Sunday, June 28, 2009

KENAPA DEBAT BUKAN MUZAKARAH WAHAI ‘TOK GURU’?

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dahulu dan sekarang jauh berbeza.

Kini beliau semakin terikut-ikut dengan perangai Anwar Ibrahim yang memang suka berdebat.

Jelas Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam cukup gembira apabila Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu berdebat secara terbuka dengan Perdana Menteri.

Ia untuk mencari jalan penyelesaian politik kepada kemelut kedua-dua parti.

Anwar memang jenis ‘keras keng’ (kata orang Kelantan) dan itulah senjatanya paling berbisanya sejak menyertai UMNO dan kini Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Anwar bijak spin dan menggunakan segala ‘kepakarannya memujuk rakyat’ kononnya untuk menegakkan kebenaran. Namun persoalannya, apakah kebenaran beliau itu adalah kebenaran yang sebenarnya?

Tidak hairan apabila Anwar menyambut baik cadangan Nik Aziz untuk berdebat dengan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi menyelesaikan kemelut politik kedua-dua parti.

"Pada pendapat saya adalah lebih baik beliau berdebat secara terbuka kerana ini dapat mengurangkan media Umno-Barisan Nasional (BN) salah tafsir dan membuat fitnah terhadap kenyataan-kenyataan beliau (Nik Aziz)," katanya.

Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, mengulas kenyataan Nik Aziz semalam yang ingin mengadakan debat terbuka dengan Perdana Menteri bagi menyelesaikan kekalutan politik yang berlaku sejak sekian lama antara Umno dan PAS.

Apa untungnya debat? Menang debat boleh jadi Perdana Menteri atau bentuk kerajaan?

Menghairan sekali kerana selama ini apabila UMNO mengajak PAS berbincang atau mencari sesuatu jalan penyelesaian, PAS akan mencadangkan muzakarah.

Tetapi kali ini apabila PAS khususnya Nik Aziz sendiri mengajak penyelesaian, dicadangkankan oleh mereka debat.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, draf surat jemputan rasmi kepada Presiden Umno untuk mengadakan perdebatan itu telah siap dirangka dan akan dihantar dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, jalan terbaik adalah mengadakan dialog secara terbuka supaya tidak ada pihak yang boleh memutarbelitkan fakta dalam perkara berkenaan.

Tidak dipastikan apakah debat boleh mengatasi masalah, bak kata bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, adalah baik supaya PAS dan Umno supaya menyelesaikan kemelut antara dua parti itu secara perbincangan dan bukan berdebat secara terbuka.

Beliau berkata, pendekatan berdebat itu tidak akan membawa keduadua parti itu ke manamana jika isu atau masalah pokok yang dihadapi masyarakat Melayu dan Islam tidak diselesaikan.

"Tak perlulah pendekatan seperti itu (debat terbuka). Adalah lebih baik keduadua parti itu duduk dan berbincang apa yang menjadi masalah sehingga menimbulkan keadaan tidak senang hati di kalangan orang Melayu.

"Apakah masalah itu ada kaitan dengan agama yang menyebabkan perselisihan faham dan menyebabkan Umno dan Pas bercanggah pendapat dan pendirian," katanya di Kepala Batas.

Abdulah berkata, Pas dan Umno harus mewujudkan perpaduan demi masa depan Melayu dan agama Islam tetapi ini tidak bermakna mereka tidak boleh berbeza pendapat dan pandangan.

"Apa yang penting ialah mencari jalan penyelesaian berhubung isu Melayu dan agama Islam dan tidak bergaduh tentang perkara ini lagi," katanya.

Sementara Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perdebatan antara UMNO dan PAS tidak akan membawa sebarang faedah malah beliau menganggapnya sebagai hiburan semata-mata.

Dr Mahathir berkata debat di Malaysia tidak sama dengan debat pemilihan presiden Amerika Syarikat yang banyak memberi faedah kepada rakyat dan negara.

"Perdebatan itu hanya membuang masa dan sebagai hiburan semata-mata," katanya.
Menurut Dr Mahathir, wakil rakyat dipilih bukan untuk menghiburkan rakyat dengan perdebatan yang tidak memberi makna.

Melihat kepada telatah Nik Aziz dan Anwar ini jelas sekali mereka jauh terpesong dalam mencari kesepakatan dan penyelesaian.

Yang mereka mahu ialah ‘untung politik’ semata-mata dan mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa merekalah juara.

Apakah dengan menjadi juara mereka mampu membawa kebaikan dalam konteks pentadbiran dan kerajaan?

Rekod Nik Aziz dan Anwar tidak secemerlang mana dalam kedua-dua bidang berkenaan dan baik juga jika Najib tidak usah layan mereka berdua itu.

Membuang masa dan tidak ada maknanya!

