Saturday, December 26, 2009

JUARA RAKYAT – GAGAL BOLEH HANCURKAN UMNO

Transformasi besar buat UMNO.


Mendengar slogannya sahaja sudah cukup gah. Kalau sebelum ini UMNO sering dikaitkan sebagai ‘pembela rakyat’ kini ia menjadi ‘Juara Rakyat’.

Secara rasminya UMNO Pembela Rakyat akan bermula 9 Januari ini apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor akan melancar slogan bersama dengan programnya pada 9 Januari depan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak orang Melayu selain membuka ruang peluang kepada bukan Melayu, UMNO tidak perlu mempunyai slogan sedemikian, jika rakyat memahaminya.

Namun sebagai langkah besar dan transformasi besar untuk UMNO melangkah terus pada dekad ke 21, UMNO yang ditubuhkan pada dekad 40an, perlu menyatakan kepada rakyat – khususnya generasi muda – bahawa ia tetap berjuang dulu, kini dan selamanya.

Tradisi parti untuk benar-benar menjuarai kehidupan rakyat bukan slogan main-main kerana ia memerlukan dokongan kedua-dua pihak, lebih-lebih lagi di pihak rakyat.

Dengan program yang tersusun, bersepadu dan mantap UMNO boleh menterjemahkan hasrat menjadikan parti itu sebagai juara bukan sahaja untuk seluruh sayap dan parti UMNO tetapi juga sebagai ‘penghulu’ komponen Barisan Nasional (BN).

Slogan atau tema ini mungkin sengaja dipilih bagi menjamin UMNO terus menjuarai kehidupan rakyat. UMNO perlu meneruskan tradisinya membela rakyat, membangunkan negara dan menjadikan rakyat sebagai keutamaan melalui tradisi membela rakyat.

Biarlah pakatan pembangkang datang sebagai satu jenama untuk pembangkang tetapi yang penting UMNO perlu tetap dan terus menjuarai rakyat bukan setakat pakat-pakat dan tiba mendabik dada sebagai juara di hati dan minda rakyat.

Dalam menjamin rakyat tidak ‘tawar hati’ dengan UMNO, slogan ini perlu dijayakan dan jangan ia menjadi slogan pilihan raya dan ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

Pemimpin UMNO perlu sedar bahawa UMNO kini diperlekeh dan ‘dihina’ begitu teruk sekali. Menyakinkan orang muda satu hal dan mengekalkan sokongan orang dewasa dan tua juga satu hal.

UMNO berdepan dengan tekanan dan cabaran sokongan kerana ‘perbuatan beberapa pemimpinnya’ yang masih sehingga kini masih ada dalam UMNO, selain terus memegang jawatan.

Cabaran baru kepada pemimpin yang baru dipilih pada perhimpunan agung lalu ialah menjamin diri mereka benar-benar menjadi ‘Juara Rakyat’ selain membantu pemimpin yang sudah ‘dibenci’ rakyat untuk diterima kembali.

Dengan kata lain, UMNO perlu menjamin bekerja dua kali ganda, menghapuskan imej lamanya dan menonjolkan dirinya sebagai ‘Juara Rakyat’ yang sebenar-benarnya.

Jika ia gagal melakukannya, imej UMNO akan menjadi lebih buruk dan selepas ini kalaupun ada usaha untuk bangkit, ia akan tetap menerima padahnya.

Yang diharapkan, dengan pelancaran program tersebut yang amat penting kepada bukan sahaja UMNO tetapi BN, UMNO mampu untuk mengukuhkan sokongan rakyat kepada parti.

Sudah pastinya agenda utama di bawah program yang akan digerakkan ke seluruh negara adalah untuk menunjuk dan mengingatkan bahawa UMNO dan BN adalah parti yang selama ini menjuarai hasrat rakyat.
Kita tidak mahu mendengar pemimpin UMNO sukar didampingi, program UMNO untuk diri bukan untuk parti dan bermacam perasaan tidak puas hati lagi.

Selepas ini bukan slogan sahaja yang perlu menyerap di hati dan sanubari rakyat tetapi program dan ‘kelakuan sebenar UMNO’ berjiwakan ‘Juara Rakyat’.