan selepas Pilihan Raya Kecil DUN Kajang pada 23 Mac.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin PKR termasuk Anwar sendiri telah mengeluarkan kenyataan membayangkan Ketua Pembangkang itu akan dicalonkan mengambil alih jawatan itu jika menang di Kajang. 

Namun impian Anwar untuk memecat Khalid tidak menjadi kenyataan apabila beliau disabitkan hukuman lima tahun penjara dan ia akan berkuat kuasa setelah keputusan rayuannya di Mahkamah Persekutuan diketahui, kelak.

Bagi Azmin, dengan pengalaman Wan Azizah dalam politik, beliau yakin isteri kepada Ketua Pembangkang itu cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab berkenaan.

"Beliau pernah menjadi ketua pembangkang wanita pertama dalam sejarah politik Malaysia. "Malah memegang jawatan Ahli Parlimen selama tiga penggal...saya yakin beliau mampu memikul tanggungjawab baharu bersama-sama Adun Selangor yang lain," katanya.

Menurut Azmin, agenda menerusi rancangan 'langkah Kajang' akan diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini.

Kata ADUN Bukit Antarabangsa itu, tindakan lanjut mengenai 'Langkah Kajang' akan dibincangkan dalam masa terdekat bersama sekutu Pakatan Rakyat di Selangor.

Persoalan kini apakah pemimpin Pakatan di Selangor akan tunduk kepada formula Azmin dan Anwar itu?