PENGURUS LAWAN PEMBORONG IKAN DI MANEK URAI


Sumber: Bernama/Berita Harian

Barisan Nasional (BN) memilih Pengurus Bahagian Pemantauan Projek Kesedar Tuan Aziz Tuan Mat sebagai calonnya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan Tuan Aziz, 39, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, pada satu majlis yang diadakan di Kampung Sok Luar, Manek Urai, di sini.

Turut hadir, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Manek Urai Datuk Mustapa Mohamed, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Puteri Datuk Rosnah Rashid Shirlin, pimpinan Umno dan parti komponen tempatan.

Tuan Aziz berjanji akan membantu membangunkan Manik Urai jika dipilih pengundi untuk mewakili kawasan itu.

Anak kelahiran Kuala Krai dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata beliau yang dibesarkan di Kuala Krai memahami kehendak penduduk di situ yang mahu sesuatu dilakukan bagi membangun kawasan tersebut.

Beliau yang bertugas sebagai Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu mahu memanfaatkan pengalamannya yang pernah bekerja di sektor swasta dan kerajaan untuk tujuan tersebut.

"Saya sudah biasa dengan permasalahan rakyat di sini dan amanah untuk mewakili BN akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat daripada Pas, Ismail Yaakob, akibat sakit jantung pada 22 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari penamaan calon manakala 14 Julai sebagai hari pengundian.

PAS mengumumkan calonnya, Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai yang juga Bendahari PAS Bahagian Kuala Krai pada malam Jumaat lepas.
Pilihan raya kecil DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lepas akibat serangan jantung. Hari penamaan calon pilihan raya kecil itu diadakan pada 6 Julai dan jika ada pertandingan hari pengundian ditetapkan pada 14 Julai.

Muhyiddin ketika membuat pengumuman itu berkata pemilihan Tuan Aziz direstui dan mendapat sokongan padu pimpinan parti termasuk Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga semua peringkat Umno selain diterima baik anggota akar umbi.

Muhyiddin berkata seluruh pimpinan parti yakin Tuan Aziz dan jentera pilihan raya yang diketuai Mustapa, dapat menebus kekalahan BN di kerusi itu pada pilihan raya Umum 8 Mac tahun lalu.

Muhyiddin menolak dakwaan berlakunya "cah keting" (cantas mencantas) dalam proses pemilihan calon BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai seperti dakwaan Pas adalah tidak benar.

"Itu anggapan Pas sahaja berlakunya cah keting dan ia tidak pernah berlaku dalam pemilihan sebaliknya calon ini mendapat sokongan semua pihak.

Muhyiddin yang mengumumkan calon BN itu di Kampung Sok Luar hari ini berkata Tuan Aziz ini bukan sahaja mampu menarik sokongan golongan muda tetapi berdasarkan sokongan yang diterima, BN yakin semua golongan akan menerimanya dengan baik.

Pilihan raya kecil DUN Manek Urai akan diadakan pada 14 Julai ini.

Pas sebelum ini mengumumkan Mohd Fauzi Abdullah, 50, sebagai calon mereka bagi mempertahankan kerusi DUN itu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno mengulangi bahawa Tuan Aziz adalah calon terbaik BN dan jika menang pada pilihan raya kecil itu, kerajaan pusat akan melaksanakan program pembangunan di kawasan itu.

"Kita akan laksana pembangunan tidak kira siapa pun yang menguasainya seperti sekarang walaupun Pas yang menguasainya," katanya.

Beliau berkata, apa yang lebih penting semua pihak dalam Umno dan BN perlu bersatu padu dan bekerja keras untuk menjamin kemenangan.

Katanya, BN mempunyai strategi tersendiri bagi menarik sokongan rakyat terhadap BN dan mengulangi bahawa parti itu adalah serius untuk membangunkan kawasan tersebut.

"Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sinidan berkelulusan tinggi.

"Penting untuk pilih calon yang berilmu kerana dialah yang nak bimbing masyarakat di sini, tak ada ilmu bahaya kerana mungkin dia terseleweng," katanya.

"Mengikut perlembagaan parti, jika ada kerusi yang kosong dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan adanya pilihan raya, kita perlu runding untuk pilih calon, runding dengan (Umno) Negeri, bahagian.

"Kita beri peluang semua untuk kemuka pandangan. Susahnya kita di Manek Urai ini (untuk pilih calon), kerana ada ramai tokoh yang layak. Bagaimanapun, kita timbang secara halus, kita letakkan calon yang diterima pengundi," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata mungkin ramai yang memandang sinis jika BN menang di Manek Urai kerana wakil rakyat BN hanyalah pembangkang dalam DUN Kelantan malahan ia langsung tidak akan menjejaskan struktur kerajaan negeri yang dipimpin PAS.

Namun, tegas beliau, wakil rakyat BN di Kelantan disokong oleh kerajaan Pusat."Dia calon BN. Saya sendiri akan bantu jadikan Manek Urai simbol kebangkitan semula Umno dan BN. Dalam masa yang sama, kita akan lihat bagaimana kawasan ini boleh dimajukan," katanya.

Katanya sejak dari awal penubuhannya, BN yang ditunjangi Umno terbukti mampu membela nasib rakyat seluruh negara dan tradisi itu akan tetap diteruskan.

"Kita akan teruskan perjuangan pemimpin terdahulu, untuk bangunkan negara dengan dasar yang jelas, iaitu setiap lapisan masyarakat mendapat pembelaan adil dan saksama.

"Niat kita jelas, pembelaan rakyat diteruskan di bawah payung Umno dan BN. Jadi kita mahu Manek Urai dikuasi sekali lagi oleh Umno dan BN," katanya.

1MALAYSIA – PUJUKAN ATAU WAJIB?

(Sembang Ahad)

Saya masih tidak faham.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semalam, beliau gembira kerana konsep pentadbiran 1Malaysia secara asasnya diterima oleh sebahagian besar rakyat negara ini.

Apa maksud diterima? Apakah konsep ini suatu rayuan atau bersifat pujukan semata-mata dengan seruan ‘terimalah…terimalah” Begitu?

1Malaysia seharusnya bukan rayuan sebaliknya perkara wajib dilaksanakan. Diibaratkan dengan hukum Islam, ia bukan perkara sunat tetapi wajib. Mesti dilakukan, jika tidak terbatal atau kehilangan segala pahala!

Silap haribulan, ia akan mendatangkan pula dosa dan bencana.

Kerana itu, kerajaan perlu bertegas bahawa 1Malaysia ialah konsep yang wajib diterima pakai oleh semua rakyat, bukan sebahagian rakyat Malaysia.

Persoalannya, kenapa pula 1Malaysia yang menjadi dasar penting negara perlu dijadikan konsep yang boleh ditolak sebahagian rakyat - sedangkan ia untuk perpaduan?

Pada 15 April 2009, Perdana Menteri dengan tegas mengatakan:

- Di bawah konsep Satu Malaysia ini bererti bahawa kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita.

- Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

- Biar kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama. Itu juga pada saya maksud konsep Satu Malaysia.

Apa jadi dengan Malaysia hari ini apabila dasar yang baik dan hanya kerana datangnya daripada Barisan Nasional (BN), ia bagaikan hanya sebagai suatu projek parti, bukannya projek nasional.

1Malaysia yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas penting, sama pentingnya dengan pencapaian sama ada individu, kerajaan, syarikat atau sebagainya bertujuan menjamin kestabilan dan kemajuan Malaysia.

Apa yang dapat digarapkan daripada kenyataan Perdana Menteri semalam, kerajaan terpaksa merayu dan meminta ikhsan rakyat untuk menerima 1Malaysia.

Sedangkan hakikat sebaliknya iaitu dasar kerajaan ini perlu diterima dan diamalkan dengan baik oleh seluruh rakyat.

Juga, apabila Perdana Menteri mengatakan rakyat masih tetap memiliki keinginan untuk mengetahui secara lebih mendalam maksud dan pengertian konsep itu, ia member makna bahawa penerangan dan penjelasan mengenainya belum menyeluruh.

Sebab itu saya katakan bahawa 1Malaysia harus ‘jelira’ kepada semua rakyat.

Apakah sehingga ini penerangan dan penjelasan mengenainya belum difahami?

Apa kelemahan kementerian kerajaan, media yang dikawal kerajaan dan media bebas sehingga penjelasan mengenai 1Malaysia belum menyeluruh sedangkan ia agenda penting negara?

Atau apakah PR kerajaan tidak berkesan sehinggakan ada pihak terus meragui konsep 1Malaysia?

Masa agak suntuk untuk kerajaan berlengah-lengah menjelaskan konsep ini.

Kerajaan tidak lagi boleh menunggu untuk rakyat cuba memahami dan menghayati untuk melaksana dan menterjemahkan konsep ini dalam kegiatan seharian rakyat Malaysia.

1Malaysia perlu menjadi dasar afirmatif untuk seluruh rakyat kerana jika terlambat atau gagal, ia akan menjadi bahan ketawa dan ‘senjata untuk pembangkang’ menempelak balik kerajaan.

Najib sudah menyatakan semalam bahawa 1Malaysia mementingkan konsep perpaduan yang sejati dan tidak mahu rakyat bertindak seperti 'enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing'.

"Ini bererti kalau kita ada satu ikatan seperti ini, satu ikatan yang kukuh dan teguh, berlainan daripada ibarat kita ini seperti 'enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing', bererti kita bergerak secara bersendirian," ujar beliau.

Kata beliau lagi, analogi yang diberikannya secara jelas memperlihatkan bahawa masa depan dan segala cita-cita yang hendak dicapai mestilah bertunjangkan kepada kesatuan dan perpaduan.

Kerana itu 1Malaysia tidak boleh dijayakan hanya melalui menampal logo, menyanyikan lagu rasminya atau ucapan-ucapan menteri sahaja.

Ia perlu dihayati dan diyakini sebagai dasar teras negara untuk kemajuan, kemakmuran dan kestabilan negara.

ZAID IBRAHIM KENA TUNGGU…

Khalid korban kerusi untuk Zaid? Siapa bawa berita angin ini?

Kononnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sanggup mengosongkan kerusi Parlimennya – Bandar Tun Razak – untuk memberikan laluan kepada Datuk Zaid Ibrahim.

Boleh main pas-pas kerusi seperti di Parmatang Pauh antara isteri kepada suami.

Kini di Bandar Tun Razak antara kawan dan kawan, juga dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Baik sungguh pemimpin PKR dan hubungan mereka amat intim sehinggakan sanggup membelakangkan sokongan pengundi hanya demi memperkukuhkan kedudukan ‘orang baru dalam PKR’.

Apakah dengan menjadi Ahli Parlimen, PKR akan lebih dilihat garang kerana Zaid bukan calang-calang Ahli Parlimen bila berada di Dewan Rakyat.

Selain memiliki guaman terkenal dan besar, Zaid juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Bahagian UMNO.

Zaid lantang memperjuangkan isu-isu membabitkan pendemokrasian dan keadilan sosial selain terbabit dengan isu-isu keagamaan sebelum ini.

Pendiriannya yang kadangkala mempersoalkan keputusan kerajaan sendiri menyebabkan beliau dilihat sebagai seorang ‘pejuang’.

Ini sesuai dengan sikap PKR yang menjadikan kerajaan sasaran serangannya.

Zaid turut dilaporkan terkejut dan menyangkal spekulasi terbabit. Beliau mendakwa perkara itu adalah khabar angin yang sengaja dicipta dan diperbesarkan oleh pihak tertentu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang dipecat daripada Umno pada Disember lalu menyertai PKR pada 13 Jun lalu.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keanggotaan Zaid ke dalam parti itu adalah sebagai satu penghormatan dan lonjakan terhadap perjuangan PKR.

Kelmarin Yang Dipertua PAS kawasan Bandar Tun Razak, Mohd Shukor Abdul Azz berkata beliau dan barisan kepemimpinan PAS kawasan tidak tahu dan tidak mempunyai maklumat kononnya Khalid akan mengosongkan kerusi Anggota Parlimen Bandar Tun Razak.

Mohd Shukor yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat daripada mana-mana seumber untuk mengesahkan spekulasi kononnya akan berlaku kekosongan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Mohd Shukor mengakui isu kekososngan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pernah timbul beberapa bulan sebaik sahaja selesai pilihan raya umum ke-12 lalu. “Ketika itu Khalid baru dilantik sebagai Menteri Besar Selangor”.

“Kami pernah mendengar isu tersebut ketika Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor tetapi selepas setahun berlalu kami tidak pernah mendengar isu ini dibangkitkan kembali,” katanya lagi.

Secara peribadi dia melahirkan kurang setuju jika pilihan raya kecil Parlimen diadakan di kawasan tersebut memandangkan kecenderungan pengundi Melayu masih kurang berpihak kepada Pakatan Rakyat.

“Walaupun Pakatan Rakyat mendapat sokongan padu dari kalangan pengundi bukan Melayu namun sokongan pengundi Melayu amat diperlukan bagi membantu kemenangan calon dalam pilihan raya kecil ini,” katanya.

Shukor menyifatkan situasi politik di Parlimen itu kini 50-50 memandangkan majoriti undi yang diperolehi dalam pilihan raya umum ke-12 lalu adalah 2,515.

Menteri Besar Selangor itu, semalam, bagaimanapun menafikan spekulasi bahawa beliau berkemungkinan akan mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang dipegangnya.

"Isu besar seperti ini biasanya dibincangkan di peringkat Biro Politik PKR (Parti Keadilan Rakyat) tetapi perkara ini tidak pernah langsung dibincangkan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan bahawa beliau berkemungkinan mengosongkan kerusi itu selepas pilihan raya kecik Manik Urai Julai ini.

Abdul Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor berkata, pihaknya berpendapat sekarang bukan masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya atas apa sebab sekali pun.

"Masanya belum sesuai. Ada sesetengah rakyat berasa tidak selesa kerana terlalu banyak diadakan pilihan raya. Kita perlu fokus kepada kerja yang dilakukan.

"Apa pun keputusan di peringkat biro politik, ia adalah keputusan bersama bagi memantapkan parti," katanya semalam.